Anda di halaman 1dari 2

PSS 3107 ISL M4

Dimensi Moral
Insan bermoral juga adalah lahir daripada amalan nilai murni berasaskan kepada dimensi dan pegangan prinsip moralnya. Kekuatan untuk mengamal dan mempertahankan prinsip moral yang selari dengan peraturan masyarakat menjadi faktor utama dalam melahirkan insan bermoral. Ketekalan moral menguatkan pegangan aku tetap aku walau dalam apa keadaan dan di mana seseorang itu berada. Insan yang bermoral meliputi tiga dimensi iaitu penaakulan, emosi dan tingkahlaku moral.

Penaakulan nilai moral dalam pendidikan moral menjadi asas bagaimana seseorang individu menterjemahkan amalan nilai-nilai murni di dalam kehidupan sehariannya. Melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni yang diperoleh dalam pendidikan moral, sama ada secara formal atau tidak, akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang bermoral tinggi. Amalan nilai murni suatu masyarakat itu bermula dari diri individu itu sendiri. Dengan perkataan lain, penaakulan moral bagi seseorang individu itu adalah berdasarkan kepada pemikiran yang bebas dan rasional yang mana penekanan utamanya ialah memahami tentang nilai-nilai moral dan bertindak atau menunjukkan tingkah laku yang berasaskan nilainilai murni yang diterima dalam sesebuah masyarakat. Contohnya dengan memahami nilai rajin, bantu-membantu, baik hati dan semangat bermasyarakat, maka individu itu menyertai aktiviti gotong-royong (ini adalah penakulan moral induksi). Aktiviti seperti gotong-royong dapat memperlihatkan nilai yang diamalkan individu yang menyertainya iaitu nilai rajin, bantu-membantu, baik hati dan semangat bermasyarakat (ini adalah penaakulan moral deduksi).

Perasaan moral atau emosi moral adalah berkaitan dengan emosi yang menunjukkan kehalusan perasaan individu yang mengandungi sentimen, simpati, empati, murah hati, motivasi dan sebagainya. Dalam amalan seharian perasaan moral ini, ianya melibatkan kepentingan harga diri (self esteem), kepentingan kepedulian, kawalan diri, menyayangi dan disayangi yang melibatkan hati nurani. Perasaan moral akan menjadikan diri individu bertindak secara positif sekiranya mengamalkan emosi yang positif dan dapat mengawal emosi yang negatif. Dengan lain perkataan mendahulukan fikiran daripada perasaan.

Dimensi moral seterusnya dikenali sebagai perlakuan moral. Ia bermaksud tingkah laku dan tindakan seseorang individu terhadap tindakan dan keputusan yang ditunjukkan dengan rasa penuh tanggungjawab berdasarkan kepada penaakulan dan emosi moralnya. Tingkah laku ini berkait rapat dengan ketekalan diri, kekuatan jati diri, dan kecekapan membuat keputusan dengan mengamalkan keadilan dan rasional. Anda perlu tahu bahawa sebenarnya emosi dan penaakulan moral adalah sama penting dari segi perlakuan moral.

Tingkah laku moral adalah dimensi moral yang menterjemahkan penaakulan dan emosi moral. Tingkah laku yang baik dan buruk adalah hasil daripada bagaimana seseorang itu menaakul dan menggunakan emosi moral dalam tingkah lakunya. Sebagai contohnya, seseorang yang membantu orang lain dalam kesusahan seperti ditimpa kemalangan jalan raya adalah hasil daripada pemikiran baik hati iaitu kita mesti membantu orang dalam kesusahan. Di samping itu, emosi pula menyatakan rasa empati dan belas kasihan kepada

PSS 3107 ISL M4


orang yang dalam kesusahan. Sebenarnya ketiga-tiga dimensi moral ini adalah sama penting dalam penghayatan dan amalan dari segi moral.

Kupperman (1983) dalam Modul OUM HBME3103, melaporkan bahawa orang yang membuat sesuatu yang tidak bermoral, tidak semestinya lebih bodoh atau lebih pandai berbanding dengan orang yang biasa. Bagaimanapun, individu yang tidak bermoral ini sentiasa tidak sensitif terhadap kesengsaraan mangsanya kerana kesukaran untuknya memperoleh perasaan moral. Apabila seseorang individu dapat menaakul secara rasional dan bebas, perlakuan individu dalam bentuk tingkah laku dan tindakan akan terhasil. Perlakuan ini akan dipengaruhi oleh emosi dan perasaan individu tersebut. Pada masa yang sama, perlakuan ini adalah bersifat moral, bukan hanya mengikut perintah atau arahan daripada penaakulannya serta yakin penaakulan ini mudah dikawal oleh autoriti luaran. Sebaliknya penaakulan tanpa rasional dan tidak bebas, serta tidak disertai oleh emosi atau perasaan moral, akan menghasilkan perlakuan individu yang tidak berautonomi dan mungkin tidak bermoral. Ini menyebabkan tindakan atau tingkah lakunya telah bertentangan dengan keluhuran hatinya. Rumusannya, insan yang bermoral mengembangkan penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral dengan seimbang. Dengan lain perkataan, ketiga-tiga dimensi ini mesti saling berinteraksi atau mempengaruhi antara satu sama lain untuk membina satu insan yang bermoral.

http://cikguskskr.blogspot.com/2012/08/pengenalanrakyat-malaysia-memang.html

Anda mungkin juga menyukai