Anda di halaman 1dari 8

12/07/2009 09.

Tujuan latihan kerohanian

09. Tujuan latihan kerohanian | Print |

09. Tujuan latihan kerohanian

Manusia fitrah yang memasuki jalan kesufian dan melakukan berbagai-bagai latihan
kerohanian didorong oleh tujuan yang suci iaitu untuk menjadi hamba Allah s.w.t
sebaik mungkin.. Mereka telah terlebih dahulu mengikuti jalan yang dilalui oleh
orang ramai. Mereka telah bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan beramal
menurut peraturan syariat. Kehidupan harian dijadikan tarekat buat bermujahadah
pada jalan Allah s.w.t, demi memperolehi keredaan-Nya. Dia kuat melakukan ibadat
dalam aspek hubungan dengan Tuhan dan juga amalan dalam aspek hubungan
sesama manusia. Walaupun mereka sudah menjaga peraturan syariat sekadar
kemampuan mereka, namun hati mereka masih merasakan kekosongan. Mereka
sudah berjumpa dengan berbagai-bagai guru namun, banyak persoalan yang timbul
dalam fikiran mereka tidak dapat dijelaskan secara memuaskan hati mereka.
Mereka sampai kepada peringkat mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu
apa yang dicari. Mereka diganggu oleh persoalan-persoalan yang mereka tidak
tahu di mana mahu mendapatkan jawapan. Mereka merasakan kekosongan jauh di
dalam lubuk hati, seolah-olah menantikan sesuatu untuk memenuhinya. Kekuatan
akal mereka sudah sampai ke perbatasan yang tidak mungkin ditembusi lagi. Jiwa
mereka menjadi tidak tenteram dan fikiran mereka keliru. Mereka mencuba mencari
kedamaian melalui amalan tetapi tidak berjaya. Mereka mencuba mendapatkan
kedamaian melalui orang-orang alim yang mereka kenali, juga tidak berjaya. Orang
alim merupakan modal terakhir mereka. Bila modal tersebut gagal memberikan hasil
yang mereka harapkan, mereka sampai kepada titik peralihan. Jiwa mereka mudah
terangsang apabila melihat kesyirikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran
yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka melihat kerosakan berlaku tetapi mereka
tidak terdaya menahannya. Apabila mereka memandang kepada masyarakat
mereka melihat kepada kemunkaran dan kerosakan dan apabila mereka
memandang kepada diri sendiri mereka melihat ketidak-upayaan mereka mencegah
kerosakan yang berlaku. Mereka melihat kerosakan yang berlaku kepada
masyarakat seperti melihat ombak besar yang menggulung diri mereka. Dalam
keadaan yang demikian mereka melihat jalan keselamatan buat mereka adalah
mengasingkan diri, lalu mereka masuk ke dalam lembah suluk.

Kumpulan tersebut memasuki suluk dengan niat: "Ilahi! Engkau jualah tujuan dan
keredaan Engkau jua yang dicari". Mereka tidak pernah mengetahui, apa lagi
terlibat dengan fahaman wahdatul wujud, tidak ada motif mahu bersatu dengan
Tuhan, tidak mengimpikan fana, zauk dan jazbah dan tidak bercadang
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 1/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
meninggalkan syariat. Keyakinan mereka terhadap syariat tidak pernah bergoyang,
cuma sesuatu tentang syariat itu yang mereka tidak jelas. Jawapan kepada yang
tidak jelas itu mereka tidak perolehi melalui jalan yang telah mereka lalui.
Kesungguhan melakukan ibadat dan menuntut ilmu tidak menghilangkan gangguan
rangsangan syaitan. Setiap kebaikan yang dilakukan diiringi oleh bisikan yang
mahu merosakkan kebaikan tersebut. Dalam suasana demikian ikhlas adalah
sesuatu yang dipaksakan dan mereka mesti bekerja keras mempertahankan
keikhlasan itu. Bukan setakat mempertahankan keikhlasan malah kesungguhan
melakukan ibadat juga mesti dibaja kerana ada sahaja sesuatu yang cuba
menghalang mereka berbuat ibadat. Pergaulan dengan orang ramai menjadi jalan
bagi musuh-musuh ibadat dan ikhlas menyerang mereka. Benteng yang paling baik
bagi mereka mempertahankan diri adalah suluk. Latihan-latihan yang dilakukannya
semasa bersuluk membawa mereka melepasi gangguan rangsangan syaitan. Amal
ibadat dapat dilakukan dengan mudah dan ringan. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas
menjadi keperibadian mereka, berlaku secara spontan, bukan lagi sifat yang
dipaksakan.

Semasa bersuluk itu mungkin mereka terbawa kepada pengalaman kerohanian dan
terdorong kepada wahdatul wujud, tetapi akar kehambaan yang teguh akan
membawa mereka melepasi yang demikian untuk kembali kepada jalan kenabian.
Bila rohani mereka telah benar-benar matang, percampuran dengan orang ramai
tidak lagi memudaratkan mereka. Pada masa itu mereka ‘diperintahkan' supaya
kembali kepada masyarakat kerana ada tugas yang perlu mereka lakukan. Mereka
masuk semula kepada kegiatan masyarakat, membimbing orang ramai agar selamat
daripada kemusyrikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran, seterusnya
kembali kepada Tuhan dengan akidah dan amalan yang bersih.

Kumpulan yang diceritakan di atas merupakan orang yang sampai kepada jalan
kenabian melalui jalan kesufian walaupun mereka tidak mengetahui maksud sufi
dan istilah-istilah tasauf. Mereka telah memperolehi faedah yang besar daripada
latihan kerohanian secara bersuluk. Hati mereka umpama pelita yang mempunyai
sumbu tetapi tidak mempunyai minyak. Latihan kesufian umpama memasukkan
minyak ke dalam pelita. Gurunya umpama api yang menyalakan pelita tersebut.
Setelah pelita hatinya menyala akalnya mampu mendapatkan jawapan kepada
persoalan yang mengganggunya selama ini, yang tidak dapat di jelaskan oleh orang
lain. Jiwanya menjadi tenang. Darjat kehambaannya meningkat sehingga sampai
kepada kesempurnaan. Dia layak bergelar hamba Tuhan yang melaksanakan
kehendak dan peraturan Tuhan sebagai yang Dia kehendaki. Tarekat kesufian
telah membawanya kepada jalan kenabian yang sebenarnya. Kepercayaan dan
keyakinannya kepada kebenaran syariat bertambah dan menjadi teguh serta
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 2/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
memudahkannya melaksanakan dan mengamalkan tuntutannya. Mereka bergerak
di dalam masyarakat sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat
baginda s.a.w berkecimpung di dalam masyarakat. Mereka telah sampai kepada
tujuan mereka diciptakan. Sampai kepada tujuan penciptaan insan itu adalah
peringkat paling tinggi. Allah s.w.t menciptakan insan untuk mengabdikan diri
kepada-Nya. Kehambaan adalah peringkat paling tinggi dan paling sempurna.
Mereka berpegang kepada Kebenaran Hakiki sebagaimana dinyatakan oleh al-
Quran dan as-Sunah. Tidak ada kebenaran yang mengatasi kebenaran syariat.
Setelah menemui kebenaran syariat dan mencapai peringkat kehambaan yang
sejati, berakhirlah latihan kerohanian. Peringkat seterusnya adalah bekerja menurut
peringkat yang dicapai dan kebenaran yang ditemui, sebagaimana Rasulullah s.a.w
bekerja setelah menghabiskan peringkat khalwat di Gua Hiraa.

Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai kesempurnaan melalui empat


peringkat. Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju Allah s.w.t. Sufi
bergerak daripada pengetahuan yang rendah kepada pengetahuan yang lebih
tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai Wajibul Wujud. Dalam proses ini
pengetahuan mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) berkurangan sedikit
demi sedikit sehingga akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan fana. Fana
membawa sufi memasuki peringkat ke dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t.
Ia merupakan proses perjalanan yang diistilahkan sebagai makrifat atau mengenal
Allah s.w.t dalam suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau hakikat-
hakikat seperti nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal ketuhanan.
Seterusnya sufi sampai kepada suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh
bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada perhubungan boleh dihubungkan
dan tiada sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan makrifat juga tidak ada
dalam suasana yang demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada pengenalan
yang mampu bercerita tentang zat Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana
kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau hidup bersama-sama Tuhan. Ini
adalah penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan peringkat pertama dan ke dua
melengkapkan kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh dua peringkat ini
dipanggil sebagai wali sufi atau wali kecil.

Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke tiga yang dinamakan perjalanan dari
Tuhan. Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari pengetahuan yang tinggi
kepada yang lebih rendah iaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul wujud. Sufi
yang sampai kepada peringkat ini dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan
melalui Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan, yang kehilangan tetapi
menjumpai, yang terpisah tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak boleh
dikatakan tetapi tahu, yang tidak boleh disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 3/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
merupakan kebalikan kepada peringkat kedua. Ketika berada pada peringkat kedua
sufi mengalami suasana yang diistilahkan sebagai fana dalam Tuhan. Pada
peringkat ke tiga pula sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam keadaan tidak
berpisah dengan Tuhan. Pengaruh mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurangan.
Kesedaran kemanusiaan sudah mula kembali sedikit demi sedikit. Bila kesedaran
kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi melengkapkan perjalanan pada
peringkat ke empat iaitu perjalanan dalam alam kebendaan. Pada peringkat ini sufi
kembali mengenali sesuatu yang dilupakannya pada peringkat pertama dahulu.
Peringkat pertama membuat sufi lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi
kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi terang benderang kepadanya dan
akhirnya dia kembali sepenuhnya kepada kesedaran dirinya dan alam maujud. Dia
kembali kepada tempat dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.

Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan dari jalan kesufian kepada jalan
kenabian. Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara kenabian untuk memikul
tugas yang mulia iaitu membimbing umat manusia kepada Tuhan, meneruskan
perjuangan Nabi-nabi.

Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian kerana dipaksa bukan dengan
disengajakan. Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-orang yang
mempunyai tugas tetapi mereka leka dengan kehidupan harian sehingga tercampak
jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan rahmat dan belas kasihan Tuhan
mereka disentak dari kelalaian tersebut dan diheret menghadap Tuhan. Mereka
dipisahkan daripada apa sahaja yang menghalang mereka daripada kembali
kepada Tuhan. Dalam golongan inilah terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya,
orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang menjadi hodoh dan yang
seumpama mereka. Perubahan yang mendadak menimpa mereka memisahkan
mereka daripada beban berat yang menghalang mereka berjalan kepada Tuhan
dan pada masa yang sama juga mereka terpisah daripada orang ramai. Mereka
tidak ada pilihan kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan itu mereka
memperbanyakkan ibadat kepada Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati,
merelakan apa jua takdir yang sampai kepada mereka. Kesan daripada ujian yang
menimpa mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa pengasingan atau
bersuluk. Dalam keasyikan beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-
peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi kumpulan pertama. Kumpulan
pertama berjalan kepada Tuhan berbekalkan pengharapan. Kumpulan ke dua ini
pula tidak membawa sebarang bekal kerana segala sesuatu telah diserahkan
kepada Tuhan. Mereka telah rela dengan apa juga takdir yang sampai kepada
mereka. Kumpulan pertama bekerja keras menghapuskan segala kehendak diri
sendiri agar kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga. Pada kumpulan ke dua
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 4/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
pula segala kehendak diri sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala bencana
menghempap mereka. Penghapusan kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti
oleh sifat penyerahan bulat kepada Tuhan, menghapuskan sifat-sifat keji dari hati
mereka. Seterusnya kesedaran diri ikut lenyap bersama-sama dengan pengaruh
akal fikiran dan perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang dipanggil majzub.
Orang majzub mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan
makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat ujian bala ini berjalan lebih pantas
daripada kumpulan pertama yang melakukan latihan bersuluk secara kesedaran
dan kehendak sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada kumpulan pertama
lebih teratur daripada kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif dan bekalan
ilmu yang mencukupi membantu kumpulan pertama meningkat dalam bidang
kerohanian secara bersistematik dan mereka memperolehi penerangan mengenai
apa yang mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya menjadi majzub tanpa
berguru dan mengalami hakikat tanpa mendapat penjelasan mengenainya.
Kumpulan majzub ini akan berjalan terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa
mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa yang mereka alami. Setelah
mereka melepasi peringkat majzub dan kembali kepada kesedaran keinsanan
baharulah mereka mempelajari hakikat yang telah mereka alami. Kumpulan yang
bergerak secara perguruan selamat daripada fitnah masyarakat. Kumpulan yang
tiba-tiba menjadi majzub tanpa berguru sering menimbulkan fitnah kepada orang
ramai kerana latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak alim dalam bidang
agama, sedangkan mereka mula bercakap tentang ketuhanan, membuat orang
ramai curiga kepada mereka. Lebih buruk lagi jika di dalam keadaan hilang
kesedaran itu mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan adab kemanusiaan.
Walau bagaimana pun setelah mereka kembali kepada kesedaran dan memperolehi
pengetahuan tentang pengalaman kerohanian mereka, mereka akan bergerak
sesuai dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan diri daripada menimbulkan
kekeliruan kepada orang ramai.

Tidak semua orang yang menempuh jalan kerohanian akan kembali kepada
kesedaran semula. Ada yang menjadi majzub terus menerus, fana dalam Tuhan
secara berterusan dan tidak kembali lagi kepada kesedaran keinsanan. Orang yang
seperti ini telah naik ke tempat yang tinggi tetapi tidak menjumpai jalan turun.
Suasana kebatinan mereka berbeza daripada orang ramai. Lantaran itu adab dan
sopan santun orang ramai tidak memberi apa-apa makna kepada mereka, malah
syariat juga boleh tertanggal ketika mereka dikuasai oleh jazbah. Orang yang hilang
kesedaran ini tidak boleh dijadikan pembimbing kerana mereka bercakap bahasa
zauk sedangkan orang ramai yang dalam kesedaran menggunakan akal untuk
mentafsirkan pengalaman zauk. Akal tidak mampu menerangkan pengalaman
hakikat.
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 5/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian

Orang yang dalam zauk banyak bercakap mengenai perkara ghaib dan hal
ketuhanan. Daripada mulut mereka juga mudah keluar cerita mengenai penyaksian
mata hati terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya yang dinisbahkan kepada
ketuhanan. Orang yang dalam zauk juga melahirkan keasyikan yang mendalam
kepada Tuhan. Daripada mereka juga selalu keluar perkara luar biasa yang
diistilahkan sebagai keramat. Kekeramatan yang disaksikan menyebabkan orang
lain menjadi yakin dengan apa yang mereka perkatakan. Ada orang yang di dalam
kesedaran menggubah konsep ketuhanan hanya dengan mendengar ucapan orang
majzub. Tuhan dimasukkan ke dalam sempadan rupa, bentuk, warna dan cahaya
atau sesuatu menurut khayalan dan sangkaan mereka. Orang yang di dalam
kesedaran biasa, tidak pernah mengalami zauk, menjual konsep ketuhanan yang
diperolehi dari perkataan orang majzub, adalah orang yang sesat dan menyesatkan.
Golongan ini dan pengikut mereka adalah kufur, tetapi orang majzub, walaupun
pada zahirnya menyalahi syariat, mereka patut dimaafkan kerana mereka dikuasai
oleh mabuk.

Ada juga orang yang memasuki aliran kesufian dengan tujuan mendapatkan
kebolehan yang luar biasa kerana mereka terpesona melihat kekeramatan yang
keluar daripada wali sufi. Bidang kekeramatan yang paling digemari adalah keramat
zahir iaitu kebolehan luar biasa dalam bidang keduniaan. Sufi beramal kerana mahu
menyucikan hati bagi mengabdikan diri kepada Tuhan. Kumpulan sufi celup itu pula
menggunakan amalan sufi untuk mendapatkan kebolehan yang luar biasa dan ilmu
yang mampu menguasai sesuatu perkara bagi kepentingan duniawi. Amalan yang
dilakukan orang kerana Allah s.w.t diceduk untuk dijadikan amalan kerana
kepentingan diri sendiri. Pekerjaan ibadat menurut peraturan syariat digubah
menjadi khurafat. Pengalaman kebatinan pada alam khadam dikatakan alam
ketuhanan. Apabila memperolehi keramat khadam mereka mendakwa diri mereka
sudah menjadi wali yang agung. Bila sudah menguasai sesuatu kebolehan yang
luar biasa mulalah mereka mendakwa ketuhanan diri lalu menanggalkan
kehambaan dan mencampakkan syariat. Mereka adalah puak yang sesat dan kufur!

Tarekat sufi bukan bertujuan untuk memperolehi penyaksian terhadap rupa, bentuk,
warna dan cahaya. Ia juga bukan untuk mendapatkan kekeramatan. Apa juga yang
disaksikan dan apa juga yang diperolehi adalah gubahan Tuhan, bukan Tuhan.
Tarekat sufi bukan untuk menukarkan manusia menjadi Tuhan. Tuhan tetap Tuhan
dan hamba tetap hamba, tidak boleh diadakan bahasa yang kesamaran mengenai
perbezaan dua perkara tersebut. Pada satu peringkat perjalanan sufi mungkin
terjadi terbalik pandangan mereka sehingga mereka tidak menyaksikan perbezaan
di antara hamba dengan Tuhan. Perkara demikian berlaku bukan disengajakan. Ia
http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 6/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
terjadi akibat pertembungan diri rohani dengan alam tinggi. Pertembungan tersebut
menimbulkan mabuk. Orang yang sedang asyik dengan Tuhan, apabila dikuasai
oleh mabuk, tidak melihat lagi kepada yang lain kecuali Tuhan. Bagi mereka
semuanya adalah Tuhan. Apa yang ditemui pada peringkat ini bukanlah kebenaran
yang muktamad. Ia baharu suasana menuju kebenaran. Suasana demikian
hanyalah bayangan atau misal yang muncul dalam alam kebatinan sufi yang
sedang dilambung gelombang kefanaan dan keasyikan dengan Tuhan. Keasyikan
seorang jejaka kepada seorang gadis sering juga menimbulkan bentuk misal. Lagu-
lagu percintaan sering menggambarkan rupa kekasih sebagai bulan purnama dan
suara sebagai buluh perindu. Misal yang digubah dalam kesedaran hanyalah
khayalan, tetapi misal dalam alam ghaib adalah nyata dalam keghaiban (boleh
disaksikan oleh mata hati tetapi tidak boleh dilihat dengan mata zahir). Yang
menyata pada hati orang yang sedang dilamun cinta hanyalah gambaran, bayangan
atau misalan yang tidak sedikit pun menyerupai yang sebenar. Kecintaan kepada
Tuhan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Orang yang asyik dengan
keindahan Tuhan boleh berdiri di tepi pantai dari pagi hingga ke petang, tanpa
jemu, tanpa menghiraukan panas matahari. Bila ditanya apa yang dia lihat, dia akan
mengatakan dia melihat Tuhan. Keasyikan kepada Tuhan bercampur dengan rindu
yang membara membuat seseorang mabuk ketuhanan sehingga tidak ada apa yang
disaksikannya melainkan dinisbahkannya kepada Tuhan. Suasana hati yang
demikian juga melahirkan rasa bersatu dengan Tuhan. Penyatuan hanya berlaku
dalam alam perasaan, bukan penyatuan yang sebenarnya.

Menyaksikan perkara ghaib dan mendengar suara ghaib bukanlah kesudahan jalan
sufi. Semua itu hanyalah bayangan. Allah s.w.t berbeza, tiada persamaan sedikit
dengan yang demikian. Walau bagaimana tinggi pun anggapan diberikan kepada
sesuatu pengalaman kerohanian itu ia tidak ada nilai sebelum diuji dengan al-Quran
dan as-Sunah. Jika pengalaman tersebut bersesuaian dengan al-Quran dan as-
Sunah baharulah ia menjadi berharga dan boleh dipegang. Ketika seseorang itu
masih diperingkat bayangan kerohaniannya masih belum matang dan dia belum
mencapai kesempurnaan. Jika dia terus menerus di dalam bayangan, tinggalkan dia
dengan alamnya sendiri. Tuhannya yang akan menjaganya. Ikutlah wali yang telah
sampai kepada kesempurnaan jalan, beramal sesuai dengan cara Nabi Muhammad
s.a.w.

Jangan sekali-kali melepaskan pandangan daripada Rasulullah s.a.w dan para


sahabat baginda s.a.w.

http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 7/8
12/07/2009 09. Tujuan latihan kerohanian
< Prev Next >

http://www.jalansufi.com/index.php?vi… 8/8

Anda mungkin juga menyukai