Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih Pengerusi Majlis Yang Berusaha Tuan Haji Said bin Andong, Pengetua SMK Taman Ria.

Yang Dihormati Para Penolong kanan, Guru-guru, ibu bapa, anak-anak pelajar tingkatan 4 yang dikasihi, dan hadirin yang dimuliakan sekalian. Salam sejahtera dan selamat petang. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan seulas kata dalam Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia kepada murid-murid SMK Taman Ria, Tuaran. Seterusnya, saya bagi pihak ibu bapa pelajar-pelajar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Wilfred atas kesudian Yang Berhormat untuk hadir menyempurnakan perasmian majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran Yang Berhormat amat menggembirakan kami kerana ini adalah kunjungan pertama Yang Berhormat ke sekolah ini. Seterusnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan rasa terima kasih kami kepada Yang Berhormat Datuk Wilfred sebagai Ahli Parlimen Tuaran dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas peruntukkan sebanyak 197 buah komputer riba kepada murid-murid SMK Taman Ria. Jumlah tersebut lebih separuh atau lebih tepat lagi 75% daripada bilangan murid sekolah ini yang baru mencecah 261 orang. Sesungguhnya, bantuan seperti ini menunjukkan keperihatinan pihak kerajaan untuk meningkatkan lagi kadar celik IT seterusnya mengurangkan jurang digital dalam kalangan pelajar. Sumbangan ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu anak-anak di sekolah ini untuk terlibat sama dalam arus kemajuan teknologi semasa. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, Saya amat percaya, semua ibu bapa yang anak mereka menerima sumbangan komputer riba pada hari ini pasti berasa amat lega dan bersyukur kerana pemberian ini dapat mengurangkan beban mereka untuk membeli komputer baharu untuk kegunaan pendidikan anak masing-masing. Sebagaimana yang kita ketahui pada masa kini, suasana pembelajaran memerlukan pelajar mempunyai komputer untuk mengakses maklumat dalam portal pembelajaran yang disediakan dalam rangkaian 1Bestarinet. Maka, komputer riba ini amat bermakna dan berguna kepada pelajar bukan sahaja untuk menyiapkan projek secara bertulis tetapi juga untuk melakukan tugasan sekolah yang perlu disiapkan secara online. Tuan-tuan dan puan-puan, Saya bagi pihak ibu bapa juga ingin menyeru kepada pelajar-pelajar yang terpilih untuk menerima sumbangan komputer riba 1 Malaysia pada hari ini agar dapat menggunakan pemberian tersebut secara berhemah. Gunakanlah kemudahan tersebut untuk tujuan pembelajaran. Saya juga berharap agar anak-anak akan sentiasa berhati-hati apabila

melayari internet. Jangan sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat diri. Teguhkan jati diri dan jangan sampai terlalu asyik sehingga mengabaikan tugasan sekolah atau kerja rumah. Tuan-tuan dan puan-puan, Dalam kesempatan ini juga, saya mewakili Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Ria, Tuaran ingin memohon jasa baik Yang Berhormat Datuk agar dapat memberikan sedikit sumbangan kewangan kepada Tabung PIBG SMK Taman Ria. Sumbangan tersebut amat kami perlukan untuk menampung aktiviti PIBG dalam membantu pihak sekolah menjalankan pelbagai program kecemerlangan untuk anakanak kami di sekolah ini. Setakat ini, banyak permohonan bantuan yang dikemukakan oleh pihak sekolah terpaksa pihak PIBG tolak atas faktor kekangan sumber kewangan yang berlaku. Oleh itu, besarlah harapan kami sekiranya Yang Berhormat Datuk dapat memberikan sumbangan sebanyak Lima Ribu Ringgit (RM5000) kepada tabung PIBG sekolah ini. Akhir sekali, saya bagi pihak ibu bapa mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis hari ini khususnya kepada Yang Berhormat Datuk, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, PPD, dan Pengetua. Semoga sumbangan tersebut akan membantu pelajar-pelajar SMK Taman Ria untuk bersaing di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai