Anda di halaman 1dari 16

PENGENALAN Kebanyakan orang ramai menganggap budaya atau kebudayaan itu adalah hanya meliputi unsur seni dan

mainan seperti wayang kulit, dondang saying, main gasing dan seumpamanya. Apa yang dimaksudkan dengan budaya dalam konteks itu adalah sebahagian daripada pengertian budaya yang sebenar. Budaya atau kebudayaan merupakan konsep yang meliputi satu ruang lingkup yang luas merangkumi keseluruhan cara hidup manusia itu sendiri. Pengertian umum yang mudah diberikan, budaya itu merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Di dalamnya terdapat perlakuan, pemikiran, idea, falsafah, dan hasil-hasil budaya kebendaan. Manusia dapat dibezakan daripada haiwan berdasarkan kepada kemampuan manusia melahirkan budayanya sedangkan haiwan tidak mempunyai budaya. Cara hidup manusia dalam menyesuaikan dengan keadaan alam sekeliling itu amat penting kerana ia mempengaruhi kelahiran budaya bagi sesuatu masyarakat. Kebudayaan pada dasarnya adalah cara hidup sesuatu kelompok manusia, tetapi apabila ia dilihat daripada segi tertentu dan diberikan makna yang tertentu maka ia menjadi persoalan yang boleh meruncingkan hidup manusia. Di negara kita contohnya,kebudayaan sering dijadikan symbol untuk mengembleng tenaga bagi menggerakkan sesuatu fahaman. Ada yang baik akibatnya dan ada pula yang membawa akibat yang buruk. Tanggapan yang baik cuba mengemukakan nilai-nilai yang luhur bagi meningkatkan kualiti hidup manusia kerana yakin bahawa dengan berbuat demikian hidup masyarakat akan lebih berpandu kepada susila dan hemah yang mulia. Tanggapan bahawa penerapan nilai Islam kononnya akan melenyapkan kebudayaan orang Islam adalah anggapan buruk yang akan timbul daripada pengamalan adat dan budaya yang pelbagai. Tanggapan seperti ini timbul daripada kejahilan tentang apa itu budaya.

KONSEP ADAT DAN BUDAYA Adat dan budaya Melayu tradisional Malaysia merupakan suatu amalan yang diamalkan oleh nenek moyang masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu dan ditinggalkan menjadi suatu warisan secara turun temurun. Walaubagaimanapun, adat yang diwarisi ini kadang kala menyalahi aqidah dan nilai-nilai Islam. Berbagai-bagai cara ahli kebudayaan memberikan pengertian tentang budaya. Pada umumnya kebudayaan dalam bahasa disebut culture iaitu berasal dari bahasa Latin yakni cultura. dalam bahasa Mandarin disebut Wen Hua dan Thaqafah dalam bahasa Arab. Sebahagian besar ahli kebudayaan menyatakan perkata budaya berasal daripada budi dan daya. Dua perkataan ini dirangkumkan menjadi budaya. Bu bermaksud asli, pertama, sejati dan dimuliakan. Daya pula membawa erti akal, bikinan dan ciptaan, Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga adat bermaksud peraturan yang diamalkan turuntemurun sejak dahulu kala dalam sesuatu masyarakat.Budaya pula diertikan sebagai peradaban, kemajuan akal fikiran, akal budi, cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. A. Aziz Deraman mengatakan pengetahuan, kepercayaan, kesenian, hukum, adat istiadat, moral yang terdapat pada anggota masyarakat dinamakan budaya. (Noriati A. Rashid, 2011) Manakala Haji Agus Salim berkata bahawa kebudayaan adalah kesatuan antara budi dan daya. Kedua-duanya membentuk kata yang sepadan. Budi mengandungi makna akal, fikiran, pengertian, faham dan perasaan. Daya pula membawa erti tenaga dan kesanggupan. Maka budaya bermaksud segala usaha untuk memperbaiki sesuatu demi mencapai kesempurnaan. Berdasarkan pengertian ini, maka dapatlah difahamkan bahawa budaya merangkumi segala hasil pemikiran, kepercayaan, dan peraturan manusia yang asli serta telah digunapakai sejak sekian lama sehingga memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat. Maka lahirlah pelbagai adat dan budaya seperti adat mendirikan rumah, adat pertabalan raja, adat perkahwinan, adat berkhatan dan sebagainya.

KEPELBAGAIAN ADAT DAN BUDAYA Masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada budaya. Setiap masyarakat mempunyai budayanya sendiri maka tidak hairanlah sesuatu budaya dikatakan cermin bagi sesebuah masyarakat. Pertumbuhan kebudayaan Melayu telah dimulai berabad-abad lamanya iaitu sejak zaman kegelapan bangsa Melayu. Di negara Malaysia, kepelbagaian adat dan budaya dapat dilihat dalam masyarakatnya yang berbilang bangsa. Kaum Melayu terkenal dengan kekayaan adat dan budaya yang dijunjung tinggi. Bermula dari golongan pembesar sehinggalah golongan orang awam. Antara adat yang melingkari kehidupan orang Melayu ialah adat pertabalan raja, adat mengadap raja, adat istiadat raja berangkat,dan adat istiadat raja mangkat. Adat bagi golongan bawahan pula ialah seperti adat bercukur, adat menjijak tanah, adat menindik telinga dan adat melenggang perut. Menurut pendapat Profesor Dr. Syed Hussein al-Attas, antara Islam dan kebudayaan Melayu ada tiga hubungan. Pertama, adanya hubungan perpaduan antara Islam dan kebudayaan Melayu seperti sifat amanah, jujur, berbudi bahasa. Kedua, adanya hubungan yang neutral dan yang tidak bertentangan dengan Islam dan yang ketiga ada pula unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam. Setiap adat dan peraturan itu mempunyai pertalian rapat dengan sistem nilai yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat. Konsep nilai yang tercipta dalam masyarakat Melayu bertujuan mengawal perlakuan anggota masyarakat demi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan anggota-anggotanya. Justeru, hal ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan perasaan saling menghormati antara satu sama lain.

ADAT MELENGGANG PERUT Adat melenggang perut adalah salah satu adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu terhadap wanita yang hamil. Adat ini juga dikenali sebagai mandi tian ataupun kirim perut bagi masyarakat Melayu di bahagian utara semenanjung. Pada zaman dahulu, melenggang perut adalah upacara wajib bagi ibu-ibu mengandung sulung. Namun, pada zaman ini ia hanya dijalankan oleh sebilangan daripada masyarakat Melayu. Upacara ini dilakukan terhadap wanita yang mengandung anak sulung dipercayai bagi memudahkan proses bersalin kelak.

Rajah ilustrasi melenggang perut

Pada zaman dahulu, adat ini dijalankan ke atas seseorang wanita hamil ketika kandungan berusia tujuh bulan. Tok bidan akan dipanggil untuk menjalankan tugasnya. Bahanbahan yang diperlukan untuk melaksanakan upacara ini ialah tujuh helai yang berbeza warna, segantang beras, sebiji kelapa, beberapa urat benang mentah, minyak kelapa atau minyak urut, sebatang damar, lilin, tepak sirih beserta pengeras sebagai upah (Raja Mukhtaruddin,1985). Tetapi tok bidan masa kini ada mengubah beberapa bahan mengikut tahap kemudahan bagi mendapatkannya. Sebagai contoh kain tujuh helai berbeza warna digantikan dengan kain batik sahaja (Halijah Mamat, 2013).

Rajah peralatan adat melenggang perut

Pada hari upacara ini dijalankan, wanita hamil itu akan dipakaikan persalinan yang cantik bagi meraikannya. Bidan yang ditempah akan mengendalikan upacara itu yang dihadiri oleh suami dan saudara terdekat wanita tersebut. Perkara pertama yang dilakukan oleh tok bidan ialah membentangkan tujuh helai kain yang berbeza warna secara melintang sehelai demi sehelai. Diatas hamparan inilah ibu yang hamil akan berbaring secara terlentang dan kepalanya menghadap kiblat. Kemudian tok bidan akan mengurut kaki dan tangannya menggunakan minyak kelapa. Ia bertujuan melancarkan peredaran darah dan melegakan wanita hamil itu. Ada juga bidan yang menggunakan minyak jagung dan minyak urut bagi proses mengurut (Halijah Mamat, 2013).

Selepas itu,kelapa yang sudah dikupas akan diguling-gulingkan di atas perut ibu yang hamil itu dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali. Perbuatan ini disertai jampi serapah sebagai doa yang dipohon kepada Allah s.w.t. semoga mendapat perlindungan dan keselamatan bagi kedua-dua ibu dan bayi yang akan dilahirkan. Pada pusingan yang terakhir, tok bidan akan membiarkan kelapa yang diguling itu bergolek dan jatuh sendiri. Jika mata kelapa menghala ke atas maka bayi di dalam kandungan adalah lelaki, jika sebaliknya maka bayi itu adalah perempuan. Selepas itu, bidan akan memegang satu hujung kain lapisan paling atas yang menjadi hamparan si ibu tadi dengan kedua-dua belah tangan lalu diangkat sedikit untuk dilengganglenggangkan badan si ibu tadi. Menurut Syed Alwi Sheikh Al-Hadi (1986), dari sinilah terbitnya nama upacara ini. Kemudian, setiap lapisan kain akan ditarik keluar daripada bawah badan wanita berkenaan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain. Lapisan kain yang paling bawah akan diberikan kepada bidan beserta beras, damar, tepak sirih dan pengeras. Perlakuan itu secara rasionalnya bertujuan untuk melonggarkan tulang pinggang dan membesarkan ruang tulang punggung supaya senang melahirkan anak. Selain itu, sedikit bacaan yasin dan doa selamat serta kenduri kecil-kecilan akan diadakan bagi mendoakan ibu dan bayi yang dikandungnya. Walaubagaimanapun, pelaksanaan adat ini agak berbeza di sesetengah tempat. Sebagai contoh, di Kedah mereka menggunakan tiga biji kelapa muda bewarna hijau untuk digolek diatas perut wanita hamil berkenaan (Raihana Sanusi,2009). Kelapa itu akan dikupas licin sebelum digunakan untuk upacara ini. Setelah itu, ia akan digunakan untuk memasak bagi kenduri sempena upacara tersebut. Bagi masyarakat Jawa pula, ia dijalankan bermula pada waktu petang sehingga malam. Pada sebelah petang, upacara mandi bunga diadakan dengan menggunakan tujuh jenis bunga yang berbeza. Ia dilakukan bagi membuang nasib buruk dan malang daripada si ibu dan bayi yang bakal lahir. Mandi bunga akan dilakukan oleh suami wanita berkenaan dan beberapa wanita yang telah bergelar ibu.

Rajah bunga-bunga untuk proses mandi bunga

Setelah itu, wanita hamil berkenaan akan didandan dihadapan cermin dengan harapan anak yang bakal dilahirkan memiliki rupa paras yang baik (Amran Kasimin, 1998). Suami pula akan ditugaskan untuk memecahkan sebiji kelapa. Sekiranya belahan yang terhasil adalah sama saiz bagi kedua-dua belah tempurung, maka dipercayai anak yang bakal lahir adalah perempuan. Sebaliknya belahan yang berat sebelah memberi petanda kelahiran bayi lelaki. Pada sebelah malam, kenduri besar-besaran berupa kenduri doa selamat diadakan dengan menjemput penduduk kampung. Biasanya kenduri diadakan pada hari Sabtu malam. Hal ini kerana dipercayai manusia mempunyai tenaga yang lebih pada waktu berkenaan. Justeru, adalah tidak memenatkan sekiranya majlis berlangsung sehingga lewat

malam.Pelbagai hidangan akan disediakan kepada tetamu seperti rojak, keladi rebus, ubi rebus, lepat, dan nasi beserta enam jenis lauk. Adat ini wujud kerana azam kita agar bayi dapat dilahirkan dengan selamat. Hakikatnya, doa perlu dipanjatkan kepada Allah s.w.t. supaya dipermudahkan segala urusan dan bukannya melalui upacara tersebut. Oleh kerana adat ini diwarisi sejak turun-temurun, maka sebilangan masyarakat hari ini masih lagi mengamalkannya.

Amalan melenggang perut tidak kira sama ada anak pertama atau seterusnya seperti yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat tidak wujud dalam Islam. Kepercayaan bahawa si ibu akan ditimpa musibah sekiranya tidak menjalani upacara ini adalah karut dan tidak berasas dan adalah lebih baik jika tidak dilakukan. Pada zaman moden hari ini adat ini semakin kurang diamalkan. Sebaliknya ramai yang mengamalkan baby shower iaitu amalan melenggang perut yang lebih moden diasimilasikan dari barat. Ia sebenarnya bertujuan meraikan bakal ibu berkenaan dan menggalakkan rakanrakan yang telah bergelar ibu untuk berkongsi maklumat dan pengalaman tentang hal-hal keibuan. Ia telah mendapat tempat dalam kalangan artis di negara ini seperti Erra Fazira dan Dynas Mokhtar (Utusan Malaysia,2011) . Demikianlah adat melenggang perut yang menjadi salah satu budaya dalam kehidupan orang Melayu. Perbuatan yang dikira agak pelik itu memberi makna yang penting buat mereka. Walaupun berpegang kepada agama, dan adat yang sama namun cara pelaksanaannya adalah berbeza di setiap tempat. Sebagai golongan yang terpelajar, kita tidak seharusnya terus melupakan adat ini tetapi kita perlu mengkaji kesahihannya dari sudut agama Islam dan juga sains.

PENGARUH ADAT MELENGGANG PERUT DALAM KEHIDUPAN Pengaruh kebudayaan Hindu masih terdapat dalam beberapa aspek kehidupan masyarakat Melayu seperti adat istiadat, kepercayaan dan kebiasaan hidup. Begitu juga dengan adat melenggang perut yang telah diketengahkan. Memang tidak mudah mengikis sesuatu kepercayaan yang telah menjadi pegangan hidup sesuatu masyarakat. Meskipun agama Islam telah dianuti oleh orang Melayu sejak kurun kelima belas Masihi, namun masih ada sebahagian masyarakat kita belum dapat melepaskan dirinya daripada kepercayaan yang diwarisi daripada agama Hindu. Menurut kajian ilmu kebudayaan, bangsa Munda ialah bangsa yang mula-mula menduduki India yang merupakan pecahan daripada keturunan puak Indonesia. Bangsa Munda adalah dari keturunan yang sama dengan bangsa Melayu-Proto dan tidak hairanlah wujud persamaan kebudayaan bangsa Munda dengan orang Melayu (Abdul Samad b. Ahmad,1990). Dalam adat melenggang perut, hanya tok bidan yang diberi kepercyaan untuk melaksanakan upacara itu yang dimulai dengan jampi serapah. Hal ini kerana tok bidan dipercayai mempunyai keramat dan kehebatan seumpama kasta Brahma dalam masyarakat India. Adat ini bertujuan memudahkan bakal ibu melalui proses bersalin selain mengelak gangguan jin atau syaitan. Berdasarkan kajian yang dibuat penyelidik dari USM, Omar Yusoff, upacara melenggang perut biasanya dibuat pada 19, 21 atau 29 hari bulan mengikut kalendar Islam kerana pada ketika itu bulan sedang turun (Raja Mukhtaruddin,1985). Jantina anak dikatakan dapat ditentukan oleh keadaan kelapa yang digolek di atas perut selepas tujuh pusingan. Jika bahagian atas kelapa menghala ke atas, dipercayai pasangan itu akan mendapat anak lelaki dan begitulah sebaliknya. Proses melenggang perut di sesetengah negeri hanya melibatkan proses mengurut ibu yang hamil. Hal ini bagi memastikan kandungan mereka berada pada kedudukannya, manakala ada juga yang meneruskan tradisi penggunaan buah kelapa bagi mengenal pasti jantina bayi. Percampuran antara proses mengurut dan penggunaan buah kelapa dalam penentuan jantina bayi ini menyebabkan sesetengah pihak melihatnya sebagai adat yang terpesong daripada kepercayaan agama Islam dan menyebabkan syirik. Perkara ini demikian kerana amalan melenggang perut tidak tercatat dalam nas-nas Al-Quran mahupun hadith.

Adat melenggang perut yang diamalkan sebenarnya bertujuan memastikan kedudukan bayi dalam kandungan adalah betul. Perkara yang menjadikan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam ialah apabila kepercayaan khurafat dikaitkan dengan keselamatan bayi dalam kandungan. Oleh hal yang demikian, adat melenggang perut ini kurang mendapat tempat dalam kalangan wanita-wanita Muslimah moden masa kini kerana beranggapan ia merupakan kepercayaan karut selain bimbang akan membahayakan kandungan. Pemeriksaan imbasan atau scanning yang dilakukan terhadap ibu yang mengandung juga mempunyai tujuan yang sama dengan adat melenggang perut. Selain dari memastikan kedudukan bayi dalam kandungan, scanning juga dikatakan dapat membantu mengenalpasti jantina bayi itu. Bayi yang songsang boleh membahayakan kedua-dua ibu dan bayi tersebut. Justeru, Islam tidak melarang pemeriksaan imbasan khusus berkenaan kedudukan bayi dalam kandungan. Bahkan pemeriksaan ini dapat membantu memudahkan si ibu apabila tiba waktu kelahiran. Bagi Prof Dr Hashim Awang, Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya,beliau berpendapat bahawa adat ini merupakan keperluan sosial kepada ibu yang hamil bagi menenangkannya dan membuatkan diri mereka berasa diberi perhatian oleh seluruh ahli keluarga walaupun dalam keadaan sedemikian. Ia juga merupakan persediaan awal untuk menerima orang baru bagi sesebuah keluarga.

10

KESAN ADAT MELENGGANG PERUT DALAM KEHIDUPAN

AQIDAH

PERUBATAN

MASYARAKAT

KESAN

Kesan adat melenggang perut dalam kehidupan

Dari segi perubatan, doktor pakar sakit puan tidak membenarkan para bakal ibu menjalani upacara melenggang perut kerana ia boleh membahayakan kandungan disebabkan tok bidan tidak mempunyai panduan atau rujukan dalam membuat urutan yang dipercayai untuk memperbetulkan kedudukan bayi. Seorang pesakit di Hospital Sabah hampir menemui ajal disebabkan amalan melenggang perut yang diamalkan (Farah, 2010). Menurut pegawai perubatan senior di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Haji Ahmad, perbuatan mengurut pada abdomen wanita yang sedang hamil tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa ilmu dan kemahiran yang cukup. Hal ini demikian kerana ia mendatangkan risiko kepada ibu dan bayi seperti masalah pendarahan yang serius dan boleh mengancam nyawa bayi.

11

Selain itu, tindakan mengurut abdomen wanita hamil seharusnya dilakukan oleh golongan yang bertauliah selepas menjalani ujian imbasan ultrasound bagi membetulkan kedudukan bayi pada align center atau pintu rahim. Dengan menggunakan pemeriksaan imbasan, doktor dapat mengetahui keadaan dan degupan jantung bayi sebelum menentukan proses rawatan yang perlu dijalankan ke atas seseorang wanita. Dalam perubatan moden, kaedah yang disebut sebagai external cephalic version digunakan untuk mengubah kedudukan bayi yang songsang. Teknik ini dilakukan semasa kandungan berusia 36 minggu. Pemantauan yang wajar akan diberikan ke atas bakal ibu berkenaan. Sebaliknya tok bidan tidak melakukan pemeriksaan sebegini malah urutan dan tekanan menggunakan buah kelapa yang dibuat akan turut dirasai oleh bayi. Dari segi anatomi dan fisiologi, bayi mempunyai organ yang lembut dan tidak matang. Maka, amalan melenggang perut cenderung membahayakan dan mengancam nyawa bayi akibat kerosakan organ dalaman seperti hempedu, paru-paru dan tempurung kepala. Ia juga boleh menyebabkan tali pusat tersimpul pada leher bayi akibat urutan yang tidak betul. Tali pusat yang tersimpul menyebabkan bayi tidak mendapat oksigen dan nutrien dan mengakibatkan kematian sewaktu dalam kandungan. Kebiasaannya menurut Dr Zubaidi, ibu hanya mengetahui hal ini apabila merasakan bayi dalam kandungan tidak bergerak dan perkara ini sangat menyedihkan. Bagi pengamal perubatan moden, hal sedemikian harus dielakkan supaya setiap pasangan yang berkahwin dapat membina keluarga yang bahagia. Ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi mencapai bilangan penduduk sebanyak 70 juta orang pada tahun 2020. Menurut Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO), berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan minggu pertama kehidupan (Utusan Malaysia,2003). Oleh yang demikian, kesan amalan melenggang perut tidak boleh dipandang enteng kerana ia mendatangkan impak bukan sahaja kepada keluarga malah negara. Dari segi aqidah, kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana pengamalnya tidak percaya sepenuhnya kepada kuasa Allah, malah mereka mempercayai ada kuasa lain yang boleh memudaratkan mereka, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah.

12

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zainab Ismail, menasihatkan bakal ibu untuk tidak meneruskan adat melenggang perut kerana ia boleh menjurus kepada khurafat dan syirik menyebabkan jatuhnya hukum haram. Khurafat ialah kepercayaan kart yang dianggap ada hubunan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat. Bagaimanapun, sekiranya ia sekadar adat bagi melancarkan proses kelahiran bayi, ia adalah dibenarkan dalam Islam. Menurut beliau, menjalankan adat melenggang perut sebagai amalan untuk

menenangkan ibu yang hamil dan mengetahui jantina anak dalam kandungan adalah tidak masuk akal kerana masih banyak cara yang boleh dilakukan oleh ibu hamil pada zaman yang serba canggih ini. Masyarakat dulu menggunakan kaedah ini bagi membantu bakal ibu mengetahui jantina anak mereka kerana ketika itu teknologi masih belum berkembang. Kini, ultrasound dapat membantu ibu mengetahui jantina anak dengan lebih tepat tanpa membabitkan akidah. Mempercayai bahawa perkara khurafat yang boleh memberi manfaat atau mudarat kepada individu dan masyarakat adalah salah dari segi tauhid. Melalui niat iaitu meyakini dan iktiqad dalam hati tentang perkara yang bertentangan dengan Islam seperti yakin bahawa terdapat kuasa lain yang boleh menyembuhkan atau memberi keselamatan dan melakukan perbuatan untuk menghormati dan menyembah mana-mana makhluk menyebabkan terbatal iman dan hanyalah perbuatan sia-sia kerana ia membazirkan wang, masa dan tenaga. Bahkan golongan yang berbuat demikian adalah mereka yang zalim sebagaimana tercatat dalam firman Allah yang berbunyi:

Maksudnya : Dan janganlah engkau(Muhammad) menyembah selain Allah yang tidak memberi manfaat & tidak pula memberi mudhorat kepada engkau, jika engkau berbuat demikian, sesungguhnya engkau termasuk golongan orang orang yang zalim.

13

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Barang siapa datang ke tempat tukang tenung kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.s.a.w." ( Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik dan kuat)

Barang siapa datang ke tempat juru ramal ( tukang tenung ), kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari". ( Riwayat Muslim ).

Berdasarkan maksud hadith ini jelaslah kepada kita bahawa perbuatan yang menyekutukan Allah adalah syirik dan hukumnya adalah haram. Melakukannya dengan keyakinan ada kuasa lain yang selain Allah hanya akan merosakkan aqidah. Dosa kerana syirik atau kafir kepada Allah adalah dosa yang tidak diampunkan dan dosa yang amat besar di sisi Allah. Selain itu, pengamalan adat resam sebegini boleh menyebabkan perselisihan faham dan mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat. Ia juga menyekat kebebasan masyarakat untuk berfikir lebih positif dan mendalam tentang sesuatu perkara. Masyarakat seolah-olah terkongkong dan dibatasi dengan adat yang diamalkan menjadikan pemikiran mereka terhadap perkara tersebut cetek. Hal ini akan merugikan masyarakat itu sendiri kerana sebenarnya banyak cabang ilmu yang boleh mereka kuasai. Amalan melenggang perut ini jika diamalkan mengikut tradisi nenek moyang kita hanya akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat. Untuk melahirkan masyarakat yang berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat, pastilah keluarga yang harmoni dan terdidik dengan ilmu agama yang cukup perlu dibentuk. Pembentukan keluarga yang cemerlang akhlak dan aqidahnya bermula dari ibu bapa bahkan nenek moyangnya.

14

Maka, amalan-amalan yang dituntut syariah perlu dititikberatkan dan diberi penekanan sejak sebelum kelahiran seseorang generasi baru. Amalan seperti berzikir, berselawat dan membaca Al-quran boleh mententeramkan perasaan seseorang ibu yang sedang hamil sekaligus mendidik bayi di dalam kandungannya. Dengan keyakinan yang teguh kepada Allah, sudah pasti si ibu dan bayi akan sentiasa mendapat perlindungan daripada para malaikat. Tidak perlu lagi kepada upacara melenggang perut yang seumpama keraian tetapi memesongkan aqidah. Kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat adalah tidak sesuai digunakan dalam adat melenggang perut kerana anggota masyarakat secara keseluruhannya akan terbabit dalam mempertahankan adat sedangkan membiarkan anak-anak dididik dengan ilmu ukhrawi yang cetek. Walaupun terdapat unsur-unsur positif dalam amalan ini iaitu memberi jamuan kepada tetamu yang hadir dan dapat mengeratkan silaturahim, namun turut terselit kepercayaan karut marut dalam upacara ini. Jadi, secara tidak langsung kekhurafatan itu tersebar daripada sesebuah keluarga berkenaan kepada ahli masyarakatnya. Hal ini adalah perkara yang harus dibendung dan diambil berat oleh setiap anggota masyarakat. Justeru,amalan melenggang perut sebaiknya diubahsuai dengan amalan yang lebih bercorak keagamaan seperti solat hajat dan seumpamanya. Hal ini bagi memastikan masyarakat memahami perbezaan di antara upacara yang haram dan sebaliknya. Ia sekali gus memastikan proses kelahiran seseorang bayi lebih berkat.

15

PENUTUP Dalam sejarah perkembangan kebudayaan Melayu, kemasukan agama Islam telah

memulakan satu zaman yang merubah corak kebudayaan sedia ada. Islam telah memberi petunjuk dan cahaya hidup yang jelas dalam kehidupan umatnya. Hukum-hukum Islam dan cara hidup baru telah mengubah bentuk atau aliran masyarakat serta corak fikiran orang Melayu. Walaubagaimanapun sifat Islam itu sendiri tidak meruntuhkan daya dan budi yang dipusakai oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka selagi bentuk dan corak budaya lama itu tidak bertentangan dengan agama Islam. Justeru, sebagai umat Islam yang celik agama, celik ilmu dan celik teknologi seharusnya kita tahu membezakan amalan dan adat yang dibolehkan dalam Islam. Hal ini bagi memastikan amalan yang dilakukan mendapat keberkatan sekaligus menjadikan hidup lebih bermanfaat. Dengan memiliki ilmu dalam pelbagai bidang, masyarakat Melayu terutamanya akan dapat mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu amalan menerusi perspektif berbeza. Namun, sebagai generasi baru kita tidak wajar terus melupakan sesuatu adat yang telah sekian lama menjadi warisan nenek moyang. Walaupun sesuatu adat atau amalan itu sudah tidak relevan diamalkan kerana bercanggah dengan hukum agama ataupun disebabkan kemajuan teknologi sudah mampu menjangkauinya, kita tetap perlu menghargai dan berbangga dengan kepelbagaian adat yang dimiliki. Setidak-tidaknya, pengetahuan asas mengenai beberapa perkara ada di hujung jari sebagai ilmu yang menjadi aset dan bekalan jati diri kepada seseorang selaras dengan kata-kata pujangga takkan Melayu hilang di dunia.

16

Anda mungkin juga menyukai