Anda di halaman 1dari 8

1Malaysia: Prakarsa Kesinambungan Usaha Pengukuhan Perpaduan Nasional

SMAHADZIR SEBAIK sahaja gagasan atau konsep ini dijelma dan disebarluaskan di pelbagai

dada media massa perdana negara, pelbagai peringkat masyarakat bercakap tentang 1Malaysia. Di mana-mana sahaja ianya diperkatakan. Ada pelbagai pandangan, spekulasi, pendapat, argumentasi, dijelmakan. Ada yang sengaja memutarbelitkan pengertiannya yang sebenar untuk kepentingan tertentu dan menyedapkan halwa telinga. Akibatnya sehingga kini masih ramai warganegara yang keliru dan tertanya-tanya apakah definasi sebenarnya gagasan 1Malaysia terutamanya generasi muda termasuk para pelajar sekolah dan universiti. Tidak kurang juga kakitangan kerajaan sendiri yang masih ramai lagi belum faham akan makna gagasan 1Malaysia sebenarnya yang seharusnya sudah fasih dalam diri masing-masing. Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh YAB Datuk SeriNajib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka. Dalam erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang kepercayaan, berteraskan beberapa nilai penting yang seterusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika dikaji secara mendalam, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Begitulah yang harus difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap gagasan terbaru 1Malaysia cetusan minda YAB Datuk Seri Najib Tun Razak ini. Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan

oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama. Gagasan 1Malaysia diwujudkan berdasarkan kepada konsep keadilan kepada semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan, dan bantuan serta peluang akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan merit. Namun demikian, hak yang termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipatuhi dan pembangunan pada tahap yang berbeza bagi kumpulan yang berlainan harus diambil kira. Prinsip Rakyat Didahulukan bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang yang sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan mengagihkan sumber yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu. Bagaimanapun, kerajaan akan mengimbangi keperluan jangka masa pendek dengan membuat pelaburan dalam bidang yang akan mendatangkan kesejahteraan dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Dengan Pencapaian Diutamakan, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan. Kita harus faham bahawa dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masingmasing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan perdamaian, dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu. Bidang-bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan untuk mencapai matlamat 1Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam merealisasikan matlamat tersebut. Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta walaupun gagasan 1Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu.

Sesungguhnya kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di buminya yang makmur. Demi Malaysia kita sanggup melupakan perbezaan untuk berkongsi nilai yang serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran. Di mana bumi Malaysia dipijak di situlah langit Malaysia dijunjung. Kita berbeza dalam banyak perkara tetapi kita berkongsi Malaysia yang satu. Di sinilah kita mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati hidup dengan aman dan tenteram. Di atas tanah Malaysia nan satu ini kita 1Malaysia hanya ingin hidup aman, bahagia dan sejahtera. Tiada sebarang peperangan dan tiada sebarang kekacauan. Gagasan 1Malaysia bukanlah satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. Lantaran itu gagasan 1Malaysia dijelmakan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika Bangsa Malaysia yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka gagasan 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat tersebut. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama. Gagasan 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undangundang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakat oleh bapa-bapa negarawan suatu ketika dulu. Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Gagasan 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata. Apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan

dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. Gagasan 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan Teras-Teras Perpaduan, manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-nilai Aspisari. Teras-teras perpaduan ini didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormatmenghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan. Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemenelemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara. Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya. Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam

meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan. Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan. Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia. NKRA telah diidentifikasi sebagai bidang utama bagi negara. Ianya mewakili sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan sekarang. Untuk menunjukkan bagaimana pentingnya NKRA itu, ianya merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, dengan akauntabiliti untuk menyampaikan keberhasilan terletak pada menteri peneraju, yang mana mereka ini telah dilantik dan akan dipantau secara formal oleh Perdana Menteri. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain tidak akan mendapat perhatian. Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di peringkat Menteri dan disebut sebagai MKRA. Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggugjawabkan untuk menyampaikan keberhasilan masing-masing. Zaman kerajaan maha mengetahui telah berlalu. Bagi memastikan yang kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dan merasakan bidang apa yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input telah dipertimbangkan termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi, analisis media (alternatif dan aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan pemimpin dari sektor awam dan sektor swasta. Selepas dibincangkan dengan cermat oleh Kabinet, enam NKRA dan menteri peneraju masing-masing telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan beliau semasa meraikan 100 hari dalam pentadbiran pada 11 Julai 2009, iaitu: mengurangkan jenayah (diterajui oleh Menteri Dalam Negeri), membanteras rasuah (diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (diterajui bahagian oleh Undang-undang), Pelajaran), mempertingkatkan pencapaian pendidikan Menteri

mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah (diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (diterajui oleh Menteri Luar Bandar dan Wilayah) dan memperbaiki pengangkutan awam bandar (diterajui oleh Menteri Pengangkutan).

Di atas segalanya, 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia. Kita harus sedar bahawa matlamat perpaduan kebangsaan tidak akan mampu direalisasikan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia akan berjaya jika mengabaikan sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya, dalam sejarah ketamadunan manusia telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa kebijaksanaan yang bersandar kepada realiti telah membuka laluan kepada ketidakadilan. Dalam aspek pengurusan kemajmukan kaum seperti di Malaysia yang menuntut hemah dan hikmah yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, sudah tentu akan muncullah sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti. Lantaran itu, kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib kini telah mengangkat gagasan 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Gagasan ini ditunjangi oleh beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara. Sejarah telah mencatatkan bahawa semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan. Gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat ataupun secara tersirat. Malahan Kerajaan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan Bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana atau menaruh syak wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan kita suatu ketika dahulu. Selanjutnya, salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar. Lantaran itulah baru-baru ini

kerajaan telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Kerajaan mempunyai tiga matlamat utama iaitu memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan ekonomi global, berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami. Bagi memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka kerajaan akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan dengan itu sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan akan menimbang semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kotak pemikiran lazim untuk diperhalusi. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah satu inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru. Kerajaan juga dilihat begitu komited dengan mengambil langkah-langkah yang jitu bagi merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kerajaan telah menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif. Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan YAB Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t secara berbeza keturunan, etnik, budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain. Manusia perlu berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat dalam semua orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan kandungan Al-Quran, yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat Islam. Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia adalah sebuah gagasan yang dijelmakan sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional. Kita wajar bersyukur kerana dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang begitu bertanggungjawab terutama dalam

usaha-usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara kita dengan pelbagai gagasan. Kendati apa pun dasar dan program pembangunan yang telah digubal, semuanya telah mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ialah bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan demografi bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh. Kesimpulannya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat haruslah beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam satu saf yang padu bagi membangunkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur yakni sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan.