Anda di halaman 1dari 3

TEORI KEPERIBADIAN MULIA

Teori Keperibadian Mulia atau virtue menitikberatkan perwatakan manusia dari segi falsafah moral. Etika keperibadian mulia mengambil berat tentang budi pekerti manusia yang berasaskan kepada keunggulan dan ianya dinyatakan sebagai etika virtues dalam penulisan Aristotle (384-322 s.m). Bagi Aristotle, virtues atau keperibadian mulia adalah sekumpulan konsep seperti keadilan, kemurahan hati, keberanian, kejujuran, kesabaran dan kebijaksanaan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan bermoral masa kini. Menurut Aristotle, terdapat dua jenis keperibadian mulia iaitu yang bersifat intelektual dan yang bersifat moral. Keperibadian mulia intelektual dikaitkan dengan kecemerlangan minda untuk memahami, menaakul dan membuat penilaian dengan baik. Manakala keperibadian mulia yang bersifat moral menekankan kepada tuntutan berkelakuan baik dengan menjalankan proses pengulangan dan pelaziman. Sebagai contoh, seorang insan yang mengamalkan sifat jujur akan cenderung menjadi insan yang jujur dalam hidupnya. Justeru, Aristotle menjelaskan bahawa keperibadian mulia adalah suatu kecenderungan untuk melakunya dengan sesuatu tujuan. Bagi beliau lagi, keperibadian mulia ini tidak dihasilkan secara semulajadi kerana sesorang individu itu tidak dikudratkan dengan sifat mulia atau jahat. Cara yang terbaik untuk memperolehi keperibadian mulia ialah melalui latihan dan mengamalkannya sehingga menjadi kebiasaan dan menyenangkan diri sendiri. Beberapa ciri-ciri dalam keperibadian mulia telah dikenalpasti. Antara ciriciri keperibadian mulia ialah:1. Semua keperibadian mulia diperolehi oleh seseorang melalui pengajaran dan pembelajaran atau latihan serta dijadikan amalan kehidupan seharian. Contohnya, seorang anak yang diberikan didikan tentang adab memberi salam dan menghormati orang tua, mereka akan sentiasa mengamalkan budaya dan sikap positif itu dalam kehidupan seharian mereka sehingga dewasa. 2. Keperibadian mulia adalah tabiat yang membawa maksud mereka adalah

kelakuan biasa yang ditetapkan dan ditonjolkan. Apabila tabiat dibentuk, sesuatu kecenderungan yang stabil wujud dalam individu dan ia boleh dipanggil sifatorang itu. Oleh itu, apa yang ditunjukkan oleh tabiat bukan satu kebetulan atau ketidaklaziman, tetapi adalah satu penjelasan tentang jenis manusia bagi seseorang individu. 3. Keperibadian mulia adalah sesuatu yang boleh diguna pakai. Ia membolehkan kita menetapkan bagaimana untuk berkelakuan dan bertindak dalam cara tertentu . Operasi ini boleh berlaku secara dalaman seperti aktiviti pemikiran tentang satu masalah matematik,atau secara luaran seperti kita memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan. 4. Keperibadian mulia adalah baik,ia berbeza dengan tabiat buruk dan perangai buruk atau jahat. Keperibadian mulia adalah sempurna,dan membenarkan kita bertindak dalam cara yang terbaik. Dengan perolehan keperibadian mulia,kita dapat membentuk kendiri insan yang baik, manakala perangai buruk atau jahat mempunyai kesan yang berlawanan, ia adalah destructive dalam kapasiti kita. Kritikan terhadap Teori Keperibadian Mulia i.Kebaikan Terdapat beberapa kritikan terhadap teori ini. Antara kebaikan teori ini ialah ianya mewujudkan insan yang mempunyai sifat-sifat baik dan terpuji seperti kejujuran, baik hati, amanah dan sifat-sifat terpuji yang lain. Teori Virtue Aristotle yang menyatakan keperibadian mulia yang mewujudkan insan seperti ini adalah hasil daripada pemerhatian dan pergaulan antara mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia. Wallace (1978) berpendapat bahawa keperibadian mulia memainkan pelbagai peranan yang tidak boleh diketepikan untuk kesejahteraan hidup manusia. Manakala Philip Foot (1978) pula menyatakan bahawa manusia tidak boleh hidup dengan baik tanpa keberanian,kesederhanaan dan kebijaksanaan kerana masyarakat tidak ada keadilan. Kebaikan seterusnya ialah teori ini dapat menyatukan taakulan dan emosi serta mengelakan berlakunya gejala sosial yang tidak sihat. Contohnya seseorang itu hanya akan meniru dan mencontohi

sesuatu tingkah laku yang apabila difikirkan akan mendatangkan kesan baik kepada dirinya. Sebelum meniru dan mengaplikasikan sesuatu tingkah laku, beliau akan memikirkan kesan baik dan buruknya terlebih dahulu. Walaupun individu tersebut mudah dan boleh dipengaruhi oleh sosial masyarakat, perkembangan ekonomi dan rakan sebaya, namun ketaakulan akan menyebabkan individu itu menilai dengan cara pemerhatian dan pergaulan dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia dan budi pekerti yang baik. ii. Kelemahan Teori ini mendapat kritikan kerana kurang pasti sama ada sifat-sifat mulia wujud secara semulajadi atau diperolehi melalui pengamalan dan pengalaman. Teori Virtue Aristotle yang menyatakan keperibadian mulia bukan sesuatu yang natural itu telah mendapat tentangan daripada golongan yang percaya kepada Tuhan. Mereka percaya bahawa insan seperti nabi dan rasul memiliki keperibadian mulia secara semulajadi kerana dianugerahkan Ilahi kepada mereka. Keperibadian mulia seseorang itu tidak semestinya melalui kecenderungan atau latihan kerana manusia mempunyai sifat naluri ingin tahu dan sifat meniru. Oleh itu, peribadi individu ini boleh dipengaruhi oleh social masyarakat, perkembangan ekonomi dan rakan sebayanya. Jelasnya, keperibadian mulia boleh diperolehi dengan memerhati dan bergaul rapat dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia dan berbudi pekerti yang baik. Selain daripada itu, kelemahan teori ini juga ialah kita tidak dapat mengetahui dengan lebih jelas siapakah yang sebenarnya mempunyai keperibadian mulia. Barnes (1979) pula mengkritik doktrin jalan tengah Aristotle kerana doktrin itu tidak mempunyai tenaga nasihat atau kekuatan untuk membuat sesuatu. Nasihat bertindak mengikut jalan tengah atau bertindak sederhana sama maksudnya bertindak seperti mana kamu patut bertindak. Bimbingan dan nasihat jalan tengah ini tidak memberi nasihat dan maklumat tentang kemungkinan atau cara yang dikatakan patut, sederhana atau baik apabila menghadapi desakan situasi moral. Ini menjadikan seseorang itu kabur dan ragu-ragu apabila membuat sesuatu keputusan.