Anda di halaman 1dari 3

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya

tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith
palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah
(meninggal 643H):

“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu


meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan
menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)

Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan


Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan
tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:

“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini
adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-
Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan:
Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria)

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di
Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib
(iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi,
Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-
`Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada


beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah
puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan
pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah
(kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah
tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan
menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi
agen menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang
dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah (wafat 751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada
jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke
atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan
Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi
s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu
Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat
ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu


memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut
adalah palsu. Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban
ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka


Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik)
dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-
Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-
Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan.
Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin,
solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-
Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa
mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu
Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat
pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang
ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka
membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua
rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia,
kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan
salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang,
yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan
bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang
kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah
bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang
dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala
keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang
diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap
yang sesat itu dalam neraka." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383,
cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang
sederhana dan dihormati. Namun dalam masalah ini beliau agak tegas
kerana ianya ternyata bercanggaha dengan apa yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w.

Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah
dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada
agama yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini
maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang
bukan-bukan. Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru
dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi
kuasa kepada kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk
mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah yang pasti
kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadith. Kata al-
Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-
Azhar):

“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu
riwayat atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca
hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui
kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda
orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan
ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang
dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-
Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-
`Arabi, Kaherah)>

Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media


elektronik dan cetak juga semua pihak yang membaca sesuatu hadith
memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini
tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.