Anda di halaman 1dari 2

Sinopsis Putera Gunung Tahan

Novel Putera Gunung Tahan menceritakan tentang kisah beberapa watak yang saling
berkaitan antara satu sama lain di dalam situasi yang berbeza. Kisah utamanya
berkisar tentang watak utamanya iaitu Ratu Bongsu yang juga merupakan Putera
Gunung Tahan. Novel ini sarat dengan semangat nasionalisme dan semangat cintakan
tanah air yang ditonjolkan oleh watak seperti Putera Gunung Tahan dan juga
Perempuan Tua. Watak penjajah yang rakus dan mementingkan diri digambarkan oleh
Watak seperti Tuan Robert dan Tuan William. Mereka digambarkan sebagai penjajah
yang licik dan tamak serta mementingkan diri sendiri. Kisah ini bermula dengan tugas
yang diberikan kepada Tuan Robert dan Tuan William untuk meninjau keadaan puncak
Gunung Tahan untuk pihak penjajah. Kemudiannya berlaku satu situasi yang
menyebabkan mereka berdua terpisah antara satu sama lain dan menyebabkan Tuan
Robert diculik oleh sekumpulan orang Sakai. Rentetan daripada kejadian itu tuan
Robert telah dilantik menjadi ketua kepada penduduk Sakai tersebut atas saranan
Perempuan Tua. Namun disebabkan oleh sikap Tuan Robert yang tamak itu
perempuan tua mengunakan ubat untuk membuatkan Tuan Robert jatuh cinta kepada
seorang perempuan sakai yang muda. Usaha Tuan Robert untuk berkahwin dengannya
telah menyebabkan kematiannya akibat terjatuh daripada pokok. Sementara itu, Tuan
William yang telah terpisah denganTuan Robert berusaha untuk mencari rakannya itu.
Sewaktu mencari rakannya, Tuan William telah telah ditemukan dengan Kusina,
seorang orang bunian yang juga orang bawahan Ratu Bongsu. Kusina menjadi tukang
pandu arah dan menjadi teman kepada Tuan William untuk sampai ke puncak Gunung
Tahan dan berjumpa dengan Ratu Bongsu. Sewaktu berjumpa dengan Ratu Bongsu,
Tuan William telah menyebabkan kemurkaan Ratu Bongsu apabila dia meminta Ratu
Bongsu untuk menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada penjajah dan dihukum
untuk tinggal di atas puncak Gunung Tahan. Sewaktu Tuan William tinggal di puncak
tersebut, Ratu Bongsu telah menunjukkan pelbagai barangan ajaib kepadanya. Antara
barang ajaib tersebut ialah buluh yang dijadikan teropong yang dapat melihat
segalanya, akar pokok yang membolehkan bunyi dari tempat yang jauh dan juga
burung pesuruhjaya yang mampu terbang ke tempat yang jauh. Melihatkan keadaan itu,
Tuan William telah bertindak untuk mengunakan kebaikan Ratu Bongsu untuk
kebaikannya dengan menghantar surat untuk menyerang puncak Gunung Tahan
mengunakan burung pesuruh jaya. Namun tindakan Tuan William itu dapat diketahui
oleh Ratu Bongsu dan Ratu Bongsu bertindak untuk membiarkan Tuan William
terperangkap di dalam serangan yang diaturkannya menyebabkan Tuan William
terkorban. Serangan tersebut juga dapat dihentikan dengan kesaktian Ratu Bongsu.
Tetapi dalam serangan tersebut Mem William, isteri Tuan William telah terselamat
daripada terkorban dan Ratu Bongsu telah bertindak untuk memperisterikanya.
Watak-watak di dalam novel Putera Gunung Tahan
Ratu Bongsu
Ratu Bongsu merupakan watak utama di dalam novel ini. Dia juga dikenali sebagai
Putera Gunung Tahan. Dia digambarkan sebagai seorang yang memiliki ilmu yang
tinggi dan amat bijak. Dia juga memiliki pelbagai kesaktian yang menakjubkan.
Merupakan seorang yang amat baik kerana melayan dengan baik tetamunya walaupun
tidak mengenalinya. Dia juga seorang yang amat tegas dalam menyatakan pendapat
dan tidak takut untuk menyatakan kebenaran. Dai juga merupakan seorang pemerintah
yang amat cintakan tanah airnya dan tidak rela mengadaikannya untuk kepentingan diri.
Perempuan Tua
Merupakan ibu kepada Ratu Bongsu. Merupakan seorang yang tegas ini dapat
dibuktikan melalui tindakkannya yang tidak mahu menjualkan kulit harimau putih
tersebut kepada Tuan Robert kerana berasakan yang Tuan Robert ingin berniat jahat.
Dia juga merupakan seorang yang amat tabah walaupun ditinggalkan bersendirian
didalam hutan untuk melahirkan anaknya. Merupakan seorang yang amat berpegang
teguh kepada ajaran agama Islam dan tetap mengamalkannya walaupun di dalam
hutan.
Tuan William
Merupakan salah seorang daripada pegawai yang dihantar oleh penjajah Inggeris untuk
menyiasat keadaan puncak Gunung Tahan dengan harapan mendapatkan kekayaan
dan pangkat. Dia digambarkan sebagai seorang yang tenang dalam menghadapi
dugaan. Sangat pandai memujuk dan membuat tipu helah untuk kepentingannya. Dia
juga tidak mudah berputus asa untuk mencapai cita-citanya.
Tuan Robert
Merupakan salah seorang yang pegawai yang ditugaskan menyiasat puncak Gunung
Tahan dan merupakan teman kepada Tuan William. Dia digambarkan sebagai seorang
yang tamak dan sanggup melakukan segalanya untuk mendapatkan apa yang dihajati.
Seorang yang mudah marah apabila apa yang dihajatinya tidak dapat diperolehi. Dia
juga suka berpura-pura dihadapan orang lain.