Anda di halaman 1dari 6

1.0 Definisi Remaja.

Menurut Mohammad Salleh Lebar, pada masa kini istilah remaja adalah untuk jangka masa
di antara 15-25 tahun, iaitu satu jangka masa yang dianggap begitu panjang. Empat puluh
tahun yang lampau, jangka masa remaja boleh dikatakan pendek iaitu di antara peringkat
umur 15-20 tahun sahaja. Kebanyakan remaja pada ketika itu berkahwin di sekitar umur 16-
18 tahun. Tetapi pada masa kini, adalah kerana akibat perubahan gaya hidup zaman moden
dan mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan dan cabaran sebelum mendirikan
rumahtangga.

Menurut Abd Majid dan Rahill Mahyuddin, remaja merupakan satu zaman yang bermula dari
baligh dan berakhir apabila seseorang itu menjadi dewasa. Pelbagai pancaroba yang berlaku
di zaman remaja ini. G. Stanley menamakan zaman remaja sebagai zaman storm dan stress.
Jadi, bolehlah dirumuskan bahawa semua tugas perkembangan zaman remaja ialah satu
persediaan yang perlu untuk seseorang kanak-kanak itu menjadi orang dewasa yang
berperwatakan sihat dan dinamik.

Menurut Boon Pong Ying dan Ragbir Kaur, peringkat remaja adalah bermula dari umur 12-18
tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak akan mencapai tahap kematangan akil baligh dan
menyedari tentang perubahan bentuk badan mereka. Mereka akan menerima perubahan
fizikal mereka dan menggunakannya dengan cara yang paling berkesan.

Menurut Kathleen dan Joseph (1989), masa remaja adalah satu tempoh penangguhan
psikososial, satu tempoh peralihan yang panjang di antara peringkat kanak-kanak kepada
peringkat dewasa, yang mungkin ataupun tidak mungkin disambut oleh individu tersebut
sebagai satu peluang untuk meneroka ke alam diri sendiri. Dengan kata lain, remaja
bermaksud satu zaman peralihan dari peringkat zaman kanak-kanak ke peringkat bebas, iaitu
zaman dewasa. Zaman inilah para remaja sentiasa dicabar oleh peraturan-peraturan agama,
sosial dan pembangunan. Seandainya mereka gagal mengawasi tugas-tugas perkembangan
yang dilalui tersebut, maka mereka akan menghadapi masalah dan tekanan. Pepatah inggeris
ada menyatakan bahawa zaman remaja adalah seperti kehidupan kupu-kupu di waktu malam
yang sentiasa mencari tempat yang ada sinaran cahaya. Jadi, pada masa kini remaja akan
sentiasa keluar dari rumah untuk mendapatkan hiburan dan keseronokan terutama di tempat-
tempat yang menjadi tarikan orang ramai tanpa mengira waktu siang ataupun malam.

Ketibaan baligh (puberty) biasanya dikaitkan dengan permulaan peringkat remaja. Baligh
bermaksud kematangan sistem pembiakan, sosial dan fizikal. Pada peringkat ini remaja akan
mengalami perubahan dari segi struktur tubuh badan, kecergasan, tanggapan, minat, nilai dan
pegangan agama. Biasanya remaja yang normal dan berfikiran waras mula mengurangkan
pergantungan kepada keluarga bagi mendapatkan ilmu dan kemahiran tertentu. Mereka tidak
terikat atau mengharapkan ibu bapa lagi dalam memandu arah kehidupan yang dituju.
Remaja yang berumur 15 tahun ke atas biasanya sudah pandai mengawal diri sendiri dan
menggunakan masa lapang untuk melakukan perka-perkara yang berfaedah.

1
2.0 Aspek Perkembangan Emosi Remaja.

2.1 Peringkat Awal Remaja (12-15 tahun)

Emosi remaja pada peringkat ini adalah sukar diramal. Mereka mengalami pelbagai konflik
diri. Contohnya, mereka inginkan kebebasan tetapi pada masa yang sama mereka masih
bergantung pada ibu bapa untuk keperluan kewangan, kasih sayang dan sebagainya. Satu lagi
punca konflik diri ialah tentang tanggapan diri mereka sama ada mereka masih lagi kanak-
kanak ataupun sudah dewasa. Ada pula yang bersikap angkuh kerana hendak melindungi
segala kelemahan yang ada pada diri mereka. Oleh itu, guru hendaklah menggalakkan
persaingan diri agar perasaan kejayaan dapat dinikmati. Dalam persaingan seperti ini, guru
tidak harus membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar-pelajar lain.
Sebaliknya, pencapaian pelajar yang sama dibandingkan dengan pencapaiannya bagi bulan
sebelumnya. Sekiranya ada kemajuan, maka pujian atau ganjaran hendaklah diberikan kepada
murid tersebut. Perasaan marah kerap kali timbul kerana jiwa remaja yang tertekan akibat
pelbagai konflik yang melanda diri mereka.

Pada peringkat awal remaja, remaja juga kurang sabar dan sentiasa berpegang teguh kepada
pandangan diri sendiri. Pendapat orang lain jarang diterima dengan mudah. Guru hendaklah
menggalakkan remaja di peringkat ini agar bersedia menerima pendapat orang lain kerana
amalan seperti itu tidak bermakna satu kekalahan. Sebaliknya, bertukar-tukar fikiran dan
pendapat adalah satu perlakuan yang banyak manfaatnya. Di peringkat ini, remaja mula
menilai tingkah laku orang dewasa seperti ibu bapa dan guru secara lebih objektif.
Contohnya, apabila ibu bapa melarang anak menonton televisyen atau merokok tetapi ibu
bapa sendiri melakukan perkara tersebut. Keadaan ini akan menimbulkan perasaan tidak puas
hati di kalangan remaja. Akibatnya mereka mula memberontak dan menentang ibu bapa serta
guru. Oleh itu, guru hendaklah menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar-pelajarnya.

2.2 Peringkat Remaja (15-20 tahun)

Pada peringkat ini remaja mengalami suatu tekanan dan ketegangan. Ini kerana mereka
inginkan kebebasan tetapi pada masa yang sama mereka berasa masih bergantung dan
terhutang budi terhadap ibu bapa yang telah menyokong mereka dari segala aspek. Mereka
tetap menyayangi ibu bapa tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai perasaan untuk
menentang atau membantah apabila diminta melakukan perkara yang berlawanan dengan
kehendak mereka. Keadaan seperti itu boleh mewujudkan jurang yang ketara di antara remaja
dan ibu bapa.

Di peringkat ini, nilai-nilai kumpulan rakan sebaya menjadi pengaruh yang kuat terhadap
sikap, pakaian, dan nilai remaja itu. Sebagai contoh jika rakan sebayanya berambut ala
‘punk’, remaja juga akan cuba untuk meniru gaya rambut begitu. Begitu juga pakaiannya
yang menyerupai fesyen ala ‘baggy’. Keadaan-keadaan seperti inilah yang secara tidak
langsungnya akan menimbulkan perasaan serba salah di kalangan diri remaja. Mereka masih
sayang dan ingin mematuhi nilai-nilai ibu bapa tetapi dalam masa yang sama mereka merasa
bimbang jika tidak mamatuhi nilai dan amalan rakan sebaya yang boleh menyebabkan
mereka disingkir atau dipulaukan di kalangan mereka.
2
Pada peringkat ini rumah tidak lagi menjadi minat mereka dan mereka juga menjadi lebih
berminat untuk berhubung dengan orang yang bukan dari kalangan ahli keluarga mereka.
Kebanyakkan remaja pada peringkat ini menyanjung tinggi dan memuji orang yang lebih
dewasa yang mereka terima sebagai model atau contoh kepada perilaku mereka. Oleh sebab
ketegangan kerap berlaku di antara remaja dengan ibu bapa, jadi, guru amat diperlukan untuk
simpati dan menasihati mereka.

Perubahan dalam aspek rupa bentuk fizikal, sosial dan kognitif seseorang individu itu boleh
menimbulkan kesan yang negatif ke atas kestabilan emosi remaja. Pada mulanya aktiviti dan
imbangan hormon yang cepat berlaku di dalam badan merupakan punca utama yang
mengakibatkan gangguan emosi tetapi kemudiannya ketidakstabilan emosi adalah akibat
daripada konflik yang dihadapi dalam diri remaja dan dalam usahanya untuk membentuk
pandangan hidup yang lebih bermakna bagi dirinya. Sikap timbal balik orang lain terhadap
dirinya akan menguatkan atau mengurangkan konflik yang tersemat di dalam dirinya. Remaja
akan mulai menyedari perasaan-perasaan baru yang belum dialami olehnya sebelum itu
seperti kebangkitan nafsu seksual, dan ia kadangkala akan berasa seronok atau takut dengan
perasaan-perasaan tersebut yang adakalanya begitu kuat dalam diri mereka.

Oleh sebab perasaan ini muncul melalui satu proses semulajadi yang susah hendak di kawal,
ia akan mempunyai perasaan ingin tahu yang kuat yang biasanya jika ditanyakan kepada
orang dewasa tidak akan dijawab kerana dianggap sebagai topik-topik sensitif ataupun
jawapan yang diberikan tidak memuaskan hati mereka. Para remaja mungkin bertindak balas
dengan menarik diri dan cuba menyelesaikan persoalan dengan melarikan diri ke alam
fantasi. Penarikan diri ini mungkin ditafsirkan oleh orang lain sebagai satu tanda sikap
beragam (moody), sombong dan anti sosial. Jika perasaan ingin tahunya ditinggalkan tanpa
jawapan, dia mungkin merasakan bahawa kebanyakkan aktiviti yang patut melibatkan dirinya
sebagai tidak sesuai. Remaja mungkin bertindak balas terhadap perasaan ingin tahunya
dengan membincangkan isu-isu berbentuk peribadi bersama-sama dengan kelompok
sebayanya, atau akan membaca bahan-bahan yang mempunyai topik-topik yang menarik
minat mereka. Perasaan kecewa tersebut akan membawa kepada tingkah laku yang agresif
dan seterusnya pula mungkin mencari apa sahaja jalan untuk melepaskan kekecewaannya
termasuk dengan cara penyalahgunaan dadah, pemujaan agama ataupun mengmbil keputusan
untuk lari meninggalkan rumah.

3.0 Zaman Remaja Saya.

Lantaran pendapat para ahli-ahli akademik tersebut, saya berpendapat bahawa zaman remaja
saya adalah bermula pada peringkat umur saya 12 tahun iaitu ketika berakhirnya zaman
persekolahan rendah dan bermulanya zaman persekolahan menengah saya. Di antara kesan-
kesan yang dapat sya kenal pasti dalam perkembangan yang berlaku ke atas diri saya ketika
zaman ini adalah perkembangan dari segi mental, emosi, bahasa dan juga sosial.

Keempat-empat yang saya nyatakan tersebut sememangnya saya dapat mengesan sendiri
perkembangan yang berlaku. Ini kerana perubahan perkembangan yang berlaku boleh saya
lihat dengan jelas. Contohnya dari aspek emosi, ketika saya berada di zaman kanak-kanak,

3
saya tidak dapat mengawal perasaan saya untuk menangis apabila dimarahi oleh ayah atau
ibu. Tetapi apabila saya meningkat remaja, saya tidak lagi menangis dan cuba untuk berfikir
tentang mengapa saya dimarahi.

Mengulas kembali zaman remaja saya, pada peringkat umur 13 tahun saya telah dihantar
untuk belajar di sekolah berasrama penuh harian. Bermulanya kehidupan saya di asrama yang
berjauhan dari keluarga telah memberi saya pelbagai cabaran dan dugaan hidup untuk
berdikari di masa hadapan. Rutin harian pelajar asrama yang bangun pada jam 5.30 pagi dan
akan hanya mula tidur pada jam 11.30 malam di samping aktiviti-aktiviti harian di sekolah
dan asrama telah menjadi agenda pelengkap kepada perkembangan kehidupan di zaman
remaja saya.

Dari aspek emosi, mental, bahasa dan sosial, semuanya saya dapat rasakan perkembangan
yang berlaku ke atas diri saya. Sebagai contohnya ketika di zaman kanan-kanak, minda
telahpun tertanam bahawa kehidupan di asrama adalah amat menakutkan terutamanya dalam
menghadapai masalah-masalah pembulian. Keadaan ini (daripada perasaan takut kepada
keadaan biasa/normal) berubah apabila saya melalui sendiri keadaan tersebut. Apa yang
nyata, perkembangan emosi dan mental saya telah menyebabkan saya menjadi semakin
berani untuk menghadapi keadaan persekolahan tersebut.

Selain itu, perkembangan yang berlaku itu juga telah dapat membantu saya untuk
memikirkan perbezaan antara perkara yang baik dan juga yang buruk. Walaubagaimanapun
saya tetap akui bahawa walaupun saya sudah dapat membezakan antara perkara baik dan
buruk, saya masih belum dapat memikirkan kesannya kepada saya untuk jangka masa
panjang di masa datang. Ini mungkin kerana perkembangan yang berlaku dari aspek sosial
saya lebih menjurus ke arah yang negatif . Inilah yang cuba saya maksudkan saya masih
belum dapat memikirkan kesan daripada sesuatu perkara itu untuk jangka masa yang panjang.

Seterusnya secara ringkasnya dapatlah dinyatakan disini bahawa perkembangan saya dari
aspek-aspek tersebut telah membawa saya untuk terus belajar di tingkatan 6 dan seterusnya
meneruskan pelajaran di puncak menara gading. Berlandaskan perkembangan emosi dan
mental yang cergas dan cerdas, saya telah menolak tawaran kerja yang agak hebat iaitu
menjadi inspektor polis untuk meneruskan pelajaran saya di Universiti Malaysia Sabah dalam
ijazah pengajian ilmu Hubungan Antarabangsa. Dan setahun kemudian saya meneruskan
pelajaran di Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan Diploma Pendidikan.

4
3.1 Perkembangan dan implikasinya pada pembelajaran.

Proses perkembangan diri saya di alam remaja sememangnya telah memberi implikasi
sepenuhnya terhadap corak kehidupan saya di masa hadapan. Keadaan ini adalah kerana
setiap perkara yang berlaku samaada perkara yang baik atau buruk akan dapat saya nilai dan
ubah kepada perkara yang lebih baik di alam dewasa saya. Sebagai contohnya ketika di
zaman remaja saya masih belum dapat memikirkan kesan sesuatu perkara kepada kehidupan
saya untuk jangka masa panjang. Namun, apabila saya meningkat dewasa, saya telahpun
dapat memikirkan kesan perkara yang berlaku dengan lebih mendalam lagi. Keadaan ini telah
memberi kesan yang amat positif kepada perkembangan dalam diri saya.

Seterusnya, perkembangan saya di zaman remaja juga telah memberi implikasi yang amat
mendalam pada aspek pembelajaran saya. Diantara implikasi-implikasinya adalah cara
berfikir saya menjadi bertambah matang dan rasional. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui
pelbagai kaedah dan cara. Contohnya dari segi cara saya menulis karangan. Jika sebelum
remaja, karangan atau penulisan saya lebih menjurus kepada teknik penceritaan yang berkisar
kepada keadaan mitos ataupun khayalan semata-mata. Namun keadaan itu berbeza setelah
saya menjadi matang/remaja kerana pada tahap tersebut karangan yang di tulis saya lebih
menjurus kepada fakta yang dilihat lebih rasional terhadap kehidupan yang dilalui.

Selain itu perkembangan zaman remaja saya juga telah memberi kesan terhadap tingkahlaku
saya terhadap pembelajaran. Keadaan ini akan lebih mudah difahami melalui contoh yang
saya nyatakan iaitu tingkahlaku penerimaan saya terhadap ilmu dan pembelajaran. Dalam
situasi ini, saya mendapati tingkahlaku penerimaan saya terhadap pelajaran/ilmu sebelum dan
selepas remaja adalah berbeza . Ini adalah kerana, sebelum remaja tujuan atau motif untuk
pergi belajar agak samar ataupun hanya terpaksa kerana di suruh oleh ibu bapa ataupun
tujuan ke sekolah hanya untuk berjumpa dan bermain bersama rakan-rakan. Hal ini berbeza
apabila saya dewasa. Tingkahlaku saya terhadap pelajaran sudah berbeza ekoran cara berfikir
saya yang sudah matang dan lebih rasional.

Kedua-dua kesan yang saya nyatakan di atas adalah lebih menjurus kepada perkembangan
dari segi emosi dan mental. Walaubagaimanapun, perkembangan saya dari segi fizikal dilihat
tidak banyak memberi implikasi kepada pembelajaran saya. Ini kerana, saya dapati bahawa
perkembangan diri saya secara fizikal telah menjadikan saya lebih bergiat aktif dalam bidang
sukan saya. Jika dilihat dari segi pembelajaran akademik, implikasi positifnya yang boleh di
ambil adalah perkembangan fizikal ini telah menjadikan saya bertambah kuat dan berdaya
tahan. Ini terutamanya dari segi menanggung beban pelajaran yang diterima. Saya jarang
menghadapi tekanan dalam pelajaran. Ini adalah mungkin disebabkan faktor fizikal saya yang
sihat yang telah menjana otak dan minda saya menjadi lebih cergas dan cerdas. Keadaan ini
adalah bersesuaian dengan kehendak Islam yang menekan bahawa ‘otak yang baik adalah
terletak pada badan yang sihat.’

5
Kesimpulan.

Secara literalnya, perkembangan zaman remaja seseorang individu banyak memberi kesan
kepada corak kehidupan individu tersebut di masa akan datang. Perkembangan-
perkembangan dari segi emosi, mental, jasmani dan budaya remaja banyak di pengaruhi oleh
faktor sekeliling. Jadi, jika seseorang remaja itu memilih faktor negatif dalam corak
kehidupannya, maka, sukarlah untuk remaja tersebut meneruskan kemandiriannya dalam
masyarakat. Dan begitulah juga sebaliknya jika remaja tersebut memilih corak kehidupan
yang positif sebagai pemacu kehidupannya.

Bagi diri saya, disebabkan faktor sekeliling dan keluarga yang agak aktif dalam masyarakat
telah menjadikan saya dapat melalui setiap perkembangan dalam diri saya secara kritis dan
jelas. Perkembangan yang berlaku dalam diri saya dari aspek-aspek yang telah saya nyatakan
di atas nampak selari dengan perkembangan kehidupan saya mengikut alunan susunan seperti
a,b,c dan d. Jadi, keadaan sedemikianlah yang telah dapat menjadikan saya lebih berdaya
saing dan matang dikalangan rakan-rakan saya.

Rujukan.

Abd. Majid Mohd Isa & Rahil Mahyuddin. 1997. Psikologi Pendidikan 1 : Pertumbuhan
dan Perkembangan. Petaling Jaya : Longman Malaysia Sdn.Bhd.

Boon Pong Ying & Ragbir Kaur. 1998. Psikologi 1 (semester 1). Shah Alam : Fajar Bakti
Sdn.Bhd

Ee Ah Meng. 1995. Sekolah Dan Perkembangan Kanak-Kanak (Asas Pendidikan 4). Shah Alam.
Fajar Bakti

Hurlock, Elizabert B. 1999. Psikologi Perkembangan Pendekatan Sepanjang Rentang


Kehidupan. Ed. 5. Jarkarta : Erlangga

Lee Shok Mee. 1994. Asas Pendidikan 2 : Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur:
Kump. Budiman Sdn.Bhd.