Anda di halaman 1dari 2

Karangan pasang siap

Contoh Karangan Menggunakan Teknik Pasang Siap Soalan: Terdapat sebilangan remaja yang menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak dan merempit. Sebahagian remaja pula terjebak dalam gejala sosial seperti menagih dadah dan pergaulan bebas. Huraikan langkah langkah untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja. Contoh karangan Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia tentang masalah sosial dalam kalangan remaja seperti merempit, melepak , penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Umum mengetahui bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Seandainya kita terus leka dan memandang remeh terhadap isu ini pasti usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 pasti akan menjadi omong kosong sahaja. Persoalannya mengapakah masalah sedemikian berlaku? Siapakah yang harus dipersalahkan? Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh diatasi hingga ke akar umbi. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, antara tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ialah melalui peranan ibu bapa dan keluarga. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum bahawa kebanyakan masa para remaja banyak dihabiskan di rumah terutamanya sewaktu cuti persekolahan. Ibu bapa sewajarnya memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak remaja. Sebagai analoginya, ibu bapa hendaklah bertanya kepada anak-anak remaja tentang permasalahan yang dihadapi dan berusaha untuk membantu mereka menyelesaikannya atau dengan kata lain ibu bapa adalah pakar rujuk kepada anak anak semasa di rumah. Hal ini menyebabkan anak anak akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Bak kata mutiara anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Tegaslah, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa amat penting dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. Sesungguhnya, selain ibu bapa, pihak masyarakat dan pemimpin setempat juga perlu memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah ini. Hal ini tercetus kerana para remaja merupakan ahli kepada masyarakat setempat yang perlu diberikan perhatian. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa jika masyarakat mendapati terdapat remaja yang melakukan perbuatan negatif, mereka mestilah menegur dan memberi nasihat secara berhemah. Dengan kata lain, pihak masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga dalam membentuk tingkah laku remaja. Contoh yang ketara paling dekat dengan kita ialah masalah vandalisme. Justifikasinya, sekiranya masalah ini berlaku, masyarakat boleh menegur para remaja yang melakukan masalah tersebut dengan berhemah dengan harapan remaja akan lembut hati dan makan nasihat. Bertepatanlah dengan kata-kata mutiara iaitu tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Dengan keadaan sedemikian sekiranya masyarakat setempat sentiasa ambil cakna terhadap permasalahan remaja, masalah ini akan dapat diatasi. Umum mengetahui bahawa antara langkah yang pragmatik untuk menangani masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan pihak media massa. Dalam konteks ini, media massa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam mempengaruhi hati dan minda para remaja. Media massa seperti televisyen, radio, internet ataupun media cetak yang merupakan perantara yang paling dekat dengan jiwa remaja perlu menyiarkan program program yang boleh memberi kesedaran kepada remaja terutama dalam usaha remaja mencari jati diri mereka. Misalnya program seperti rancangan realiti Imam Muda atau Ustazah Pilihan amat berguna kepada remaja kerana melalui program ini terdapat info yang amat berguna untuk remaja. Oleh hal yang demikian pemilihan progam yang berkualiti dapat memberi banyak faedah dan pihak media massa sewajarnya tidak menjadikan remaja sebagai alat untuk mengaut keuntungan semata mata tetapi menjadi wadah penting untuk menjana remaja yang berwawasan. Yang pasti, masalah sosial dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi sekiranya pihak media massa sama- sama bahu - membahu memainkan peranan dan tidak hanya memikirkan keuntungan sahaja Tidak dapat dinafikan dari perspektif yang lain, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. Hal ini kerana pihak kerajaan

mempunyai autoriti dalam negara kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan boleh menggubal undang undang. Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan dilaksanakan secara berterusan agar segala nilai nilai murni yang cuba diterapkan melalui program ini akan diamalkan oleh para remaja. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN ) yang telah dianjurkan oleh kerajaan adalah satu program yang baik kepada remaja. Hal inidemikian kerana melalui program ini, remaja akan mempunyai jati diri, nilai moral yang tinggi dan taat kepada agama, bangsa dan negara. Pujangga ada berkata, Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara. Oleh itu, remaja yang dilahirkan ialah remaja yang boleh menjadi modal insan yang berguna untuk membangunkan negara pada masa akan datang. Namun demikian, satu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah, antara langkah menangani masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan. Kementerian Belia dan Sukan adalah antara agensi yang aktif menjalankan pelbagai program untuk menarik minat para remaja. Kementerian Belia dan Sukan bertanggungjawab menjadikan remaja dan belia di Malaysia berkualiti dan seterusnya berjaya menjana kemajuan negara. Tamsilnya, Program Rakan Muda merupakan antara program yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Jelaslah bahawa melalui program ini remaja telah dibentuk agar mempunyai jati diri dan sahsiah yang terpuji sesuai dengan pembentukan modal insan kelas pertama kerana remajalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara. Nyatalah, sekiranya pihak Kementerian Belia dan Sukan aktif menjalankan pelbagai program yang berguna untuk remaja, nescaya remaja akan terhindar daripada anasir-anasir yang negatif. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama sama ibarat ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni berusaha untuk mengatasi masalah yang beronar dalam kalangan remaja kita. Jika tidak kita akan dipandang rendah oleh negara lain. Semoga kita akan dapat melahirkan remaja yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Negara amat mengharapkan remaja yang berkualiti dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Namun begitu bak kata peribahasa, tepuk dada tanya selera. (812 patah perkataan)