Anda di halaman 1dari 4

Teks pidato: Perpaduan teras dalam usaha menjayakan gagasan 1Malaysia

Bismillahirrahmannirrahim, Melati kuntum tumbuh melata, Sayang merbah di pohon cemara; Assalamualaikum mulanya kata, Saya sembah pembuka bicara.

Terima kasih diucapkan buat peneraju acara, Yang di hormati(tetamu kehormat), Yang berusaha barisan panel hakim yang sentiasa berpaksikan keadilan, penjaga masa yang setia dengan detik-detik masanya, barisan rakan seperjuangan dan warga dewan yang dikasihi sekalian.

Perpaduan teras dalam usaha menjayakan gagasan 1Malaysia, begitulah indahnya mauduk pidato yang bakal menitip di bibir saya. Namun, sebelum ledakan hujah saya mulakan, izinkan saya untuk menyatakan terlebih dahulu definisi mauduk pidato saya pada hari ini. Perpaduan, menurut kamus dewan edisi ke empat merujuk kepada penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Manakala, 1Malaysia pula merupakan gagasan yang berteraskan kepada perpaduan dan pembinaan negara maju. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa perpaduan mampu menjana kejayaan gagasan 1Malaysia.

Sidang saksi yang bervisi, Indikator saya yang pertama, di bawah lembayung kata Satu Malaysia adalah penerus agenda membina negara bangsa. Bagi mencapai kemajuan negara,

maka rakyat perlulah dimajukan terlebih dahulu, ianya harus dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Tercapainya perpaduan, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar sepertimana yang dicanangkan iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Perpaduan bukan lagi perkara asing kepada kita, malah frasa ini telah sebati dan menjadi darah daging buat setiap anak watan . Barangkali kita sudah ditakdirkan hidup dalam sebuah masyarakat majmuk dengan

pelbagai budaya dan agama. Dengan struktur sosial yang amat kompleks, kita hendaklah memeliharanya agar tidak dicemari oleh angkara salah faham, pertelingkahan, dan perbalahan antara kaum. Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa tiada sebuah negara pun diseantero dunia ini yang mampu mengekalkan keamanan selagi ketenteraman sosial tidak mampu dipertahankan . Kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 yang tragis berulang kembali. Peristiwa yang berpunca daripada persilisihan kaum itu telah mengakibatkan ramai nyawa yang terkorban. Kita

seharusnya menjadikan peristiwa berdarah ini sebagai satu iktibar dalam diri kita. Sekiranya peristiwa ini berulang kembali, maka mustahil gagasan 1Malaysia yang diharapkan akan tercapai malah hanya akan menjadi mimpi di siang hari sahaja. Oleh itu, semua kaum perlulah belajar menerima perbezaan dan menangkis perasaan ketidakpuasan hati sesama masyarakat. Sudah terang lagi bersuluh, peristiwa rusuhan kaum yang berlaku telah membuktikan bahawa hakikat menang jadi arang, kalah jadi abu.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian, Mayarakat bersatu, tunggak negara sejahtera merupakan kata kunci saya yang kedua. Kita hidup dalam sebuah masyarakat ibarat aur dengan tebing perlu saling bantu-membantu ibarat kata pepatah melayu sedikit tanda ada, banyak tanda ingat. Oleh itu, Amalan lama seperti bergotong-royong hendaklah terus disemai dalam kalangan masyarakat keranan ianya dapat mengikat dan menyatukan masyarakat dalam pelbagai lapisan kaum untuk bersama- sama menyumbangkan tenaga demi kebaikan masyarakat setempat. Hidup bersama serumpun bak serai, sejunjung bak sirih, inilah prinsip yang harus menjadi pegangan buat kita terus kekal menjadi juara perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Kita perlu bersatu dan menyemai rasa hormat dalam diri terhadap kaum lain di Malaysia. Natijahnya, keamanan dan keharmonian negara akan terus terjana. Di Malaysia, kita dapat melihat pelbagai jenis perayaan,adab resam, kebudayaan dan juga cara hidup yang berlainan. Dalam konteks sosial, norma-norma masyrakat yang berasakan perkara perkara ini perlulah dihormati . Keunikan ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk mencapai perpaduan yang sejajar dengan konsep Satu Malaysia,malah kita sewajarnya menjadikan keunikan ini sebagai salah satu wahana bagi mengeratkan hubungan antara kaum. Bukan itu sahaja, keharmonian inilah yang memantapkan kedudukan negara kita Malaysia sebagai sebuah negara

yang cukup disegani hasil daripada perpaduan yang kita miliki. Oleh itu, semua kaum perlulah bersatu padu mendukung hasrat negara dalam melaksanakan konsep 1Malaysia dengan saling hormat-menghormati dan menjaga tali silaturrahim yang sedia ada.

Sidang dewan yang penuh santun, Perpaduan pelbagai kaum, satu keunikan dimata dunia menjadi kata kunci saya yang ketiga. Negara kita seringkali dikagumi oleh pelancong-pelancong asing dari luar negara yang melihat perpaduan 1Malaysia ini sebagai sesuatu yang cukup unik dan sememangnya jarang-jarang sekali ditemui di negara - negara lain. Keamanan ini secara tidak langsung berjaya memajukan ekonomi dan meningkatkan pelaburan pelaburan asing di Malaysia malah berjaya mengangkat nama Malaysia hampir setanding dengan kuasa kuasa besar dirantau Asia. Oleh yang demikian, perpaduan haruslah sentiasa dipelihara dan dikekalkan dari generasi ke generasi dan dari abad ke abad agar segala yang telah kita kecapi selama ini tidak terus lenyap terpadam serta hanya menjadi lipatan dalam sejarah sahaja. Maka, jelaslah bahawa perpaduan memainkan watak utama dalam usaha untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia yang bertepatan dengan frasa Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian, Sebagai anak watan kita seharusnya sedar dan bangkit dari mimpi disiang hari. Kita perlu sedar bahawa keamanan dan keharmonian yang dimiliki ini mudah sahaja dihancurkan jika perpaduan rakyat terus rapuh dan diabaikan begitu sahaja. Segala perbezaan dan kelainan yang ada haruslah dianggap sebagai suatu keunikan. Masyarakat perlulah bersama bersatupadu dalam menjayakan gagasan Satu Malaysia yang merupakan hasrat murni Perdana Menteri kita bagi menjamin kedamaian tanah air kita Malaysia agar tidak mudah goyah dan tidak sesekali tegugat dengan sebarang ancaman dari luar mahupun dalam . Resolusinya, Tidak mustahil dan bukanlah angan-angan kosong, sekiranya Malaysia dipandang tinggi dan dijadikan sebagai idola oleh negara negara lain diseantero dunia hasil daripada perpaduan yang kita miliki. Akhirulkalam, sebelum saya undurkan diri

terimalah dua rangkap pantun daripada saya.

Pohon berangan tempat bertemu, Girangnya rasa si anak dara; Baliklah tuan membawa ilmu, Binalah bangsa bangunkan negara.

Bunga dedap di atas para, Anak dusun pasang pelita; Kalau tersilap tutur bicara, Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian terima kasih.