Anda di halaman 1dari 1

Faedah Memiliki Alam yang Hijau

Sesekali kita memandang ke kiri kanan kereta semasa melalui jalan-jalan di pedalaman, hati kita terasa sejuk dan tenang. Batang-batang pokok dan daun-daun hijau yang merimbun serta nyanyian unggas dan serangga menambahkan lagi ketenangan yang kita rasai, sekaligus menyedarkan kita bahawa alam ini turut didiami makhluk lain. Alam yang hijau memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada kita tetapi juga penghuni-penghuni lain planet ini. Antara faedah memiliki alam yang hijau ialah dapat menjamin masa depan seluruh umat manusia. Kita sedia maklum bahawa fenomena pemanasan global berpunca daripada penebangan hutan secara intensif dan pelepasan gas rumah hijau yang berlebihan ke udara. Maka, dengan alam yang kekal dengan tumbuhtumbuhan, gas rumah hijau seperti karbon dioksida dapat diserap oleh pokok-pokok manakala gas oksigen dibebaskan semasa proses fotosintesis. Jadi, tanpa kejadian pemanasan global yang disebabkan aktiviti manusia, bencana-bencana seperti kenaikan paras air laut, keadaan cuaca yang tidak menentu, kejadian taufan dan puting beliung yang semakin kerap serta kemarau dan banjir dapat diminimakan. Selain itu, alam hijau kita turut membekalkan kita dengan pengetahuan sains kaji hayat. Melalui penyelidikan dan pembangunan (R & D) yang dijalankan secara saintifik dan menyeluruh ke atas flora dan fauna yang hidup mendiami muka bumi ini, pelbagai bidang lain dapat dikembangkan khususnya bidang sains kesihatan. Sebagai contoh, herba-herba seperti tongkat ali, kacip Fatimah, misai kucing, teh, ginseng, dan berbagai-bagai lagi adalah antara penemuan orang terdahulu yang kini telah dikomersialkan di peringkat antarabangsa. Melalui kemajuan ini, kita telah melangkah setapak lagi ke hadapan. Di peringkat negara pula, alam yang hijau dimanfaatkan bagi tujuan menjana ekonomi negara, terutamanya melalui perkembangan sektor pelancongan. Pulau Langkawi, Tanah Tinggi Genting, Taman Negara, Gua Niah, Gua Mulu, Gunung Santubong dan Gunung Kinabalu adalah antara destinasi pelancongan yang masyhur di Malaysia kerana keindahan biodiversiti kehidupannya. Pelancong-pelancong yang datang melawat tempattempat ini akan merasa tertarik dengan keindahan flora dan fauna negara ini. Secara tidak langsung, negara kita dapat menarik lebih banyak pelancong dari luar dan dalam negara, seterusnya merancakkan kegiatan pelancongan dalam negara. Di sekolah pula, alam yang hijau dapat memupuk semangat cinta akan alam sekitar di samping membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. Para pelajar akan menyayangi alam sebagaimana mereka menyayangi diri mereka. Mereka tidak akan terdorong untuk ponteng sekolah kerana di sekolah mereka dapat menikmati rasa tenang dan bersedia untuk menerima pengajaran guru. Secara tidak langsung, kecemerlangan akademik pelajar dapat ditingkatkan di samping melahirkan para pelajar yang environmentalis. Akhir kata, dengan memiliki alam yang hijau, pelbagai faedah dapat dikecapi bukan sahaja di takat individu malah seantero dunia. Oleh itu, wajarlah kita untuk memelihara dan memulihara alam kita mulai saat ini.