Anda di halaman 1dari 2

Tazkirah Remaja: Al-Quran kunci kejayaan ummah

Bersama Mohd Zawawi Yusoh


tazkirah@hmetro.com.my

KEKUATAN dalaman ke arah pembinaan generasi silam ialah beriman kepada al-
Quran yang datang sebagai buku rujukan kehidupan.
Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar
manusia cara menguruskan kehidupan, soal ekonomi, cara berpolitik, pembinaan
rumah tangga, melayan tetamu, hak anak terhadap ibu bapa, hak ibu bapa terhadap
anak, hak pemimpin terhadap rakyat dan rakyat terhadap pemimpin.

Al-Quran juga mengajar hidup bermasyarakat sesama Muslim dan kaedah


berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam. Malah, segalanya dimodulkan dalam
al-Quran, ada secara terperinci dan umum yang diperjelaskan oleh hadis.

Kitab suci ini tetap terpelihara daripada sebarang gangguan dan campur tangan
manusia. Ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya
Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan menjaganya” (surah al-
Hijr:9).

Seorang penulis Barat iaitu Sr William Menin dalam bukunya ‘Life Of Muhamad’
berkata: “Berkemungkinan besar tidak ada satu kitab pun di dunia ini yang mampu
bertahan seperti al-Quran selama berabad-abad dalam keaslian yang terpelihara.”

Kandungan al-Quran yang sama seperti dulu sepatutnya dihayati generasi kini agar
jenis manusia serupa dilahirkan, iaitu manusia generasi al-Quran.

Inilah kejayaan utama Rasulullah s.a.w iaitu menterjemahkan al-Quran daripada ayat
yang dibaca kepada perbuatan dan tingkah laku. Lahirlah generasi al-Quran yang
bergerak dan berada di mana-mana.

Kandungan utama al-Quran pertamanya jawapan muktamad mengenai tauhid.

Kedua, panduan hidup dalam bentuk sistem muamalat dan undang-undang, ketiga
mengenai perkara ghaib, seterusnya soal hari kebangkitan, balasan akibat daripada
perbuatan dosa dan pahala, induk segala ilmu dan alat pembersih jiwa.

Sekiranya kita baca sejarah berkesannya ayat al-Quran meresap di dalam jiwa
sahabat ialah peristiwa pengharaman arak.

Ketika turun ayat 90 surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman,
sesungguhnya minum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta menilik nasib
adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, jauhilah perbuatan itu agar kamu
mendapat kejayaan.”

Menurut Anas bin Malik: “Ketika mengedarkan arak di rumah Abu Talhah, tiba-tiba
kami terdengar suara seorang lelaki di halaman rumah lalu kami keluar untuk
melihatnya.”

Lelaki itu berkata: “Wahai kawan-kawan, mulai hari ini arak diharamkan.” Abu Talhah
berkata: “Wahai kawan-kawan cepat keluar, tumpahkan arak.” Mereka semua
mencampakkan arak, ada yang sedang meletakkan arak dibibirnya untuk minum bila
terdengar ayat itu, itulah kali terakhir menyentuh arak.
Al-Quran sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada umat Islam. Layanan itu
bukan hanya cara mengambil meletak dan membacanya tetapi yang lebih utama isi
serta penghayatan suruhan dan menjauhi larangannya.

Menurut Ibnu Qayyim, suasana inilah yang melonjakkan umat terdahulu ke tahap
tertinggi indeks kecemerlangan.

Kecemerlangan yang dicapai bukannya dalam satu bidang tertentu saja malah dalam
segala bidang. Malangnya generasi ini sudah lama meninggalkan kita. Walaupun
mereka tiada bersama, sejarah mereka tetap utuh tersimpan, masih segar jika mahu
ditelaah dan dipelajari.

Mereka membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama malah
menjadikannya buku panduan hidup. Ia bukan saja untuk kesempurnaan fardu ain
tetapi juga fardu kifayah.

Cuba lihat apabila mereka membaca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan
berlumba-lumba membeli kain di pasar untuk menutup aurat tetapi mereka berfikir
lebih jauh daripada itu.

Mereka berfikir bagaimana hendak mencipta pakaian, membina kilang pakaian,


malah merancang untuk menguasai pasaran pakaian dan fesyen.

Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan saja
hendak membersihkan najis tetapi juga mencari idea bagaimana hendak mencipta
teknologi alat kebersihan, kilang, malah import eksport barang berkenaan.

Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi yang mempunyai akhlak yang
tinggi. Begitulah al- Quran memberi inspirasi berfikir dan berzikir.

Sewajarnya remaja mendekati al-Quran untuk turut mempertajamkan minda dan


memperkuatkan peribadi. Caranya dengan membaca al-Quran, banyak mendengar
al-Quran, memahami al-Quran, menjadikannya ubat mujarab menyelesaikan
masalah sosial dan akhirnya dijadikan sumber hukum.

Masalah remaja bermula apabila kita mengambil satu sikap memulaukan al-Quran,
tidak membacanya. Jika dulu, waktu Maghrib suara membaca al-Quran sayup-sayup
kedengaran dari rumah tetapi kini yang kedengaran hanya suara dari televisyen dan
radio.

Bahkan, ramai generasi hari ini, jika membaca al-Quran pun banyak kesalahan, tidak
cuba memahaminya, tidak menjadikannya sebagai panduan untuk merawat penyakit
masyarakat dan kemanusiaan. Kalau adapun dijadikan untuk hantaran perkahwinan.

Ketika empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan orang Islam, pemimpin Rom
berbicara sesama sendiri dengan penuh kagum mengenai tentera Muslim.

Antara komen mereka, orang Islam adalah mereka yang suka bersolat pada malam
hari dan berpuasa siang hari, menepati janji, menyeru orang melakukan kebaikan,
melarang daripada kejahatan dan membahagikan harta rampasan perang sama
banyak di antara mereka.

Anda mungkin juga menyukai