Anda di halaman 1dari 33

http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/07/bahasa-melayu-selepas-merdeka.

html

SEJARAH PERKEMBANGAN B. MELAYU


Dalam blog ini saya akan sertakan seberapa banyak bahan berguna yang berkitan dengan kursus ini agar digunakan oleh anda semua sebagai pengajaran. gunakan bahan ini sebaik mungkin kerana banyak membantu anda semua di samping saya sertakan blog lain yang berkitan dan mempunyai manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran kursus SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU.

ASAL-USUL BAHASA MELAYU


PENGENALAN Berkurun lamanya orang yang tinggal di alam Melayu ini hidup berkelompok tanpa berhubungan dengan kelompok yang lain. Mereka dipisahkan oleh gunung-ganang dan lautan yang luas. Walaupun pada mulanya mereka satu asal tetapi kerana terputusnya hubungan di antara satu kelompok dengan kelompok yang lain dalam masa yang sangat lama, maka setiap kelompok mengatur cara hidup dan menggunakan pertuturan mereka sendiri sesuai dengan keadaan alam dan keperluan hidup mereka masing-masing. Akibat keadaan inilah timbulnya suku bangsa dan bahasa yang terdapat di Indonesia dan pelbagai loghat/dialek bahasa Melayu di Tanah Semenanjung. Sebelum ditemui bukti sejarah berupa tulisan pada batu bersurat tentulah bahasa Melayu telah digunakan untuk masa yang panjang kerana didapati bahasa yang ada pada batu bersurat kemudiannya sudah agak tersusun pembinaan kata dan pembinaan ayatnya dan juga sudah kuat pengaruhnya sehingga orang India yang menulis perkataan pada batu bersurat tersebut yang menggunakan aksara Sanskrit memasukkan juga beberapa perkataan Melayu. Untuk memberi nama pada bahasa yang tidak mempunyai bukti sejarah tersebut (sebelum bahasa orang India masuk ke Nusantara), ia diberi nama bahasa Melayu Purba. BAHASA MELAYU KUNO Berabad-abad sebelum Masihi, Selat Melaka telah digunakan oleh pedagang Arab sebagai laluan pelayarannya membawa barang perniagaan dari Tiongkok, Sumatera, dan India ke Pelabuhan Yaman. Dari Sumatera hasil yang paling utama mereka beli ialah rempah kerana rempah ini merupakan keperluan yang penting bagi orang Arab di Saba' (Kerajaan Saba' wujud di antara 115-950 SM). Pelabuhan di Sumatera pula mendapat bekalan rempah ini dari Pulau Maluku di samping Aceh yang sudah terkenal hasil rempahnya ke dunia Arab. Pedagang Arab yang dimaksudkan di sini tidak semestinya beragama Islam kerana hubungan di antara Arab dan alam Melayu telah wujud sejak zaman sebelum munculnya Islam. Penggunaan kapur barus untuk mengawetkan mayat (mummi) yang disimpan di dalam piramid pada Zaman Mesir Kuno dikatakan diambil dari Barus (nama tempat) di Pulau Sumatera. Pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab. Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.

Batu Bersurat Bukti bertulis yang tertua tentang bahasa Melayu Kuno ini terdapat di beberapa buah prasasti (batu bersurat). Yang terpenting di antara batu bersurat tersebut ialah: (a) Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava (lihat lampiran 2).(b) Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu Bersurat ini ditemui oleh Residen Westenenk, 17 November 1920 di sebuah kawasan bernama Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang, iaitu lebih kurang 8 km dari Palembang. (c) Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.(d) Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M. Batu Bersurat Kedukan Bukit. Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dengan menggunakan huruf Palava, iaitu sejenis tulisan India Selatan Purba bagi penyebaran agama Hindu. Setelah ditransliterasikan ke huruf rumi tulisan tersebut adalah seperti yang berikut ini (dengan sedikit pengubahsuaian susunan dan bentuk, seperti c dibaca sy): Svasti cricakavarsatita 605 ekadaci cuklapaksa vulan vaicakha daputa hyang nayik di samvau mangalap siddhayatra di saptami cuklapaksa vulan jyestha dapunta hyang marlapas dari minana Tamvar (Kamvar) mamava yang vala dua laksa ko dua ratus cara di samvau dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna datang di matada (nau) sukhacitta di pancami cuklapaksa vulan asada laghu mudita datang marvuat vanua ... Crivijaya jaya siddhayatra subhika ... Daripada transliterasi ini jelas terlihat walaupun pernyataan yang ingin disampaikan itu berkenaan dengan Raja Sriwijaya yang menganuti fahaman Hindu tetapi pengaruh bahasa Melayu terhadap bahasa Sanskrit sudah demikian meluas.Jika kita bandingkan bahasa Melayu Kuno di atas dengan bahasa Melayu kini, kita akan mendapati perubahan pembentukan bunyi dan perkataan seperti yang berikut ini:

vulan = bulan nayik = naik samvau = sampau = sampan (maksudnya perahu yang besar) mangalap = mengambil (maksudnya mencari) marlapas = berlepas mamava = membawa vala = bala = balatentera laksa = (menyatakan jumlah yang tidak terkira banyaknya) dangan = dengan sarivu = seribu tlu = telu = tiga sapuluh dua = sepuluh dua = dua belas vanakna = banyaknya sukhacitta = sukacita marvuat = berbuat vanua = benua = negeri ko = ke Jika dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu isi Batu Bersurat Kedukan Bukit ini lebih kurang seperti yang berikut ini: Selamat bahagia pada tahun saka 605 hari kesebelasdari bulan terang bulan waisaka daputa baginda naik perahu mencari rezeki pada hari ketujuh bulan terangbulan jyesta dapunta baginda berlepas dari muara Kampar membawa askar dua laksadua ratus orang di perahu yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya datang di matada dengan suka citapada hari kelima bulan terang bulan asadadengan lega datangmembuat negeri ... Seriwijayayang berjaya, yang bahagia, yang makmur Batu Bersurat Talang Tuwo. Kita perhatikan pula bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo yang telah ditransliterasikan ini: Svasti. cri cakavarsatita 606 dim dvitiya cuklapaksa vulan caitra. sana tatkalana parlak Criksetra ini. niparvuat parvan dapunta hyang Cri Yayanaca (-ga) ini pranidhanan dapunta hyang savanakna yang nitanam di sini. niyur pinang hanau rumviya dngan samicrana yang kayu nimakan vuahna. tathapi haur vuluh pattung ityevamadi. punarapi yang varlak

verkan dngan savad tlaga savanakna yang vualtku sucarita paravis prayojanakan punyana sarvvasatva sacaracara. varopayana tmu sukha di asannakala di antara margga lai. tmu muah ya ahara dngan air niminumna. savanakna vuatna huma parlak mancak muah ya manghidupi pacu prakara. marhulun tuvi vrddhi muah ya jangam ya niknai savanakna yang upasargga. pidana svapnavighna. varang vuatana kathamapi. anukula yang graha naksatra pravis diya. Nirvyadhi ajara kavuatanana. tathapi savanakna yam khrtyana satyarjjava drdhabhakti muah ya dya. yang mitrana tuvi janan ya kapata yang vivina mulang anukala bharyya muah ya. varamsthanana lagi curi ucca vadhana paradara di sana punarapi tmu ya kalyanamitra. marvvangun vodhicitta dngan maitridhari di dang hyang ratnaraya jangan marsarak dngan dang hyang ratnaraya. tathapi nityakala tyaga marcila ksanti marvvangun viryya rajin tahu di samicrana cilpakala paravis. samahitacinta. tmu ya prajna smrti medhavi.

punarapi dhairyyamani mahasattva vajracarira. anubamacakti. jaya tathapi jatismara. avikalendriya. mancak rupa. subjaga hasin halap. ade yavakya vrahmasvara. jadi laki. svayambtu. puna (ra) pi tmu ya cintamaninidhana tmu janmavacita. karmmavacita clecavacita avasana tmu ya anuttarabhisamyaksam vodhi. Bahasa Melayu Kuno yang dapat kita kesan daripada batu bersurat di atas di antara lain ialah: vulan = bulan tatkalana = tatkalanya nivarbuat = diperbuat savanakna = sebanyaknya nitanam = ditanam niyur = nyiur hanau = enau rumvia = rumbia dngan = dengan nimakan = dimakan vuahna = buahnya tathapi = tetapi haur = aur vuluh = buluh pattung = betung tlaga = telaga punyana = punyanya tmu = temu, bertemu margga = marga sukha = suka niminumna = diminumnya savanakna = sebanyaknya, sebanyak-banyaknya vuatna = buatnya manghidupi = menghidupi prakara = perkara varang = barang vuatana = buatannya marvvangun = membangun

Harun Aminurrashid mengutip terjemahan Slametmuljana berkenaan dengan bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo tersebut adalah seperti yang berikut ini: Bahagia! Tahun Saka 606 pada hari kedua bulan terang caitra, itulah waktunya taman Sriksetra ini diperbuat, milik Dapunta Hyang Sri Jayanaga. Ini Pesan Dapunta Hyang: Semuanya yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan tebat telaga, semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak. Hendaklah daya upaya beliau yang sangat baik itu mendapat kesukaan di kemudian hari dengan jalan lain. Semoga beliau mendapatlah makanan dan air untuk minumnya. Semuanya yang dibuatnya; ladang, kebun luas, menghidupi binatang-binatang, ramai para abdi suburlah. Jauhkanlah beliau dari segala bencana, siksaan dan penyakit tidak dapat tidur. Bagaimanapun barang usahanya hendaknya berhasil baik, binatang-binatang lengkap semua, beliau dari sakit, dibuat awet muda. Dan lagi hendaklah semua yang disebut abdi setia baktilah mereka pada beliau. Yang menjadi sahabat beliau janganlah mereka itu menderhaka pada beliau; yang menjadi bini beliau hendaklah tetap setia sebagai isteri pada beliau. Di manapun beliau berada, janganlah dilakukan curi, curang, bunuh dan zina di situ. Dan lagi, hendaklah beliau bertemu dengan khalyanamitra, membangun bodhichita dengan maitri, menjadi pertapa pada dang hyang Ratnatraya, melainkan sentiasa teguh bersila dengan senang membangun tenaga, keuliten, pengetahuan tentang perbezaan semua sipakala dan pemusatan fikiran. Mudah-mudahan beliau memperoleh pengetahuan, ingatan dan kecerdasan dan lagi ketetapan mahasatwa badan manikam vajracarira yang sakti tanpa upama, kemenangan, dan lagi ingatan kepada kelahiran yang sudah lampau, indria lengkap, rupa penuh, kebahagiaan, kegembiraan, ketenangan, kata manis, suara Brahma, jadi lelaki kerana kekuatannya sendiri, hendaklah beliau memperoleh cintamaninidhara, memperoleh janmawacita, karmmawacita, akhirnya beliau mendapat anuttarabisamyaksambodhi. Daripada terjemahan ini jelas pada kita bahawa bahasa Sanskrit yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dikekalkan dalam bahasa asalnya. Batu Bersurat Kota Kapur. Pada Batu Bersurat Kota Kapur perkataan/bahasa Melayu telah lebih banyak ditemui dan unsur bahasa Sanskrit semakin berkurang. Beberapa perkataan bahasa Melayu Kuno sebahagian telah memperlihatkan irasnya dan sebahagian lagi kekal digunakan hingga kini, seperti: abai, aku, batu, banyak, benua, beri, buat, bulan, bunuh, datu, dengan, di dalam, dosanya, durhaka, gelar, hamba, jahat, jangan, kait, kasihan, kedatuan, keliwat, kita, lawan, maka, mati, merdeka, mula, orang, pahat, persumpahan, pulang, roga, sakit, suruh, tapik, tambal, tatkalanya, tetapi, tida, tuba, ujar, ulang, ulu, dan yang. Imbuhan awalan ialah: ni-, di-, mar-, par-, ka. Imbuhan akhiran pula ialah: -i dan -an. Batu Bersurat Karang Brahi. Bukti bertulis yang terdapat pada batu bersurat ini merupakan salah satu batu bersurat terpenting, namun tidak banyak maklumat yang diketahui dengan pasti tentang bahasa Melayu Kuno pada batu bersurat ini.Di samping batu bersurat yang telah dinyatakan di atas sebenarnya ada lagi batu bersurat yang agak penting diketahui, iaitu Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M) di Sumatera Barat. Pada batu bersurat ini tertulis beberapa sajak Sanskrit dengan sedikit prosa Melayu Kuno dengan menggunakan huruf India dan satu lagi di Aceh yang dinamai Batu Nisan Minye Tujuh. Batu nisan ini bertarikh 1380 M dan ditulis dengan tulisan India, menggunakan bahasa Melayu, Sanskrit, dan Arab.

Sunday, July 12, 2009


Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu
Menurut Harry Judge, orang Melayu Campa telah wujud sejak abad ke-2 Masihi. Jika telah ada orang Melayu maka sudah pastilah ada bahasanya. Itulah lojiknya. Namun dari segi bukti sejarah yang lebih konkrit bahan berbahasa Melayu hanya baru terdapat pada abad ke-4 seperti pada prasasti Dong Yen Chau, di Vietnam. Itu pun kalau maklumat daripada Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi benar dan tepat. Oleh itu dari maklumat yang di atas ini bahasa Melayu telah wujud kira-kira 1800 tahun yang lalu. Selain itu bahasa Melayu pula telah mendapat pengaruh dari luar sejak abad ke-4 Masihi seperti pengaruh bahasa Sanskrit yang terdapat pada tinggalan Kerajaan Melayu Kutai di Kalimantan Timur yang bertarikh pada 400 Masihi dan Kerajaan Tarumanegara di Jawa Barat pada 450 Masihi. Kewujudan bahasa Melayu pada abad ke-7 mempunyai banyak buktinya seperti pada prasasti-prasasti zaman Sriwijaya, Syailendra, Sanjaya, dan Malayu. Pada abad ke-10 dan ke-11 baru mula muncul kedatangan Islam seperti pada prasasti di Langgar, Kedah (290 Hijrah), Brunei (440H./ 1048M.), Phan~rang, Vietnam 431H./1039M.), Leran, Surabaya (475H./1082M.), dan Pekan, Pahang (419H.). Kemudian daripada itu datang pula bangsa-bangsa Barat dengan dimulai dari jatuhnya Kota Melaka (1511 M.), kemudian Maluka, Sunda Kelapa, Manila, dan lain-lain. Pengaruh Barat baru mula mengental dalam abad ke-19 dan abad ke-20. Namun pada pertengahan abad ke-20 Dunia Melayu mula menjadi negara yang bebas dan merdeka. Bagi membahagikan zaman-zaman bahasa Melayu saya lebih cenderung menggunakan bahan-bahan bukti serta ciri-ciri tertentu bagi mengkategorikan zamanzamannya. Saya tidak memakai kaedah yang menonjolkan pengaruh luar atau pengaruh kolonial seperti zaman prakolonial, zaman kolonial dan zaman pascakolonial. Bagi saya katakolonial sangat mengerikan. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan (1992) colonial bererti penjajah. Dalam kamus The New Collins Intenational Dictionary of the English Language yang ditulis oleh William T. McLeod dan Patrick Hanks (1983), colonial bererti of characteristic of, relating to, possessing, or inhabiting a colony or colonies, sedangkan perkataan colonialism bererti: the policy and practice of a power in extending control over weaker peoples or areas. Kamus BBC English Dictionary (1993) mengatakan colonial ialah relating to countries or to colonialism. Akhir sekali ialah kamus The New International Websters Concise Dictionary of the English Language (1997) menyebutkan bahawa colonial adalah of possessing, like, or forining and colony or colonies; a citizen or inhabitant of a colony. Kalaulah makna kolonial seperti mana yang diterangkan di atas ini, maka dalam sejarah dunia Melayu yang menjadi penjajah adalah orang Barat dan mereka dataug ke Alam Melayu bermula pada 1509 yang dipimpin oleh de Sequira. Dua tahun kemudian baru dataug Afonso de Albuquerque yang menyerang dan menawan kota Melaka. Pengaruh Barat meresap ke dalam bahasa dan budaya Me1ayu hanya baru nampak jelas dalam abad ke-19 dan abad ke-20. ini bermakna dari abad ke-2M hingga ke abad ke-18M. (kira-kira 1600 tahun lamanya) pengaruh kolonial Barat tidak ada, jauh sekali untuk menonjol. Maka dengan itu sangat mengelirukan kalau sejarah bahasa Melayu dibahagikan kepada tiga zaman, iaitu zaman prakolortial, zaman kolonial dan zaman pascakolonial Orang yang membahagikan zaman-zaman bahasa Melayu seperti di atas ini memang sengaja cuba menonjolkan kata kolonial nya walaupun orang itu menafikannya dan memberikan alasan-alasan

yang diada-adakan atau yang mengadangada yang apologetik. Bagi menentukan zaman-zaman bahasa Melayu, bahasa Melayunya itu perlu dilihat dari beberapa sudut. Pertama dari sudut kandungan bahasa Melayu itu sendiri seperti kosa katanya, tatabahasanya termasuk fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Kedua dari sudut ungkapan-ungkapan, dan istilah-istilah yang dipakai dalam satu-satu bidang seperti dalam bidang-bidang pentadbiran, agama, budaya, dan lain-lain. Ketiga dari hasil-hasil karya sastera, sama ada wujud unsur-unsur luar, atau pengaruh lain dalam bentuk tenjemahan, tiruan, saduran daripada hasil-hasil karya tersebut atau yang lain-lain. Keempat, tulisan-tulisan atau aksara-aksara dan jenis-jenisnya yang dipakai oleh bahasa yang berkenaan, adakah tulisan itu kepunyaan mereka sendiri yang asal atau pinjaman daripada luar. Kelima, dari sudut pengaruh pemikiran, falsafah dan perkembangan intelektualnya dalam tamadun bangsa yang berkenaan. Keenam dari sudut pengaruh penggunaan teknologi yang dataug daripada sesuatu bangsa lain yang wujud dalam budaya, tamadun dan bahasa bangsa yang berkenaan. Kalau dilihat dari sudut kriteria-kriteria yang tertera di atas bahasa Melayu pada abad ke-18 dan sebelumnya, tidak menampakkan pengaruh daripada penjajah-penjajah Barat atau onang-orang kolonial Barat. Dengan itu memang sangat tidak kena dan tidak tepat apabila dikatakan bahawa zaman-zaman bahasa Melayu dibahagi kepada tiga zaman seperti dinyatakan di atas dengan penekanan atau penonjolan kepada kata kolonial. Jika kaedah yang kemudian ini dipakai, iaitu menyebut kata kolonial pada setiap zaman, maka kolonialnya akan menjadi terlalu ditonjolkan sedangkan peranannya tidak seberapa, bahkan ada zaman yang tidak ada langsung pengaruh kolonialnya. Dengan itu bagi membuat pembahagian zaman bahasa Melayu ini, saya lebih cenderung untuk membahagikannya kepada lima zaman sahaja, iaitu: a. Zaman bahasa Melayu purba. b. Zaman bahasa Melayu kuno. c. Zaman bahasa Melayu klasik. d. Zaman bahasa Melayu pramoden, dan e. Zaman bahasa Melayu moden. Zaman bahasa Melayu Purba Zaman bahasa Melayu purba terdapat dalam zaman prasejarah. Tidak ada bukti sejarahnya kerana tidak ada rekod bertulis sama ada dalam bentuk prasasti atau yang lain-lain. Dengan itu kita tidak tahu bagaimanakah bentuk bahasa Melayu pada ketika itu. Zaman Bahasa Melayu Kuno Zaman ini bermula kira-kira dan abad ke-4 dan berakhir kira-kira pada akhir abad ke- 13 Masihi, iaitu lebih kurang 1000 tahun lamanya. Zaman ini dikira bermula dari abad ke-4 kerana prasasti berbahasa Melayu yang pertama terdapat pada abad ke-4 dan ditemui di Dong Yen Chau, Vietnam. Tarikhnya jatuh pada abad ke-4 adalah berdasarkan tulisan Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi. Selain itu ada juga prasasti yang berbentuk Yupa yang ditemui di Kutai, Kalimantan Timur pada awal abad ke-5. Tarikh tepatnya ialah 322 Syaka atau 400 Masihi. Tetapi Yupa ini (ada tujuh batang kesemuanya) menggunakan tulisan Pallava dan bahasanya ialah bahasa Sanskrit. Dalam abad ke-5 Masihi juga wujud prasasti yang bertarikh pada 372 Syaka atau 450 Masihi di Tarumanegara, di Jawa Barat. Prasasti berbahasa Melayu yang paling banyak terdapat adalah dalam abad ke-7, ke-8 dan ke-9 Masihi, iaitu dalam zaman kerajaan-kerajaan Sriwijaya, Syailendra, Sanjaya dan Malayu. Antara tempat-tempat yang ditemui prasasti-prasasti ini ialah di Kedukan Bukit (683M.), Telaga Batu (683M), Kota Kapur (686M.), Karang Berahi, Palas Pasemah, Bungkuk, Sabuk Kingking (di Sumatera),

Sajamerta, Bukateja, Manjusyrigrha, Dang Pu Hawang Gus, Sang Hyang Wintang, Kebon Kopi, Gunung Sundoro (di Jawa), Ligor, Wiengsa, Chaiya dan lain-lain di Thailand Selatan; dan Laguna di Manila. Dalam zaman ini pengaruh Hindu dan Buddha begitu kuat. Kerajaan Sriwijaya dan Syailendra dipengaruhi oleh agama Buddha. Candi Borobudur dan Candi Mendut di Pulau Jawa adalah buktinya. Sedangkan kerajaan Kedah Tua, Sanjaya dan Singosari dipengaruhi begitu kuat oleh agama Hindu. Buktinya ialah wujudnya candi-candi Hindu seperti di Prambanan dan Lembah Bujang. Bahasa Melayu dalam zaman ini dapat dikesan hanya melalui prasasti-prasasti yang ada terutama dalam bentuk batu yang dipahat atau logam yang diukir dengan tulisan. Ciri-ciri dan sifat-sifat khas bahasa Melayu kuno ialah: a. Tulisan yang dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dan India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu timbul jenis-jenis tulisan seperti benikut: i. Tulisan Pallava awal. ii. Tulisan Pallava akhir. iii. Tulisan Kawi awal. iv. Tulisan Kawi akhir. v. Tulisan-tulisan lain yang lahir kemudian mengikut perkembangan zaman dan juga bahasa dan dialek b. Wujud kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit seperti perkataan-perkataan dalam laras agama. Contohnya: daiva, sukhasyitta, Brahma, Syiva, Visynu, puasa, dosa, pahala, naraka, sywarga. c. Fonem-fonem pinjaman daripada bahasa Sanskrit seperti v, sy, bh, dh, kh, t gelungan, chh dan lain-lain seperti pada kata-kata paramesyvara, syiva, bhagia, bedha, sukhasyitta, chhuti, dan lain-lain. d. Wujud kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit untuk laras pemerintahan dan pentadbiran seperti raja, maharaja, maharani, nagara, laksamana, bendahara, bendahari, seri rama, mahligai dan istana. e. Morfem-morfem Melayu kuno seperti: 1. in- untuk di- dalam bahasa Melayu moden. 11. nipar- untuk diper- dalam bahasa Melayu moden. m. luar- untuk ber- dalam bahasa Melayu moden. iv. mam- untuk mem- dalam bahasa Melayu sekarang dan lain-lain. f Fonem-fonem Melayu kuno seperti v untuk b. Contohnya: nivunuh untuk dibunuh, dan marvuat untuk berbuat. g. Tidak ada penggunaan tulisan Jawi. Sehingga ke saat ini belum ada bukti tentang adanya orang Melayu yang menggunakan tulisan Jawi dalam zaman ini. h. Tidak terdapat kata-kata pinjaman daripada bahasa Arab atau Parsi dalam zaman ini yang berakhir pada akhir abad ke-13. Prasasti-prasasti Melayu kuno hanya menggunakan kata-kata Melayu asli seperti pinam (pinang), rumviya (rumbia), wuluh (buluh), atau kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit seperti prakara (perkara), pratama (pertama), sarvvasatva (sarwasatwa), dan maharddhika (merdeka). I. Tidak ada kata-kata pinjaman daripada bahasa kolonial dan Barat. J. Tidak ada tulisan rumi atau Latin dan Barat yang dipakai oleh orang Melayu ketika itu.

k. Kitab-kitab agama atau falsafah Hindu dan Buddha yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidak kesemuanya diterjemahkan. Bahan yang diterjemahkan hanyalah yang dalam bentuk ceritanya seperti tentang kisah raja-raja dan orang-orang besar, tentang istana, mahligai dan negeri, keluarga raja, anak cucu dan keturunannya. Perkara-perkara yang berbentuk atau berkaitan dengan falsafah tidak ada yang diterjemahkan. Itu sebabnya kitab falsafah Hindu Bhaghawatgitta tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu pada masa dahulu. Zaman Bahasa Melayu Klasik Zaman ini saya kira bermula dan awal abad ke- 14 dan berakhir pada akhir abad ke- 18 Masihi. Tarikh itu saya pilih kerana prasasti Terengganu bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi. Prasasti ini sangat penting kerana ia berlainan daripada prasasti-prasasti yang sebelumnya. Oleh sebab itu Prasasti Terengganu saya jadikan sebagai patokan untuk pemisah antara bahasa Melayu kuno dengan bahasa Melayu klasik. Hujah pertama ialah ia menggunakan tulisan Jawi yang tidak pernah dibuat oleh orang Melayu pada masa sebelumnya. Memang benar terdapat beberapa prasasti yang menunjukkan wujudnya tulisan Arab yang digunakan oleh orang Melayu pada masa sebelumnya, tetapi prasasti-prasasti itu tetap dalam bentuk bahasa Arab asli. Tulisan dan bahasanya Arab jati, seperti pada prasasti Langgar, di Kedah (290H); Pekan, Pahang (419H. ); Phan-rang, Vietnam (43 1H. ); Leran, Jawa Timur (475Hj; dan Bandar Seri Begawan, Brunei (440H.). Dengan itu tulisan Jawi tidak terbukti wujud pada abad ke-13 dan sebelumnya. Kedua, prasasti Terengganu mengandungi bentuk bahasa yang berlainan daripada bahasa Melayu kuno. Bahasanya lebih mudah dan mendekati bahasa Melayu zaman moden. Imbuhan-imbuhan yang dipakai lebih mirip ke bahasa Melayu moden; kata-kata pinjaman Arab sudah meresap ke dalamnya, katakata pinjaman daripada bahasa Sanskrit sudah agak berkurangan; ejaan Jawinya lebih mirip kepada ejaan pengaruh Melayu. Bentuk-bentuk huruf Jawi yang dipakai lebih mirip ke huruf Jawi yang dipakai sekarang. Gaya bahasa yang digunakan sudah menyimpang daripada bahasa Melayu kuno. Mungkin akan ada orang yang mengatakan bahawa bahasa yang dipakai dalam buku Hikayat Raja Pasai dan Kitab Bahr al-Lahut, sama dengan bahasa yang terdapat pada prasasti Terengganu, sedangkan buku dan kitab tersebut terkarang pada abad ke- 12 atau ke- 13 Masihi dan dengan itu ia termasuk ke dalam zaman bahasa Melayu kuno. Tetapi malangnya hujahnya tidak kuat kerana tarikh yang diberikan itu hanya andaian sahaja, tidak ada bukti yang konkrit seperti bukti yang ada pada prasasti Terengganu atau pada Kitab Aqaid al-Nasafi. Bahasa Melayu pada zaman klasik ini memakan masa selama 500 tahun, iaitu dari 1300M. hingga 1800M. Dalam zaman ini terdapat hasil-hasil karya tulis yang besar dan agung, melahirkan para penulis dan ulama yang terkenal, wujudnya pusat-pusat kerajaan Melayu yang tersebar dari Aceh di barat sampai ke Maluku di timur, dan Campa di utara sampai ke Banten, di selatan, terdapat jalur-jalur perdagangan rempah ratus yang berselirat di Alam Melayu, meningkatnya penyebaran Islam melalui bahasa Melayu di pelbagai penjuru kepulauan Melayu dan lain-lain lagi. Dalam zaman ini juga lahir para ulama saya yang terkenal. Antara para ulama yang lahir dalam zaman ini ialah Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al.-Fansuri (Singkel); Syamsuddin al-Samatrai (Pasai); Nurudin al-Raniri di Aech; Tun Sen Lanang dan Bukhari al-Jauhari (Johor); Daud Abdullah alFataui; Abdul SamadalFalimbani; Muhammad Arsyad al-Banjari; Syeikh Yusuf al-Maqasari, dan lain-lain lagi. Antara hasil-hasil karya tulis yang terkarang dalam zaman ini ialah Sulalatus-Salatin (Sejarah Melayu), Hukum Kanan Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad All Hanafiak, Hikayat Hang Tuah, Adat Raja-raja Melayu, Syair Burung Pungguk, Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Perahu, Syarab Asyikin, Syarab Rubai Hamzah Fansuri, Tanbih al-Tullab, Sirat al-Mustaqim, Bustan al-Salatin, Ta] al-Salatin, Terjemah Tafsir atBaydawi, Syifa al-Qulub, Jawahir al-Ulum, Lataif al-

Asrar, Kfayat al-Muhtajin, Mirat al-Tullab, Hujjat al-Balighah, Bidayat al-Hidayat, Hidayat alSalikin, Siyar al-SalikiR Sabil al-Muhtadin, Furu al-Masail, Safinat a?Najah, Fat al-Rahman dan beratus-ratus tulisan lagi yang ditulis sama ada di Aceh, Patani, Palembang, Banjar, Makasar, Banten, Pontianak, Berunai, Jawa, Ininangkabau, mahu pun di Makkah dan Madinah. Dalam zaman ini datanglah orang-orang Barat Portugis, Sepanyol, Belanda, dan Inggeris. Mereka telah membawa budaya dan tamadun mereka untuk diperkenalkannya di Alam Melayu selain untuk menjajah dan menguasai pusat-pusat perdagangan terutama perdagangan rempah. Beberapa kota penting telah dikuasai mereka seperti Melaka dan Anton oleh Portugis. Tetapi bangsa Barat yang paling berjaya menguasai Alam Melayu ialah Belanda. Pada abad ke- 18 mereka ini telah berjaya menguasai Melaka, Padang, Palembang, Cirebon, Batavia (Jakarta), Seluarang, Kupang, Makassar, Pontianak, Banjarmasin, Manado, Ternate, Ambon dan Banda. Orang-orang Barat ini juga menyebarkan ajaran agama mereka, iaitu agama Kristian-Katolik dan Protestant. Mereka mula menggunakan tulisan Rumi untuk bahasa Melayu seperti yang diusahakan oleh Duarte Barbosa, Antonio Pigafetta, Leydekker, dan lain-lain. Kitab Bible juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti naskhah Elkitab, ija itoe sega?a Soerat Perdjandjian lama dan baharuw yang diusahakan oleh Leydekker pada tahun 1731-1732. Selain itu orang-orang Barat juga telah menyusun daftar kata bahasa Barat-Melayu,seperti Portugis-Melayu, ltali-Melayu, Belanda-Melayu, Inggeris-Melayu atau akasnya dan juga kamus dwibahasa Barat-Melayu dan buku tatabahasa Melayu atau yang lain-lain seperti yang diusahakan oleh John Ogilby, Thomas Bowrey, de Houtmann atau yang lain-lain termasuk Valentijn. Walaupun demikian pengaruh kolonial Barat tidak meresap ke dalam budaya dan bahasa Melayu. Buktinya ialah orang Melayu tetap menggunakan tulisan Jawi untuk segala jenis tulisannya. Orang Melayu masih terus mempertahankan agamanya, iaitu Islam, orang Melayu masih mempertahankan adat istiadat Melayunya. Oleh sebab itulah orang Barat terpaksa menggunakan apa yang dipakai oleh orang Melayu. Contohnya Leydekker yang menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu dengan tulisan rumi pada tahun 1731-1732, terpaksa beralih kepada tulisan Jawi pada tahun 1748. Ini kerana tulisan ruminya tiada sambutan daripada orang Melayu. Bahkan setelah dijawikan pun tidak dibaca oleh orang Melayu. Oleh sebab itulah sehingga ke abad ke- 19 para pengembang agama Kristian terpaksa menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu untuk tulisan-tulisan mereka seperti pada majalah-majalah Bustan Arifin Cermin Mata dan Taman Pungutauan. Dari segi hasil karya tulisan memang banyak orang Barat yang menulis tentang bangsa dan bahasa Melayu, namun hanya setakat menulis itu sahaja. Pengaruhnya tidak meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu. Begitu juga orang Barat banyak menguasai daerah dunia Melayu sebagaimana yang telah disebutkan di atas, namun mereka hanya berkuasa dalam politik penjajahan dan perdagangan dan tidak dapat menghunjamkan pengaruhnya ke dalam jantung bahasa dan budaya Melayu. Oleh sebab itulah saya tidak bersetuju apabila kata kolonial ditonjolkan dalam ketiga-tiga zaman bagi bahasa Melayu -zaman prakolonial, zaman kolonial dan zaman pascakolonial. Zaman bahasa Melayu klasik ini mempunyai beberapa ciri dan sifat tertentu yang berbeza dengan bahasa Melayu kuno dan bahasa Melayu pramoden. Antaranya ialah: a. Penggunaan tulisan Jawi lebih menonjol daripada tulisan-tulisan yang lain. b. Kata-kata pinjaman Arab dan Parsi mula menapak ke dalam bahasa Melayu terutama untuk istilah-istilah agama, dan pemerintahan. c. Fonem-fonem Arab mula masuk dan dipinjam oleh bahasa Melayu. d. Ungkapan-ungkapan, istilah-istilah dan bahasa Arab dan Parsi mula wujud dalam bahasa Melayu.

e. Pengaruh agama Islam semakin bertambah kuat dan berjaya mengetepikan pengaruh agama-agama Hindu dan Buddha di kalangan orang Melayu. f. Wujudnya sistem pemerintahan Islam dan hukum Islam dalam pemerintahan kerajaan Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu. g. Belum terbukti adanya tulisan orang Melayu sendiri yang memfokus kepada ajaran agama Kristian yang dibawa oleh orang-orang kolonial Barat. Zaman Bahasa Melayu Pramoden Zaman bahasa Melayu pramoden ini wujud dalam abad ke-19M. Ia merupakan zaman peralihan antara zaman bahasa Melayu klasik dengan zaman bahasa Melayu moden. Dalam zaman ini tamadun Barat dan budaya Barat sudah berjaya meresap ke dalam tamadun dan budaya Melayu tetapi bahasa Melayu itu sendiri dari segi gaya bahasa, kosa kata, ungkapan dan lain-lain masih banyak berbentuk bahasa Melayu klasik. Namun pada zaman ini alat percetakan sudah mula diperkenalkan (1806), sekolah Melayu mula dibuka (1821), majalah dalam bahasa Melayu mula diterbitkan (1821), suratkhabar Melayu mula dicetak dan diedarkan (1856), pengajaran bahasa Melayu secara formal diperkenalkan (1821), persatuan bahasa Melayu mula ditubuhkan (1888), pemerintahan cara Barat mula diterima pakai oleh orang Melayu terutama di negeri Johor (1885), gaya bahasa laporan diketengahkan seperti dalam karangan Abdullah Munsyi dan buku-buku untuk bacaan sekolah mula dikarang sebagaimana yang dilakukan oleh Syed Mahmud bin Syed Abd. Kadir (1890-an), perlembagaan negeri Melayu yang moden mula digubal (1895), istilah-istilah pemerintahan Inggeris diberi padanan Melayunya (1888) dan beberapa unsur baru yang lain termasuk penulisan tatabahasa Melayu dan kamus Melayu oleh orang-orang Melayu sendiri. Itulah unsur-unsur baru daripada tamadun dan budaya Barat yang meresap ke dalam tamadun dan budaya Melayu. Namun demikian tidak semua yang baru itu dari Barat atau kolonial Barat kerana ada juga unsurunsur itu datangnya melalui Asia Barat seperti pendapat-pendapat daripada para ulama kaum muda seperti Syeikh Ahmad Rhatib dan Syeikh Tahir Jalaluddin, dan pada ketika itu juga tidak semua daerah alam Melayu dikuasai Barat atau dijadikan koloni oleh orang Barat. Contohnya Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu baru ditakluki Inggeris pada tahun 1909, dan Johor baru menerima penasihat Inggeris pada tahun 1914. Jadi dengan itu tidak benar sama sekali dan tidak tepat sama sekali untuk menonjolkan kolonial-nya. Paling tinggi yang kita boleh katakan ialah wujudnya pengaruh tamadun Barat sahaja. Daripada keterangan dan bukti di atas menunjukkan wujudnya pengaruh Barat atau kolonial baru jelas, dalam zaman bahasa Melayu pramoden tetapi unsur-unsur lama masih tetap ada terutama dari segi gaya bahasa, pemiihan kata, terbatasnya kata-kata pinjaman daripada bahasa Barat, tulisan Jawi tetap menjadi tulisan bagi orang Melayu dan tulisan Rumi masih asing bagi orang Melayu, demikian juga agama Kristian yang gencar disogokkan kepada orang Melayu masih belum dapat menerobosi benteng Islam-Melayu. Zaman Bahasa Melayu Moden Apabila menginjak abad ke-20 banyak perubahan berlaka. Negeri-negeri Melayu yang dahulunya masih bebas terpaksa tunduk ke bawah kolonial Barat Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor mula dicengkam oleh penjajah Inggeris, kerajaan Melayu Riau dihancurkan oleh Belanda. Demikian juga negerinegeri Melayu yang lain di Indonesia. Pengaruh budaya dan tamadun Barat terus mengental. Akhirnya dominasi penjajahan, budaya dan tamadun Barat berdiri tegak di alam Melayu.

Bahasa Melayu jatuh menjadi bahasa vernakular, demikian juga bahasa-bahasa peribumi yang lain. Pendidikan Barat dikembangkan, sekolah-sekolah berbahasa penjajah dan sekolah-sekolah Kristian didirikan di merata-rata tempat di seluruh Nusantara; pegawai-pegawai penjajah disebarkan ke seluruh ceruk rantau tanah jajahan bagi mengkonsolidasikan kekuasaan penjajahan mereka. Bangsa Melayu menjadi anak jajahan. Namun sinar-sinar untuk kemajuan mengerlip dari Timur ketika Jepun mengalahkan Rusia (1905), pandangan-pandangan Islam moden yang dicetuskan al-Afghani dan Abduh dan Asia Barat meresap ke dalam pemikiran sebahagian orang-orang Melayu yang berjiwa merdeka. Dengan mengsintesiskan fikiran-fikiran dan pengaruh Barat dan Timur yang meresap ke dalam bahasa Melayu maka bahasa Melayu mula menapaki jalan kemajuan. Pada awal abad ke-20, penjajah Belanda mengamalkan Dasar Etika (Ethical Policy). Tulisan Rumi dipakai untuk bahasa Melayu dan dibakukan ejaannya, iaitu ejaan van Ophuijsen. Kemudian kerajaan Penjajah Belanda mengadakan sebuah Suruhanjaya Cominissie voor de Inlandsche School en Volkslectuur, pada tahun 1908 yang diketuai Dr. G.A.J. Hazeu. Pada tahun 1917 Cominissie itu diubah menjadi Balai Poestaka yang dipimpin oleh Dr. D.A. Ringkes. Balai Poestaka menerbitkan majalah bulanan Sri Poestaka (1918) dan Mingguan Pandji Poestaka (1923). Selain itu ia menerbitkan novel-novel seperti Azab dan Sengsara oleh Mirari Siregar (1920), Sitti Nurbaja oleh Luarah Roesli (1922), dan Salah Asoehan oleh Abdoel Moeis (1928). Pada tahun 1928 diadakan Kongres Pemuda Indonesia II, dan dalam kongres ini diputuskan nama bahasa Melayu ditukar kepada BAHASA INDONESIA. Ini termaktub dalam Soempah Pemoeda yang diadakan pada akhir Kongres Pemuda tersebut. Sejak itu bahasa Indonesia menjadi bahasa persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia. Pada tahun 1945 ia dinobatkan sebagai bahasa negara Indonesia -sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasini. Bagi meningkatkan citra bahasa ini Kongres Bahasa Indonesia telah diadakan. Mula-mula diadakan di Solo (1938), kemudian di Medan (1954) dan selepas itu di Jakarta. Kemudian bagi memantapkan korpus bahasanya, Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah didirikan, bermula dari Instituut voor Taal en Cultuur Onderzoek (ITCO) pada 1947. Tetapi ia ditukar namanya beberapa kali seperti Lembaga Bahasa dan Budaya, Lembaga Bahasa dan Kesusasteraan, Direktorat Bahasa dan Kesusasteraan, Lembaga Bahasa Nasional, dan akhir sekali Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Dalam menapaki liku-liku perjalanan sejarahnya beberapa angkatan penulis telah lahir seperti Angkatan Balai Pustaka, Angkatan Pujangga Baru, Angkatan`45, Angkatan `66, dan Angkatan `98. Sejarah bahasa Melayu abad ke-20 di Malaysia mengalami beberapa tahap seperti Bahasa Melayu awal abad ke-20 dengan wujudnya Maktab Perguruan Melayu (1900, 1913, 1919) dan majalah alImam (1906), kemudian muncul zaman SITC Pejabat Karang Mengarang yang berpusat di Tanjong Malim (1922 1941), Bahasa Melayu Zaman Jepun (1942 1945), Bahasa Melayu Pasca-Perang(1945 1949). Bahasa Melayu Pramerdeka (1950 1957), Bahasa Melayu Pascamerdeka (1957 1969), Bahasa Melayu Pasca 1969, dan Bahasa Melayu Pasca 1980. Dalam abad ke-20 Bahasa Melayu banyak berubah kerana pengaruh kolonial Barat dan juga pengaruh dan Asia Barat serta Jepun. Jumlah sekolah Melayu semakin bertambah banyak berlipat-lipat kali ganda, maktab-maktab perguruan Melayu dibuka, majalah dan akhbar pelbagai jenis diterbitkan, buku-buku bacaan sekolah, buku-buku umum dan kitab-kitab agama dicetak sama ada di Malaya atau Indonesia. Bahkan ada yang dicetak di Bombay, Cairo, Mekah -Madinah dan Istanbul. Persatuan-persatuan penulis, persatuan-persatuan kebajikan, kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan serta politik tumbuh dengan subur sekalipun ditekan dan dicengkam oleh kuku besi penjajah.

Bahasa Melayu tetap terus berkembang. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat apabila negara-negara di Dunia Melayu mencapai kemerdekaannya Indonesia (1945), Malaysia (1957), Singapura (1963)dan Brunei (1984). Di Malaysia, apabila menjelang kemerdekaan terdirilah kelas-kelas menengah Melayu yang menjadi cikal bakal sekolah menengah Melayu, begitulah juga dengan terdirinya institusi-institusi yang lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Maktab Perguruan Bahasa, kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadi puncak dasar pelajaran kebangsaan. Bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu beberapa banyak penyata, akta, dan penggubalan perlembagaan negara yang diluluskan seperti Penyata Datuk Abdul Razak Hussein (1956), Penyata Datuk Abdul Rahman Talib (1960), Ordinans Pelajaran (1957), Perlembagaan-perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Malaysia (1963), Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959 dan 1995), Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa 1963, Akta Bahasa 1967, Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971), Akta Universiti dan Kolej Universiti Pindaan (1975), dan pelbagai akta yang lain termasuk Akta Pendidikan 1996. Dalam abad ke-20 bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang moden kerana unsur-unsur moden sudah meresap ke dalam bahasa Melayu, banyak buku yang ditulis dan diterbitkan, banyak majalah dan akhbar yang dicetak dan diedarkan dalam pelbagai bidang dan jurusan bagi memenuhi keperluan hidup manusia Melayu dalam zaman moden ini. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat selepas negara ini mencapai kemerdekaannya, terutama dalam bidang sains dan teknologi. Buku-buku iliniah banyak diterbitkan termasuk untuk teks-teks pengajian tinggi, istilah-istilah banyak yang telah digubal, bahkan pada tahun 2000 ini sudah mencapai ke angka 1,000,000 istilah dalam pelbagai bidang ilmu. Selain itu bahasa Melayu juga menjadi bahasa pentadbiran di semua peringkat perkhidmatau awam, dalam mahkamah, pengajian rendah dan menengah serta pengajian tinggi. Daripada segala kenyataan yang terpapar di atas jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu moden mempunyai ciri yang moden seperti kemampuan bahasa Melayu untuk digunakan dalam bidang ilmu yang tinggi dan mendalam, bukan sahaja dalam bidang falsafah tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi. Dengan kata lain ia mempunyai kudrat dan kekuatan untuk membahas ilmu-ilmu moden dan bagi menupang budaya dan tamadun dunia moden yang tinggi. ini semua merupakan hasil daripada usaha perancangan bahasa Melayu yang dibuat secara individu atau kelompok dalam mengemaskinikan tatabahasa Melayu dan membakukannya, menambah kosa kata ilmiah dengan menggubal istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang ilmu sehingga bahasa Melayu menjadi perkasa. Kesimpulan Daripada apa yang telah diperkatakan di atas jelas menunjukkan bahawa pembahagian zaman-zaman bahasa Melayu di atas adalah berdasarkan ciri-ciri yang khas bagi setiap zaman perkembangan bahasa Melayu. Ia tidak menekankan kepada satu-satu unsur atau sumber seperti bahasa Melayu zaman Hindu, zaman Islam atau yang lain-lain, atau bahasa Melayu zaman pra-Hindu, pra-Islam, pasca-Hindu, atau pasca-Islam. Jika dibuat deinikian akan memojokkan pengaruhpengaruh yang lain. Jadi pembahagian zaman bahasa Melayu kepada tiga, iaitu zaman prakolonial, zaman kolonial dan zaman pascakolonial adalah tidak relevan sama sekali, dan tidak ilmiah. Dicatat oleh hariff71 di 4:58 PM Label: sejarah

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU


1.0 PENGENALAN Sejarah perkembangan Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut etimologi kata Melayu. Asal usul perkataan ini sebenarnya masih belum disahkan oleh ahli sejarah. Apa yang dapat dilakukan ialah meneliti beberapa bukti yang dapat dikaitkan dengan kata Melayu, iaitu catatan Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja Cina sekitar tahun 644-645 Masihi. Ada juga yang berpandangan bahawa kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera yang diberikan namanya berdasarkan sebatang sungai bernama Sungai Melayu. Satu catatan orang Cina ialah seorang sami Buddha yang bernama I-Tsing menggunakan perkataan tersebut apabila menceritakan tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar tahun 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan Mlayu bermaksud berlari atau mengembara. Ini dapat dikaitkan dengan kedatangan Indo-Melayu (Austronesia) yang dikatakan bergerak dari Yunan ke Tanah Melayu.

Istilah Melayu dapat dilihat dari dua segi, iaitu pengertian yang sempit dan pengertian yang luas (Asmah,1985:37). Bagi pengertian pertama, istilah ini merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu dan kawasan tradisional yang disebut sebagai gugusan pulau-pulau Melayu, yakni pulau-pulau yang meliputi Indonesia hari ini.

Pada tahun 1972, pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan beberapa tempat lagi yang berdekatan. Bahasa yang digunakan oleh penduduk di kawasan ini ialah Bahasa Melayu. Bahasa ini menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia, manakala di Indonesia dikenal pula sebagai Bahasa Indonesia yang merupakan bahasa kebangsaan di negara itu juga.

1.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU


Beberapa orang sarjana bahasa Barat telah membuat penyelidikan tentang bahasa-bahasa yang tersebar di kepulauan Melayu dengan membandingkan antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Antara pengkaji yang terkenal termasuklah R.H. Geldern, J.H.C. Kern, Wilhem Von Humboldt, Van Der Tuuk, Otto Demwolff, P.W. Schmidt, Brandstetter, William Marsden dan lain-lain. Sarjana tempatan yang turut memberi sumbangan terhadap usaha ini ialah Asmah Haji Omar, Amat Juhari Moain, Harun Aminurrashid, Ismail Hussien dan lain-lain.

Bangsa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Nusantara (kepulauan Melayu). Ini berdasarkan dua teori yang dikemukakan oleh para pengkaji, iaitu R.H. Geldern, iaitu seorang ahli pengkaji prasejarah yang mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap kapak tua (beliung batu) yang ditemui. Kapak tua tersebut ditemui di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Hwang, Salween dan Yangtze yang didapati serupa

dengan kapak tua yang ada di kawasan Nusantara. Beliau menyimpulkan bahawa kapak tua di Nusantara itu dibawa oleh masyarakat dari Asia Tengah bersama-sama dengan bahasanya sekali.

Pengkaji seterusnya ialah J.H.C. Kern, seorang ahli filologi Belanda juga mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Asia Tengah berdasarkan persamaan beberapa perkataan. Beliau mendapati ada beberapa perkataan yang terdapat di kepulauan Nusantara itu terdapat juga di Madagaskar, Taiwan, beberapa pulau di kepulauan Pasifik dan di Filipina. Beliau juga mendapati bahawa perkataan yang digunakan berasal daripada induk yang sama, iaitu Asia.

Selain dua tokoh tersebut, William Marsden yang membuat kajian terhadap Bahasa Melayu mendapati Bahasa Melayu dan bahasa Polinesia itu merupakan bahasa serumpun. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Nusantara yang bermaksud Bahasa Melayu itu bermula dari Nusantara. Dalam kajian ini, istilah filum digunakan bagi menggambarkan kelompok bahasa yang menjangkau lebih 5,000 tahun.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji, Bahasa Melayu didapati tergolong dalam filum bahasa-bahasa Austris yang mempunyai tiga rumpun utama: Bahasa Austroasia, Tibet-China dan Austronesia (Rajah 1.1).

Rajah 1.1: Pembahagian Filum Austris

1.1.1 Keluarga Bahasa-Bahasa Austronesia


Perkataan Austronesia merupakan gabungan dua perkataan, iaitu austro dan nesos. Perkataan w berasal daripada bahasa Latin, yang bermaksud selatan; manakala perkataan nesos berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud pulau. Oleh itu, istilah austronesia membawa pengertian pulaupulau selatan (Asmah,1985:35). Istilah ini diperkenalkan oleh P.W. Schmidt, manakala istilah Malayo-Polenesia digunakan oleh Wilhem von Humboldt, ahli bahasa yang telah mengkaji aspek keserumpunan bahasa antara Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa di daerah Polinesia. Bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa yang tergolong dalam satu filum Bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan TibetChina. Istilah rumpun digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang mempunyai tempoh masa antara 2,500 5,000 tahun.

Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat rumpun, iaitu bahasa-bahasa di kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa di Hawaii, Tonga dan New Zealand

iaitu di kalangan bangsa Maori), Melanesia (bahasa-bahasa di Fiji, Irian dan New Caledonia), dan Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert, Carolina, Marshall dan Marianna) (Rajah 1.2).

Rajah 1.2 : Pecahan Rumpun Bahasa Austronesia

1.1.2 Rumpun Bahasa Melayu


Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Asal-usul Bahasa Melayu adalah dari filum Austris. Filum Austris terpecah kepada tiga rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia (dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia), dan rumpun Tibet-China. Rumpun Austronesia pula dipecahkan kepada empat keluarga, iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia dan Polinesia (Rajah 1.2). Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada golongan tertentu seperti golongan Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Muna-Butung, Gorontalo, Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi selatan, Bima-Sumba, Ambon-Timul, Sula-Bacon, dan Halmahera selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong ke dalam kumpulan bahasa Sumatera.

Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur Bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara. Golongan pertama disebut Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi. Tidak dijelaskan mengapa mereka berpindah. Mereka tinggal di kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan. Golongan kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Perpindahan mereka juga tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut jalan dan laluan yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak golongan pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke tempat-tempat yang terpencil, manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah pamah, tanah rendah, lembah sungai dan di tepi laut.

Selain daripada itu, terdapat teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat. H. Kern menyatakan bahawa penduduk di kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat persamaan-persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam seperti suku Naga di India. Henry Yule pula

berpendapat seperti J.R. Logan iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara pendudukpenduduk di daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di kepulauan Melayu. Persamaanpersamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama. Berdasarkan kajian-kajian ini boleh dikatakan bahawa penduduk-penduduk kepulauan Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Tetapi tidak dapat dipastikan dari mana. Ada yang mengatakan dari Yunan, di barat daya negeri China; dari Assam, India; dari Asia Tengah; dan ada juga yang mengatakan dari bahagian selatan tanah besar Asia Tenggara. Seorang lagi sarjana yang membuat kajian perbandingan bahasa ialah Mees. Beliau membuat kajian bertitik tolak daripada pembahagian oleh Schmidt dengan sedikit perubahan dan data yang lebih perinci. Menurut Mees lagi, bahasa dan dialek di Tanah Melayu tidak dapat tidak, mempunyai hubungan dengan bahasa yang digunakan di pantai Timur Sumatera, iaitu Bahasa Melayu. Malah, daerah Bahasa Melayu di luar Tanah Melayu merangkum kepulauan Riau, Palembang, Kampar, Jambi dan Medan. Bahasa Melayu-Sriwijaya memperlihatkan sisa-sisa tua daripada salah satu Bahasa Austronesia berdasarkan prasasti yang terdapat pada batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 680 Masihi. Di bahagian utara pula, terdapat kelompok bahasa Aceh, bahasa Batak seperti Karo, Toba, Simalungan, dan Angkola-Mandiling, Nias, Mentawai, Minangkabau dan Lampung.

Rajah 1.3: Keluarga Bahasa Melayu Istilah keluarga digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang kurang daripada 2,500 tahun. Berdasar Rajah 1.3, kita dapati bahawa keluarga Bahasa Melayu juga mempunyai pecahannya tersendiri. Kumpulan Bahasa Melayu Johor mempunyai induknya yang bermula daripada Bahasa Melayu Johor kemudian Bahasa Melayu Tengah sebelum ke Bahasa Melayu induk yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Proto yang juga merupakan kumpulan Bahasa Austronesia.

Daripada keluarga Indonesia (Nusantara), Bahasa Melayu terpecah kepada 16 subkeluarga atau bahasa, iaitu Bahasa Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Gorontalo, Tomini, Toraja, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Muna-Butung, Bima-Sumba, Ambon-Timur, Sula-Bacon, Halmahera Selatan-Irian Jaya. Dalam subkeluarga Sumatera termasuk Bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Melayu, Nias, Lampung, dan orang Laut.

Osman Omar (1961:3) mengatakan bahawa percabangan Bahasa Indonesia begitu tersebar luas kerana dikembangkan oleh suku bangsa yang seketurunan dengan bangsa Melayu dan penyebaran ini terjadi disebabkan sifat semula jadi bangsa Melayu sendiri sebagai ahli pelayaran dan perantau yang masyhur. Ciri-ciri pelaut dan perantau bangsa Melayu ini mengakibatkan berlakunya dua pertembungan penting pada induk Bahasa Indonesia menjadi berbagai-bagai bahasa lain. Menurut Asmah (1985) kawasan penyebaran bahasa-bahasa Indonesia dianggap sebagai pusat keseluruhan kawasan Austronesia atas beberapa sebab. Antara lain, keluarga bahasa ini melebihi mana-mana keluarga bahasa dari segi bentuk-bentuk bahasanya. Malah daripada keluarga bahasa inilah terdapatnya Bahasa Melayu, iaitu bahasa yang pesat perkembangannya sehingga dijadikan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Malah kerajaan yang memerintah alam nusantara semuanya terdapat di kawasan Indonesia, misalnya Kerajaan SriwijayaMelaka dan kerajaan Melayu-Johor. Hal ini diperjelaskan oleh Ismail Hussien (1948:5) yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu. Oleh sebab bentuknya yang amat sederhana dan kemungkinan menerima unsur asing dan sifatnya yang dapat dilentur buat memenuhi keperluan semasa, maka jadilah Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di kepulauan Melayu. Ahli bahasa membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada beberapa tahap, iaitu: i) Bahasa Melayu Kuno ii) Bahasa Melayu Klasik iii) Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar jumlahnya dibandingkan dengan bahasa lain seperti Bahasa Jawa atau Bahasa Tagalog. Bahasa Melayu Purba dikatakan wujud pada zaman prasejarah namun tidak ada bukti yang bertulis pada masa itu. Perbincangan dalam modul ini lebih tertumpu kepada perkembangan Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Klasik yang menjadi asas kepada perkembangan Bahasa Melayu Moden.

BAHASA MELAYU SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA

PENGENALAN
Pada tahun 1935, O.T. Dusseck memberitahu penuntut-penuntutnya bahawa ada tiga tenaga pendorong dalam hidup ini, iaitu agama, adat resam dan bahasa. Tegas beliau, ...bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupakan hakikat itu.

Rajah 3.1 : O.T.Dusseck Pelihara bahasa kamu itu; berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak di kalangan bahasabahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu. (The Straits Times, 1935.) Demikianlah petikan ucapan daripada seorang bekas pegawai berbangsa Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu sebelum merdeka. Ucapan beliau telah memberikan gambaran yang jelas tentang keyakinan beliau bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu yang sama tarafnya dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain sekiranya kita berusaha untuk mempertahankan keluhuran dan kedaulatannya. bahasa itu sendiri menunjukkan bangsa yang menuturkannya. Tajuk ini akan membawa anda menelusuri perkembangan Bahasa Melayu dari era sebelum merdeka, iaitu dengan penubuhan ASAS 50 hinggalah kemerdekaan 1957, dan era selepas merdeka dari tahun 1957 hinggalah tahun 1967, dan seterusnya kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

BAHASA MELAYU SEBELUM MERDEKA


Bahasa Melayu yang digunakan sebelum merdeka dikatakan Bahasa Melayu pramerdeka. Era pramerdeka ialah zaman yang memperjuangkan taraf atau status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Era Bahasa Melayu pramerdeka bermula dengan tertubuhnya ASAS 50 (6 Ogos 1950) hingga kepada kemerdekaan 1957. Persatuan ini terdiri daripada penulis yang dikenali sebagai

Angkatan Sasterawan 50 atau ringkasnya ASAS 50 telah ditubuhkan di Singapura. Persatuan itu telah diasaskan oleh beberapa orang penulis Melayu Singapura dan sebahagian besarnya merupakan penulis-penulis dan pengarang-pengarang Tanah Melayu yang terpaksa berhijrah ke Singapura akibat tekanan penjajah Inggeris terhadap kegiatan politik dan kreativiti mereka.

Antara tokoh-tokoh penting ASAS 50 ini ialah Kamaluddin Muhammad atau Kris Mas, Usman Awang atau Tongkat Waran (Lihat Rajah 3.2), Masuri S.N., Mohd. Arif Ahmad atau MAS, Abdul Wahab Muhamad atau Awamil

Rajah 3.2: Usman Awang Sarkam, Asraf dan Hamzah. Secara umumnya penubuhan ASAS 50 ini adalah untuk: a. Memperluas dan mempertinggikan mutu sastera Melayu; b. Melindungi hak-hak dan kepentingan para penulis dan para pengarang; dan c. Mengadakan pembaharuan dalam sastera. Persatuan ini bergerak dengan cita-cita memajukan bahasa dan sastera Melayu sebagai alat untuk menuju ke arah kemerdekaan, keadilan sosial dan kemajuan fikiran, selari dengan konsep perjuangannya, 'Seni Untuk Masyarakat' atau 'Seni Untuk Rakyat'. Dengan berpegang kepada konsep ini ASAS 50 telah berjaya membawa satu bentuk dalam bidang penulisan cerpen dan sajak. Pada umumnya, tema cerpen dan sajak ASAS 50 bersifat kritik masyarakat. Oleh itu, banyak daripada cerpen atau sajak yang mereka hasilkan mengarah kepada menentang golongan atasan dan membela kaum buruh, petani dan nelayan. Meskipun terdapat kelemahan-kelemahan dan tentangan-tentangan terhadapnya, ASAS 50 telah berjaya memberi daya dan mewarnai kehidupan sastera zamannya dalam bentuk majalah dan surat khabar. Asas 50 juga merupakan pelopor pembaharuan kepada kesusasteraan Melayu moden, iaitu selepas Perang Dunia Kedua (ASAS 50 Ditubuhkan, 2002).

Pada zaman ini asas perjuangan badan ini ialah mengutamakan Bahasa Melayu dan merancang pemodenan serta perkembangan bahasa ini yang diperjuangkan melalui saluran politik. Kewujudan Bahasa Melayu pada era ini lebih kepada perjuangan menjadikan Bahasa Melayu bahasa kebangsaan negara melalui kuasa politik. Bentuk bahasa ini belum dipiawaikankan dan perkembangannya tidak dirancang secara sistematik. Malah dari segi tatabahasa, bahasa ini begitu dipengaruhi oleh tatabahasa Zaba dan sistem ejaan yang digunakan ialah Ejaan Zaba dan Ejaan Kongres (1956 -1957). Tema Angkatan ASAS 50 pada ketika itu ialah perjuangan atau berkonsepkan perjuangan. Penulis

ASAS 50 memperjuangkan konsep 'Seni Untuk Masyarakat' dan 'Seni Untuk Seni' tetapi konsep 'Seni Untuk Masyarakat' lebih menonjol kerana sebahagian besar daripada Angkatan ASAS 50 terdiri daripada wartawan dan berkhidmat di Utusan Melayu, Berita Harian dan juga beberapa majalah. Perjuangan mereka ditonjolkan melalui bahasa dalam penulisan cerpen, sajak dan kerja seni lain yang dipaparkan dalam media cetak yang mereka kendalikan. Ini memberi sumbangan yang besar terhadap masyarakat dengan mengangkat darjat orang bawahan seperti orang kampung dengan tema-tema cerita tertentu. Perjuangan pada ketika itu menuntut kemerdekaan dengan menggunakan bahasa dan sastera. Penubuhan ASAS 50 yang memperjuangkan Bahasa Melayu telah mendorong sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh guru-guru Melayu dikenali sebagai Lembaga Bahasa Melayu (LBM) pada tahun 1951. Pertemuan guru-guru Melayu yang telah diadakan pada 1 Oktober 1950 di Kelab Kota Raja, Singapura bertujuan untuk menubuhkan perkumpulan yang akan berjuang untuk memajukan Bahasa Melayu. Pertemuan ini telah digerakkan oleh Cikgu Mahmud Ahmad dengan kerjasama Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). Pertubuhan ini didaftarkan dan disahkan oleh kerajaan pada 26 April 1951. Mengikut Fasal 2 dalam Perlembagaan LBM, tujuan penubuhannya adalah untuk (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1269): a. Mengawal, memperbaiki, memperluas, memperkaya, mempertinggi dan menghidupkan Bahasa Melayu supaya menjadi bahasa yang hidup; b. Membincangkan hal-hal kesulitan Bahasa Melayu dan menghebahkan kepada orang ramai apa yang difikirkan munasabah oleh Lembaga; c. Menyesuaikan penggunaan Bahasa Melayu mengikut kehendak peredaran zaman; d. Menerbitkan risalah, buku, kitab, majalah, dan seumpamanya; dan e. Bekerjasama dengan badan-badan yang sama tujuannya dengan Lembaga. Penubuhan LBM sebenarnya mengukuhkan lagi perjuangan untuk mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu. Berita Lembaga merupakan penerbitan LBM yang diedarkan kepada ahli-ahlinya sahaja dan beredar sebanyak empat keluaran. LBM tidak membawa aliran baru atau mempelopori pemodenan dalam lapangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dari segi perkembangan Bahasa Melayu, tahun 1950-an menyaksikan pertumbuhan subur buku-buku tatabahasa Bahasa Melayu. Minat dalam kalangan penulis Melayu sendiri semakin tinggi. Buku-buku yang digunakan untuk pelajaran Bahasa Melayu pada tahun 1956 merupakan buku-buku yang diterbitkan oleh Biro Terjemahan Melayu, Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Antaranya ialah Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu tulisan Zaba. Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Pertama yang diadakan pada 12 dan 13 April 1952 diadakan di Hotel Sea View, Singapura memutuskan asas perjuangan adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Butir-butir piagam berkenaan adalah seperti yang berikut (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1260): a. Kongres bahasa hendaklah diadakan seterusnya dengan tujuan untuk menyeralaraskan sebarang usaha badan persuratan Melayu di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara; dan kerabat kongres hendaklah mengambil keputusan muktamad yang sama atas sebarang hal tentang kemajuan bahasa dan persuratan Melayu dan akan membela hak pengarang, sasterawan dan ahli Bahasa Melayu; b. Kongres seterusnya hendaklah diadakan bila-bila masa jika perlu oleh sebuah pertubuhan atau beberapa pertubuhan persuratan menjadi satu; dan pertubuhan persuratan yang mengusulkan kongres itu dengan sendirinya menjadi Panitia Kongres yang akan menyediakan tempat dan persiapan kongres serta memanggil pertubuhan-pertubuhan lain ke kongres tersebut; dan

c. Pertubuhan-pertubuhan persuratan yang menjadi kerabat kongres hendaklah mentaati keputusan muktamad yang diambil kongres; pertubuhan-pertubuhan kerabat kongres hendaklah berusaha melaksanakan keputusan-keputusan yang diambil kongres untuk memajukan bahasa dan persuratan Melayu; sebarang keputusan kongres hendaklah dianggap sah oleh kerabat kongres; segala keputusan kongres akan diambil mengikut undi yang terbanyak; dan tiap-tiap pertubuhan hanya mempunyai satu undi sahaja. Kongres ini juga memutuskan bahawa tulisan Rumi dan Jawi hendaklah digunakan dalam persuratan Melayu pada masa tersebut sehingga keputusan lain dibuat kemudiannya kelak. Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Kedua yang diadakan pada 1 dan 2 Januari 1954 di Sekolah King George, Seremban mengusulkan rapat besar bagi ahli persuratan Melayu dengan Indonesia; mendesak penggunaan Bahasa Melayu yang seimbang dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Bandaran dan pengutamaan Bahasa Melayu oleh ketua-ketua pejabat; menganjurkan satu rupa hadiah bagi karangan-karangan yang terbaik dalam bahagian-bahagiannya tiap-tiap tahun; menyusun sebuah kamus yang lengkap dalam tulisan Rumi; pengambilan juruhebah radio mestilah berkelulusan tinggi dalam Bahasa Melayu; dan melantik wakil daripada Kongres Persuratan Melayu dalam Jawatankuasa Penapis Filem.

Pada Mac 1954, ASAS 50 telah mengemukakan memorandum kepada kerajaan mengenai tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu. Perjuangan ASAS 50 mempertahankan Bahasa Melayu diteruskan apabila mereka mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan yang menyentuh soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar umum dan bahasa pengantar di sekolahsekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti pada 15 Disember 1954.

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga diadakan pada 16 hingga 21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura dihadiri lebih kurang 500 orang perwakilan dan pemerhati dari 59 buah badan bahasa dan persuratan Melayu seluruh negara (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1261). Dalam kongres ini telah diputuskan bahawa Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah ditubuhkan sebagai pusat bagi menjaga hal ehwal persuratan Melayu supaya tidak cacat asal usul Bahasa Melayu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan rakyat Tanah Melayu kelak. DBP hendaklah menyiasat, membongkar dan mengumpulkan semula serta menghalusi hasil kesusasteraan Melayu sejak zaman purba. Kongres tersebut juga telah membincangkan cara mengembangkan bahasa kebangsaan menerusi persekolahan dan pendidikan. Pada hari 22 Jun 1956 ketika perjuangan dan semangat kemerdekaan tanah air begitu rancak dilaunglaungkan, Dewan bahasa dan Pustaka (Rajah 3.3) telah ditubuhkan dan ditempatkan di sebuah Bangunan Kerajaan di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor (Penubuhan Balai Pustaka, 2008). Di situlah Dewan Bahasa dan Pustaka mengaturkan langkah pertama, iaitu mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara merdeka. Setahun setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan apabila Bahasa Melayu diisytiharkan dalam perlembagaan yang baru sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara selepas merdeka, maka Dewan Bahasa dan Pustaka pun berhijrah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bangunan bekas Wad Hospital Tangling, Jalan Young, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka kemudiannya telah bertukar taraf daripada sebuah Jabatan Kerajaan menjadi Badan Berkanun melalui Akta Parlimen (tahun 1959) yang memberikan autonomi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggubal dasar-dasarnya yang

khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa sastera yang lebih mantap. Antara matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka adalah seperti berikut: a. Memajukan dan memperkayakan bahasa kebangsaan. b. Memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan. c. Mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain; dan d. Menyamakan ejaan dan bunyi sebutan dan menggubal istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Rajah 3.3: Dewan Bahasa dan Pustaka Pada 31 Januari 1962, Dewan Bahasa dan Pustaka telah berpindah ke bangunannya sendiri yang terletak di Jalan Wisma Putra (lihat Rajah 3.3). Sesungguhnya Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan sebuah perbadanan yang cukup penting dalam menggalakkan pembinaan ilmu pengetahuan dalam bahasa Malaysia bagi negara ini.

Bahasa Melayu memasuki dunia pendidikan apabila sekolah-sekolah Melayu menjadi sebahagian daripada organisasi Penang Free School (1819), iaitu sekolah Melayu di Gelugur dianggap sekolah Melayu yang tertua di Malaysia. Sebelum tahun 1956 kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tidak begitu diutamakan. Pendidikan untuk bangsa Melayu sebelum abad ke-19 lebih kepada pendidikan agama. Kanak-kanak hanya diajar peraturan dasar agama Islam dan membaca alQuran. Gagasan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dikemukakan dalam Laporan Razak 1956 (Rajah 3.4). Pada bulan September 1956 apabila Persekutuan Tanah Melayu diberikan taraf pemerintahan sendiri, sebuah jawatankuasa yang dinamai Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau dikenali sebagai Penyata Razak 1956 merupakan titik tolak penting dalam perjuangan Bahasa Melayu sebelum merdeka yang dengan jelas memperakukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rajah 3.4: Laporan Razak 1956

Penyata Razak (lihat Rajah 3.4) merupakan hasil daripada kajian Jawatankuasa Pelajaran yang dibentuk dalam bulan September 1955 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran, Dato' Abdul Razak bin Hussein. Pada 14hb April, 1956 jawatankuasa ini telah menyiapkan kerja-kerjanya dan menyediakan laporannya sebagai Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956.

Laporan Razak 1956 mengatakan hasrat untuk menubuhkan satu peraturan pelajaran kebangsaan dan tujuannya adalah untuk menyatukan murid-murid daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak juga telah mengemukakan perkara-perkara yang berikut: a. Bahasa Melayu mestilah dipelajari di semua sekolah dan dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di semua sekolah; b. Bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapatkan sijil rendah dan sijil pelajaran kebangsaan c. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris hendaklah diwajibkan di sekolah menengah jenis kebangsaan.

BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA Era selepas merdeka atau pascamerdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah tahun 1967. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan dengan jelas bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia 1. Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen. Dengan syarat bahawa:

Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, selain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak manamana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

2. Walau apa pun peruntukan Fasal (10) selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain. 3. Walau apa pun peruntukan fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:

Bagi segala Rang Undang-Undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen; dan Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam Bahasa Inggeris.

4. Walau apa pun peruntukan Fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam Mahkahmah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris. Berdasarkan peruntukan yang diberikan, jelaslah bahawa pertimbangan sewajarnyalah telah diberikan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Sejak tahun 1957, apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemederkaan, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan yang disarankan oleh Suruhanjaya Reid. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan beberapa faktor, iaitu Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara ini. Pada waktu itu, kumpulan ini membentuk 49.78 peratus, manakala kaum Cina merupakan 37.1 peratus, dan kaum India 11.0 peratus (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1260). Faktor kedua, ialah Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi bagi negara ini. Oleh itu, Bahasa Melayu dapat melahirkan jati diri penduduk negara ini. Faktor ketiga ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan menimbulkan masalah bagi komunikasi umum. Akhirnya, keempat ialah Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pentadbiran di negeri Melayu. Peranan

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga alat perpaduan tidak disanggah oleh manamana pihak. Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran tidak menyekat penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain dalam urusan bukan rasmi. Pada dasarnya, pengiktirafan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikawal oleh dasar bahasa kebangsaan dan dari segi undang-undang, dasar ini telah dimaktubkan melalui perlembagaan dan akta. Pada 7 Mac 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu yang menetap di negara ini (Undang-Undang Pelajaran 1957, 2008.). Undang-undang Pelajaran 1957 yang diluluskan setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956. Laporan ini dinamakan Laporan Razak 1956. Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya daripada jabatan kerajaan kepada badan berkanun apabila Parlimen meluluskan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Pemberian autonomi ini membolehkannya menggubal dasar tentang matlamat yang ditetapkan dalam akta tersebut. DBP dibenarkan menggubal dasar-dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera menurut kebijaksanaan pihak pengurusannya sendiri, dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara lebih kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa berkembang dan hidup. Matlamat utamanya ialah membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan sesuai dengan dasar negara dan hasrat rakyat yang menubuhkan DBP. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan mempunyai rakyat yang berbilang kaum, satu orientasi baru diperlukan untuk membentuk sikap rakyat menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. DBP melancarkan gerakan psikologi melalui kempen-kempen bahasa yang melibatkan penyertaan rakyat daripada semua kaum dalam kegiatan bahasa secara besarbesaran. Gerakan ini dilakukan di seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun dari 1960-1966. Pada 30 Januari 1960, Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh negara yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961. (lihat Rajah 3.5).

Rajah 3.5: Pelancaran Pertama Minggu bahasa Kebangsaan pada 30 Januari 1960 Pelancaran itu dilakukan oleh pengerusi jawatankuasa pusat Minggu Bahasa Kebangsaan, Tuan Syed Nasir bin Ismail. Minggu Bahasa Kebangsaan ini merupakan rancangan kebangsaan yang bertujuan untuk menggalakkan seluruh rakyat supaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan mereka sehari-hari; menunjukkan kepada dunia bahawa kita sebagai bangsa yang merdeka menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada segala keturunan sebagai bahasa perantaraan; untuk menyakinkan orang yang masih ragu-ragu bahawa bahasa kebangsaan kita ini adalah bahasa besar teristimewa di sebelah Timur dan menjadi bahasa ilmu pengetahuan; memberitahu kepada dunia bahawa bahasa kebangsaan kita akan menjadi bahasa yang kaya raya setelah mendapat jiwa baharu dalam pergolakan dunia sekarang; dan hendak menerangkan kepada pelajar bahawa bahasa kebangsaan kita memakai bentuk yang khas dan boleh menerima segala perkataan bahasa asing yang dapat disesuaikan dengan keadaan bahasa itu sendiri. Keadaan yang demikian telah berlaku beribu-ribu tahun yang Ialu dan terus berjalan hingga sekarang, dan hendak menerangkan kepada orang ramai bahawa Dewan bahasa dan Pustaka yang mempunyai tugas besar dalam perkembangan bahasa kebangsaan ini sentiasa berharapkan kerjasama daripada segala pihak untuk kemajuan bahasa kebangsaan dan perkembangannya dalam segala lapangan. Acara-acara dalam Minggu Bahasa Kebangsaan ini dijalankan dalam dua bentuk: pertama, acara umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala lapangan; dan yang kedua, ialah melalui peraduan-peraduan untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam penggunaan dan perkembangan bahasa itu. Dalam menjalankan acara-acara itu segala tugas dibahagi kepada peringkat-peringkat, iaitu peringkat daerah, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. (Mahfudz bin Abdul Hamid, 1960) Dalam bahagian acara umum diadakan berbagai-bagai acara penerangan seperti mengadakan posterposter, pelekat-pelekat cogan kata, kain-kain cogan kata, iklan-iklan dan filem-filem serta ucapanucapan oleh pembesar-pembesar dan pakar-pakar dan juga pengguna-pengguna bahasa kebangsaan dari orang-orang Melayu dan bukan Melayu. Dalam bahagian peraduan pula diadakan peraduanperaduan syarahan yang dimulakan pada peringkat daerah dan berakhir di peringkat kebangsaan apabila pensyarah-pensyarah yang menang dalam bahagian-bahagian yang tertentu bertanding untuk mencapai gelaran johan pensyarah bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Di peringkat negeri pula diadakan peraduan-peraduan bahas, peraduan melukis poster, peraduan mengarang rencana dan sebagainya.

Pada peringkat kebangsaan rancangan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dihadiri dan dikelolakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja Pusat yang dilantik oleh persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha Kementerian dan jabatan-jabatan. Dalam tiap-tiap negeri pula diadakan satu Jawatankuasa Negeri untuk memutuskan rancangan di peringkat negeri dan juga berkuasa menubuhkan Jawatankuasa Daerah untuk melancarkan pengelolaan rancangan di tiap-tiap negeri. Pelaksanaan rancangan kebangsaan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dirancang untuk disertai oleh seluruh pihak yang meliputi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun separuh kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah, akhbar-akhbar, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan yang mengenai bahasa dan persuratan secara langsung atau tidak langsung dan bahkan kepada tiap-tiap rakyat dan kumpulan rakyat dengan mengadakan rancanganrancangan penyambutan dan perayaan yang sesuai dengan tujuan mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan. Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan Sastera telah diadakan di Balai Budaya Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Dewan bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein. Sebanyak 50 kertas kerja dibincangkan dalam seminar yang berlangsung selama empat hari ini. Kertas-kertas kerja ini disumbangkan oleh beberapa pakar bahasa dari seluruh tanah air. Antara perkara-perkara yang dibahaskan dalam seminar tersebut termasuklah mengenai bahasa dan kesusasteraan, ilmu pengetahuan dan buku-buku sekolah. Ini mencakupi masalah sastera, perpustakaan juga perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu sebagai bahan dan alat pendidikan ke arah pembangunan rakyat (Seminar Bahasa dan Sastera Ke Arah Meninggikan Mutu Bahasa dan Kesusasteraan Kebangsaan, 2008). Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa kebangsaan, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan dikuatkuasakan. Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September 1967. Akta ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1971 dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967). Pada 27 Jun 1967 (lihat Rajah 3.6) satu keputusan muktamad mengenai satu sistem ejaan baru yang ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia telah dicapai. Rundingan mengenai persetujuan sistem ejaan bahasa Malaysia-Indonesia ini telah dihadiri oleh Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka) dengan Team Ahli Bahasa KOTI (Komando Tertinggi Indonesia) yang diketuai oleh Nyonya S. W. Ruddjiati Muljadi.

Rajah 3.6: Pengisytiharan Sistem Ejaan Indonesia Malaysia

Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah berjalan dengan lancar dan dalam suasana kekeluargaan serta ramah tamah. Dalam rundingan itu tanggapan masing-masing pihak telah dibahas bersama secara ilmiah dan mendalam dengan memerhatikan sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam masyarakat kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan pendapat serta penelitian dan pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan dan persefahaman bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal yang wajar dan sesuai dengan tuntutan kemampuan ilmiah dan keperluan praktikal. Pengertian bersama juga telah dicapai mengenai hubungan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia yang perlu ditingkatkan lagi melalui semua saluran, baik pertuturan mahupun tulisan. Kesemuanya ini adalah dalam rangka usaha mencapai citacita bersama antara rakyat Indonesia dan Malaysia. Dengan tercapainya keputusan muktamad yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak itu pada tahun 1967, maka terciptalah Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia, dan pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan serta pengesahannya daripada kerajaan kedua-dua buah negara. Kempen-kempen memberikan penerangan mengenai Ejaan Bersama ini ke seluruh negara telah dijalankan melalui akhbar-akhbar, radio dan televisyen, serta melalui majalah-majalah, dan ceramah-ceramah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di merata tempat di Malaysia (Sistem Ejaan Indonesia-Malaysia, 2008). Sepuluh tahun selepas merdeka, Parlimen meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang mewajibkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi yang tunggal dalam semua urusan rasmi negara menggantikan tempat Bahasa Inggeris. Pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan Bahasa Melayu dengan bersungguhsungguh sebagai bahasa rasmi negara ini.

Rajah 3.7: Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

YM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama (lihat Rajah 3.7) pula dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960. Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan bahasa kebangsaan, perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Berikutan daripada pengisytiharan baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Kerajaan-Kerajaan Tempatan dan Badan-Badan Berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah di mana Bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau bahasa kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan Bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 akta tersebut. Zaman selepas ini merupakan zaman pengembangan dan pengukuhan taraf dan korpus Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara yang maju, bahasa kegiatan intelektual dan budaya, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan teknologi.

BAHASA MELAYU KUNO Bahasa Melayu Kuno ialah bahasa yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit dikatakan banyak mempengaruhi kosa kata dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu Kuno melalui zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Sriwijaya, kira-kira pada abad ke-7 hingga abad ke-13. Kegemilangannya terbukti apabila Bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca dan bahasa pemerintah. Kerajaan Sriwijaya berjaya menghasilkan Bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh semua masyarakat sehingga Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi di kepulauan Melayu, kepulauan Riau dan juga Sumatera. Kewujudan bahasa ini dibuktikan melalui penemuan-penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683SM); batu bersurat di Talang Tuwo, dekat Palembang (684M); batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686M); dan batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686M). Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832M) ialah batu bersurat yang pertama ditemui menerima pengaruh tulisan Nagiri.

Rumpun ini merupakan keluarga bahasa Nusantara dan berkembang dari abad ke-7 hingga abad ke13 sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa lingua franca. Penuturnya terdapat di semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau dan Sumatera. Kepentingannya sebagai bahasa lingua franca kerana sifatnya yang sederhana dan mudah menerima pengaruh asing, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem Bahasa Sanskrit yang banyak menyumbang kepada pengayaan kosa kata Bahasa Melayu. Pengaruh Sanskrit kuat akibat kaitannya dengan agama Hindu, kedudukannya sebagai bahasa golongan bangsawan dan hirarkinya yang tinggi. Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno dapat dilihat berdasarkan butiran yang berikut:

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KUNO 1. 2. 3. 4. 5. Banyak kata-kata pinjaman Sanskrit Susunan ayat bersifat Melayu Bunyi b ialah w dalam Melayu Kuno (Contoh: bulan - wulan) Bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan) Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu Kuno (contoh: berlepasmarlapas) 6. Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat) 7. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta) 8. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Tulisan yang digunakan merupakan tulisan yang berasal dari India seperti Devanagiri dan Pallava. Tulisan ini dikatakan pengaruh tulisan India seperti Jawa Kuno dan tulisan Kawi. Ini didapati pada prasasti dengan banyaknya pengaruh kata pinjaman Sanskrit yang berkait rapat dengan pengaruh kebudayaan India dan agama Hindu. Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Bahasa Arab baik dari segi kosa kata atau tulisan. Bahasa Melayu Kuno ternyata disebarkan pada zaman beberapa buah kerajaan lama seperti Kerajaan Campa dan Empayar Funan di Vietnam Tengah dan Selatan,

Thailand Tengah dan Selatan, Kerajaan Sailendra di Pulau Jawa dan Empayar Sriwijaya yang terdapat di Sumatera Utara, Pulau Jawa dan Tanah Semenanjung hingga ke Segenting Kra.

Anda mungkin juga menyukai