Anda di halaman 1dari 5

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) Malaysia sekali lagi melangkah ke hadapan dalam dunia kewangan Islam

ekoran daripada pengenalan senaskhak akta khusus bagi mengawal selia industri kewangan Islam dan takaful yang akan berkuat kuasa tahun ini. Ini adalah langkah yang cukup memberansangkan dalam usaha memastikan industri kewangan Islam di negara ini lebih berwibawa dan menjadi peneraju kepada industri berdaya saing itu di peringkat global. Tambahan pula industri kewangan Islam kini berkembang pesat dan menjadi salah satu komponen yang kompetitif dalam sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia dan menjadi satu daripada pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara.

Apa itu IFSA? IFSA atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 merupakan suatu Akta yang mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan Islam, sistem pembayaran dan entiti berkaitan yang lain dan pengawasan pasaran wang Islam dan pasaran pertukaran asing Islam untuk menggalakkan kestabilan kewangan dan pematuhan Shariah dan bagi perkara yang berhubungan, berbangkit atau bersampingan dengannya. IFSA merupakan satu kemuncak usaha untuk memodenkan undang-undang yang mengawal selia institusi kewangan Islam di Malaysia. Hal ini bagi memastikan undang-undang ini terus relevan dan berkesan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menyokong pertumbuhan optimum dalam system kewangan dan ekonomi di samping menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pengguna. IFSA masing-masing telah menggabungkan enam statut yang sedia ada, iaitu Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Insurans 1996, PSA dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (Exchange Control Act 1953, ECA), serta Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984. Undang-undang baharu ini menyediakan rangka kerja undang-undang yang lebih utuh dan bersepadu yang menyediakan cara olahan yang tekal dan menyeluruh terhadap risiko yang sama lantas mengurangkan kemungkinan berlakunya jurang pengawalseliaan, dan dengan nyata memudahkan proses kajian semula dan pengemaskinian pada masa hadapan Undang-undang ini akan meletakkan sektor kewangan Malaysia, yang merangkumi sistem perbankan, sektor insurans dan takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan lain. Antara ciri utama undang-undang yang terkandung dalam akta

baru ini ialah tumpuan yang jelas terhadap pematuhan dan tadbir urus Syariah dalam sektor kewangan Islam. Secara khususnya, IFSA menyediakan rangka kerja undang-undang yang menyeluruh, yang selaras sepenuhnya dengan Syariah dalam semua aspek pengawalan dan penyeliaan, daripada pelesenan hingga pembubaran sesebuah institusi.

Kandungan IFSA IFSA mengandungi 18 bahagian yang meliputi 291 fasal dan 16 jadual. . Bagi bahagian pertama akta ini, memuatkan tafsiran perkataan dan terma yang diguna pakai dalam akta.bahagian ini terbahagi kepada 5 bahagian utama iaitu tajuk ringkas dan bidang kuasa, tafsiran, penetepan perniagaan atau aktiviti tambahan oleh Menteri, penetapan perjanjian,urus niaga,transaksi atau orang tambahan oleh Bank dan pengelasan dan tafsiran sebutan mengenai perniagaan takaful. Bahagian kedua akta ini pula menerangkan tentang objektif peraturan, kuasa serta fungsi bank. Objektif peraturan menekankan konsep pematuhan syariah dalam semua transaksi yang dijalankan oleh pihak bank manakala kuasa serta fungsi bank yang ditekankan ialah kuasakuasa dan fungsi-fungsi Bank di bawah Akta ini adalah sebagai tambahan kepada Bank dan bukannya mengurangkan kuasa dan fungsi Bank sedia ada yang tertakhluk di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009. Antara yang dijelaskan ialah Bank hendaklah dari semasa ke semasa memaklumkan kepada Menteri mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan perjalanan kuasa dan pelaksanaan fungsi-fungsinya di bawah Akta ini, Bank boleh memberi kuasa kepada Timbalan Gabenor atau seorang pegawai Bank untuk melaksanakan mana-mana kuasa atau melaksanakan mana-mana fungsinya di bawah Akta ini serta Bank boleh menubuhkan dan memberi kuasa kepada satu jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli seperti yang ditentukan oleh Bank bagi maksud menjalankan mana-mana kuasa atau melaksanakan mana-mana fungsi Bank di bawah Akta ini.

Bahagian ketiga Akta ini pula membincangkan tentang kebenaran. Bahagian ini memuatkan pemberikuasaan yang terbahagi kepada lima penggal yang membincangkan mengenai perniagaan yang dibenarkan, sekatan atas urus niaga yang diberi kuasa, pejabat wakil, pembatalan, penyerahan balik atau pemberhentian perniagaan atau pengendalian serta perkara am.

Bahagian keempat membincangkan tentang peruntukan keperluan kehendak syariah dalam urusan yang juga terbahagi kepada empat penggal. Bahagian kelima memperuntukkan sistem pembayaran yang juga terbahagi kepada tiga penggal yang merangkumi mengenai penetapan sistem pembayaran dan instrumen pembayaran Islam, kehendak bagi pengendalian sistem pembayaran dan pengeluaran instrumen pembayaran Islam yang ditetapkan, dan juga kemuktamadan pembayaran dan perkiraan penghasilan bersih. Bahagian keenam memperuntukkan kehendak berhemat yang mempunyai tujuh penggal manakala bahagian ketujuh memperuntukan mengenai pemunyaan, kawalan dan pemindahan perniagaan. Di dalam bahagian kelapan pula memperuntukkan tentang kumpulan kewangan dan bahagian kesembilan pula memperuntukkan tentang perlakuan perniagaan dan perlindungan pengguna. Bahagian kesepuluh memperuntukkan pasaran wang Islam dan pasaran pertukaran asing Islam. Bahagian kesebelas pula memperuntukkan kepentingan pengemukaan dokumen atau maklumat. Bahagian kedua belas memperuntukkan seksyen berkaitan pemeriksaan orang yang diberi kuasa ke atas orang lain. Di dalam bahagian ketiga belas jelas memperuntukkan perihal arahan pematuhan yang perlu diikuti oleh orang-orang yang berkenaan. Bahagian keempat belas memperuntukkan campur tangan dan tindakan remedi bagi pihak yang berkaitan. Bahagian ini mengandungi empat penggal dengan pecahan tertentu. Bahagian ini lebih memerihalkan mengenai pemecatan, pelaksanaa remedy serta bantuan kewangan dan kuasa-kuasa berkaitan. Bahagian kelima belas pula memperuntukan kuasa bank yang lain yang terdiri daripada tiga penggal yang berkaitan pengawalseliaan institusi kewangan Islam yang ditetapkan, peruntukan mengenai transaksi antarabangsa dan domestik, dan juga hari kelepasan bagi orang berlesen. Bahagian keenam belas memperuntukkan penguatkuasaan dan penalty manakal bahagian ketujuh belas pula memperuntukkan peruntukan am. Bahagian terakhir iaitu bahagian kelapan belas pula jelas memperuntukan mengenai pemansuhan, kecualian dan peralihan.

Hubungkait IFSA dengan Sistem Perbankan Islam Tujuan pengenalan akta baru ini adalah untuk menyelaraskan undang-undang sedia ada sekaligus memangkin pertumbuhan Malaysia sebagai hub kewangan antarabangsa. Justeru amat mustahak untuk ditegaskan tentang peranan kewangan Islam dan lebih penting,

Bagaimanakah Kewangan Islam seharusnya berperanan membangunkan ummat dan negara? Perbankan dan Kewangan Islam bukan hanya untuk mengelakkan muamalat atau transaksi pengurusan perniagaan yang bebas unsur-unsur riba, gharar dan judi malah sampai waktunya kewangan Islam ini diletakkan sebagai prioritinya yang berperanan untuk sentiasa mencapai Maqasid Syariah itu sendiri khasnya Pemeliharaan Harta atau Hifzul Maal. Kontrak syariah yang disandarkan kepada akta baru itu bukan saja akan menyeragamkan keperluan perundangan bagi seluruh sektor, malah ia juga akan memastikan undang-undang berkenaan turut mencerminkan ciri-ciri kontrak syariah secara yang lebih komprehensif. Transformasi perundangan ini juga akan memastikan tahap peraturan sepadan dengan tahap risiko institusi, pasaran dan produk kewangan Islam yang terdapat dalam seluruh sistem kewangan Islam. IFSA membawa suatu perspektif baharu dengan menyediakan asas perundangan bagi rangka kerja pengawalseliaan kewangan Islam yang mencerminkan ciri-ciri khusus pelbagai jenis kontrak kewangan Syariah dengan profil risiko dan pulangan yang tersendiri. Ciri-ciri unik kontrak ini ditakrifkan dengan jelas dan menyeluruh, meliputi proses pemeteraian kontrak sehinggalah pembubaran sesebuah institusi kewangan Islam. Ini selaras dengan gagasan meningkatkan daya saing dan inovasi menerusi kepelbagaian kontrak Syariah yang terpakai oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Pandangan mengenai Ceramah IFSA Pandangan peribadi semestinya ceramah tersebut ialah satu usaha dan pendekatan yang positif terutamanya terhadap pelajar Undang-Undang khususnya yang mempunyai kemestian untuk peka dengan setiap pembaharuan undang-undang di Negara ini. Ceramah ini juga banyak memberi maklumat berguna kepada pengguna produk perbankan Islam yang rataratanya masih kabur dengan kedudukan dan perlindungan yang ewajarnya. Pelajar juga bertuah kerana berpeluang memperoleh titipan ilmu yang berguna ini daripada individu yang amat berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang kewangan Islam iaitu Dr.Hakimah Hj Yacoob dari ISRA. Harapan saya agar pihak fakulti sudi untuk mengadakan lebih banyak program yang berbentuk perkongsian ilmu seperti ini lagi kerana dipercayai mampu membantu para pelajar memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas lagi selain belajar ketika waktu kuliah pada lazimnya.