Anda di halaman 1dari 3

MINGGU KE- 6 Pelajar dikehendaki menulis secara ringkas mengenai falsafah pendidikan mereka sendiri yang mengandungi tujuan

pendidikan mereka,kehendak masyarakat,kehendak pelajar dan peranan guru.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru merupakan teras dan panduan kepada sistem pendidikan di Negara kita. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru merangkumi kesemua elemen-elemen yang penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat, khususnya para pelajar.

Kedua-dua falsafah ini telah saya ambil untuk dijadikan teras kepada falsafah pendidikan saya sendiri yang merangkumi tujuan pendidikan, kehendak masyarakat, kehendak pelajar dan peranan guru. Tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk individu dan negara, iaitu bagi melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. Oleh itu, pendidikan adalah wajib bagi semua golongan, bermula daripada peringkat rendah hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Kehendak masyarakat dalam pendidikan adalah untuk melahirkan masyarakat yang membangun dari segi aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan mampu menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik. Selain itu, nilai ilmu dalam masyarakat juga perlu dititikberatkan dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan

yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada.

Kehendak pelajar dalam system pendidikan juga perlu dititikberatkan kerana pelajar merupakan individu yang bakal menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat. Oleh itu, system pendidikan haruslah bertanggungjawab menyediakan murid-murid dengan pendidikan yang berkaitan dengan masyarakat di mana mereka tinggal dan juga bentuk masyarakat yang akan mereka hadapi kelak. Pelajar sebagai individu mempunyai kehendak dan keperluan asas yang melibatkan kehendak dan keperluan asas yang melibatkan keselamatan, kasih sayang, bermasyarakat dan kehendak penyempurnaan kendiri. Kurikulum yang akan dibentuk sewajarnya dapat memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran agar kehendak dan keperluannya sebagai pelajar dan individu dapat dipenuhi. Ini bermakna, kurikulum yang dibentuk akan menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangsang

perkembangan potensi mereka secara menyeluruh iaitu yang merangkumi intelek, jasmani, rohani dan sosial.

Perubahan seperti perubahan kemudahan-kemudahan perlu dilakukan supaya para pelajar mendapat peluang bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani secara seimbang. Selain itu, akitiviti budaya sekolah juga perlu mengalami perubahan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim sekolah yang kondusif juga telah melahirkan para pelajar yang menghargai ilmu dan melahirkan budaya-budaya positif seperti budaya membaca di kalangan mereka.

Selain itu, dalam pembentukan falsafah pendidikan peranan guru merupakan aspek yang sangat penting. Guru merupakan satu tugas profesionalisme yang mengajar dan mendidik murid serta membimbing mereka menjadi modal insane yang cemerlang. guru harus menjalankan tanggungjawabnya dalam menanamkan nilai-nilai murni yang merentasi kurikulum dan kokurikulum kerana nilai adalah ukur tara terhadap sesuatu benda, perkara, perbuatan dan amalan. Nilai juga melibatkan persepsi minda dan hati berasaskan sifat dan syarat tertentu yang serasi dan sejalan dengan fitrah. Baik pada ukuran nilai tidak sahaja pada pertimbangan akal dan rasional tetapi juga pada hati dan terlihat dalam amalan dan percakapan. Penerapan watak nilai murni kemanusiaan ini memandu manusia agar hidup bertatahkan adab agar pembinaan bangsa itu berada di tahap yang tinggi dari segi ilmu dan akhlaknya.

Guru juga perlulah menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Dengan ini diharapkan agar pelajar menamatkan pendidikannya dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICTserta kemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa; dan sifat sahsiah yang positif seterusnya mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan dirinya, keluarga dan negara Malaysia.

Kesimpulannya, dalam menghasilkan sebuah falsafah pendidikan, aspek-aspek yang utama seperti tujuan pendidikan, kehendak masyarakat, kehendak pelajar dan peranan guru perlulah dilihat secara meluas. Hal ini kerana, kesemua aspek ini penting dalam menghasilkan falasafah pendidikan yang mampu merangkumi kesemua elemen penting yang seterusnya mampu membangunkan system pendidikan yang dapat melahirkan sumber manusia yang seimbang.

Anda mungkin juga menyukai