Anda di halaman 1dari 3

Cara guru menangani cabaran dalam dunia pendidikan.

Profesion keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya. Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional. Seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang pendidikan semakin mencabar. Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks. David Ryans dalam bukunya Characteristics Of TeachersTheir Description, Comparison, And Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan. Guru dalam konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk sesebuah masyarakat. Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan,

antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan. Sebenarnya profesion keguruan mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan menjurus cabaran yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran dalam pengajarannya khususnya. Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik. Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan. Guru yang aktif dan bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020.

Dengan globalisasi yang semakin rancak menguasai dunia-dunia dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial, pendidikan dan ekonomi ianya memberikan kelebihan menerusi perkembangan profesionalisme keguruan dalam bidang pendidikan khasnya. Berdasarkan gambar rajah di bawah terdapat lima perkembangan yang jelas diperoleh menerusi globalisasi. Meluaskan peluang kepada guru dalam perkhidmatan dan guru dalam latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme. Ini dilihat menerusi adanya peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang ditawarkan bagi memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam sesuatu tempoh yang telah ditetapkan mampu meningkatkan lagi taraf profesionalisme keguruan.

Selain itu, menerusi globalisasi ianya dapat meluaskan pengetahuan guru secara global. Seperti yang kita tahu, guru perlu sentiasa mengekalkan nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan produk berkualiti atau modal insan yang diperlukan di Negara kita. Guru perlulah peka dengan perkembangan semasa kerana selain tanggungjawab menyalurkan ilmu kepada murid, guru menjadi sumber rujukan dan teladan bagi masyarakat di sekeliling.

Dengan globalisasi guru dapat meningkatkan kemahiran ICT dan interaksi global yang mana ianya meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah. Contohnya, dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang merentasi penyediaan pengalaman murid tanpa terbatas. Contohnya, murid berpeluang melihat keadaan gunung berapi, keadaan di kutub utara dan menyelami di dasar laut menerusi carian laman video pendidikan di internet.

Meluaskan lagi program pensiswazahan guru bagi memperbaiki taraf kualiti dan taraf profesionalisme guru setanding dengan guru-guru di negara luar agar produk yang dihasilkan mampu membangunkan negara kita dengan lebih maju dan berjaya.

Dengan globalisasi ianya meletakkan profesion keguruan sebagai satu profesion yang penting. Ini kerana berjayanya sesebuah negara adalah dengan berjayanya negara itu menghasilkan modal insan berguna yang akan

membangunkan negaranya setaraf dengan negara maju yang lain.