Anda di halaman 1dari 2

Senjata Makan Tuan

Sunday, 26 July 2009


oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Justeru itu berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip
mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya
di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah. Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau
jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang
mulia di sisi Allah.

Namun kemuliaan di sisi Allah tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan.
Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati
akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini
dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya.

Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah, bersemangat dalam perjuangan
dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan
antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini. Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya,
atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna,
atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita
mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah redha.

Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau
orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita
berusaha berdampingan dengannya. Tidak rugi untuk lama kita berbual. Tidak rugi untuk kita
menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa
sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki. Sehingga
kadang-kala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk
olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya
kerana teman baiknya.

Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin
bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam
membentuk peribadi insan. Ada pula yang berkata, “saya mana ada ustaz yang nak berkawan
dengan saya”. Saya katakan, Nabi s.a.w menyebut al-jalis al-salih ‘teman berdamping yang baik’, ia
begitu umum. Siapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya
maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran ‘ustaz’ itu mesti
menjadi teman yang baik. Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang
baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia
dan akhirat kita.

Maka carilah ditempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik
untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat
ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan
berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu
memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak
bermusafir dengan mereka.

Demikian sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan
orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi
seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya. Namun, dalam
banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan
berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang
buruk.

Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang
dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadang-kala dia mencarut-marut terhadap orang lain.
Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas
kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk
untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.

Saya masih ingat ada seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan
rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Saya kata
kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu,
tidak lebih buruk daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga
mungubah diri saudara. Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik
dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah
ditunjukkan oleh Islam. Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya,
tegas bukan bererti maki dan carut. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya::
“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan
seorang pelaknat orang lain”.

Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki
hamun orang lain, tidak mustahil besok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki
hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya
apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada
nilai bimbangkan hari Akhirat.

Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu ‘sakan’ memaki musuh politik
mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang
jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam UMNO juga dalam PAS baru-baru ini pun sama. Apabila
berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan
kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin
di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi ‘anak buah’, ‘penyokong setia’ dan ‘jentera
melobi’ yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiyyah tidak rasmi memaki orang, dengan
petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan separti sendiri. Saya ditunjukkan laman web parti-
parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah training yang
mereka dapat selama ini.

Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan
perpaduan, ada yang dituduh ‘gila kuasa’, ‘gila nak jadi menteri’, ‘nyanyuk’, ‘nak mampus’ dan
berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan.
Apa hendak dikatakan? Sudah sekian itu berjalan dalam dunia politik kita.

Ya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa
mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki yang
tiada nas. Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh
dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa. Ada yang bersungut
panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Saya katakan,
itulah senjata selama ini yang anda gunakan, atau biar digunakan oleh pengikut untuk menikam
orang lain, maka akan sampai masanya ‘senjata makan tuan’.

Anda mungkin juga menyukai