Anda di halaman 1dari 12

PsIkologi

PENDIDIKAN KPP (1033)

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

MENGAPA PELAJAR KURANG


MEMINATI SUBJEK SENI

Disediakan oleh:

AT 23 PENDIDIKAN SENI (SESI 2008/2009)

D20071029673 MOHAMAD AFIFFUDDIN BIN MOHAMAD TAKIUDIN

Disemak oleh: DR SUPPIAH a/l NACHIAPPAN


PENDAHULUAN

Syukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi taufik dan hidayah
sehingga usaha penulisan ilmiah ini berjaya jua akhirnya. Penulisan ilmiah ini
bertujuan memenuhi kehendak kursus UBM 1022 Bahasa Melayu Profesional.

Kekurangan dari segi kandungan berjaya diatasi dengan membuat rujukan


yang lebih. Penyemakan telah dilakukan beberapa kali bagi memastikan mutu
penulisan memenuhi ketetapan yang telah diberikan.

Penulisan ilmiah ini mengandungi beberapa tajuk kecil yang menyentuh


beberapa aspek berkaitan tajuk iaitu ’Mengapa Pelajar Tidak Meminati Subjek
Pendidikan Seni Visual?’. Aspek yang disentuh ialah seni dan masyarakat,
definisi pendidikan seni visual, sejarah perkembangan pendidikan seni di
Malaysia, pendidikan seni masa kini, matlamat pengajaran pendidikan seni,
bidang kerja yang berkaitan dengan seni dan lain-lain.

Tajuk ini dipilih bertujuan untuk memberi penerangan secara ringkas


mengenai subjek pendidikan seni yang merangkumi cabaran yang dihadapinya,
peranan mahupun kebaikannya (bagaimana pendidikan seni menyumbang
kepada lahirnya modal insan). Oleh itu persepsi sempit masyarakat kita yang
menganggap remeh mata pelajaran ini dapat diubah.

Pada kesempatan ini saya percaya bahawa masih ada ruang yang perlu
dibaiki dalam penulisan ilmiah ini. Dengan demikian, pandangan dan teguran
yang membina amat diperlukan bagi memantapkan penulisan ilmiah saya di masa
akan datang. Saya berharap agar penulisan ini dibaca dengan kritis dan memberi
manfaat dalam meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai pendidikan seni
di negara kita.

Akhirnya, saya mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih


kepada semua rakan-rakan yang telah menyumbang idea kepada saya dalam
menyiapkan penulisan ilmiah ini. Terima kasih juga diucapkan kepada pensyarah
kursus ini iaitu Dr. Suppiah Nachiappan yang memberi tunjuk ajar dan panduan
penulisan ilmiah ini.

MOHAMAD AFIFFUDDIN BIN MOHAMAD TAKIUDIN


Pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni (AT23)
Fakulti Seni dan Muzik
Universiti Pendidikan Sultan Idris
35900 Tanjung Malim, Perak.

15 Mac 2009
1.0 PENGENALAN

1.1 SENI DAN MASYARAKAT

Dalam arus kemajuan Negara Malaysia masa kini yang semakin laju menuju matlamat
menjadi Negara maju pada tahun 2020, aspek pembangunan teknologi amat diititik beratkan.
Kemajuan teknologi merupakan antara pemacu utama sesebuah Negara dalam
mempertingkatkan perkembangan ekonomi dan produktiviti Negara. Justeru itu antara langkah
yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memberi penekanan dari akar umbi lagi iaitu pada
peringkat sekolah. Terutama sekali pada mata pelajaran sains dan matematik. Banyak dasar-dasar
yang dibuat khas untuk subjek subjek sains dan matematik. Antaranya penggunaan bahasa
inggeris dalam mata pelajaran tersebut. Selain itu bantuan komputer riba kapada guru mata
pelajaran sains dan matematik. Pada peringkat pendidikan tinggi juga begitu. Kuota bagi aliran
sains dan matematik lebih besar berbanding aliran lain.

Melihat kepada keadaan ini, situasinya seolah-olah mata pelajaran lain di sekolah
dipinggirkan dan tidak diambil berat oleh kerajaan. Terutama sekali subjek pendidikan seni.
Bukan hanya pihak kerajaan malahan masyarakat juga begitu. Lebih ironi, pelajar sekolah juga
mengganggap subjek pendidikan seni sebgai subjek yang tidak penting ataupun subjek tempelan
dan picisan. Mereka beranggapan bahawa pendidikan seni adalah subjek untuk pelajar yang
lemah dalam pelajaran sahaja kerana seni dianggap sesuatu yang mudah dan kurang
menyumbang kepada negara. Mereka tidak sepatutnya beranggapan begitu kerana seni wujud
dalam diri setiap manusia dan mereka perlu kenal apakah itu pendidikan seni dengan lebih
mendalam.

1.2 DEFINISI PENDIDIKAN SENI VISUAL

1.2.1 MAKNA PENDIDIKAN:

Umumnya bagi masyarakat Malaysia, pendidikan seni adalah pelajaran lukisan.


Pandangan sempit beginilah yang seharusnya diubah dari kotak minda masyarakat. Sebelum
mengenali seni kita apakah dia ’pendidikan’ terlebih dahulu. Terdapat pelbagai tafsiran bagi
pendidikan. Menurut bangsa Yunani, pendidikan ialah ilmu menuntun anak. Masyarakat Jerman
pula menganggap pendidikan sebagai ’erzhiehung’ iaitu membangkitkan kekuatan terpendam
ataupun mengaktifkan kekuatan dan potensi anak. Selain itu pendidikan juga dikatakan sebagai
usaha ataupun proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia menurut Professor Syed Naquib
al-Attas. Ulama dan cendekiawan Islam, Imam al-Ghazali pula mengatakan bahawa pendidikan
ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan meyemai perangai dan sifat
yang baik.
Keseluruhannya pendidikan merupakan satu proses membimbing seseorang ke arah
kebaikan dengan menyemai ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada indvidu tersebut dan
orang disekelilingnya.

1.2.2 MAKNA SENI

Seni mempunyai pelbagai definisi yang diutarakan oleh tokoh terkenal dalam bidang
seni. Menurut Frank Cizek, beliau menganggap seni adalah pernyataan diri seseorang. Maksud
beliau adalah setiap individu dilahirkan dengan potensi seni. Persekitaran yang membentuk
perkembangan seni individu. Linderman (1997) pula mengatakan bahawa seni adalah suatu
bahasa yang mengandungi roh(nilai spiritual) yang dapat membenarkan seseorang menghasilkan
sesuatu dan menghargainya. Seni membantu individu untuk mengenal personaliti diri dan potensi
yang ada dalam diri seseorang. Menurut beliau lagi, seni merupakan suatu bahasa non verbal
bagi manusia secara global.
Seni menurut acuan Islam merujuk kepada keindahan sama ada keindahan yang zahir
mahupun keindahan yang batin. Seni adalah berasaskan kepada prinsip tauhid. Ini bersesuaian
dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w, ”Allah itu indah dan ia suka akan keindahan”. Seni adalah
kesenangan estetik dan konsep keindahan menjadi pertemuan antara seseorang yang mempunyai
ilmu pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Misalnya, bagi orang yang berilmu,
jika menemui objek alam seperti bunga, serangga dan sebagainya ia akan melahirkan manifestasi
pemikiran dan perasaan terhadap objek tersebut. Menurut Sidi Ghazalba,seorang seniman Islam
menyatakan perkaitan antara seni dan Islam. Kata beliau, ”motif seni dalam Islam adalah
’kerana Allah untuk manusia’. Islam menghendaki supaya seni itu dilaksanakan berlandaskan
akhlak Islam(nilai baik dan bebas dari nilai haram). Islam menyatakan yang indah itu baik dan
baik adalah nilai akhlak(etika). Seterusnya akhlak dibentuk oleh ajaran al-Quran dan Hadith.
Menurut tokoh seni Malaysia pula misalnya, Syed Ahmad Jamal yang juga merupakan
seorang guru mengatakan seni tampak ialah rupa dan jiwa. Bagi beliau, seni ialah sesuatu yang
indah berlandaskan akal, etika, dan proses. Menurut Iberahim Hassan pula, seni merupakan
rekod pencapaian manusia, manifestasi nilai dan kepercayaan menusia yang dijelmakan
menerusi karya seni atau bentuk-bentuk tampak.
1.2.3 APAKAH ITU PENDIDIKAN SENI

Iberahim Hassan (2000) menjelaskan pendidikan seni adalah suatu bidang ilmu yang
boleh memberi pendidikan yang mana mencabar keupayaan individu membuat pemerhatian,
pengamatan, penaakulan, pemilihan, pentafsiran dan penterjemahan idea kepada bahan atau
media. Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan seni merupakan satu disiplin ilmu yang
melibatkan ketiga-tiga domain manusia.

2.0 SEJARAH PENDIDIKAN SENI DI MALAYSIA

Bermulanya pendidikan seni secara formal di negara kita,Malaysia adalah pada tahun
1816. Iaitu sekolah yang terawal mengajar matap pelajaran pendidikan seni ialah ‘Penang Free
School’ yang ditubuhkan pada tahun 1816. pada ketika itu seni diajar mengikut gaya pendidikan
barat.

Pendidikan seni terus dikembangkan oleh seorang seniman tersohor negara iaitu Abdullah
Ariff. Beliau merupakan seorang guru dan penyelia lukisan di ’Anglo Chinese School’, di Pulau
Pinang. Pada tahun 1949, belau menjadi pengerusi Kesatuan Kesenian Guru Pulau Pinang dan
beliau merupakan ahli Penang Impressionist.

Seterusnya di Pulau Pinang juga pada tahun 1906, Chong Hua Confusius Pulau Pinang
memperkenalkan mata pelajaran seni kaligrafi dan anyaman yang diajar dalam bahasa Cina.

Pada tahun 1916 pula Laporan Winstedt dikeluarkan bagi memperkemas sistem
pendidikan rendah di Tanah Melayu. Antara yang dinyatakan di dalam laporan tersebut ialah
sekolah melayu dan maktab mengajar mata pelajaran lukisan dan subjek anyaman diletakkan di
bawah subjek sains pertanian.

Seterusnya berkembanglah pendidikan seni di negara ini yang dipacu oleh institusi-
institusi pendidikan, buku-buku, pertubuhan seni, dan dasar-dasar pendidikan. Antara intistusi
pendidikan yang menawarkan pendidikan seni ialah sekolah-sekolah, Sultan Idris Training
College (1922), maktab perguruan ilmu khas Kuala Lumpur(1960),institut Teknologi Mara
(1967), Universiti Sains Malaysia,Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1997(yang
berasal dari Sultan Idris Training College- Maktab Perguruan Sultan Idris-Institut Perguruan
Sultan Idris- Universiti Pendidikan Sultan Idris ), dan banyak lagi.

Buku-buku yang diperkenalkan bagi mengajar subjek seni antaranya ialah Art and Crafts
oleh R.O Winstedt mengenai sejarah seni dan seni pertukangan, Pedoman Guru Penggal
Pertama(1928) oleh Winstedt juga yang berkenaan pengajaran lukisan dan kerja tangan, buku
Craft Work 1932 Third Year Practical ork for Senior Schools yang ditulis oleh Taylor dan Snell,
Buku Panduan Guru 1957 terbitan Kementerian Pelajaran Persekutuan tanah Melayu dan Dewan
Bahasa dan Pustaka, The Art Paper(1958) oleh Marjorie Clark dan W.T. Swinbanks yang
diterbitkan oleh Donald Moore dan seterusnya terdapat pelbagai buku lagi yang diterbitkan.

Pendidikan seni di negara kita juga dipacu oleh kewujudan pertubuhan dan institusi seni.
Antaranya ialah Wednesday Art Group (1951) yang diasaskan oleh Peter Harris (seorang
pengawas seni lukis di Kementerian Pelajaran), Majlis Kesenian Malaya (1952) yang diasaskan
oleh Tan Sri Mubin Sheppard dan Datuk Zainal Abidin Hj. Abbas, Penang Teachers’ Art Circle,
Malay Teachers Union (1954), Thursday Art Group (1957), Balai Seni Lukis Negara, dan lain-
lain.

Dasar kerajaan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan seni
misalnya Penyata Rahman Talib. Pihak yang memainkan peranan sebagai pusat perkembangan
kurikulum yang bertanggungjawab menggubal kurikulum pendidikan seni adalah Kementerian
Pelajaran Malaysia.

Ini membuktikan bahawa mata pelajaran pendidikan seni adalah antara mata pelajaran
yang penting sejak dahulu lagi terutama sekali sewaktu zaman penjajahan British kerana orang
Barat memandang seni dalam ruang lingkup dan skop yang luas. Bagi mereka seni adalah
sesuatu yang serius dan penting. Oleh itu, pemikiran seperti inilah yang harus diterapkan dan
ditanam dalam minda masyarakat di Malaysia.

3.0 PENDIDIKAN SENI MASA KINI

3.1 PENGENALAN

Masyarakat harus sedar bahawa pendidikan seni bukan seperti dahulu. Pada masa kini,
ruang lingkup dan cakupan dalam pengajaran seni adalah luas selari dengan arus kemodenan
dunia. Penyesuaian pengajaran pendidikan seni di sekolah di negara kita dapat dilihat menerusi
perubahan bagi nama mata pelajaran pendidikan seni itu sendiri. Bermula dengan nama Lukisan
dan Pertukangan Tangan berubah kepada Lukisan dan Kerja Tangan, seterusnya Lukisan dan
Kraf Tangan, kemudian dipermudah kepada Lukisan sahaja, seterusnya diubah kepada
Pendidikan Seni dan kemudian diubah pula kepada Pendidikan Seni Visual sehingga kini.

Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan
ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih
menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik,
seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri.

Setiap perubahan nama yang dilakukan bukanlah secara membuta tuli sahaja. Akan tetapi
melambangkan apa yang ingin disampaikan oleh mata pelajaran ini. Jika dilihat pada nama
subjek pendidikan seni visual, apa yang ingin ditunjukkan di sini bahawa mata pelajaran ini
mengajar bidang seni yang luas dan dapat ditatap dan dilihat oleh semua manusia.
3.2 MATLAMAT PENGAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL

Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah adalah untuk melahirkan insan
yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan
kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan,
menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

3.3 APAKAH YANG DIAJAR DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL?

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah disusun bertujuan


melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan
empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan
rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini
adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai
asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan
perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan
mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan
mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah, murid akan dapat menguasai beberapa
pengetahuan dan kemahiran.

Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat
dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat
pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip
rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau
dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual.
Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan,
alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif,
berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi
bahan dan perkakasan.

Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat,
memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian
dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.

Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif.
Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi
visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam
pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri.
Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian
dan mengenali cita rasanya sendiri.
Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang
bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran
akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid
digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan
melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah
sendiri.

Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik,


interpersonal dan intrapersonal. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya,
berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan
pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.

4.0 ”MENGAPAKAH PELAJAR KEBANYAKKANNYA TIDAK MENGGEMARI


SUBJEK PENDIDIKAN SENI”

Namun begitu, mengapakah matapelajaran ini tidak diminati ramai oleh pelajar? Sedangkan
ianya juga memainkan peranan penting pada era millenium masa kini. Seni masa kini bukanlah
suatu bidang yang sempit lagi. Ianya meliputi bidang industri dan teknologi terutamanya dalam
aspek reka cipta industri. Tetapi mengapa hal ini berlaku? Dalam masalah ini kita boleh
kategorikan puncanya kepada beberapa faktor iaitu faktor pelajar itu sendiri, guru, persekitaran
kelas pendidikan seni, ibu bapa dan juga kerajaan.

4.1 FAKTOR DIRI PELAJAR:

Seperti yang kita tahu, setiap orang mempunyai bakat ataupun kecerdasan yang berbeza.
Seperti yang dinyatakan oleh Howard Gardner dalam Teori Kepelbagaian Kecerdasannya. Ianya
mengatakan bahawa terdapat sembilan kecerdasan bagi setiap manusia iaitu kecerdasan logik
matematik, muzik, kinestetik, naturalis, verbal linguistik, interpersonal, intrapersonal, visual
ruang dan eksistensialisme. Seni termasuk dalam kecerdasan ruang visual dan ada juga naturalis
yang mana memerlukan kepekaan terhadap alam sekeliling.

Begitu juga halnya bagi pelajar. Setiap dari mereka mempunyai kemahiran yang berbeza-beza.
Maka dengan itu minat mereka juga berbeza-beza. Tidak ramai yang berbakat dalam bidang seni.
Ini kerana mungkin mereka mempunyai bakat dalam bidang lain dan lebih meminatinya
berbanding seni..

Walaupun begitu, bakat seni ini bukanlah tidak boleh diasah dan dibina. Ianya memerlukan
latihan yang gigih dan menganggap yang mereka boleh melakukannya. Apa yang menyebabkan
pelajar tidak minat mata pelajaran seni ini ialah mereka tiada keyakinan terhadap diri sendiri.
Bukan dalam bidang seni sahaja, dalam bidang lain pun jika pelajar yakin yang mereka boleh
melakukannya maka mereka pasti dapat hasilnya.

Selain itu, sikap pelajar yang menganggap subjek pendidikan seni ini adalah leceh dan
menyusahkan. Ini kerana dalam tugasan pendidikan seni, pelajar dikehendaki membawa alatan
dan bahan-bahan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P & P). Kos
penyediaan alatan dan bahan juga turut menjadi faktor. Malah ada yang beranggapan bahawa
wang yang digunakan untuk membeli alatan seni adalah lebih baik digunakan untuk membeli
barangan keperluan lain.

4.2 FAKTOR CARA PENGAJARAN GURU

Apa yang menyebabkan pelajar tidak meminati matapelajaran ini bukan sahaja disebabkan diri
mereka, malah juga disebabkan oleh guru yang mengajar subjek tersebut. Dalam konteks ini
ianya merujuk kepada guru yang terlalu tegas dalam mengajar subjek pendidikan seni. Tegas
di sini bermaksud guru tersebut mahu pelajar menyiapkan tugasan mengikut acuannya. Guru
tersebut mahu hasil kerja pelajar menjadi seperti yang dimahukan. Malah ada yang lebih teruk,
terdapat tugasan pelajar yang tidak dihargai langsung. Misalnya, guru tersebut mengoyakkan dan
mencampak kertas lukisan pelajar yang tidak menepati kehendaknya.

Maka dengan itu akan menyebabkan para pelajar tersebut takut untuk masuk ke kelas
pendidikan seni kerana takut dimarahi oleh guru. Seterusnya mereka akan menganggap bahawa
mereka tidak berbakat seni dan kemudiannya tidak akan meminati subjek tersebut.

Selain itu, faktor pengaruh guru subjek lain juga mempengaruhi minat pelajar terhadap
subjek pendidikan seni. Terdapat guru yang memendang rendah subjek pendidikan seni. Malah
menganggap pelajar yang mengambil subjek tersebut sebagai pelajar yang lemah dan
memandang rendah terhadap mereka. Guru seperti ini juga sering mempengaruhi pelajar lain
agar tidak mengambil subjek seni dan mengatakan subjek tersebut tiada masa depan. Maka
dengan itu, di atas sifat naif sebagai pelajar, mereka terpengaruh dengan kata-kata guru tersebut.

4.3 FAKTOR PERSEKITARAN KELAS PENDIDIKAN SENI

Persekitaran kelas atau studio seni juga memberi pengaruh. Contohnya ialah kelas yang tidak
mempunyai kemudahan untuk melakukan kerja-kerja seni. Dalam kelas seni, kemudahan yang
harus ada antaranya ialah paip ( untuk membasuh berus cat), apron, alatan seni yang sukar
diperolehi oleh pelajar (pahat ukir, mesin pemutar tanah liat dan lain-lain), dan sebagainya.
Ketiadaan alatan ini akan menyebabkan pelajar sukar melakukan tugasan seni yang diarahkan
oleh guru.

4.4 FAKTOR IBU BAPA

Selain itu, faktor ibu bapa juga memainkan peranan. Jika ibu bapa memberi sokongan kepada
pelajar untuk mengambil subjek pendidkan seni dan meminatinya, maka pelajar juga akan terus
meminati subjek tersebut. Tapi sebaliknya akan berlaku jika ibu bapa sendiri tidak
menggalakkan anak-anak mereka meminati subjek seni. Kebanyakkan ibu bapa lebih
memandang subjek sains dan matematik sebagai subjek yang boleh menjamin masa depan anak-
anak mereka. Bagi mereka, seni bukanlah suatu subjek yang penting. Kerana bagi mereka seni
itu hanyalah lukisan dan sesiapa yang meminati seni akan menjadi pelukis di masa hadapan.

Apa yang menyebabkan mereka berfikiran seperti itu ialah sejarah nama pendidikan seni itu
sendiri. Ini kerana sewaktu era persekolahan mereka, subjek pendidikan seni dikenali dengan
nama subjek ’Lukisan’. Jadi, itulah yang menyebabkan mereka menganggap pendidikan seni itu
hanya mengajar cara melukis sedangkan pendidikan seni pada masa kini adalah suatu bidang
yang luas.

4.5 FAKTOR DASAR KERAJAAN

Dasar kerajaan juga turut menjadi faktor pelajar tidak meminati subjek pendidikan seni di
sekolah. Tindakan kerajaan yang terlalu menumpukan mata pelajaran sains, matematik dan
bahasa Inggeris telah menyebabkan para pelajar malahan guru dan ibu bapa menganggap subjek
tersebut sahaja yang dapat menjamin masa depan negara. Oleh itu mereka tidak menganggap
seni sebagai subjek yang penting. Hal ini terbawa-bawa ke dalam P&P, di mana pelajar
menunjukkan sikap tidak minat tehadap subjek pendidikan seni malah sanggup memonteng kelas
seni.

5.0 CARA MENGATASI MASALAH PELAJAR TIDAK MEMINATI SUBJEK


PENDIDIKAN SENI

5.1 MEMBERI PENERANGAN MENGENAI BIDANG KERJA YANG BERKAITAN


DENGAN SENI

Dalam dunia yang semakin maju dan mencabar, kita perlu sentiasa menyesuaikan diri
dengan situasi semasa. Begitu juga bagi mata pelajaran pendidikan seni. Sukatan pelajaran
pendidikan seni masa kini diubah dan disesuaikan dengan keperluan arus kemajuan dan
kemodenan selaras dengan keperluan bidang pekerjaan masa kini. Tujuannya adalah bagi
memberi input(ilmu) terkini dan bermanfaat kepada pelajar yang mana dapat mendedahkan
kepada mereka keperluan seni dalam bidang pekerjaan. Melalui ilmu yang diberikan, diharapkan
pelajar dapat mengaplikasikannya di alam pekerjaan.

Seni amat penting peranannya pada masa kini. Terdapat banyak bidang kerja yang
memerlukan seni dalam pelaksanaannya. Antaranya ialah bidang seni bina, industri, animasi,
pengiklanan, perfileman, grafik komputer, dan banyak lagi. Oleh kerana itu pihak kerajaan
melalui Kementerian Pelajaran Malaysia menyesuaikan sukatan pelajaran dengan bidang kerja
masa kini bagi menyediakan pelajar ke arah alam pekerjaan.
5.2 MENYESUAIKAN SUKATAN PELAJARAN DAN SOALAN PEPERIKSAAN
PENDIDIKAN SENI VISUAL DENGAN SITUASI MASA KINI

Soalan-soalan peperiksaan bagi subjek pendidikan seni juga disesuaikan. Misalnya, pada
tahun 2004, pelajaran Tingkatan Lima yang mengambil subjek pendidikan seni perlu membuat
kerja kursus menghasilkan produk pembungkusan bagi kertas 3 pendidikan seni visual Sijil
Pelajaran Malaysia. Ini bertujuan mendedahkan kepada para pelajar kepada bidang industri. Pada
tahun 2006 pula, para pelajar Tingkatan 6 Atas yang mengambil subjek pendidikan seni
mendapat tugasan pilihan bagi kertas 3 pendidikan seni visual. Antara tugasannya ialah
menghasilkan reka bentuk dalaman ruang legar sebuah syarikat menggunakan perisian komputer.
Tujuannya adalah bagi mendedahkan para pelajar kepada bidang seni reka bentuk dalaman dan
seni grafik.

5.3 PIHAK SEKOLAH MENGADAKAN BULAN APRESIASI SENI

Pihak sekolah pula boleh memainkan peranan iaitu dengan mengadakan minggu atau bulan
apresiasi seni. Di mana pelbagai aktiviti mengenai seni di adakan sepanjang bulan tersebut.
Anatra aktiviti yang boleh dijalankan ialah bengkel kesenian bagi setiap bidang seni seperti seni
batik, ukiran, catan, arca, reka bentuk industri dan lain-lain. Pertandingan-pertandingan kesenian
juga boleh diadakan bagi menarik minat para pelajar.

5.4 PIHAK KERAJAAN MENYEDIAKAN LEBIH BANYAK PELUANG PEKERJAAN


BERKAITAN SENI

apabila kerajaan memperbanyakkan peluang pekerjaan berkaitan seni, maka sudut pandangan
masyarakat yang terdiri daripada ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri akan berubah. Mereka
akan memandang seni juga adalah satu subjek yang dapat menjamin masa depan.

6.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, pendidikan seni pada masa kini adalah satu mata pelajaran yang sangat
penting sepertimana subjek-subjek lain terutama sekali di dalam dunia yang semakin mencabar
pada masa kini. Seni diaplikasikan dalam setiap bidang ilmu dan bidang kerja. Sepertimana yang
dikatakan oleh Walter Gropius,”seni seharusnya memberi faedah dan berfungsi kepada
kehidupan seharian dan masyarakat. Bukan sekadar untuk menyatakan hasrat diri”.
Maksudnya antara fungsi seni adalah memberi manfaat kepada manusia iaitu dengan
menggabungkan seni halus (tradisional) dengan seni gunaan untuk kehidupan seharian. Ilmu
dalam bidang seni yang dipelajari dapat membantu pelajar dalam hidup mereka iaitu dengan
mengaplikasikannya dalam hidup mereka.
BIBLIOGRAFI
Hassan Mohd Ghazali(2000). Teks Lengkap Pendidikan seni Tingkatan 4 dan 5.
Petaling Jaya: Fajar Bakti

Ocvirk, Stinson, Wigg, Bone, Cayton,(1998). Art Fundamentals: Theory and Practice, Edisi ke-
8, McGraw-Hill

En.Baba Ahmad bin Omar.(8-11 Oktober 2001). Pengertian dan peranan seni visual. Kertas kerja
yang dibentangkan dalam Taklimat Sukatan Pelajaran Seni Visual Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia. Golden Straits Villas Beach Resort, Part Dickson, Negeri Sembilan.

Ahmad Khair Mohd Nor, Idris Mohd Radzi, dan Mohd Ra’in Shaari(2005). Bahasa Melayu
Profesional Edisi Semakan, terbitan ketujuh. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong
Malim, Perak.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman(2008). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum Edisi Kedua.
Quantum Books, Tanjong Malim, Perak

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).Huraian Sukatan


Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR tahun 5. [On-line]. Diperoleh pada
Disember,22,2008 dari World Wide Web:
http://www41.websamba.com/sjkttapah/files/hsp_pseni_y5.pdf

Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran Bersepadu Sekolah Rendah


Pendidikan Seni Visual. [On-line]. Diperoleh pada Disember,22,2008 dari World Wide
Web:
http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/seni/kbsm/sp_pseni_kbsm.pdf