Anda di halaman 1dari 7

BAHAGIAN 1: PENDAHULUAN Nama Penuli s Nama Buku Tajuk Bab Dalam Buku Penerbit Tahun ISBN/ISSN : Nordin Hussin

: Perdagangan dan Peradaban di Laut Malayu : Masyarakat Melayu dan Dunia Maritim : Universiti Kebangsaan Malaysia : 2011 : 978-967-412-008-5

BAHAGIAN 2 : ULASAN BUKU/JURNAL 2.1 ABSTRAK

Lautan, pelayaran dan perdagangan merupakan tiga aspek utama yang telah membentuk peradaban Melayu. Laut Malayu yang merentas di antara Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu merupakan tanah leluhur orang Melayu dan sejak dari zaman awal millennium lagi orang Melayu telah mendapat membina peradabannnya yang berteraskan kepada kelautan dan perdagangan. Pelayar Melayu juga telah dapat menembusi seluruh pelusuk sembilan lautan yang terdapat di Dunia Melayu untuk berdagang dan membina peradaban. Sejak bermulanya peradaban Melayu awal yang dibina di Kedah dan kemudian diteruskan oleh kerajaan Srivijaya, kerajaan Melaka dan kerajaan Johor, kesemuanya berteraskan kepada dunia kelautan dan perdagangan. Namun, setelah penguasaan Eropah bermula dari abad ke-16 dan kemudiannya membawa kepada kehancuran pelabuhan Johor-Riau pada tahun 1784, Laut Malayu telah menjadi saksi kepada ketahanan peradaban Melayu yang telah diasaskan daripada kegiatan perdagangan dan kelautan menerima asakan kuasa luar yang kemudiannya membawa kepada terhakisnya nilai murni, jati diri masyarakat Melayu yang berteraskan kepada peradaban maritim. Justeru, sejarah Laut Malayu pada zaman awal moden tidak banyak difahami oleh ramai sarjana tentang kedinamikan peradaban Melayu. Syarahan yang dibentangkan ini adalah untuk memperjelaskan bagaimana sejarah sosial dan ekonomi yang berlaku di Laut Malayu yang telah membongkar banyak permasalahan dan lacuna yang terdapat dalam kajian-kajian sebelumnya. Selain itu juga syarahan ini juga menjelaskan kepentingan Laut Malayu sebagai laluan utama dunia, pelabuhan utama yang muncul dan berkembang di Laut Malayu, masyarakat pedagang, konsep bandar natif/pribumi dan bagaimana pelabuhan dan masyarakat yang mendiami di pelabuhan yang terletak di Laut Malayu telah berjaya memainkan peranan penting dalam perdagangan dunia dan membentuk peradaban Melayu.

2.2

TUJUAN BAB INI DITERBITKAN

Setelah penelitian dibuat terhadap bab kedua yang dimuatkan dalam buku ini, kita akan mendapati bahawa penulis cuba untuk membantu para sarjana malahan masyarakat Melayu masa kini untuk memahami bagaimana masalah kekuasaan orang Melayu dalam ekonomi dan perdagangan telah ketinggalan pada zaman kolonial dan pasca-kolonial. Sebaliknya jika dianalisis secara terperinci, kita akan mendapati bahawa peradaban Melayu itu sendiri terbentuk daripada maritim dan perdagangan. Malahan, sejak bermulanya peradaban Melayu sehingga kejatuhan kerajaan Johor semuanya berteraskan kepada kelautan dan perdagangan. Selain itu, penulisan bab ini juga bertujuan untuk dijadikan sumber pengetahuan kepada generasi hari ini terutamanya masyarakat Melayu tentang kepentingan dunia maritim di mana orang Melayu tradisional menjadikan laut dan sungai sebagai penyatu dan penyatuan tersebut telah membentuk penubuhan kerajaan, bandar dan peradaban. Hal ini berkait dengan situasi masa kini di mana masyarakat Melayu hari ini semakin melupakan bahawa dunia maritim suatu masa dahulu adalah dunia mereka dan menjadi teras kepada peradaban yang mereka bina. 2.3 ULASAN BAB DALAM BUKU

Di awal penulisan bab ini, kita akan mendapati bahawa penulis sangat menekankan tentang kebergantungan masyarakat Melayu terhadap dunia maritim. Kehidupan masyarakat Melayu amat terikat dan rapat sekali dengan dunia maritim. Bukan sahaja tentang aspek kehidupan tetapi pemikiran masyarakat Melayu juga berteraskan kepada laut dan kelautan. Penulis mengukuhkan pernyataan ini dengan memberi bukti melalui peribahasan pantun dan seloka masyarakat Melayu yang mempunyai perkaitan dengan kelautan. Salah satu rangkap pantun yang dikemukan oleh penulis adalah;

Berlayar kapal ke Inderagiri, Selisih perahu dekat pengkalan, Kalau tak kenal siapa diri, Payah nak tahu siapa Tuhan.
Selain itu, penulis juga memberi satu penegasan kepada masyarakat Melayu hari ini yang telah melupai bahawa dunia maritim satu masa dahulu adalah dunia mereka dan menjadi teras kepada peradaban yang mereka bina. Malahan, penulis menegaskan bahawa tanah yang ditelusuri di Laut Malayu merupakan tanah tumpah darah kepada orang Melayu.

Hal ini dibuktikan dengan kewujudan beberapa buah kerajaan lama yang berteraskan maritim wujud di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera seperti kerajaan Srivijaya, Melaka, Kedah, Beruas, Aceh, Pasai, Salak, Perlak dan Kerajaan Johor-Riau. Aspek kedua yang disentuh oleh penulis ialah kepentingan aktiviti perdagangan yang membentuk peradaban. Kedudukan geografi Laut Malayu yang terletak di antara dua peradaban utama dunia, iaitu Timur dan Barat, penting kepada pertembungan budaya dan peradaban. Oleh itu, kedudukan Laut Malayu menjadi lokasi percambahan peradaban yang terbaik kerana telah menjadi penghubung antara dunia Barat dan Timur yang telah disuburkan dengan kegiatan perdagangan antara wilayah. Dari segi sejarah dan peradaban yang berkembang di Laut Malayu, didapati masyarakat yang mendiami wilayah ini adalah berteraskan perdagangan dan perdagangan jugalah yang mencorakkan kehidupan mereka. Tetapi tidak ramai sarjana sejarah yang menyelami kepentingan perdagangan sebagai unsur utama dan penting kepada pembentukan etnik dalam sesuatu masyarakat. Penulis melanjutkan perbicaraan mengenai kepentingan dunia maritim kepada masyarakat Melayu dengan memberi penekanan bahawa laut adalah penyatu Dunia Melayu yang terpisah kepada gugusan kepulauan dan tanah daratan. Terpisahnya kehidupan dan petempatan masyarakat Melayu telah disatukan semula oleh dunia maritim dan akhirnya membentuk membentuk kepada percambahan peradaban masyarakat Melayu. Lautan juga telah menyatukan orang Melayu dengan dengan dunia luar dan mewujudkan masyarakat maritim yang kosmopolitan di pelabuhan dan bandar di sepanjang pesisir Laut Malayu tersebut. Selain itu, penulis turut memuatkan tentang pertentangan pendapat antara sarjana-sarjana mengenai penyatuan gugusan kepulauan dengan Tanah Besar Asia Tenggara. Terdapat segelinitir sarjana yang menyokong idea yang dibawa oleh Anthony Reid yang menyatukan kefahaman duni maritim Melayu yang mengikatnya dengan wilayah yang terletak di Tanah Besar Asia Tenggara. Idea ini mendapat kritikan daripada sarjana-sarjana yang lain yang berpendapat dunia maritim amat amat berbeza dengan dunia agraria yang menjadi pemangkin kepada peradaban yang berkembang di Tanah Besar Asia Tenggara. BAHAGIAN 3: KRITIKAL SUMBER 3.1 Kekuatan Sumber

Kekuatan penulisan bab ini banyak bergantung kepada idea penulisan yang menggunakan skop bidang sejarah dari bawah. Bab yang bertajuk Masyarakat Melayu dan Dunia

Maritim dapat menjelaskan kepada kita bahawa penulis menggunakan skop sejarah dari

bawah di mana keseluruhan bab ini hanya berkisarkan kepada golongan masyarakat bawahan yang bergantung terhadap dunia maritim. Malahan, penulis langsung tidak menyentuh tentang keterlibatan golongan pemerintah bahkan penulis juga tidak mencampur-adukkan penulisan bab ini dengan sejarah politik. Secara keseluruhan, analisis awal yang dapat dilakukan adalah penulisan bab ini hanya menjurus kepada sejarah sosial dengan merujuk kepada sejarah masyarakat Melayu tradisional. Oleh itu, ia merupakan salah satu kekuatan penulisan bab ini berbanding penulisan buku-buku yang lain di mana banyak mengolah sejarah tradisi dengan melihat aspek pensejarahan politik dan pentadbiran. Kekuatan penulisan ini juga dapat dilihat melalui pendekatan yang digunakan oleh penulis. Penulis menggunakan pendekatan kualitatif dalam melengkapkan bab ini. Pendekatan yang digunakan oleh penulis ini mampu memberi penghuraian yang mendalam tentang isi yang terkandung dalam penulisan ini. Pendekatan yang digunakan oleh penulis mampu memberi kefahaman yang mudah kepada pembaca. Malahan, penghuraian secara deskriptif yang dibuat dapat mencapai matlamat penulisan sebagaimana yang dikemukakan dalam abstrak. Misalnya, penulis menggunakan pendekatan kualitatif dengan menghuraikan secara deskriptif berkaitan dengan pertentangan pendapat antara sarjana di mana segelintir sarjana berpendapat Asia Tenggara adalah satu dan disatukan dengan perdagangan antara Tanah Besar dan kepulauan Asia Tenggara, namun ada yang berpendapat sebaliknya. Penilaian berkenaan kekuatan penulisan ini juga dapat dibuat dengan melihat kepada penggunaan sumber yang digunakan oleh penulis. Penulis banyak merujuk kepada sumber-sumber yang ditulis oleh penulis atau sejarawan yang menjadikan skop Asia Tenggara sebagai bidang utama. Selain itu, sarjana-sarjana yang dirujuk oleh penulis juga mempunyai pengetahuan yang luas tentang laut dan kelautan seperti Anthony Reid, Victor Leiberman, Barbara Andaya, Heather Sutherland, Hans-Dieter Evers, Kenneth Hall, Roy Ellen dan J.F Warren. Oleh itu, penulisan yang dibuat oleh penulis dapat meyakinkan para pembaca malahan boleh dijadikan rujukan oleh pengkaji-pengkaji lain di masa akan datang. 3.2 Kelemahan Sumber

Walaupun penulis menggunakan pendekatan kualitatif, tetapi terdapat juga beberapa fakta yang diolah secara umum sahaja. Fakta tersebut tidak dihurai secara lebih terperinci untuk memudahkan pemahaman pembaca. Misalnya, penulis ada menyatakan bahawa aktiviti perdagangan menjadi salah satu aspek penting dalam membentuk peradaban di Laut Malayu. Biarpun, penulis ada mengatakan berlaku percambahan budaya hasil kedatangan

para pedagang, tetapi proses percambahan budaya dan etnik tidak dijelaskan oleh penulis. Contohnya, penulis perlu memperincikan proses percambahan budaya yang berlaku di Laut Malayu sama ada melalui pergaulan, urusan jual beli, kahwin campur dan sebagainya. Ini akan lebih menguntungkan penulis memandangkan penulisan lain tidak menyelami kepentingan perdagangan sebagi unsur utama dan penting kepada pembentukan etnik dalam sesuatu masyarakat. Satu lagi kelemahan yang dapat dikesan dalam penulisan bab ini adalah kekurangan penggunaan sumber-sumber asli atau data primer. Dalam penulisan bab ini ada memuatkan tentang penguasaan kuasa Barat seperti Portugis, Belanda dan British ke atas kerajaankerajaan yang wujud di dunia maritim Melayu. Kegagalan penulis mengemukakan sumbersumber asli menyebabkan fakta yang terkandung dalam penulisan bab ini tidak disokong dengan bukti yang kukuh. Oleh itu, dokumen-dokumen asli perlu di beri perhatian oleh penulis dalam memantapkan penulisan bab ini. Saya juga percaya bahawa sekiranya penulis dapat berbuat demikian, penulisan bab ini akan menjadi lebih menarik dan ketepatan fakta yang dikemukakan tidak dapat disangkal. BAHAGIAN 4 : SOROTAN LITERATUR Bahan utama yang disorot bagi menambahkan pemahaman tentang masyarakat Melayu dan dunia maritim adalah penulisan yang dibuat oleh Nordin Hussin yang bertajuk Geografi dan

Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800.1 Penulisan ini cuba mengupas kedudukan geografi Selat Melaka yang amat
strategic dan yang telah digunakan oleh para pelayar dan pedagang yang berulang alik dari Timur dan Barat. Kedudukan Selat yang mengawal arah aliran perdagangan dunia di sebelah Timur yang amat kaya dengan hasil bumi dan kedudukannya yang strategik di antara tanah besar China dan benua kecil India telah diketahui sejak zaman kerajaan Melayu Srivijaya lagi. Kedudukan strategik ini telah digunakan sepenuhnya oleh kerajaankerajaan Melayu yang tumbuh dan berkembang di selakt tersebut seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Aceh dan kerajaan Johor-Riau. Namun, kekuatan yang ada pada Selat ini juga telah menyebabkan kegemilangan pelabuhan Melayu Melaka dan Riau telah jatuh dan dikuasai oleh tiga kuasa besar Eropah yang utama iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris. Kekuatan yang ada pada Selat ini juga telah menjadikannya rebutan di antara ketiga-tiga kuasa tersebut kerana siapa yang berjaya menguasainya, maka dialah yang akan

Nordin Hussin, Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800, Akademika 73 (Mei) 2008: 3-26

memperolehi keuntungan dan dapat mengawal arah aliran perdagangan dunia yang melaluinya. Penulisan seterusnya yang menjadi bahan pembacaan penulis ialah karya yang dibuat oleh Mohd Koharuddin Mohd Balwi yang berjudul Peradaban Melayu.2 Dalam bab 4 iaitu berkenaan dengan Ekonomi Melayu, pengarang menyentuh perkaitan antara ekonomi peradaban melayu dengan kelautan. Pencapaian tinggi dalam bidang ekonomi masyarakat Melayu dibuktikan oleh catatan yang diperoleh dari China, India, Arab, Parsi, Yunani dan Eropah yang menceritakan tentang wujudnya tradisi maritim yang sangat hebat di alam Melayu ketika itu. Tradisi maritim itu ialah aktiviti perdagangan yang ketika itu merupakan aktiviti utama bagi kerajaam Melayu. Kegiatan perdagangan dan perniagaan lebih tertumpu di kawasan bandar atau bandar pelabuhan. Sementara di kawasan desa atau pendalaman pula, kebanyakannya tertumpu kepada aktiviti sara hidup yang asas seperti pertanian, penternakan, perikanan dan memungut hasil hutan. Kehebatan dan kekuatan masyarakat Melayu dalam dunia perdagangan ini kemudiannya menjadikan orang Barat memusuhi mereka dan berusaha untuk menhancurkan penguasaan mereka ke atas perdagangan dunia ketika itu. Perdagangan rempah yang amat menguntungkan di dunia ketika itu menggamit beberapa buah kuasa Eropah untuk menakluk pusat ketamadunan Melayu yang utama seperti Melaka dan Majapahit serta pelbagai pusat maritim lain di alam Melayu dengan tujuan utama untuk memonopoli perdagangan rempah dunia. BAHAGIAN 5 : PENUTUP Secara tuntasnya, bab dalam buku yang diulas ini mempamerkan kebergantungan masyarakat Melayu tradisional dengan bidang kelautan. Kebergantungan ini dapat dilihat dengan nyata apabila peradaban Melayu itu sendiri dicorakkan melalui kegiatan yang berkait dengan unsure maritim seperti perdagangan dan perniagaan. Idea ini disokong oleh faktafakta yang sahih yang menguatkan lagi penghujahan bab ini. Selain itu, idea laut sebagai penyatu menjadikan penulisan ini antara penulisan yang menarik kerana pengarang buku ini mampu memberi penghuraian yang mendalam di samping menyenaraikan beberapa buah penulisan untuk menyokong idea ini. Kejelasan pemikiran (clarity of thought) yang tinggi disampaikan melalui penggunaan ayat yang teratur dan memudahkan pemahaman para pembaca. Oleh itu, bab yang dimuatkan dalam buku ini mempunyai kekuatan dan nilai akademik yang diperlukan oleh para sarjana sebagai rujukan dan pemahaman para pembaca.
2

Mohd Koharuddin Mohd Balwi, Peradaban Melayu, Johor: Universiti Teknologi Mara, 2005.

Anda mungkin juga menyukai