Anda di halaman 1dari 12

HELAH BELA DIRI

KONSEP DAN PENGERTIAN HELAH BELA DIRI Budaya Helah Bela Diri satu budaya yang sering diamalkan di sekolah khususnya bagi murid-murid sekolah rendah atas tujuan utama untuk menyelamatkan diri. Apabila saya hendak mengumpul latihan yang diberi semalam, saya sering menerima alasan berikut daripada murid: terlupa nak bawa..

tertinggal.. mak tak masukkan buku dalam beg kawan pinjam.. pensel tiada buku hilang dan macam-macam alasan lagi.

Situasi diatas merupakan situasi yang sering dihadapi oleh kebanyakan guru-guru di sekolah masa kini. Mengapa wujudnya budaya helah bela diri ini? Disini saya ingin menghuraikan pemahaman saya berkaitan dengan mekanisme helah bela diri ini. Antara konsep penting dalam kajian psikologi ialah helah bela diri (defense mechanism). Aliran psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud memberi perhatian besar terhadap konsep helah bela diri. Namun, perbincangan ini hanya terhad kepada tingkah laku murid yang masih melakukan pelbagai eksperimen kendiri dalam proses membina identiti dan keperibadian setelah memasuki fasa autonomi yang lebih tinggi, manakala fasa pergantungan (dependency) mereka pula menjadi lebih rendah. Helah bela diri boleh dinisbahkan sebagai topeng kepada si pemakai bagi menyembunyikah wajah sebenar. Terdapat pelbagai jenis topeng yang bertukar ganti berdasarkan tujuan tertentu. Pada amnya, semua manusia tidak sunyi daripada kekurangan dan khilaf. Maka, manusia akan berusaha supaya hanya sisi terang mereka yang kelihatan, sementara sisi gelap dapat disorokkan. Murid sekolah memang tidak pernah terkecuali. Sebagai murid, dalam banyak keadaan mereka berada dalam kedudukan yang tidak memihak (disadvantage). Selain disogokkan dengan pelbagai harapan, kecuali harapan kendiri, murid sering menganggap diri mereka sebagai "mangsa" kepada banyak proses. Murid ditetapkan dengan sejumlah kod tingkah laku, peraturan dan etika. Murid perlu mengawal diri dalam ruang bilik darjah (termasuk bengkel, makmal dan padang

permainan) supaya proses pembelajaran dapat diterima sepenuhnya. Rutin harian enam jam sehari, lima hari seminggu, 42 minggu setahun dan kira-kira 200 hari setahun itulah yang akan dilalui sepanjang tempoh bergelar sebagai murid. Sebagai kanak-kanak dan remaja yang sedang mengalami perubahan hormon, serta pertumbuhan fizikal anatomi dan fisiologi, sesetengah murid mungkin tidak betah diam membatu untuk sesuatu tempoh yang panjang kepada mereka. Mujurlah reka bentuk pedadogi pembelajaran telah mengambil kira segala domain kognitif, afektif dan psikomotor, selain akur kepada taksonomi Bloom, somatik dan reka bentuk aktiviti yang membolehkan murid mengembangkan potensi dan yang ada dalam diri mereka. Kepesatan perubahan persekitaran yang lebih deras bermakna bahawa murid perlu disediakan dengan kurikulum yang mampu menampung kehendak semasa dan masa hadapan, di samping tidak melepaskan akar umbi dan jati diri mereka. Prinsip pemerolehan ilmu diolah begitu rupa supaya input pembelajaran akan kekal relevan walaupun persekitaran dan zaman sudah berlainan. Maka, banyaklah tugasan yang dibekalkan kepada murid bagi mencapai hasrat berkenaan. Sesetengah daripada murid ini berpendirian positif dan sesetangah pula berpendirian negative yang membawa kepada wujudnya mekanisme helah bela diri dikalangan murid tersebut. Mekanisme bela diri berlaku bagi menjaga pembentukan ego yang sedia ada dalam pengalaman seorang individu. Mekanisme bela diri berpandukan kepada pengalaman yang tersirat pada peringkat bawah sedar dalam struktur ego. Seorang individu belajar hasil dari pengalamannya tentang segala contoh dan kegiatan berkaitan naluri diri bagi memuaskan kehendaknya. Apabila fungsi ego yang sedia ada tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling, seorang individu akan secara tanpa sedar menggunakan mekanisme bela diri bagi menagani keadaan yang dihadapi. Menurut Davidoff (1976) helah bela diri merujuk kepada cara atau taktik seseorang memberi alasan tentang sesuatu tindakannya, sedangkan alasan yang diberikan itu bukan sebab yang sebenarnya. Manakala Sigmund Freud pula menyatakan helah bela diri digunakan untuk mengubah fokus perhatian atau memasuki alam fantasia atau melakukan tindakan tertentu untuk mengurangkan kerisauan. Helah bela diri juga sebagai pelindung atau pembela bagi konsep kendiri dengan menyamakan perkara tidak boleh diterima oleh diri. TEORI PERSONALITI SIGMUND FREUD

Sigmund Freud juga mengandaikan Id adalah semua gejala yang neutral dalam pemikiran seorang individu. Dalam pandangan psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa ianya dilahirkan. Id dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi, satu elemen yang diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia. Id merupakan satu gejala bawah sedar. Id merupakan satu tenaga yang primitif. Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Id merupakan sumber labido (seks). Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan kepuasan swadiri secara mendadak (immediate gratification). Itulah sebabnya id tidak mempunyai penyatuan dari segi maksud tidak teratur dan tidak bermoral. Sebagai satu daya tenaga yang begitu primitif, id merupakan penggerak psikologikal yang tidak payah dipelajari. Ego berbeza dengan id. Ego tidak wujud semasa kelahiran. Sebaliknya, ego berkembang secara berperingkat. Sebagai elemen pada tahap sedar, ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Perkembangan ego adalah melalui hubungan secara sosial dan identifikasinya dengan orang lain, objek di dalam alam sekelilingnya. Sebagai alat memperkukuhkan swadiri pada tahap sedar, ego memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur tingkahlaku dan personaliti individu. Manakala identifikasi sebagai satu konsep terapan yang disedari, identifikasi memainkan peranan yang penting semasa mengubahkan haluan tenaga psike daripada id kepada ego. Antara fungsi ego adalah ego dapat bertindak terhadap acara yang mendatangkan kecemasan, biasanya konflik atau pertentangan antara id dengan super ego. Ego mempunyai dua cara untuk bertindak dalam keadaan kecemasaan. (1) Ego boleh menggunakan asas pengalaman serta kebolehan tenaga pemikiran yang nyata atau yang sebenar. Seterusnya, ego boleh bertindak terhadap tingkahlaku penyelesaian masalah berasaskan pengalaman dan sosialisasi. (2) Ego boleh menggunakan kaedah menentang, menolak, tipu-helah dengan memesongkan keadaan sebenar atau kebenaran. Apabila kaedah ini bergerak dan mengambilalih tingkahlaku, keadan ini ternyata sebagai mekanisma bela diri ego. Manakala Super ego merupakan struktur yang ketiga dalam pemikiran tingkahlaku psikoanalisis. Super ego lebih menyerupai hati nurani atau 'conscience' seseorang individu. Super ego merupakan akar tunjang dari aspek peneguhan moral yang baik. Moral yang dipelajari, dikenal pasti daripada ibu dan bapa, mahupun masyarakat. Moral yang demikian dipelajari hasil daripada asuhan semasa seorang individu itu masih kecil

peringkat umurnya dan berkembang dengan penerapan moral sebagai sebati dengan hati nuraninya. Super ego mengawal ego dan id. Super ego bertindak seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan, sikap, tingkah laku. Disebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan. Sebagai contoh, lazimnya di kalangan orang Melayu, apabila hendak keluar dari rumah, secara otomatis terlintas bagi memakai kasut. Keadaan menanggalkan kasut sebelum memasuk ke dalam rumah kediaman juga menjadi kelaziman adat orang Melayu. TINGKAH LAKU BERMASALAH Berdasarkan dari kajian lepas dan pemerhatian saya, mekanisme halah bela diri ini wujud timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyababkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya. Dengan kata lain adalah disebabkan oleh tingkah laku bermasalah. Tingkah laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, tidak kira di dalam kehidupan bermasyarakat atau termasuk sekolah. Secara konsepnya, ia bertentangan dengan tingkah laku yang lazimnya dianggap sebagai persepsi, perasaan, dan perlakuan yang pada kebiasaanya dialami oleh banyak orang dalam sesebuah masyarakat sama ada di kawasan pedalaman mahupun bandar. Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.

Sama ada seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif, ia akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, guru haruslah mengambil tahu dan segera merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengubah tingkah laku yang negatif itu. Tingkah laku bermasalah positif dalam aspek proses pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada perlakuan pelajar yang ingin tahu secara keterlaluan, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif turut berlaku atau di sekolah dipanggil hiperaktif positif. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik dan positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku. Sebagai contoh kes yang berlaku di sekolah, murid A yang berperilaku ingin tahu yang keterlaluan akan menyebabkan murid A itu suka bertanya tidak pututs - putus sehingga mengganggu proses penerangan sesuatu topik yang dipelajari semasa proses pembelajaran dan pengajaran berlaku. Begitu juga perilaku proaktif akan menyebabkan murid lain yang sedang cuba memahami atau memberi fokus terhadap sesuatu topik pembelajaran dan memerlukan kosentrasi serta suasana yang kondusif turut mengalami gangguan dari murid A. Dalam pada itu tingkah laku negatif juga menyebabkan tingkah laku menghalang seperti pergantungan berlebihan, kebimbangan, pengunduran dan pengasingan diri. Tingkah laku pergantungan berlebihan ini kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun ke bawah. Namun, ianya juga mungkin akan berlarutan hingga remaja. Pada suatu ketika, apabila orang yang diharapkan tiada, individu ini akan berasa cemas, takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang dilakukannya. Individu sebegini juga merupakan individu yang pendiam, tidak aktif, rendah diri, selalu mengalami kebimbangan dan tekanan. Di antara punca berlaku tingkah laku pergantungan berlebihan ialah akibat ibu bapa yang mengamalkan perlindungan terlampau, suasana rumah tangga yang tegang, autokratik dan tidak mempercayai kanak-kanak. Daripada huraian yang telah dijelaskan berkenaan tingkah laku bermasalah negatif ini, pemerhatian yang telah dibuat mendapati murid yang mengalami simptom ini pada kebiasaanya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Mereka juga lemah dan lambat untuk memahami setiap pelajaran yang disampaikan oleh guru serta tidak mampu menyelesaikan tugasan atau aktiviti yang diberikan guru dengan sempurna. Dalam pada itu, golongan yang pasif ini juga seringkali menjadi mangsa buli dan

ditindas oleh pelajar lain kerana kekurangan yang ada dalam diri mereka. Langkah mengatasi yang telah dijalankan oleh guru untuk mengelakkan masalah ini daripada menghalang kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran ialah dengan mengasingkan pelajar ini dan menghimpunkan mereka dalam satu kelompok yang digelar sebagai pelajar pemulihan. Apabila fungsi ego yang sedia ada tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling, seseorang individu akan tanpa disedari menggunakan mekanisme bela diri bagi menanggani keadaan yang dihadapi. MEKANISME HELAH BELA DIRI Terdapat dua bentuk helah bela diri iaitu helah bela diri pasif dan helah bela diri aktif. Antara mekanisme helah bela diri pasif yang digunakan adalah seperti berikut: Represi Bagi Teori Personaliti Freud, strategi ini merupakan terpenting dan paling asas. Ia sebagai usaha untuk melupakan sesuatu yang mengecewakan atau memalukan dirinya. Unsur ini akan aktif pada waktu tertentu dan akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku sesaorang tanpa disedari. Contoh: Seorang Ketua Jabatan tidak dapat menerima hakikat apabila seorang pegawai bawahannya membuat teguran terbuka terhadap kelemahan atau kekurangannya. Maka si bos ini akan berterusan membenci orang bawahannya itu. Dan, kebenciannya itu sesekali akan dinyatakan melalui aktiviti cakap-cakap atau marah-marah atau kaedah lain yang dapat dia lakukan. Penafian Helah bela diri ini berlaku apabila seseorang itu tidak dapat menerima kenyataan. Individu ini secara sengaja tidak mahu percaya bahawa perkara yang buruk atau sedih telah berlaku dan akan melupakannya supaya mereka tidak perlu mengingati kejadian tersebut. Contoh: Apabila seorang pesakit diberitahu yang dia menghidap penyakit barah, dia cuba menyatakan dignosis doctor adalah salah. Contoh:

Seseorang tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia telah disoalsiasat oleh SPRM atas kes rasuah atau pecah amanah. Dia menafikan bahawa SPRM yang silap siasat atau si pelapor yang dengki terhadapnya atau ada orang lain yang buat kesalahan tersebut. Regresi Keadaan ini berlaku apabila seseorang kembali kepada tingkah laku kebiasaan di peringkat awal perkembangan (langkah ke belakang). Ini kerana tindakan menyorot kembali ke peringkat perkembangan awal yang dirasai lebih selamat. Contoh: Seorang suami menjerit-jerit kerana isterinya tidak membenarkannya pergi menonton filem dengan rakan sekerjanya. Antara mekanisme helah bela diri aktif yang digunakan adalah seperti berikut: Sublimasi Ini merupakan helah bela diri yang paling sihat. Individu ini menerima atau redha bahawa dia tidak boleh memiliki segalanya dalam hidup dan kemudian membuat satu rasional dan alasan munasabah bagi menjelaskan keadaanya pada sesuatu masa. Menyalurkan perasaan kekecewaannya kepada saluran atau bentuk yang boleh diterima. Contoh: Seseorang yang tiada atau sukar mempunyai pasangan, mungkin menyalurkan perasaan sunyinya dengan mengubah pantun,puisi atau berkaraoke. Rasionalisasi Keadaan ini berlaku apabila seorang individu akan cuba menipu atau berbohong dengan orang lain bagi menutupi kesalahannya. Individu ini mereka alasan yang salah walaupun boleh diterimapakai. Contoh: Si suami berkata dia tidak suka kerjanya jadi dia berhenti kerja walhal dia dipecat oleh majikannya kerana prestasi buruk. Pemindahan Individu ini akan mengalihkan kemarahannya kepada sasaran lain kerana dia tidak dapat meluahkan kemarahan sebenarnya kepada orang tersebut.

Contoh: Seorang pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah lalu dimarahi oleh gurunya. Apabila pulang ke rumah, dia melepaskan kemarahannya kepada adik-adiknya. Projeksi Keadaan apabila individu membalikkan sesuatu kelemahan atau keinginan kepada orang lain agar orang tersebut dipersalahkan. Individu ini cuba menuduh orang lain melakukan kesilapan kerana ingin menyembunyikan kesalahannya. Mereka ini jenis yang tidak boleh terima kelemahan sendiri tatapi menyalahkan orang lain. Contoh: Sifat tidak mahu berkawan dengan orang lain, mengatakan orang lain sombong tidak mahu berkawan dengannya. Intelekstualisasi Individu ini memendam emosi yang tidak menyenangkan dan mengasingkan diri mereka daripada realiti. Mereka sengaja mengelakkan masalah dengan rakan sebaya atau pasangan. Menghadapi masalah dalam menbina perhubungan yang rapat dengan orang lain. Contoh: Semasa di sekolah Ana sering bersendirian di dalam kelas dan kurang bercakap. Bila diselidik di rumah pun Ana suka menyendiri dan sering menjadi mangsa dera emak angkatnya. Pembentukan reaksi Proses ini merupakan satu perkembangan sikap yang bertentangan dengan perkara yang telah dipendam. Keadaan ini berasaskan kepada prinsip bertentangan polariti. Individu akan melepaskan dirinya dari situasi yang tidak menyenangkan dengan tindakan yang melampau bagi menghapuskan kekecewaannya. Pembentukan reaksi dilakukan individu yang bertentangan dengan perasaan atau motif asal untuk elak konflik. Contoh: Sekumpulan kanak-kanak bersiul ketika melalui perkuburan (seolah-olah bergembira dan tidak takut tetapi sebenarnya mereka cuba melindungi perasaan takut) KEBAIKAN HELAH BELA DIRI

Sebenarnya mekanisme helah bela diri ini juga mempunyai beberapa kebaikannya. Namun individu tersebut hendaklah sederhana dalam mengamalkan helah bela diri ini supaya tidak mendatangkan sebarang keburukan kepada individu dan orang disekelilingnya. Antara kebaikan kepada penggunaan helah bela diri ini ialah boleh membantu individu dalam menilai tingkah laku diri sendiri. Seseorang itu dapat mengenal dirinya sendiri melalui beberapa cara. Antaranya adalah dengan memahami cara bagaimana dia membentuk imej dirinya. Semakin seseorang itu faham mengapa dia mempunyai anggapan-anggapan tertentu mengenai dirinya, semakin dia dapat memahami siapa dirinya yang sebenar. Konsep diri boleh muncul daripada cara bagaimana seseorang individu itu mentafsir dan menilai tingkah laku serta fikirannya sendiri. Perbuatan dan tingkah laku seseorang menyebabkan individu lain mempunyai persepsi imej berkenaan diri individu itu. Apabila seseorang itu menunjukkan perilaku positif, individu lain mempunyai imej positif berkenaan diri individu itu. Ini menyebabkan individu lain itu bercakap dan melayannya dengan cara positif, begitu juga sebaliknya. Selain itu, individu tersebut boleh meneguhkan kekuatan diri dan membina peribadi mulia untuk menjadi insan berwibawa. Melalui penggunaan mekanisme helah bela diri yang bertepatan individu ini boleh menjadi semakin yakin kepada diri sendiri dan boleh membina kekuatan dalam diri sendiri. Helah bela diri ini juga boleh menjadikan individu menjadi lebih kreatif. Manusia memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk maju. Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang sangat kreatif biasanya lahir daripada keluarga yang mengenakan terlalu sedikit peraturan penting tetapi bermakna. Pakar pendidikan awal Itali, Loris Malaguzzi yang menulis dalam The Hundred Languages of Children berkata, kreativiti lahir daripada pelbagai pengalaman. Namun pengalaman semata-mata tidak berguna. Ia perlu disertakan dengan pembangunan sumber peribadi yang mendapat sokongan, termasuk kebebasan untuk meneroka luar daripada batas pengetahuan. Melalui mekanisme helah bela diri yang digunapakai pada masa-masa tertentu, individu tersebut akan memperoleh pengalaman dan meningkatkan kreativitinya dalam sesuatu perkara.

Seterusnya helah bela diri juga boleh membantu individu dalam melepaskan perasaan kurang enak. Helah bela diri yang berbentuk pasif selalunya membantu individu melepaskan perasaan marah, kecewa dan rasa tidak puas hati. Sekurang-kurangnya individu tersebut tidak terlalu tertekan dan boleh melepaskan tekanan mereka dalam bentuk yang tidak merbahayakan diri dan orang lain. KELEMAHAN HELAH BELA DIRI Walaubagaimana pun helah bela diri ini jika sering digunakan dan keterlaluan akan mendatangkan keburukan. Pengalaman dan keadah menetang, menolak dan tipu helah yakni pemesongan keadaan adalah dikenali sebagai makenisma helah bela diri. Antara kelemahan penggunaan helah bela diri adalah mengalakkan individu menjadi penipu. Apabila individu berada dalam situasi yang tertekan mereka akan memilih untuk menggunakan helah bela diri sebagai topeng bagi menyembunyikah wajah sebenar atau keadaan sebenar mereka. Selain itu, berlaku mental block keadaan apabila individu tidak dapat berfikir dengan baik. Kemampuan mereka berfikir secara analitis dan kreatif tersekat kerana sering mencari helah untuk melarikan diri dari menghadapi tekanan atau masalah. Lama kelamaan keadaan yang berlanjutan ini akan menyebabkan seseorang menjadi malas berfikir. Penggunaan helah bela diri juga boleh menyebabkan kurang rasa keyakinan dan perasaan rendah diri yang berpanjangan pada individu tersebut. Sifat rendah diri yang keterlaluan boleh menjadikan kita susah untuk bercampur dengan masyarakat, kurang keyakinan kendiri, kurang kawan dan sebagainya. Keadaan ini jika dibiarkan dan dianggap remah akan mendatangkan kesan negative kepada personaliti individu tersebut. IMPLIKASI HELAH BELA DIRI TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN Implikasi mekanisme helah bela diri terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah ialah guru-guru harus mengenali dan menangani pelbagai jenis helah bela diri ini. Para guru-guru harus mengenali kenyataan bahawa kebanyakan tingkah laku negatif di dalam bilik darjah merupakan satu mekanisme helah bela diri yang berpunca daripada

kebimbangan kendiri atau kekecewaan dalaman murid-murid. Murid-murid akan cuba untuk menipu guru-guru dengan pelbagai mekanisme helah bela diri yang berlaianan. Oleh itu, guru-guru perlu mengetahui tentang jenis-jenis makanisme helah bela diri yang berlainan dan tingkah laku negative yang berkaitan dengan helah bela diri yang berbeza. Ini membantu mereka untuk menjadikan pengajaran lebih efektif. Disebabkan helah bela diri ini berpunca daripada minda yang bukan sedar, guru-guru tidak dapat memodifikasikan mekanisme helah bela diri dengan strategi-strategi modifikasi tingkah laku. Justeru guru yang peka serta memiliki personaliti dan konsep kendiri yang positif dapat menangani masalah-masalah negative murid-murid dengan menunjukkan sifat penyayang dan mengambil berat tentang murid mereka. Implikasi yang paling penting untuk semua guru ialah mereka harus meningkatkan motivasi dan konsep kendiri para murid supaya murid-murid tidak perlu mengamalkan pelbagai jenis-jenis helah bela diri yang berlainan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. KESIMPULAN Kesimpulannya helah bela diri ini sentiasa digunakan oleh individu untuk mempertahankan harga diri. Namun, ianya tidak boleh digunakan pada setiap situasi kerana akan memberikan kesan negatif. Helah bela diri ini hanya membantu menghilangkan kebimbangan yang bersifat sementara namun tidak dapat menyelesaikan masalah. Memberi masa pada seseorang untuk menilai mengenai cara menyelesaikan masalah. Dapat menambah kemahiran dalam hidup dari segi mengurangkan tekanan atau perasaan bimbang. Helah bela diri dapat mententeramkan jiwa seseorang itu berjumpa kaunselor untuk membantunya. Helah bela diri sublimasi dan rasionalisasi dapat menjadikan seseorang kreatif.

RUJUKAN: 1. Boon Pong Ying & Ragbir Kaur. (1998). Psikologi II (Semester II). Penerbit fajar bakti Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 2. Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD). 2012. Pedagogi (Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama.

3. Mok Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan & Kaunseling: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd., Puchong. 4. Omrod, J. E. (2008). Educational Psychology: Developing Learners, New Jersey: Prentice Hall Inc. 5. Santrock, W. J. & Tankard, J. W. (1998). Teori Komunikasi. DBP, K.L. 6. Suppiah, N. Ramlah, Abdul Aziz. (2008). Psikologi Pendidikan. Oxford Fajar. 7. Wood, D. (2000): How Children Think and Learn (2nd Edition). Blackwell, U.K.

Anda mungkin juga menyukai