Anda di halaman 1dari 13

1.0 SEJARAH OLAHRAGA Perkataan olahraga berasal daripada perkataan Greek, athlos yang bermaksud bertanding.

Sejarah olahraga dikatakan bermula lebih kurang 1000 tahun sebelum Masihi yang lalu dan ini bermakna sukan olahraga sudah diadakan lebih 3000 tahun yang lalu. Olahraga merupakan sukan yang tertua di dunia. Sukan olimpik kuno telah diadakan pada tahun 776 sebelum Masihi di Greece,tempat di mana bermulanya tamadun manusia. Orang-orang Greece telah melibatkan diri mereka dalam olimpik tidak bermatlamat untuk menjadikannya sebagai satu sukan tetapi sebagai salah satu bidang seni. Walaupun tiada pertandingan khusus untuk olahraga tetapi mereka tetap meneruskan acara berlari, melompat dan membaling. Sukan olahraga merangkumi beberapa acara yang berasaskan kepada aktiviti fizikal yang bersifat persaingan atau perlumbaan. Tarikan yang ada pada acara sukan ini telah melahirkan istilah olahraga (athletics) yang dapat merangkumi acara berlari, melontar peluru atau melompat. Olahraga juga dikenali sebagai acara balapan atau acara padang. Olahraga bemula dari Sukan Olimpik Moden yang telah diadakan buat pertama kali pada 1896 di Greece, yang dianjurkan oleh Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa yang bergabung dengan Majlis Olimpik Antarabangsa dan ia diadakan selama empat tahun sekali. Seramai 295 orang atlit telah menyertai Sukan Olimpik semasa pertama kali ia diadakan.

2.0 PERKEMBANGAN OLAHRAGA DI MALAYSIA DAN PENGLIBATAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA Walaupun sukan olahraga telah wujud beribu-ribu tahun dahulu, namun sukan olahraga mula diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan abad ke-19 di Singapura. Namun begitu, sukan olahraga ini kurang mendapat sambutan penduduk di Malaysia. Sukan olahraga mula mendapat sambutan apabila acara ini pertama kali diadakan di Malaysia pada tahun 1906 di Ipoh, Perak. Pegawai-pegawai British yang bertugas di Malaysia pada masa itu telah menubuhkan satu organisasi yang menguruskan sukan olahraga, iaitu Perak Athletics Association (PAA). Acara olahraga yang pertama kali itu dinamakan Ipoh Athletic Sports dan acara tersebut dipertandingkan secara formal dan teratur. Pemenang bagi kejohanan olahraga itu dikenali sebagai Johan Malaya. Acara ini dipertandingkan di Padang Ipoh pada tahun yang sama. pada tahun 1913, nama organisasi tersebut telah ditukar kepada Amateur Athletic Association of Malaya dan nama kejohanan pula ditukar kepada Championships of Malaya. Namun, pada tahun 1914 sehingga 1919, aktiviti kejohanan olahraga dihentikan akibat dari Perang Dunia Pertama yang telah tercetus pada ketika itu. Pada tahun 1920, satu mesyuarat olahraga telah diadakan di Kuala Lumpur untuk membincangkan mengenai kejohanan olahraga yang akan diadakan di situ. Satu organisasi telah ditubuhkan iaitu Amateur Athletics of British Malaya. Hasil daripada mesyuarat tersebut, satu pertandingan olahraga di antara negeri telah diadakan buat kali pertama di Kuala Lumpur. Kejohanan ini telah diadakan melalui kelolaanAmateur Athletics of British Malaya. Pada tahun 1931, keanggotaan bagi Amateur Athletics of British Malaya itu telah dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Dalam acara olahraga yang diadakan pada 1931 itu, Mohd Hanif Ghows, atlet yang berasal dari Perak, telah berjaya merangkul pingat emas bagi acara 100 ela pecut. Beliau telah mencipta rekod, iaitu dengan menjadi atlet tempatan negara yang berjaya memenangi pingat dalam acara sukan olahraga. Pada tahun 1932, satu stadium telah dibina di Pulau Pinang dan dinamakan sebagai Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Stadium tersebut merupakan stadium pertama yang dibina di Malaysia. Sebelum ini, semua acara olahraga yang dipertandingkan diadakan di padang terbuka. Walaupun begitu, trek bitumen hanya wujud selepas tahun 1957 di stadium tersebut. Sekali lagi pada tahun 1940 sehingga 1948, acara sukan olahraga dihentikan semula akibat dari Perang Dunia Kedua yang tercetus.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Malaysia mula melibatkan diri dalam acara sukan olahraga di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1948, Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan olahraga peringkat antarabangsa dalam pertandingan Empires Games di Cardiff, Great Britain. Nama Empires Games ditukar kepada Commonwealth Games atau Sukan Komanwel kerana kebanyakan Negara yang berada di bawah naungan jajahan Great Britain mencapai kemerdekaan, termasuklah negara Malaysia. Pada tahun 1956 pula, Malaysia mengambil bahagian dalam sukan olimpik buat pertama kali setelah sekian lama sukan olimpik diadakan. Temasya sukan olimpik tersebut telah diadakan di Melbourne, Australia. Pada temasya tersebut, Malaysia telah menghantar seramai 33 orang atlet, termasuklah atlet olahraga. Annie Chong merupakan atlet olahraga wanita tunggal yang dihantar untuk mewakili negara dalam acara olahraga. Pada Temasya Sukan Olimpik 1960 di Rome, Malaysia telah menghantar seramai 9 orang atlet, yang terdiri daripada tiga orang atlet olahraga, dua orang perenang, dua orang penembak dan dua orang peserta angkat berat. Pada Temasya Olimpik 1964 di Tokyo, Malaysia telah menghantar kumpulan atlet yang terbesar, iaitu seramai 66 orang atlet. Dalam temasya olimpik pada masa itu, atlet Negara, Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam, telah mencipta sejarah. Beliau merupakan atlet olahraga tempatan yang pertama berjaya melayakkan diri separuh akhir, iaitu dalam acara lari 200 meter. Beliau mengulangi semula kejayaannya itu dalam Temasya Olimpik 1968 di Mexico. Pada Temasya Olimpik 1972 di Munich, pasukan bola sepak Malaysia mencipta sejarah apabila pertama kali melayakkan diri mereka untuk menyertai sukan olimpik. Pada Temasya Olimpik 1976 di Montreal, Ishtiaq Mubarak telah mencatat sejarah dan merupakan atlet tempatan yang kedua yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir dalam acara olahraga, iaitu 110 meter lari berpagar. Dalam Temasya Olimpik 1980, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut walaupun pasukan bola sepak dan hoki pada ketika itu berjaya melayakkan diri. Dalam Temasya Olimpik 1984 di Los Angeles, tiada seorang pun atlet Malaysia yang menyinar. Begitu juga dalam Temasya Olimpik 1988 di Seoul, di mana acara badminton dan taekwondo hanya menjadi acara demonstrasi. Badminton hanya mula dimasukkan ke dalam acara sukan olimpik secara rasmi sebagai sukan yang dipertandingkan pada Temasya Olimpik 1992 di Barcelona dan Malaysia buat kali pertama berjaya meraih pingat gangsa dalam sukan olimpik melalui badminton. Malaysia memenangi pingat tersebut dalam acara beregu lelaki melalui Razif-Jalani Sidek. Taekwondo masih lagi menjadi acara demonstrasi di Barcelona. Pada Temasya Olimpik 1996 di Atlanta, Malaysia buat kali pertama bertanding dalam acara sukan layar dan kanu dengan

seorang wakil bagi setiap acara. Dalam temasya ini juga menyaksikan Malaysia memenangi pingat perak dalam acara badminton beregu lelaki menerusi Cheah Soon Kit Yap Kim Hock dan pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki menerusi Rashid Sidek. Dalam Temasya Olimpik 2000 di Sydney dan Temasya Olimpik 2004 di Athens, Malaysia gagal untuk meraih sebarang pingat. Dalam Temasya Olimpik 2008 di Beijing, Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki dan beliau mengulangi kejayaannya itu dalam Temasya Olimpik 2012 di London. Dalam Temasya Olimpik 2012 juga menyaksikan Malaysia memenangi pingat gangsa dalam melalui Pandelela Rinong melalui acara terjunan 10 meter wanita. Selain dari menyertai Temasya Olimpik, Malaysia juga menyertai Sukan SEA, iaitu merupakan sukan dwi-tahunan yang membabitkan penyertaan dari 11 buah negara Asia Tenggara. Malaysia pertama kali menyertai Sukan SEA yang diadakan di Bangkok, Thailand pada tahun 1959. Sepanjang penyertaan Malaysia dalam sukan SEA, Malaysia telah banyak meraih pingat dan kebanyakan acara yang dimenangi oleh Malaysia telah menaikkan nama Malaysia dalam arena sukan di mata dunia. Selain dari penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik dan Sukan Sea, Malaysia juga turut menyertai Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Dalam setiap aspek sukan olahraga yang diceburi oleh Malaysia termasuklah kategori sukan yang lain, membuktikan bahawa kerajaan Malaysia juga amat menitik beratkan pencapaian Malaysia di mata dunia termasuklah dalam bidang sukan. Selain daripada penyertaan Malaysia di peringkat antarabangsa, Malaysia juga turut mengadakan pertandingan sukan olahraga di peringkat kebangsaan, sebagai contoh, Sukan Malaysia atau SUKMA. Selain dari SUKMA, pertandingan sukan olahraga turut diadakan di semua peringkat seperti peringkat sekolah, peringkat zon, peringkat daerah, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. Pertandingan sukan olahraga turut diadakan di antara semua universiti yang ada di Malaysia. Pertandingan yang diadakan di setiap peringkat membolehkan Malaysia memilih atlet-atlet dari generasi yang muda untuk dijadikan pelapis atlet. Mereka yang dipilih akan dilatih oleh jurulatih yang berpengalaman dan setelah para jururlatih berpuas hati dengan pencapaian atlet pelapis itu, mereka akan diserap sebagai atlet kebangsaan dan mereka akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa.

3.0 JENIS-JENIS SUKAN OLAHRAGA Sukan olahraga mempunyai banyak acara. Sukan olahraga boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu acara trek balapan dan juga acara padang. Acara trek balapan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Acara trek balapan terdiri daripada acara lari pecut, acara lari berpagar, lari berganti, lari jarak sederhana dan lari jarak jauh. Bagi acara lari pecut, terdapat tiga bahagian, iaitu 100 meter, 200 meter, dan 400 meter. Bagi acara lari berpagar, ianya berbeza di antara atlet lelaki dan atlet perempuan. Perbezaannya adalah dari segi jarak. Untuk atlet lelaki, jarak larian mereka adalah 110 meter manakala bagi atlet perempuan, jarak larian mereka adalah 100 meter. Namun bagi jarak larian 200 meter dan 400 meter, ia adalah sama bagi kedua-dua atlet lelaki dan perempuan. Selain itu, untuk acara lari berganti, terdapat tiga bahagian acara iaitu, lari berganti 4x100 meter, 4x200 meter, dan 4x400 meter. Bagi larian jarak sederhana, jarak larian bagi semua atlet ialah 800 meter dan 1500 meter. Dan akhir sekali dalam acara trek balapan, larian jarak jauh. Larian jarak jauh merupakan larian berhalangan dan jarak lariannya adalah 3000 meter. Dalam acara padang pula boleh dibahagikan kepada beberapa acara. Dan ianya terbahagi kepada dua, iaitu acara balingan dan acara lompatan. Bagi acara balingan, pula terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu, merejam lembing, lempar cakera, melontar peluru, dan baling tukul besi. Selain itu, untuk acara lompatan pula terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang dan lompat bergalah. Selain dari acara ini, acara heptatlon dan dekatlon turut dipertandingkan. Acara heptatlon dan dekatlon merupakan acara yang menggabungkan kedua-dua acara dari acara balapan dan acara padang. Heptatlon mengandungi tujuh acara manakala dekatlon mengandungi sepuluh acara. Kedua-dua atlet lelaki dan atlet perempuan boleh menyertai heptatlon dan dekatlon tetapi acara yang mereka sertai itu berlainan. Bagi heptatlon, untuk atlet perempuan, acara yang dipertandingkan ialah lari berpagar 100 meter, lompat tinggi, lontar peluru, lari pecut 200 meter, merejam lembing, lompat jauh dan larian jarak sederhana 800 meter. Untuk atlet lelaki pula, acara yang dipertandingkan ialah lari pecut 60 meter, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi, lari berpagar 60 meter, lompat bergalah, dan lari jarak sederhana 1000 meter. Acara dekatlon mengambil masa dua hari untuk dihabiskan kerana terdapat banyak acara yang dipertandingkan. Kedua-dua atlet lelaki dan perempuan boleh menyertai acara ini tetapi selalunya atlet lelaki yang lebih ramai menyertai acara dekatlon daripada atlet

perempuan. Atlet perempuan selalunya lebih ramai yang menyertai acara heptatlon. Dalam acara dekatlon, untuk atlet lelaki, pada hari pertama, acara yang dipertandingkan ialah 100 meter, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi dan lari pecut 400 meter. Pada hari kedua pula, acara yang dipertandingkan ialah lari berpagar 110 meter, lempar cakera, lompat bergalah, merejam lembing dan larian jarak sederhana 1500 meter. Untuk atlet perempuan pula, pada hari pertama, acara yang dipertandingkan ialah acara lari pecut 100 meter, lempar cakera, lompat bergalah, merejam lembing dan lari pecut 400 meter. Pada hari kedua pula, acara yang dipertandingkan ialah lari berpagar 100 meter, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi dan larian jarak sederhana 1500 meter.

4.0 PENCAPAIAN ATLET TEMPATAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA Ramai atlet Malaysia yang telah menyinar dan telah berjaya mengangkat nama Malaysia ke persada dunia dan ke peringkat yang lebih tinggi. Buktinya, Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam, telah mencipta sejarah dalam sejarah sukan olahraga Malaysia apabila beliau merupakan atlet tempatan pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dalam acara olahraga lari pecut 200 meter. Beliau telah mencipta rekod tersebut pada Temasya Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun. Dalam acara tersebut, beliau telah mencatat masa terpantas yang belum pernah dapat diatasi oleh mana-mana atlet tempatan ketika ini, iaitu dengan masa 20.9 saat, beliau berjaya melepasi saringan kelima pusingan pertama. Namun pada pusingan kedua, beliau berjaya mencatatkan masa 21.4 saat untuk melayakkan dirinya ke separuh akhir dengan rekod kepantasan 21.2 saat. Selain itu, pada Temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico, beliau sekali lagi berjaya melayakkan dirinya ke peringkat separuh akhir dalam acara lari pecut 200 meter. Pada pusingan pertama, beliau berjaya mencatatkan masa 20.9 saat, 21.0 saat pada pusingan kedua dan 21.0 saat pada pusingan akhir. Di samping itu, beliau juag telah memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter, 200 meter dan lari berganti lelaki 4x100 meter pada Sukan Asia di Bangkok. Beliau telah menerima anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1966 atas kejayaannya yang cemerlang itu. Selain daripada Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam, Ishtiaq Mubarak telah mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempatan yang kedua yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dalam acara lari berpagar 110 meter. Dalam Temasya Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada, beliau telah mencatatkan masa 14.27 saat pada saringan kedua dan 14.21 saat pada separuh akhir. Namun dengan catatan masa yang diperoleh oleh beliau tidak cukup untuk melayakkan diri beliau ke peringkat akhir. Selain itu, beliau juga telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara lari berpagar 110 meter pada Sukan SEA tahun 1969, 1971, 1973, dan 1977. Beliau juga pernah memenangi pingat perak dalam acara yang sama dalam Sukan Asia 1974 dan juga dalam pertandingan Asian Track and Field Competition pada tahun 1973 dan 1975. pada. Namun, negara telah dikejutkan dengan pemergian beliau ke rahmatullah pada 9 Ogos 2013. Selain itu, dalam acara lari berpagar, banyak rekod yang telah dicatatkan oleh atletatlet tempatan, tidak kira di pentas dunia mahupun di pentas tempatan. Di pentas tempatan,

pada SUKMA 2008, satu rekod kebangsaan baru telah dicatatkan oleh pelari dari Sabah, Rayzamsyah Wan Sofian. Beliau telah berjaya mencatat masa terpantas yang terbaru iaitu 14.01 saat dalam acara lari berpagar 110 meter dan sekaligus berjaya mengekalkan pingat emas yang telah dimenanginya dua tahun lalu di Kedah. Di pentas antarabangsa pula, atlet lari berpagar kebangsaan, Mohd Robani Hasan telah berjaya memperbaharui rekod baru Sukan Universiti ASEAN 2008 (SUA 2008) yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Beliau telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara tersebut. Beliau telah berjaya memecahkan rekodnya sendiri apabila beliau telah mencatatkan masa 14.07 saat, satu saat lebih pantas dari rekod sebelumnya, 14.08 saat yang telah dicatatkan di Hanoi dua tahun sebelumnya. Pada Sukan SEA 2008 di Korat, Thailand, Malaysia telah berjaya memenangi satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa dalam acara lari berpagar 110 meter lelaki dan lari berpagar 100 meter perempuan di samping berjaya mencatat rekod baru. Rayzamsyah Wan Sofian telah berjaya memenangi pingat emas dan juga telah berjaya mencatat rekod baru Sukan SEA iaitu dengan catatan masa 13.91 saat. Pingat perak pula telah dimenangi oleh atlet lari berpagar 100 meter perempuan, Moh Siew Wei dan pingat gangsa pula dimenangi oleh atlet lelaki, Muhd. Faiz Muhamad. Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, atlet lari berpagar perempuan, Noraseela Khalid telah berjaya menyumbang pingat gangsa dalam acara lari berpagar 400 meter perempuan. Pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia, skuad lari berganti 4x400 meter lelaki yang terdiri daripada S.Kannathasan, P.Yuvaraaj, Schzuan Ahmad Rosely dan Muhamad Yunus Lasaleh telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara tersebut. Marina Chin juga merupakan salah seorang atlet olahraga yang disegani oleh seluruh rakyat Malaysia. Beliau merupakan ratu pecut dan lari berpagar yang menyinar di tanah air. Ketika berumur 16 tahun, beliau telah membantu Malaysia memenangi pingat emas dalam acara lari berganti 4x400 meter perempuan pada Sukan SEA 1971 di Kuala Lumpur. Pada Mac 1972, beliau telah memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara larian pecut 200 meter dengan catatan masa 26.6 saat,0.2 saat lebih cepat dari rekod lama pada kejohanan Allcomers Persatuan Olahraga Amatur Selangor di Stadium Merdeka. Pada tahun 1975, beliau telah memenangi pingat emas dalam acara lari berpagar 400 meter perempuan dalam Kejohanan Olahraga Asia yang diadakan di Seoul, Korea Selatan. Pada Septermber tahun yang sama, beliau telah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara lari berpagar 100 meter perempuan dengan catatan masa 15.2 saat, serta acara lari berpagar 400 meter perempuan dengan catatan masa 64.9 saat di Kejohanan Terbuka Singapura. Selain itu, beliau juga telah

berjaya meraih pingat emas dalam acara lari berpagar 100 meter perempuan, dengan catatan masa 15.3 saat pada Kejohanan Olahraga Jemputan Filipina dan pada Ogos 1976, beliau telah memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan masa 28.4 saat dalam acara lari berpagar 200 meter perempuan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang diadakan di Alor Star, Kedah. Beliau telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan dan Selangor selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 1976 dan 1977. Pada Sukan SEA 1977, beliau telah berjaya meraih dua pingat emas, iaitu dalam acara lari pecut 100 meter dan 200 meter. Pada 1979 pula, beliau bersama Saik Oik Cum, V.Angamah dan Zaiton Othman telah bejaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam acara lari berganti 4x400 meter pada Kejohanan Antarabangsa Trek dan Padang Asia yang diadakan di Tokyo, Jepun. Pada tahun yang sama juga, beliau berjaya meraih pingat emas dalam acara lari berpagar 100 meter perempuan dan juga dalam acara lari berganti 4x400 meter dalam kejohanan Sukan SEA yang ke-10 di Jakarta, Indonesia. Datuk Rajamani Mailvaganam merupakan Olahragawati Wanita Malaysia pada tahun 1966. Beliau merupakan wanita Malaysia yang pertama berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan Asia. Datuk Rajamani Mailvaganam pernah terpilih untuk mewakili Malaysia dalam acara lari pecut 400 meter dan larian jarak sederhana 800 meter pada Temasya Olimpik 1964 yang diadakan di Tokyo, Jepun. Dalam Sukan SEA 1965 di Kuala Lumpur, beliau telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 200 meter, 400 meter, lari jarak sederhana 800 meter dan lari berganti 4x100 meter. Dalam Sukan Asia 1966 di Bangkok. Beliau telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 400 meter dan pingat gangsa dalam acara lari berganti 4x100 meter. Dalam acara lari pecut 400 meter, beliau telah mencipta rekod baru dengan catatan masa 56.3 saat. Dalam Sukan SEA 1967 di Bangkok, beliau telan memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 400 meter, lari jarak sederhana 800 meter dan lari berganti 4x100 meter dan beliau juga telah memenangi pingat perak dalam acara lari pecut 200 meter. Pada ketika itu, beliau telah diundi sebagai Ratu Balapan Sukan SEA. Selain itu, atlet lompat bergalah wanita Malaysia, Roslinda Samsu telah berjaya memenangi pelbagai petandingan lompat bergalah yang disertainya. Sebagai bukti, beliau berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat bergalah pada Sukan SEA 2005 di Manila, 2007 di Bangkok, 2009 di Vientine dan 2011 di Palembang. Selain daripada Roslinda Samsu, atlet lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei juga telah banyak memenangi pingat dalam setiap pertandingan yang diceburinya

5.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP Semua orang sedar bahawa bersukan dapat menyihatkan tubuh badan, di samping dapat membantu menyihatkan kesihatan mental. Banyak slogan mengenai kebaikan sukan telah diuar-uarkan oleh pihak kerajaan seperti Sukan Untuk Semua dan Malaysia Cergas. Sukan boleh juga menjadi medium untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama rakyat Malaysia. Diharap agar lebih ramai rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai sukan olahraga dan membantu negara untuk lebih menyinar di mata Negara, terutama sekali dalam bidang sukan.

RUJUKAN BUKU RUJUKAN 1. Tajuk Buku: Olahraga: Acara-Acara Padang Terbitan Tahun: Cetakan Pertama (2006), Cetakan Kedua (2007) Penerbit: Karisma Publications Sdn. Bhd

MAJALAH SUKAN 1. Tajuk Majalah: Mingguan Sukan Terbitan: Julai 2007, Mei 2008

INTERNET 1. Jurnal Malaysia-Pencapaian Malaysia di Sukan Olimpik


http://www.jurnalmalaysia.com/index.php/jurnal-sukan/312-pencapaian-malaysia-di-sukanolimpik

2. Sejarah Olahraga
3.

http://olahragaardt.blogspot.com/

LAMPIRAN

TAJUK: SEJARAH OLAHRAGA DI MALAYSIA

NAMA: WAN NUR HUSNA HUMAIRA BINTI WAN PAKARUDIN NO. MATRIK: D20131063503 NO. IC: 940626-03-5230 KURSUS: ISMP EKONOMI RUMAH TANGGA NAMA PENSYARAH: ENCIK YUNUS BIN JAMURI

Anda mungkin juga menyukai