Anda di halaman 1dari 2

TAJUK: Bincangkan kebaikan dan keburukan tenaga alternatif berbanding dengan tenaga fosil. Skema: 2+2 Fokus:1.

Kebaikan tenaga alternatif berbanding dengan tenaga fosil. 2.Keburukan tenaga alternatif berbanding dengan tenaga fosil. Memandangkan sumber tenaga yang tidak dapat diperbaharui, seperti petroleum, arang batu, dan gas asli semakin berkurangan, sumber tenaga alternatif yang dapat diperbaharui, seperti tenaga solar, angin, hidro elektrik,nuklear, dan sebagainya kini diberikan keutamaan yang semakin tinggi oleh semua pihak negara di dunia ini. Negara kita yang dijangka akan kehabisan sumber petroleum pada 18 tahun akan datang turut menggiatkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan tenaga alternatif. Sumber tenaga alternatif mempunyai kebaikan dan juga keburukannya jika dibandingkan dengan tenaga fosil. Antara kebaikan tenaga alternatif termasuk menyelesaikan masalah krisis sumber tenaga yang bakal dihadapi. Sumber tenaga fosil, seperti petroleum dan gas asli merupakan sumber yang terbentuk daripada pereputan makhluk-makhluk bumi sejak berjuta-juta tahun yang lalu di bawah tanah atau laut. Apabila penerokaannya menjadi lebih cepat daripada proses pembentukannya, maka sumber ini akan habis pada suatu hari nanti. Namun,sumber tenaga alternatif tidak akan habis kerana dapat diperoleh daripada alam semula jadi ini. Selain itu, sumber tenaga alternatif secara umumnya adalah lebih mesra alam berbanding dengan tenaga fosil. Contohnya, tenaga solar daripada matahari boleh ditukar terus kepada tenaga

elektrik melalui sel fotovoltaik tanpa menyebabkan sebarang pencemaran. Sebaliknya, penggunaan sumber tenaga fosil oleh kenderaan pula membebaskan gas-gas toksik yang mencemari udara, seperti karbon monoksida. Proses penerokaan sumber tenaga ini turut akan mengakibatkan krisis ekologi jika tidak diuruskan dengan baik. Walau bagaimanapun, sumber tenaga alternatif juga mempunyai keburukannya. Antaranya, penggunaan sesetengah sumber tenaga alternatif agak membahayakan. Contoh bagi sumber tenaga ini ialah tenaga nuklear. Reaksi nuklear yang tidak dikawal dengan cermat akan menyebabkan letupan yang besar dan mengancam nyawa orang ramai. Sebagai contoh, kemalangan yang berlaku di loji penjana elektrik di Chernobyl, Russia pada tahun 1986 telah menyebabkan seramai 200 000 orang terkorban. Di samping itu, kos yang melibatkan penggunaan tenaga alternatif pada masa kini masih agak tinggi jika berbanding dengan tenaga fosil. Hal ini kerana sumber tenaga alternatif ini perlu diuruskan dengan teknologi yang tinggi. Pakar-pakar teknologi yang mahir dalam bidang ini juga terhad. Dalam keadaan ini, penggunaan tenaga alternatif menjadi tidak begitu ekonomik. Kesimpulannya, penggunaan sumber tenaga alternatif banyak mendatangkan faedah kepada kita. Namun, kita perlu menggunakannya secara terkawal supaya tidak berlakunya kemalangan.

Anda mungkin juga menyukai