Anda di halaman 1dari 22

Huraian Konsep Pentaksiran, Pengujian, dan Penilaian, Taksonomi Bloom, Domain Krathwool, dan Jadual Spesifikasi Ujian

Konsep Pentaksiran Pentaksiran ialah sebahagian daripada proses pengajaran dan ada juga yang beranggapan bahawa pentaksiran merupakan komponen penggenap terhadap pengajaran yang disampaikan. Pelbagai takrifan telah dikemukakan untuk menyatakan maksud yang terkandung pada istilah tersebut mengikut konotasi yang berbagai-bagai. Salah satunya ialah pentaksiran ditakrifkan sebagai satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan berdasarkan kepada maklumat yang telah dikumpul. Dari perspektif yang lain pula, pentaksiran ditanggapi sebagai satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti mengumpul, merekod, memberi skor, menginterpretasi, dan menghurai maklumat tentang pembelajaran seseorang bagi sesuatu tujuan. Dalam erti kata yang lain, pentaksiran adalah satu proses sistematik yang mempunyai peringkatperingkat tertentu dalam melaksanakannya bagi memperoleh maklum balas mengenai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan menerusi pencapaian murid. Pentaksiran juga antara lainnya didefinisikan sebagai proses memperoleh maklumat dan menggunakannya untuk membuat keputusan tentang pelajar, kurikulum, program atau dasar.

Apabila

dikatakan

bahawa

pentaksiran

melengkapi

pengajaran,

sudah

semestinya pengimplementasian pentaksiran mempunyai arah tuju yang ingin dicapai. Pentaksiran salah satunya bertujuan untuk mendapatkan gambaran mengenai prestasi seseorang dalam pembelajaran. Sementara itu, dari perspektif seorang pendidik pula, pentaksiran menjadi platform terbaik untuk warga pendidik menilai sejauh mana keberkesanan aktiviti, strategi, pendekatan, kaedah, dan teknik yang diguna pakai dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Maklum balas yang diterima menerusi pentaksiran akan membantu pendidik mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pengajaran yang dilaksanakan dan seterusnya merangkan pelan penambahbaikan atau tindak susul untuk mengukuhkan kelebihan dan mengatasi kekurangan. Di samping itu juga, pentaksiran juga berfungsi sebagai garis panduan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Menyentuh soal kualiti pentaksiran, pentaksiran yang baik dan dilabel sebagai berkualiti haruslah mempunyai beberapa ciri yang konkrit. Ciri-ciri pentaksiran yang baik dan berkualiti pertamanya ialah mempunyai kesahan. Kesahan merujuk kepada relevan dan kecukupan cakupan yang ditaksir. Misalannya, apabila seorang guru melakukan pentaksiran terhadap murid, soalan-soalan yang diajukan haruslah datangnya daripada topik-topik yang telah pun diajar dan diberi pendedahan kepada murid-murid dan tidak sekali-kali guru menguji murid dengan sesuatu yang belum mereka ketahui. Ciri yang kedua ialah kebolehpercayaan. Kebolehpercayaan merujuk kepada ketepatan dan ketekalan ujian yang dilaksanakan. Ciri ketiga ialah keobjektifan yang merujuk kepada ketepatan seorang pentaksir dalam memberikan skor. Sebagai contoh, pentaksir yang

menguji pelajar menggunakan soalan objektif dan soalan subjektif, akan mendapati bahawa skor yang diberikan untuk soalan objektif lebih tepat berbanding soalan subjektif kerana ia bersifat komprehensif. Justeru, boleh dikatakan bahawa soalan berbentuk objektif mempunyai keobjektifan yang lebih tinggi dalam memberi skor berbanding soalan subjektif kerana soalan subjektif bersifat lebih terbuka. Ciri yang keempat pula ialah kebolehtadbiran. Kebolehtadbiran merujuk kepada kelicinan kerjakerja mentadbir ujian yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah. Bagi mentaksir pelajar, pelbagai kaedah pentaksiran boleh diaplikasikan. Kaedah untuk mentaksir pelajar boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu kaedah pemerhatian, kaedah lisan, dan kaedah penulisan. Menerusi kaedah pemerhatian, guru akan memerhatikan murid berdasarkan kepada aspek-aspek tertentu dengan bantuan senarai semak. Antara kriteria atau aspek yang akan diperhatikan ialah sikap, pelakuan atau amalan, kemahiran bersosial, kemahiran manipulatif, dan kemahiran belajar seseorang pelajar. Sementara itu, pentaksiran secara lisan membantu guru memperoleh maklumat semasa berlakunya interaksi antara murid dengan murid, murid dengan guru dan murid dengan bahan pembelajaran. Antara contoh aktiviti lisan yang boleh dijalankan adalah seperti soal jawab, perbincangan kumpulan, bacaan kuat, bercerita, dan temu bual. Bagi kaedah pentaksiran secara penulisan pula, guru atau pentaksir akan mendapatkan maklumat dengan cara melaksanakan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan hasil penulisan pelajar. Dalam kaedah penulisan, penggunaan soalan dalam bentuk objektif dan subjektif sudah menjadi satu kelaziman sejak dahulu lagi.

Konsep Pengujian Pengujian dapat diertikan sebagai instrumen atau prosedur untuk mengukur kuantiti atau kualiti sesuatu pemboleh ubah yang terdapat pada subjek iaitu pelajar. Selain itu, pengujian juga bermaksud proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Contohnya, dalam ujian penglihatan, skala bernombor seperti angka 30/100 digunakan. Sementara itu, dalam ujian personaliti pula, sistem berkategori iaitu kategori ekstrovert dan introvert telah diguna pakai dalam ujian berkenaan untuk mengenal pasti personaliti seseorang individu. Dalam konteks pendidikan pula, pengujian dijalankan untuk mengukur prestasi pelajar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah. Pengujian dijalankan atas dasar untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu. Tujuan pengujian diadakan adalah untuk menentukan pencapaian murid dalam sesuatu sesi pembelajaran. Ujian diberikan kepada murid sebagi alat untuk mengukur prestasi seseorang murid berdasarkan kepada markah yang diperoleh. Markah terbabit akan mereflek tahap penguasaan, pengetahuan, dan kefahaman yang dimiliki oleh murid. Bagi murid yang cemerlang atau mendapat markah yang baik, guru akan memberikan aktiviti pengukuhan yang lebih mencabar sementara bagi pelajar yang masih belum mencapai tahap yang diinginkan, guru akan merangka aktiviti pemulihan bagi membantu mereka.

Di samping itu juga, pengujian berfungsi sebagai wahana untuk meningkatkan motivasi murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Markah yang diperoleh oleh murid akan menjadi panduan kepada mereka untuk mengukuhkan kekuatan yang sedia ada serta menambah baik segala kekurangan bagi memastikan pencapaian sentiasa berada pada tahap yang baik dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru. Selain itu, ujian juga akan membuatkan murid cenderung untuk mengikuti pengajaran guru sepenuh perhatian kerana mereka tahu bahawa mereka akan dinilai menerusi ujian setelah tamat pengajaran. Dari sudut kontekstual atau hubungkait dengan kehidupan seharian, pengujian dapat menyedarkan murid bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup, pelbagai halangan dan ujian perlu dihadapi dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan kesungguhan. Pelbagai jenis ujian digunakan dalam penilaian bahasa dan salah satunya merupakan ujian formatif. Ujian formatif merupakan satu bentuk ujian yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung sama ada secara formal atau tidak formal. Ia bertujuan untuk mengesan penguasaan dan kemajuan murid bagi membaiki kelemahan dengan segera. Ujian formatif boleh dilaksanakan semasa sesi pengajaran dilakukan atau setiap hujung bulan. Ujian ini meliputi sesuatu kemahiran atau melibatkan beberapa kemahiran. Selain daripada ujian formatif, terdapat juga ujian sumatif. Ujian sumatif ialah ujian yang dijalankan secara formal bagi mengesan pencapaian murid dalam tempoh tertentu persekolahan. Tujuan mengenal pasti pencapaian murid adalah untuk memberikan skor dan gred pencapaian murid berkenaan. Ujian sumatif dijalankan secara formal sama ada secara ujian kertas pensel atau ujian lisan selepas beberapa topik pembelajaran atau pada pertengahan atau akhir

penggal persekolahan. Maklumat yang dikumpul melalui ujian sumatif akan direkod dalam bentuk rekod profil atau pensijilan. Kegunaan maklumat tersebut salah satunya adalah untuk menempatkan murid dalam kumpulan atau kelas yang sesuai dan merancang serta mengubah suai pelajaran atau kurikulum. Ujian kefasihan pula merupakan sejenis ujian yang diberi setelah kursus tamat bagi menilai sesuatu hasil pengajaran. Ia bertujuan untuk menguji setakat mana murid boleh menguasai kemahiran dan bahan isi pelajaran yang telah dipelajari serta menguji kebolehan umum berbahasa seseorang murid. Dalam ujian kefasihan, murid akan dinilai dari segi penyebutan, kadar kelajuan bacaan, intonasi, nada, pergerakan mata dan banyak lagi. Di samping itu juga, penilaian bahasa turut mengaplikasikan ujian pencapaian. Ujian pencapaian boleh dikelaskan kepada dua bentuk iaitu ujian rujukan kriteria dan ujian rujukan norma. Ujian rujukan norma bertujuan untuk membandingkan seorang pelajar dengan pelajar yang lain dalam sesebuah bilik darjah manakala ujian rujukan kriteria berfungsi untuk membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik yang terkandung dalam sukatan.

Konsep Penilaian Penilaian ialah proses membuat keputusan berdasarkan hasil daripada pengukuran. Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada objektif yang telah ditetapkan tercapai ataupun tidak. Impaknya, ia dapat membantu guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian adalah satu konsep yang di bawahnya melibatkan pengukuran dan pengujian. Penilaian juga ditafsirkan sebagai proses memberikan pertimbangan nilai pada sesuatu berdasarkan pengukuran terhadapnya dan juga berdasarkan pengalaman penilai. Untuk menjalankan penilaian, seorang guru perlulah terlebih dahulu melaksanakan pengujian dan kemudiannya memeriksa dan mengukur tahap

pencapaian muridnya. Setelah data pencapaian murid didapati barulah guru tersebut boleh menjalankan penilaian terhadap pencapaian muridnya sama ada murid tersebut lemah, sederhana, baik ataupun cemerlang. Kemudian, guru akan merancang tindakan susulan untuk membantu murid-muridnya meningkatkan prestasi mereka. Sama seperti pengujian dan pentaksiran, penilaian mempunyai tujuannya yang hampir sama dengan tujuan kedua-dua konsep berkenaan. Antara tujuan penilaian diadakan adalah untuk mengetahui keupayaan, kemahiran, dan pengetahuan asas yang sedia ada pada pelajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka

kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian bagi memulakan pengajaran. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 iaitu (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini adalah lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar. Selain itu, penilaian juga membantu guru mengetahui sejauh manakah pelajar mereka telah menguasai atau mempelajari perkara yang telah disampaikan. Di samping itu, ia juga membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka. Perkara ini akan membuka minda guru untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam mereka bentuk pengajaran agar bersesuaian dengan tahap keupayaan murid dan mampu memberi manfaat secara maksimum kepada murid itu sendiri. Tambahan pula, penilaian akan menjadi kayu ukur dalam menentukan pelajar yang tinggi keupayaan dan yang amat lemah dalam pencapaian mereka. Mustahak untuk pelajar mengenali kelemahan diri agar mereka dapat mencari alternatif dan bersikap proaktif untuk memperbaiki prestasi. Tambahan pula, hal ini akan membantu guru dalam urusan pengelompokan murid dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu

menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbezabeza itu.

Taksonomi Bloom Taksonomi ialah kajian tentang prinsip, peraturan, dan amalan dalam pengelasan organisma berdasarkan persamaan dan perbezaan sifat organisma itu. (Kamus Dewan Edisi Keempat, (2005). Dalam bidang pendidikan, taksonomi ialah satu model yang biasa digunakan untuk menganalisis bidang-bidang pendidikan. Ia berkaitan dengan objektif-objektif pendidikan yang melibatkan bidang-bidang seperti pengetahuan, afektif dan psikomotor. Terdapat tiga domain dalam pendidikan iaitu pertamanya domain kognitif yang melibatkan pemikiran pelajar. Domain kedua ialah domain afektif yang melibatkan perkembangan sikap, perasaan ,emosi, nilai pelajar seperti minat, sikap, apresiasi dan cara penyesuaian diri dan seterusnya ialah domain psikomotor yang melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar. Domain Kognitif Taksonomi Bloom merupakan satu aras yang digunakan sebagai elemen dalam pentaksiran. Domain ini pertama kali diperkenalkan oleh Benjamin S. Bloom pada tahun 1959. Taksonomi di dalam konsep ini bermaksud cabang kognitif iaitu elemen yang melibatkan otak dan pemikiran manusia. Ia menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan. Taksonomi ini bercorak hierarki iaitu dari tahap rendah kepada tahap tinggi. pengetahuan, kefahaman, aplikasi, Terdapat enam elemen atau tahap iaitu sintesis, dan penilaian. Tahap

analisis,

pengetahuan sehingga aplikasi merupakan pemikiran aras rendah manakala tahap analisis sehingga penilaian adalah tahap pemikiran aras tinggi. Tahap-tahap ini sangat terkenal dan lazimnya digunakan oleh guru untuk menggubal soalan pentaksiran.

Rajah 1 hierarki Taksonomi Bloom

Aras atau tahap yang paling rendah ialah aras pengetahuan. Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari. Terdapat tiga peringkat dalam aras pengetahuan ini iaitu yang pertama pengetahuan fakta khusus berkaitan dengan istilah berbentuk perkataan atau simbol. Aras yang kedua adalah pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Dan aras yang ketiga adalan pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang contohnya seperti siapa, apa, di mana, dan bila. Ciri-ciri khusus soalan aras pengetahuan ini ialah murid perlu menggunakan proses mental untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari seperti istilah, fakta, prinsip dan prosedur

bergantung kepada apa yang telah diajar oleh guru di dalam kelas. Kata kunci yang sering digunakan dalam soalan aras pengetahuan adalah seperti nyatakan, terangkan, namakan, dan labelkan. Contoh soalan bagi aras pengetahuan adalah seperti berikut: Malaysia telah dibentuk pada 16 September 1963 Nyatakan bila Malaysia dibentuk? ______________________________ Berdasarkan soalan di atas, untuk menjawab, murid hanya perlu mengingat kembali fakta yang telah dinyatakan dalam penyataan yang dibaca. Soalan ini hanya memerlukan murid mengingat kembali tarikh Malaysia dibentuk. Tahap yang kedua ialah aras kefahaman. Aras ini memerlukan keupayaan murid memberi huraian atau makna sesuatu perkara. Aras kefahaman ini terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama, penterjemahan yang memerlukan murid menterjemah bahasa lain ke bahasa lain tanpa menggubah makna asal. Kedua, mentafsir atau intepretasi iaitu mentafsir idea dan menerangkan idea atau maksud tersurat dalam ayat sendiri. Sementara itu, yang ketiga pula adalah ekstrapolasi iaitu membuat inferens tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan maklumat yang diberi. Ciri-ciri soalan bagi aras kefahaman adalah seperti membuat interpretasi mudah dan menunjukkan bukti kefahaman dan dapat menggunakan ayat serta maklumat untuk diubah kepada bentuk yang baru.

Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini adalah seperti jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan dan kelaskan. Contoh soalan bagi aras kefahaman adalah seperti berikut: Pilih ayat yang paling sesuai sebagai soalan kepada penyataan dibawah : Fahrin pergi ke hospital kerana melawat datuknya yang sedang sakit. A. Ke manakah Fahrin pergi? B. Mengapakah Fahrin pergi ke hospital? C. Siapakah yang pergi ke hospital? D. Fahrin berada di hospital? Tahap yang ketiga ialah aras aplikasi. Peringkat aplikasi menguji kebolehan calon menggunakan fakta asas, konsep, prinsip dan kemahiran yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, murid juga perlu bijak menggunakan maklumat dalam situasi yang baru. Perkataan yang biasa digunakan ialah bagaimana, selesaikan,carikan, kirakan, gunakan, huraikan dan sebagainya. Berikut adalah contoh soalan bagi aras aplikasi: Pilih ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul. I Radio ini ada kelasnya yang tersendiri. II Dilarang makan di dalam kelas. III. Mereka masyarakat kelas bawahan IV Kulitnya kelas kerana terkena api

Dalam soalan di atas, ia memerlukan murid menggunakan perkataan kelas tersebut dengan betul dan sesuai berdasarkan kepada situasi yang digambarkan serta konteks ayat.

Tahap yang keempat dan merupakan permulaan bagi aras pemikiran tinggi ialah aras analisis. Aras ini mengkehendaki murid untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenalpasti unsur unsur dan struktur. Di samping itu, peringkat ini turut menguji kebolehan calon membuat perbandingan dan menghuraikan faktor-faktor perbezaan, kesamaan dan perhubungan. Lazimnya, perkataan-perkataan seperti bandingkan, bezakan, menganalisis,

mencerakinkan, mengasingkan, dan membahagikan digunakan bagi soalan-soalan dari aras ini. Contoh soalan bagi aras analisis adalah seperti yang berikut: Bandingkan kelebihan belajar di dalam negara dengan luar negara.

Tahap yang seterusnya ialah aras sintesis. Aras ini memerlukan keupayaan murid untuk menggabungkan sesuatu struktur yang lebih jelas. Peringkat ini menguji kebolehan calon menggabungkan, mengintegrasikan atau mencantumkan idea-idea serta mentafsir danmerumuskan hasil yang dianalisis melalui prinsip induksi atau deduksi. Sementara itu, soalan aras sintesis memerlukan calon merancang, mereka atau mencipta, dan menghasilkan sesuatu hasil yang kreatif impak daripada penggabungan pelbagai unsur. Contoh perkataan yang sering digunakan ialah rumuskan, membuat keputusan, membuat kesimpulan, bentukkan, ciptakan, gubahkan,

integrasikan, gabungkan dan sebagainya. Contoh soalan:- Gubahkan serangkap pantun yang berunsurkan nasihat. Tahap yang terakhir dalam hierarki Taksonomi Bloom ialah aras penilaian. Aras penilaian merupakan peringkat tertinggi dan digunakan untuk menguji kebolehan calon membuktikan, mengesahkan, memberi pendapat atau hujah, mengkritik, memberi komen dan menilai sesuatu penyataan,ciptaan, karya, prinsip, teori dan sebagainya. Dalam erti kata lain, aras ini menguji keupayaan murid menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu diketahui. Contoh soalan bagi aras penilaian adalah seperti berikut: Berikan pendapat anda tentang kepentingan menjaga kebersihan diri. ______________________________________________________________________ Tuntasnya, kepentingan Taksonomi Bloom dalam rangka usaha untuk membina soalan sememangnya sudah tidak dapat dinafikan lagi. Keenam-enam aras soalan yang termaktub dalam Taksonomi Bloom sedikit sebanyak memberi panduan kepada guru untuk menghasilkan soalan pelbagai aras bagi meraikan perbezaan tahap kepandaian dalam kalangan murid.

Domain Afektif Krathwohl Domain Afektif Krathwohl telah diasaskan oleh David R. Krathwohl. Domain ini merupakan satu bidang berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap. Sebagai seorang guru, kita perlu menyedari bahawa pengajaran dan pembelajaran bukan hanya tertumpu kepada aspek kognitif semata-mata. Guru haruslah berkebolehan

menggunakan unsur afektif untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang baik. Pembelajaran akan dapat dijalankan secara berkesan dengan adanya murid yang dapat membentuk sikap positif. Domain afektif ini mempunyai lima aras. Aras yang paling bawah ialah penerimaan. Ia berkait dengan kemahuan pelajar untuk memberi perhatian. Tindakan seseorang pelajar mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap ransangan dan peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan domain afektif. Konteks pengajaran perlu menekankan kepada kebolehan mendengar, menanyakan soalan, mengenal bahagian-bahagian dan menjawab dengan lengkap. Aras yang kedua ialah gerak balas. Pada peringkat ini, pelajar perlu melibatkan diri secara aktif terhadap sesuatu dan mendapat kepuasan daripadanya. Pada aras ini juga, pelajar bersedia dan rela untuk membuat reaksi yang mudah terhadap sesuatu objek atau situasi. Aras yang ketiga memerlukan pelajar untuk menilai. Pada peringkat ini, perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan. Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipraktikkan. Aras yang keempat pula dikenali sebagai aras organisasi. Ia membawa maksud membentuk

sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka ia membolehkan beberapa nilai digunakan. Justeru, pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan antara nilai- nilainya. Peringkat yang kelima dan terakhir merupakan peringkat perwakilan oleh sesuatu nilai atau kumpulan nilai. Seseorang itu akan berperwatakan dan bertingkah laku dengan mematuhi sesuatu sistem nilai dan sanggup mengamalkannya sebagai satu cara hidup.

Jadual Spesifikasi Ujian Satu kaedah sistematik untuk merancang dan menyediakan soalan ujian adalah dengan menggunakan satu blueprint, yang dikenali sebagai Jadual Spesifikasi Ujian. Jadual ini menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberi panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan. Blueprint ini mengandungi maklumat kandungan ujian dan objektif ujian yang dipersembahkan dalam jadual dua dimensi. Kandungan ujian atau tajuk disusun menegak dari atas ke bawah di kiri jadual manakala objektif ujian diletakkan di bahagian atas jadual. Persilangan antara tajuk ujian dengan objektif membentuk badan jadual yang sel-selnya mengandungi maklumat tentang item ujian. Tidak dapat disangkal bahawa JSU mempunyai kepentingannya yang tersendiri. JSU penting kerana ia dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan dan dapat dilakukan secara terancang dan rapi. Selain itu, dengan berbekalkan JSU, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan pentingnya tajuk atau objektif pelajaran berkenaan. Di samping itu, JSU akan memastikan terjaminnya kesahan dan

kebolehpercayaan ujian ia membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain. Sesebuah JSU secara khususnya akan mengandungi maklumat seperti bentuk dan panjang ujian. Ia juga mengandungi aras kesukaran dan aras kemahiran yang diuji. Dalam sesebuah JSU, pembahagian soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mesti sama dengan penegasan yang diberi dalam pengajaran dan kepentingan aras mesti bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang akan diuji. Bercakap soal jenis soalan pula, terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan iaitu soalan objektif dan subjektif.

Rumusan Berdasarkan kepada huraian dan perincian yang diberikan, dapatlah dirumuskan bahawa pentaksiran, pengujian, dan penilaian mempunyai perkaitan yang sangat rapat. Walaupun definisinya berbeza, namun ketiga-tiga konsep ini berkongsi tujuan yang hampir sama dan saling berkait. Sementara itu, peranan Jadual Spesifikasi Ujian sebagai blueprint dalam menggubal item soalan memang tidak dapat dinafikan lagi. Penggunaan Taksonomi Bloom di dalamnya mengukuhkan lagi kesempurnaan dalam merangka satu ujian yang sistematik.

REFLEKSI INDIVIDU Pada semester kali ini, pelajar-pelajar guru dari jurusan Pengajian Sosial mengikuti satu kursus bagi subjek minor yang diberi nama Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (BMM 3103). Kursus ini dikendalikan oleh Encik Abd Latib bin Abd Rahman selaku pensyarah yang membimbing. Sebagai satu bentuk penilaian, para pelajar guru telah diberikan satu tugasan secara individu dan berkumpulan. Tugasan secara individu memerlukan pelajar guru melakukan pembacaan yang mendalam mengenai konsep pentaksiran, pengujian, dan penilaian, Taksonomi Bloom, Domain Afektif Krathwohl, dan Jadual Spesifikasi Ujian. Berpandukan kepada hasil pembacaan, pelajar guru perlu menghurai secara terperinci aspek-aspek berkenaan. Secara berkumpulan pula, pelajar guru perlu membina satu Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dan seterusnya membina item ujian berdasarkan JSU terbabit. Sememangnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa tugasan ini banyak memberikan pengetahuan baru kepada saya lebih-lebih lagi dari sudut pentaksiran. Terdapat kekuatan dan kelemahan yang boleh dilihat semula sepanjang proses saya menyiapkan tugasan ini. Saya berasa bersyukur dan bertuah kerana saya dapat mengumpul beberapa set soalan ujian Bahasa Melayu untuk dibuat contoh panduan dengan bantuan dan kerjasama daripada pihak sekolah di mana saya berpraktikum. Pada mulanya, saya berasa malu untuk meminta set soalan ujian yang telah digunakan. Namun demikian, benarlah kata bijak pandai bahawa jika malu bertanya, pasti tersesat jalan dan kita sendiri yang rugi. Kemahiran interpersonal yang saya pelajari saya aplikasikan untuk memujuk pihak sekolah agar memberikan saya set soalan yang dicari. Akhirnya,

mereka bersetuju untuk menyerahkan set soalan. Tutur kata yang sopan dan budi bahasa yang berhemah adalah sangat penting jika kita mahukan pertolongan daripada orang lain. Dari sudut ilmu pula, kini saya telah menerima satu anjakan paradigma yang baru mengenai proses pentaksiran. Sebelum ini, saya hanya mempelajari tentang JSU secara teori sahaja. Namun, tugasan ini menjadi wadah terbaik kepada saya untuk memperdalam kefahaman tentang pembinaan JSU apabila segala maklumat yang dipelajari dipraktikkan. Begitu juga halnya dengan aras kesukaran soalan. Sebelum ini, saya hanya mengetahui aras-aras soalan berkenaan tetapi setelah membina item ujian, Bloom Taksonomi tampak lebih mudah untuk saya gunakan bagi menggubal soalan di masa yang lain. Walau bagaimanapun, saya perlu menyatakan bahawa proses membina soalan untuk KSSR merupakan salah satu bahagian yang mencabar dalam tugasan ini. Ia memerlukan saya untuk mendapatkan lebih banyak penerangan daripada guru-guru KSSR yang berpengalaman bagi membina kefahaman konsep mengenai penggunaan band. Walau pun menyedari saya masih lagi tumpul dalam hal ini, tetapi saya tidak takut untuk belajar dari kesilapan. Sesukar manapun ia, dengan berbekalkan kesungguhan sudah pasti saya dapat menguasai bidang analisis ini suatu masa nanti. Setiap perkara pasti ada kekurangannya. Harus saya nyatakan di sini bahawa pengurusan masa saya merupakan salah satu kelemahan yang sangat ketara. Kadangkala saya lalai dan leka dengan keseronokan tanpa ada kesedaran untuk menyiapkan tugasan ini lebih awal. Pengurusan masa yang kurang baik mengakibatkan saya melakukan kerja secara terburu-buru. Namun, mujurlah dengan adanya nasihat

dan peringatan daripada rakan-rakan serta pensyarah saya menjadi lebih peka dan prihatin untuk melakukan kerja mengikut masa yang ditetapkan supaya hasil kerja yang dicapai memuaskan hati. Selain itu, pada peringkat awal tugasan diterima, saya kurang mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada En Latib. Risau dengan hasil tugasan saya ini, saya mengambil keputusan untuk berkolaborasi dengan ahli kumpulan saya. Saya juga mula menyedari akan kepentingan pentaksiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil penilaian bukan sahaja akan membantu guru melihat prestasi murid, tetapi hasil berkenaan juga turut memperlihatkan sejauh mana kemampuan dan kredibiliti seorang insan yang bernama guru. Secara tuntasnya, saya berasa gembira kerana berjaya menyiapkan tugasan ini, Namun demikian, apa yang lebih penting ialah tugasan ini meninggalkan impak yang positif kepada saya. Input yang tak ternilai ini akan saya ingat dan akan saya implementasikan sebaik mungkin untuk menjadi seorang pendidik masa hadapan yang berkualiti dan berkeupayaan tinggi.

BIBLIOGRAFI Buku Mokhtar Ismail, 2007. PENTAKSIRAN PENDIDIKAN Edisi Kedua , Ampang: Dawama Sdn. Bhd. Dr Abu Bakar Nordin, 1986. Asas Penilaian Pendidikan , Petaling Jaya: HEINEMENN SDN BHD Halizah Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah laku, Shah Alam: Oxford Fajar Internet http://www.scribd.com/doc/2238277/PembinaanSoalanhttp://www.slideshare.net/nsmm/konsep-pentaksiran-pengujian-dan-penilaian http://www.slideshare.net/nsmm/taksonomi-bloom-dan-domain-krathwohl-14448763 http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/JSU.pdf http://duniapendidikanipg.blogspot.com/2012/10/jadual-spesifikasi-ujian.html

Anda mungkin juga menyukai