Anda di halaman 1dari 3

Habib Husein al-Qadri - Penyebar Islam Kalimantan Barat

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MENGENAI Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana
memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau
bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya,
yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan
Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib
Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail,
Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah
melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya
ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat
di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang
masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan
bersama beberapa orang sahabatnya.

PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT


Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di
Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid
Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi
sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein
al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus,
menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid
Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak.
Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang
tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk
Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)

Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh
beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab.
Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein
tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di
Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal. Pada suatu
malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga
datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam
lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim
Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah
itu bertanyalah Habib Husein, ``Apakah yang kamu perbuat di situ?''

Jawabnya: ``Hamba sedang membaiki perahu.'' Habib Husein bertanya pula, ``Mengapa
membaikinya malam hari begini?'' Maka sahutnya, ``Kerana siang hari, air penuh dan
pada malam hari air kurang.'' Kata Habib Husein lagi, ``Jadi beginilah rupanya
orang mencari dunia.'' Jawabnya, ``Ya, beginilah halnya.''

Kata Habib Husein pula, ``Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut
dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku
meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat
akhirat.''

Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan
harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya
dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya
Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun
Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap
dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal
terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein
ke negeri Matan.
Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang
berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai
Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan
adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan
senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya
itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat
demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia
atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas,
sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu
dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.

KEDUDUKAN DI MATAN
Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada
suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan
mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para
pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya.
Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat
kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat
tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu
terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip
itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu
berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram
mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja.
Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu
diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah
jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian
pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu,
sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang
dikatakan mempunyai karamah itu.

Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta
sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein
dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat
Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain
itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan
Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur
Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang
pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara
oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di
negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua
buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi
pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum
bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja
Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua.
Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.

HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH


Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara
ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-
Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang
berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan. Terjadi
fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan
seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda
Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan
hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda
Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah
disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa
sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima
keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh
Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah
sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana
diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara
Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana
peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di
Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.

Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung
Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein
al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru,
termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung'
menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka
menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama
besar, Wali Allah yang banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama
besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat
negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga
lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng
Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat
puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri.
Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai
pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar
dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.

Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas
hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang
mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk
menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang
kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib
Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan
alasan beliau sudah tua.

WAFAT
Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada
dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mac 1771
dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi
Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung
Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.