Anda di halaman 1dari 3

Nur Amalina binti Mahiji 910529-13-5582 Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya diberi peluang untuk mengikuti

Perkhemahan Kursus Asas Kepimpinan PPIM yang telah dilaksanakan di Tapak Perkhemahan IPG Kampus Sarawak, Miri pada 16 19 Oktober 2013 yang lepas. Sebenarnya saya sentiasa menanti-nantikan perkhemahan ini sepanjang semester selepas saya mengikuti perkhemahan BIG pada semester yang lalu kerana saya percaya bahawa ia akan memberikan satu pengalaman yang luar biasa dan menarik bagi saya. Saya berasa begitu bersyukur dan sangat gembira selepas menjalankan perkhemahan ini. Saya amat bertuah kerana perkhemahan ini telah banyak memberi saya peluang untuk menilai keupayaan diri saya dari segi persediaan untuk menjadi seorang guru yang proaktif, fleksibel, dan sentiasa berfikiran terbuka dan positif di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri. Pertama sekali, saya sedar bahawa dalam melaksanakan perkhemahan ini saya menyedari erti kehidupan yang sebenarnya atau realiti hidup. Saya dapat melihat diri saya dalam setiap aktiviti yang dijalankan itu dengan lebih baik lalu melahirkan satu pandangan yang positif tentang erti kehidupan yang hakiki dan bukannya sekadar seperti katak di bawah tempurung sahaja. Interaksi bersama pensyarah, jurulatih, kawan-kawan dan masyarakat sekitar aktiviti perkhemahan banyak mengajar saya erti kehidupan. Maka, pada pandangan saya, semakin banyak aktiviti sebegini dilakukan semakin luaslah pandangan hidup seseorang itu kelak. Bagi perkhemahan pada kali ini, pelbagai aktiviti dan slot diadakan seperti taklimat membina khemah, gajet ikatan dan simpulan, ikhtiar hidup masakan rimba, pertolongan cemas, khidmat komuniti, kembara aktiviti lasak dan akhir sekali Pertandingan Persembahan Kebudayaan. Mengikut tentatif program, pada mulanya kami sepatutnya mengadakan pertandingan gubahan pada hari ketiga perkhemahan. Namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan pertandingan tersebut terpaksa dibatalkan dan kami memperbaiki gajet dan bergotong-royong mengemas kawasan sekitar tapak perkhemahan. Aktiviti kami juga tidak terhad dalam kawasan

tapak perkhemahan bahkan kami sempat mengambil peluang melakukan aktiviti memanah bersama-sama dengan jurulatih, Pn. Ainah Julhee di Merdeka Mall Miri. Selain itu, seperti kebiasaan rutin perkhemahan, kami telah membahagikan tugasan sesama ahli PPIM. Semasa menjalankan tugas, kami sentiasa membantu dan menolong antara satu sama lain demi memastikan kerja kami dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan. Saya sedar bahawa kerjasama dan toleransi sesama rakan sebaya adalah sangat penting bagi mewujudkan persekitaran dan suasana kerja yang selesa dan kondusif. Ia juga penting bagi memastikan sebarang pertelingkahan dan persengketaan dapat dielakkan bagi melahirkan persekitaran yang sejahtera dan harmoni. Kesannya, kami berjaya menyiapkan segala tugas yang diamanahkan kepada kami dalam keadaan suasana yang riang dan gembira. Jadi, jelaslah di sini bahawa program perkhemahan ini secara langsung akan dapat merapatkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli PPIM dan menyebabkan ikatan persahabatan kami menjadi lebih akrab dan kukuh. Selain itu, saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan pensyarah pembimbing terutamanya Puan Ainah Julhee, En. Oliver dan En. Zainuddin yang sentiasa bersikap ambil berat dan sentiasa memberi tunjuk ajar serta membantu kami dalam perkhemahan ini. Pada perkhemahan tersebut, kami telah berusaha membuat gajet dan mendirikan khemah. Walaupun kami semua perempuan, namun berkat kerjasama dan komitmen rakan-rakan, kami berjaya menghasilkan gajet yang mampu digunakan sehingga ke hari ini. Bahkan, gajet tempat makan kami sering didatangi pengunjung daripada unit beruniform yang lain. Saya juga berterima kasih kepada Kadet Remaja Sekolah yang turut menghulurkan bantuan ketika kami mendirikan khemah dan membuat gajet. Di samping itu, saya juga telah mendapat satu pengajaran yang sangat bermakna dan penting melalui perkhemahan ini, iaitu bersosial dengan orang lain akan memudahkan kita dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana kita sebagai manusia tidak dapat hidup tanpa kawan, memandangkan manusia merupakan golongan yang hidup secara berkumpulan, berorganisasi, dan bersosial. Dengan kata lain, kita perlu berinteraksi dengan orang lain. Dengan cara komunikasi yang sesuai, kita akan

mendapat banyak kawan yang dapat berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah kita. Dengan mengambil contoh perkhemahan pada kali ini, saya berpeluang untuk berinteraksi dan berbual-bual dengan ahli daripada persatuan beruniform yang lain. Saya juga percaya, peluang dan pengalaman ini mampu membantu saya apabila menjadi seorang guru kelak. Jadi ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan ini. Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi pasti akan saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih serba boleh. Diharapkan agar aktiviti seperti ini dijalankan pada masa yang akan datang. Secara keseluruhannya, perkhemahan ini dijalankan dengan lancar dan juga telah menepati matlamatnya untuk membentuk insan guru yang sempurna. Ini merupakan kaedah yang baik untuk membentuk insan guru yang berakhlak mulia, mempunyai semangat juang yang tinggi, dapat menyesuaikan diri dalam apa-apa jua keadaan, dan juga dapat mengatasi sebarang cabaran atau rintangan, lantas melahirkan guru yang seimbang. Program ini juga akan dapat memberi pendedahan kepada guru pelatih agar sentiasa bersedia untuk mendidik anak bangsa walau di mana mereka akan ditempatkan kelak. Bukan itu sahaja, diharapkan program ini turut akan menyediakan mental dan rohani guru pelatih agar mereka akan bersedia untuk berkhidmat dan berbakti kepada negara. Akhir kata, saya berasa seronok dan bersemangat selepas menyertai perkhemahan ini.