Anda di halaman 1dari 4

Antara Keperluan Dengan Pembaziran

13 August 2007

Oleh ZALILA ISA

ISU Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
bukan satu isu baru atau fenomena yang akan tenggelam dalam tempoh tertentu.
Hakikatnya, ia merupakan isu lapuk yang tiada berkesudahan dan sentiasa
berkembang dari hari ke hari. Lapuknya isu ini bersangkut hal kebergantungan
Malaysia kepada guna tenaga asing dan juga kesan-kesan kedatangan warga asing
ini ke Malaysia demi memenuhi tuntutan ekonomi yang sedang berkembang pesat di
negara ini.

Tidak mengejutkan apabila dikatakan jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di
negara ini kini lebih ramai daripada masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di
Malaysia. Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun lalu yang dikeluarkan Jabatan
Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi, Jabatan Perangkaan Malaysia,
jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta, manakala masyarakat India 1.88 juta.
(Berita Harian, 12 Ogos 2007)

Kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing amat tinggi terutama dalam sektor
perkhidmatan, pembinaan, perladangan, dan pembuatan. Keadaan itu amat
menguntungkan kedua-dua belah pihak, iaitu negara Malaysia dan juga pekerja
asing yang datang dari pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Myanmar,
Bangladesh, Vietnam, China, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Pakistan, dan lain-lain
lagi. Bagaimanapun, kemasukan secara beramai-ramai dengan izin dan tanpa izin ini
menjadikan negara kita semakin pening dengan kesan-kesan yang wujud.

Sepanjang tahun 2005, Malaysia menghantar sekurang-kurangnya RM 5 bilion


hingga RM 7.2 bilion wang ke negara asal masing-masing. Jumlah itu pula semakin
meningkat dari tahun ke tahun. Jumlah yang besar ini harus ditanggung oleh
Malaysia memandangkan keperluan sumber manusia di Malaysia yang tidak
mencukupi.

Dikatakan suatu waktu dahulu, Malaysia menyenaraikan jumlah pengangguran di


kalangan warga tempatan dengan angkanya agak membimbangkan. Adakah jumlah
ini berkaitan dengan pengambilan warga asing yang tidak dikawal?

Daya saing dan semangat bekerja tanpa mengira penat, bahaya atau kotornya
sesuatu pekerjaan membuatkan warga asing menjadi pilihan majikan di Malaysia.
Daya saing di kalangan warga asing juga amat tinggi berikutan kemiskinan di negara
asal ataupun desakan hidup yang semakin menghimpit yang membuatkan mereka
sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Majikan di Malaysia pula cenderung menggaji pekerja asing kerana memerlukan


tenaga pekerja yang ramai seperti di kilang, tapak pembinaan, dan sektor
pembuatan.Ditambah lagi dengan pembayaran gaji yang agak rendah dan kebajikan
warga asing yang tidak begitu diambil kira, menjadikan kedatangan warga asing
dialu-alukan oleh majikan-majikan di Malaysia.

Apatah lagi, warga tempatan sendiri tidak berminat mengisi kekosongan kerja-kerja
yang dianggap berisiko, kotor, bahaya dan menawarkan gaji yang rendah. Mereka
lebih rela menganggur daripada melakukan kerja-kerja berat dalam sektor
pembinaan atau perladangan. Kerja sebagai pembantu rumah pula hanya dipandang
sebelah mata kerana dianggap terkongkong, waktu kerja yang panjang dengan gaji
yang murah, layanan seperti hamba dan membosankan berada di rumah sepanjang
hari.

Bagi yang berpendidikan pula, kerja kilang atau buruh kasar di tapak pembinaan
sudah semestinya tidak sepadan dengan pendidikan yang mereka terima. Terdapat
juga majikan yang mengambil pekerja asing kerana kepakaran mereka (selalunya
dalam bidang sains dan teknologi) tidak terdapat pada warga tempatan.

Pekerja asing tidak releven dengan isu pengangguran yang berlaku di Malaysia.
Namun, kita tidak boleh memandang sebelah mata kesan kebanjiran pekerja asing di
negara ini meliputi masalah sosial dan penyakit yang dikhuatiri berpunca daripada
pendatang tanpa izin yang sudah semestinya tidak menggunakan saluran dan
prosedur yang betul memasuki Malaysia.

Bukan sedikit kes yang berkaitan dengan jenayah yang dilakukan oleh pendatang
asing ini. Di penjara sahaja, dikatakan 24,000 daripada 49,000 penghuninya adalah
warga asing dengan pelbagai kesalahan termasuk merompak, meragut, membunuh,
dan memperkosa. Itu belum lagi kos penyelenggaraan yang terpaksa dikeluarkan
untuk ‘menyara’ lebih daripada 10,000 warga asing yang berada di depoh tahanan
Jabatan Imigresen kerana ketiadaan visa dan permit.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan melihat semula situasi yang berlaku ini dan
memantau serta menyelesaikan dengan bijaksana segala kesan yang wujud akibat
kebanjiran tenaga asing di Malaysia. Umpama menarik rambut dalam tepung di
mana rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak, begitulah juga kaedah yang
harus digunapakai oleh kerajaan dalam memelihara keharmonian dan kepentingan
kedua-dua belah pihak.

Perkara ini perlu difikir sedalam-dalamnya dengan bukan hanya memandang kepada
majikan yang memerlukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka,
malah melihat semula bagaimana modal insan tempatan harus dijana untuk mengisi
kekosongan sektor pekerjaan di Malaysia.

Sudah tiba masanya kerajaan melihat statistik pengangguran warga tempatan di


Malaysia yang dikatakan mencecah 90,000 orang. Begitu juga statistik yang
memaparkan kira-kira 242,190 atau 3.8 peratus daripada 6.3 juta pelajar sekolah di
seluruh negara gagal menamatkan persekolahan mereka sehingga ke tingkatan lima.
Di manakah mereka ini?

Pemaparan statistik ini bukan untuk dipolemikkan di dewan persidangan parlimen


atau menjadi perbalahan di pejabat –pejabat menteri ataupun menjadi topik hangat
di kedai-kedai kopi. Statistik itu menunjukkan bahawa pihak yang
bertangggungjawab untuk menjana modal insan demi kepentingan ekonomi, harus
bangkit dan menjejaki golongan yang tercicir ini untuk mengurangkan
kebergantungan kita kepada pekerja asing.

Mengambil contoh sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah, banyak perkara


boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar penggunaan pekerja asing. Menurut
Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, terdapat kira-kira
310, 661 pembantu rumah di Malaysia. Manakala, Timbalan Menteri Sumber
Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar pula menyatakan negara masih memerlukan
100,000 pembantu rumah dalam masa terdekat ini untuk mengisi permintaan
semasa.

Mungkin juga cadangan menaikkan taraf kerjaya pembantu rumah kepada profesion
yang dihormati boleh dikaji dengan lebih mendalam (Berita Harian, 3 Ogos 2007).
Pembantu rumah yang seringkali dilayan seperti hamba, gaji yang rendah, wujud
unsur-unsur deraan secara fizikal (mencederakan dan mangsa seksual) dan mental
serta fenomena skeptikel yang lain harus dihentikan.

Majikan dan pembantu rumah harus diikat dengan kontrak atau undang-undang
sosial. Ini seterusnya akan mengubah persepsi masing-masing terhadap peranan
yang dipertanggungjawabkan dan seterusnya mengubah pandangan masyarakat
terhadap kerjaya sebagai pembantu rumah.

Menaikkan taraf pembantu rumah dengan anjakan gaji yang lebih baik daripada RM
450 sebulan kepada RM700 sehingga ke RM 900, mungkin boleh menarik minat
warga tempatan yang menganggur. Insentif-insentif lain seperti kos penginapan,
perubatan, cuti dan makanan boleh dibincangkan dengan lebih mendalam dalam
usaha menaikkan taraf pembantu rumah.

Manakala rekod layanan buruk majikan di Malaysia terhadap pembantu rumah dan
juga jenayah yang dilakukan oleh pembantu rumah terhadap majikan, boleh
dihapuskan apabila kedua-dua pihak (majikan dan pembantu rumah) diwajibkan
menandatangani satu kontrak undang-undang bagi memelihara keharmonian kedua-
dua belah pihak.

Begitu juga dengan sektor-sektor lain seperti pembuatan, pembinaan dan


perladangan yang memerlukan kajian secara tuntas untuk menarik minat warga
tempatan mengisi kekosongan sumber manusia di sektor-sektor berkenaan. Polisi
yang disediakan oleh kerajaan juga harus komprehensif dan seragam agar tidak
berlaku percanggahan undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja.

Apa yang difikirkan lebih baik ialah majikan yang memerlukan tenaga kerja yang
ramai dan tidak mendapat sambutan di kalangan warga tempatan harus berusaha
sendiri membawa warga asing ke Malaysia. Usaha ini termasuklah menyatakan
jumlah warga asing yang diperlukan, mendaftarkan mereka secara terus dengan
pihak berkuasa serta urusan levi, visa dan permit yang dilakukan sendiri oleh
majikan. Oleh hal yang demikian itu, tidak timbul isu lebihan pekerja asing yang
akhirnya tidak bekerja dan melakukan jenayah untuk meneruskan hidup di Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata


pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam
Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi
memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Jelas di sini bahawa, Malaysia amat memerlukan warga asing untuk mengisi
keperluan sektor-sektor yang kritikal seperti perkhidmatan, pembinaan, dan
perladangan. Namun, kebanjiran warga asing yang tidak dikawal menjadi satu
musibah dan kerugian yang ditanggung oleh Malaysia melalui pengaliran wang yang
keluar dan juga kesan-kesan akibat jenayah yang dilakukan oleh mereka.

Begitu juga dengan warga tempatan yang dikatakan ‘merempat di bumi sendiri’
(menganggur) dan hilang entah ke mana (mungkin di penjara). Keengganan warga
tempatan dan kemanjaan mereka dalam memenuhi kekosongan sektor-sektor
tertentu, menyebabkan kerajaan menanggung kerugian. Malah kita sendiri melenting
apabila warga kita terbunuh, diperkosa atau teraniaya oleh warga asing, tanpa
menyedari bahawa kita yang mempelawa mereka datang ke Malaysia, mengaut
keuntungan dan memijak kepala kita. Siapa sebenarnya yang menjadi keperluan dan
menyebabkan pembaziran. Mereka yang dihidangkan dengan ‘menu’ lazat dari
Malaysia atau kita yang menyediakan ‘menu’ itu?

Melihat kepada situasi terkini, tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam
membendung atau mengurangkan kebanjiran pekerja asing seolah-olah menangkap
bayang-bayang. Jangan kerana hendak meneruskan program pembangunan, kita
mengenepikan sumber manusia yang merempat di bumi sendiri.

Warga tempatan tidak seharusnya terlalu memandang rendah kepada sesuatu


pekerjaan. Tidak salah mencuba bidang-bidang seperti pembantu rumah,
pembuatan, perladangan atau pembinaan jika tiada pilihan selain menganggur.
Bukanlah itu lebih baik daripada kita melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah
dan memudaratkan orang lain. Sudah tiba masanya warga tempatan mengubah
persepsi terhadap pekerjaan yang dimonopoli warga asing. Fikirkan pembaziran yang
dilakukan oleh kerajaan terhadap warga asing. Fikirkan juga keamanan dan
kedaulatan negara yang semakin dipinggir oleh warga asing.

Bagi majikan pula, jangan kerana keuntungan mereka lebih rela mengambil warga
asing sedangkan warga tempatan tidak langsung ‘dipelawa’ atau ditolak untuk
mengisi ruang kosong itu. Malahan, kerana keuntungan sesetengah pihak juga,
warga asing tidak dijaga sepenuhnya sehingga menjadi kudis dalam masyarakat dan
seterusnya memerlukan ubat yang mahal untuk mengubati kudis tersebut.

Kerjasama antara kerajaan, majikan-majikan serta warga tempatan dalam


mengurangkan penggunaan pekerja asing memerlukan perancangan yang teliti.
Bukan sahaja negara dapat menjimatkan kos-kos tertentu melalui usahasama ini,
malah pihak polis dan jabatan imigresen juga tidak perlu memeningkan kepala
menyelesaikan jenayah yang dilakukan oleh mereka. Keperluan yang wujud di antara
majikan dan pekerja harus di isi dan pembaziran yang berlaku akibat kemasukan
pekerja asing dapat dikurangkan.

Anda mungkin juga menyukai