Anda di halaman 1dari 4

Dipetik daripada laman pustakamaya.

net Penulisan Novel Kanak-kanak dan Remaja Oleh Arshad Rawian Dewan Bahasa Pustaka

Pada detik ini kita semua telah pun memikirkan hendak menulis novel, sama ada novel kanak-kanak atau novel remaja, ataupun kedua-duanya sekali. Sebelum kita menulis, elok juga kita tinjau serba sedikit dengan sepintas lalu tentang beberapa hal tentang kanak-kanak, tentang remaja dan tentang novel.

Novel kita untuk siapa? Tentulah novel untuk kanak-kanak atau remaja. Siapakah kanak-kanak? Siapakah remaja? Dalam dunia penulisan/penerbitan. Kanak-kanak dan remaja yang menjadi khalayak pembaca boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut umur mereka. 1. Umur 2-5 tahun: kumpulan kanak-kanak yang belum pandai membaca (pre-reading group) 2. Umur 6-9 tahun: kanak-kanak yang telah menguasai kemahiran asas membaca. 3. Umur 8-12 tahun: kanak-kanak yang telah mahir atau lancar membaca. Mereka rajin dan kuat membaca. 4. Umur 10-14 tahun: kumpulan praremaja (the young tenager group). Mereka suka membaca, tetapi suka juga aktiviti-aktiviti lain seperti menonton, sukan, aktiviti berkumpulan, permainan video dsb. 5. Umur 12-16 tahun: remaja atau the young adult. Amalan di Dewan Bahasa dan Pustaka, kanak-kanak dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu: 1. Umur 4-5 tahun 2. Umur 6-9 tahun 3. Umur 10-12 tahun Remaja pula dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu: 1. Umur 13-15 - remaja muda 2. Umur 16-18 - remaja atas Tiap-tiap peringkat atau kumpulan ini berbeza dari segi kematangan akal fikiran, minat, pengalaman, penguasaan bahasa, kekayaan perbendaharaan kata dan penguasaan struktur ayat.

Bagi sesebuah novel, pembacanya tentulah orang yang telah lancar membaca. Dengan itu marilah kita lihat lebih jauh tentang mereka dan apakah cerita yang mereka sukai.

Kanak-kanak 9-12 tahun Kanak-kanak pada peringkat umur ini sudah mula ingin bebas, baik dari segi pemikiran mahupun dari segi perbuatan. Mereka berasa 'sudah besar' dan mula bebas di luar rumah. Mereka sudah boleh diharap, aktif, bertenaga dan adventurous. Mereka sudah pandai berkawan dan mempunyai kumpulan bermain mereka sendiri, biasanya yang lelaki dengan lelaki, yang perempuan dengan perempuan. Mereka suka mengikut kawan dan mulai pandai berbincang atau bertukar-tukar pendapat dan pandai menghormati pendapat orang lain. Sebagai seorang kanak-kanak, fikiran mereka masih penuh dengan khayalan dan imaginasi. Namun begitu, mereka juga realistik, mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam. Mereka cergas dan rajin meneliti dunia di sekeliling mereka. Mereka sudah memaiyiz - sudah boleh memahami dan membezakan yang baik dan yang buruk. Mereka juga sangat gemar kepada puisi dan drama yang penuuh aksi. Kerana sifat-sifat mereka yang sedemikian, kanak-kanak di peringkat ini amat sukakan cerita-cerita yang penuh aksi dan banyak imaginasi, misalnya cerita-cerita pengembaraan, kumpulan pengakap, cerita detektif, cerita yang membawa mereka melancong ke negara lain, cerita fantasi, cerita binatang, cerita sejarah, penerokaan, tokoh dan pengembaraan sebenar. Mereka sukakan cerita-cerita tamadun purba, metos dan legenda. Mereka sukakan cerita-cerita agama, kisah-kisah nabi dan kepahlawanan. Mereka juga sukakan cerita yang berdasarkan hobi, sukan, kemahiran dan jentera, serta cerita-cerita tentang aktiviti berkumpulan.

Remaja berumur 13-16 tahun Peringkat remaja ini merupakan peringkat yang sedang mengalami berbagai-bagai tekanan dan ketegangan. Mereka sering mengalami tekanan fizikal, emosi, dan sosial. Remaja sering bersikap kurang sabar. Mereka mempunyai kawan atau kumpulan tertentu dan pengaruh kumpulan ini amat kuat terhadap diri dan sikap mereka. Mereka mula berasa seronok kalau dapat bebas dan tidak dikongkong. Akan tetapi mereka juga mula memahami tanggungjawab. Mereka mula membina identiti sendiri. Mereka mula mencari model untuk dicontohi, dan sering memuja dan meniru 'bintang pujaan' mereka. Mereka juga mulai berminat terhadap kaum yang berlainan jenis. Cerita yang digemari oleh remaja biasanya ialah cerita yang menyentuh emosi atau perasaan mereka misalnya cerita cinta atau cerita keluarga. Cerita yang dapat memberikan mereka contoh untuk mereka ikuti seperti buku biografi, antobiografi, lagenda, sukan, cerita kerjaya, cerita pahlawan dan cerita sejarah juga digemari. Cerita-cerita yang mengandungi

pengalaman-pengalaman yang boleh membantu perkembangan emosi dan intelek dan yang dapat menolong mengatasi masalah peribadi amat sesuai untuk golongan remaja. Demikianlah serba sedikit tentang pembaca dengan cerita yang digemarinya.

Novel, novel remaja dan novel kanak-kanak Novel secara ringkasnya ialah sebuah cerita rekaan yang panjang dalam bentuk prosa yang mengisahkan serangkai peristiwa yang dialami oleh watak-watak dalam suatu masa dan latar yang tertentu. Tujuannya adalah untuk menyampaikan sesuatu idea atau gagasan melalui media bahasa sastera. Novel remaja ialah cerita yang mengisahkan atau yang memerikan segala/sebarang hal tentang dunia remaja - tentang diri, psikologi, sikap dan perilaku mereka; tentang tujuan hidup dan masa depan mereka; tentang remaja dan kelompok mereka; tentang pandangan remaja terhadap masyarakatnya; dan tentang pandangan masyarakat dan orang dewasa terhadap mereka. Novel kanak-kanak pula ialah novel yang mengisahkan tentang kehidupan yang disesuaikan untuk bacaan kanak-kanak. Jadual di bawah ini menyatakan sedikit sebanyak tentang perbezaan di antara kedua-dua jenis novel kanak-kanak dan remaja.

Ciri-ciri Novel Kanak-kanak 1. Panjang cerita: 20,000-30,000 perkataan (60-150 halaman quarto A4 ditaip langkau sebaris) 2. Tempo cerita: Lebih muda kanak-kanak, lebih perlu cerita yang pendek dan straigh forward Plot yang mudah, biasanya disusun secara kronologi. Plot yang bebas atau tidak tersusun, teknik imbas kembali, monolog dalaman boleh juga digunakan, tetapi tidak boleh terlalu kompleks dan hendaklah disusun secara bijaksana, jelas dan mudah difahami oleh pembaca. Ceritanya penuh dengan pergerakan yang jelas. Watak-watak menggerakkan cerita, suasana, pergerakan dan perwatakan kuat dan menyakinkan. Dialog yang baik bertenaga dan tidak meleret-leret amat penting. Unsur-unsur humor wajar untuk menambat pembaca. Konflik dan ketegagan dalam cerita amat penting dan menjadi daya pengikat dan daya penarik. Penyelesaian cerita memuaskan dan positif. Kanak-kanak biasanya

sukakan akhiran yang menggembirakan. 3. Bab: Setiap bab jangan terlalu panjang. Bab yang pendek bermakna ceritanya pantas. 4. Tema: Kanak-kanak di peringkat awal tidak mempersoalkan sama ada sesuatu cerita itu mustahil atau munasabah. Oleh itu cerita yang penuh dengan imaginasi amat digemari.

Ciri-ciri Novel Remaja 1. Panjang cerita: 25,000-40,000 perkataan (120-200 halaman quarto ditaip langkau sebaris) 2. Tempo cerita Plot boleh sahaja kompleks sesuai dengan peringkat kematangan dan daya kefahaman pembaca. Lebih mirip kepada novel dewasa. Cerita mesti bergerak pantas, lancar dan kuat tekanannya, dan menyakinkan. Watak sering digunakan untuk menggerakkan cerita. Ceritanya kuat, banyak pergerakan, ada daya pukau, sama ada melalui dialog, bahasa mahupun gaya bahasa. Tumpuan lebih kepada dialog. Wataknya sentiasa hidup dan beraksi dengan bijaksana, wajar dan cekap. Penekanan diri individu sebagai watak amat jelas dan penting. Konflik melibatkan watak secara langsung dan kuat. Watak mengalami tekanan perasaan, masalah, kekecewaan, bahaya dsb, dan cuba mengatasi masalahnya. Cerita berakhir dengan memuaskan dan positif. Ada unsur-unsur yang menyentuh perasaan seperti sedih, gembira dan kadang-kadang mengejutkan. 3. Bab: Setiap bab tidak terlalu panjang 4. Tema: Pelbagai tema yang bersangkutan dengan remaja boleh digarap. Walau bagaimanapun tema yang seperti soal dadah, seks, prasangka dan perkauman perlu dielakkan atau ditangani dengan bijaksana.

Penutup Kita telah meninjau beberapa hal tentang kanak-kanak, remaja, dan novel untuk mereka secara umum. Telah disentuh sifat-sifat kanak-kanak dan remaja dan novel-novel yang mereka sukai. Dinyatakan juga serba sedikit tentang persamaan dan perbezaan kedua-dua novel kanak-kanak dan remaja, dan apakah novel yang boleh kita tulis untuk golongan ini.