Anda di halaman 1dari 16

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaranjaguh kampung, ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuanpersatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinyasinar di hujung terowong dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara, Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian

pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau sparing partner yang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usaha serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negara dapat diimplementasikan.

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA


Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar

membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya bed story sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat

pilihan untuk membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasajauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk negara pembaca teras negara maju. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan Membaca Jambatan Ilmu dan Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PUISI TRADISIONAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT


Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang bergerak seiring dengan arus globalisasi yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan perubahan besar dalam masyarakat. Rentetan dengan perkembangan tersebut, masyarakat hari ini lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada komunikasi serta cara berinteraksi dalam masyarakat. Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan pelbagai puisi tradisional yang merupakan warisan pusaka masyarakat silam. Sebagi contoh, amalan berpantun mula dianggap remeh, dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik lagi efektif bagi mempopularkan puisi tradisional bersesuaian dengan kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan puisi tradisional patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan genre tersebut tidak terkubur begitu sahaja.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan dan mempopularkan puisi tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan puisi tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka boleh membelikan anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun melalui program tertentu seperti Hari Keluarga bagi menghidupkan lagi budaya berpantun dalam kehidupan harian. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk cuba mencipta pantun atau melafazkan pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan puisi tradisional dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi penekanan kepada pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta berseloka. Setelah mengetahui secara mendalam tentang pelbagai puisi tradisional, pelajar akan lebih rasa berminat untuk mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam pelbagai puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre tersebut di Malaysia daripada membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan puisi tradisional di negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi tradisional, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan memelihara puisi tradisional kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair, gurindam dan seloka. Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti puisi tradisional semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui ASEAN merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana terdapat banyak persamaan budaya dalam kalangan penduduk negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh dikongsi bersama. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang datang ke Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang puisi tradisional. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan

rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih memiliki pelbagai puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini penting agar puisi tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis puisi tradisional yang penuh keunikan. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih Pulang ke Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan pantun.Terbukti di sini, penganjuran pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk puisi tradisional lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang begitu tinggi nilainya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu, setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan mempunyai semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL


Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak watan berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun

sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan rakanrakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukius poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan

pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


Teruja kenari di tepi pulasan, Pegun nak dara gemersik suara: Remaja kini tinggi wawasan, Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur,berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.

Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi. Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging. Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan, bak kata Adelucia Longbotton, satu pintu akan tertutup, pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.

Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.

Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.

PERANAN KELUARGA DALAM MENGATASI MASALAH PERLUMBAAN HARAM DALAM KALANGAN REMAJA/MAT REMPIT
Mat Rempit merupakan mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram di jalan-jalan raya dengan menunggang motosikal. Kebanyakan mereka berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sesetengah daripada mereka masih berada di alam persekolahan. Mereka gemar menunggang motosikal secara sendirian dan ada juga yang melakukannya secara berkumpulan. Terdapat sesetengah daripada mereka yang tidak memiliki lesen memandu. Mereka menjadikan jalan raya sebagai gelanggang tempat berlumba motosikal. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini sangat membahayakan pengguna-pengguna jalan raya. Oleh itu, keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram ini.

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan memberikan didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana semua agama seperti Islam, Buddha, Keristian dan Hindu meminta penganutnya sentiasa melakukan kebaikan. Menurut ajaran Islam, setiap perbuatan yang baik itu akan dibalas dengan kebaikan, iaitu diberikan pahala, manakala perbuatan yang jahat pula akan dibalas dengan kejahatan juga, iaitu dosa. Dengan ajaran yang demikian, anak-anak remaja tidak akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajak mereka melibatkan diri dengan perlumbaan haram. Natijahnya, ajaran agama merupakan senjata yang paling ampuh untuk mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Antara lain, ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu tentang rakan anak-anak dan tempat mereka berada. Anak-anak tidak seharusnya diberikan keizinan untuk keluar rumah tanpa sebarang tujuan. Hal ini demikian kerana mereka selalu berlumba haram pada malam minggu atau cuti umum. Jika ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah sesuka hati, mereka boleh terlibat dengan perlumbaan haram. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui tempat anak-anak mereka pergi dan kawan-kawan mereka. Lebih jauh lagi, ibu bapa juga hendaklah mengenali rakan anak-anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga tidak sewajarnya membenarkan anak-anak di bawah umur menunggung motosikal. Demikian juga halnya dengan anak-anak yang tidak memiliki lesen memandu, mereka hendaklah dilarang sama sekali untuk menunggang motosikal. Perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ditahan atau ditangkap oleh pihak polis atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, mereka boleh didenda. Sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya, kejadian tersebut akan mendatangkan kesusahan kepada mereka, termasuk juga pihak ibu bapa. Masalah yang dialami oleh ibu bapa akan bertimpa-timpa, bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap ahli keluarga hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perasaan dan nilai kasih sayang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Perasaan tersebut boleh menyebabkan setiap ahli keluarga merasakan diri masing-masing amat dihargai. Perkara yang lebih penting lagi ialah kasih sayang tersebut dapat mengelakkan anak-anak remaja daripada terlibat dengan perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, anak-anak akan berasa disayangi dan tidak dibenci oleh ahli keluarga masingmasing. Mereka akan berasa bahagia kerana keluarga memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, bertepatan dengan kata peribahasa bagai menatang minyak yang penuh.

Dari sudut yang lain pula, abang dan kakak mestilah membantu mengawasi tingkah laku adik-adik mereka. Abang dan kakak perlu menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa. Jika ada perkara yang negatif berlaku pada adik-beradik, abang dan kakak hendaklah mengambil tahu dan menasihati mereka. Abang dan kakak juga tidak sewajarnya merahsiakan perkara yang negatif tersebut daripada pengetahuan ibu bapa. Dalam hal ini, mereka hendaklah berkongsi masalah dengan ibu bapa, termasuklah penglibatan adik-adik mereka dengan masalah perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, masalah perlumbaan motosikal haram dalam kalangan remaja dapat diatasi.

Kesimpulannya, peranan keluarga sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan anak-anak muda. Anak-anak hendaklah mendengar nasihat ibu bapa supaya mereka tidak terlibat dengan perlumbaan haram. Orang yang berlumba haram, banyak yang cedera parah dan meninggal dunia. Oleh itu, kita hendaklah bertindak mengatasi masalah ini, seperti yang terungkap dalam peribahasa cegah sebelum parah.

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK
Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara gergasi di pentas antarabangsa. Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang berdaulat ini. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.

Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium. Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anakanak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Salah satu tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah. Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang pernah menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus. Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan peribahasa, Bapa Borek, Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Kita boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang. Ibu bapa perlu menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah. Tegasnya, peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anakanak. Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri.

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK BUDAYA ILMU DALAM DIRI ANAK-ANAK


Budaya ilmu sangat penting kepada masyarakat di negara kita. Hal ini kerana budaya ilmu dapat memberi sumbangan kepada semua pihak. Sebagai contoh, budaya ilmu dapat menjadikan seseorang yang bijak dan dapat memajukan negara. Sekiranya budaya ilmu itu tidak diamalkan,masyarakat tidak dapat melahirkan seorang pemimpin. Oleh itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak agar mengamalkan budaya ilmu.

Peranan yang pertama ialah ibu bapa hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak akan menjadikan ibu bapa sebagai idola. Sekiranya ibu bapa membaca buku bersama-sama anak-anak, mereka dapat meminati budaya ilmu.Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadi idola kepada anak-anak.

Peranan yang kedua ialah ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk menyertai lawatan sambil belajar.Hal ini kerana, ilmu yang diperoleh melalui pemerhatian dan pengalaman akan diingati sampai bila-bila. Selain itu, mereka akan mendapat pengalaman. Contohnya, dengan mengikuti lawatan ke universiti, mereka akan dapat pengetahuan dan menghilangkan tekanan sewaktu belajar.sekiranya mereka tidak mengikuti lawatan ini, mereka dapat ilmu dan pengalaman. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk mengikuti lawatan sambil belajar.

Peranan yang ketiga ialah ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak untuk menjawab latihan kerja sekolah dan untuk selesaikan masalah. Hal ini kerana, ibu bapa lebih mengetahui dan mempunyai banyak ilmu.selain itu, keputusan peperiksaan anakanak dapat dibaiki. Contohnya, ibu bapa hendaklah membantu anak-anak ketika mereka membuat kerja rumah. Sekiranya ibu bapa tidak menolong, anak-anak akan terbiar dan tidak dapat menyiapkan kerja rumah yang diberikan. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak dalam menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik anak-anak agar mereka suka akan budaya ilmu. Bak kata peribahasa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.Oleh itu, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan budaya ilmu supaya mereka cemerlang, gemilang dan terbilang.

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG


Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu,

membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan ahli masyarakat.

Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari kasih sayang di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.

Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling . Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)


Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang mereka alami ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas amat wajar diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak menganggap OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masingmasing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN KEPADA MASYARAKAT


Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecahbelah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat . SloganNegara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa. Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan

masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.