Anda di halaman 1dari 5

Cara Menangani Stress Dalam Kalangan Guru Oleh : Zaki Marsoha

Tekanan atau stress adalah adalah lumrah dalam kehidupan seseorang. Setiap insan pasti pernah mengalami tekanan dalam pelbagai perkara. Sebenarnya, tekanan adalah normal kepada sesiapa pun. Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menangani stress yang dihadapinya agar kehidupannya dapat berlansung dengan baik. Stress yang berlebihan dapat member kesan kepada diri sesorang dari aspek kesihatan fizikal, emosi dan sosial. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ), kesihatan mental didefinisikan sebagai kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, kebolehan dalam mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat. Ternyata kebolehan untuk menyumbang kepada masyarakat ini berkait rapat dengan kerjaya seorang guru. Guru sebagai sumber manusia dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk dan mencorakkan sesebuah masyarakat. Tidak hairanlah ada kata-kata yang menyebut, Gagal seorang doktor, mati satu pesakit, gagal seorang guru, rosak satu generasi . Daripada kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk menangani stress yang berlaku dalam kalangan guru supaya fungsi seorang guru itu dapat dimanfaatkan dengan seoptimal yang mungkin. Di Malaysia, masalah tekanan dalam kalangan guru bukanlah perkara yang baru. Ianya bukan sahaja menjadi bahan kajian ilmiah malah ia telah menjadi isu dalam media massa. Menurut Muhamad (1995), kajian oleh Kongress Kesatuan Guru- guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia ( KONGRES ) menunjukkan kebanyakan guru mengeluh terhadap tugas dan rutin seorang guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Antara alasan yang sering diberi adalah masalah peribadi, tawaran kerja yang lebih baik, tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat. Beban tugas yang terlampau berat dapat mengakibatkan seseorang guru itu mengalami perasaan kegagalan dan kelesuan akibat tuntutan yang tidak dapat diatasinya itu. Perkara ini dikenali sebagai burnout. Istilah burnout ini pertama kali diperkenalkan oleh Freudenberger (1974).

Dalam erti kata yang lain, burnout juga boleh didefinisikan sebagai pilihan yang terakhir apabila satu siri percubaan untuk menangani tekanan negative menemui titik kegagalan. Maslach & Jackson (1981) telah memperkembangkan konsep burnout dengan menerangkan bahawa sebenarnya terdapat tiga jenis burnout. Ketiga-tiga jenis burnout itu ialah kelesuan emosi (emotional exhaustion), depersonalisasi (depersonalization) dan pencapaian peribadi (personal accomplishment). Maslach & Jackson (1981) menerangkan bahawa kelesuan emosi merujuk kepada perasaan kelesuan fizikal dan emosi dan perasaan bosan akibat daripada tekanan kerja dan kekangan-kekangan masa harian. Depersonalisasi pula merujuk kepada pembentukan sikap yang negatif dan respons yang dingin terhadap orang lain (contoh: pelajar, rakan sejawat) di tempat kerja seseorang. Ia disebabkan oleh interaksi yang terlalu kerap dan tidak berhabisan antara seorang individu dengan orang lain di tempat kerjanya. Manakala pencapaian peribadi merujuk kepada perasaan kehilangan harga diri dan perasaan kurang mencapai dalam pekerjaan. Ia disebabkan oleh kurang penghargaan dan maklumbalas yang positif. Untuk mengatasi masalah stress dalam kalangan guru, pelbagai langkah boleh diambil. Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh mempelajari kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan. Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres. Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian, mereka dapat mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Selain daripada aktiviti fizikal yang dapat menghilangkan stress, seorang guru juga patut menguasai kemahiran pengurusan masa. Kebanyakan guru-guru muda yang baru diserapkan di sekolah kebanyakan tidak pandai menguruskan masa sendiri sehinggakan mereka cenderung untuk mencampurkan tugas rasmi dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Kebanyakan guru yang bekerja menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan masa dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri.

Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Didapati tugas guru di sekolah bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalahmasalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia.

Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan stres kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Golongan yang bekerja termasuk guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia dapat memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan. Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat dipertingkatkan. Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa aspek rohani yang mantap dalam diri seseorang dapat membantu ketika berhadapan dengan stress.

Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru. Antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan. Jadi dengan adanya hubungan yang rapat dengan rakan sekerja, masalah-masalah yang dihadapi dapat dikongsi bersama dan meringankan beban guru tersebut.

Bukan guru sahaja yang perlu bertanggungjawab terhadap stress yang dihadapi. Pihak pengurusan sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Pihak berkenaan perlu sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, seterusnya mendapatkan alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan. Hubungan yang baik antara guru dan pihak pengurusan akan mewujudkan suasana yang harmoni yang akhirnya akan mewujudkan satu organisasi yang mantap.

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini. Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara khususnya. Jadi tahap kesihatan diri seorang guru haruslah dipantau dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat beban kerja kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan tanggungjawab guru semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini telah menyebabkan para guru menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir guru tidak dapat tekanan kerja dengan sebaik mungkin sehingga menjejaskan kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan terutamanya dalam kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.