Anda di halaman 1dari 5

Abang Muhammad Fathur Rahman bin Abg Madehi K2 Catan cat Air Bumi Bahagia Lombong Bijeh Malaya

Bumi Bahagia Lombong Bijeh Malaya Catan cat air yang bertajuk bumi bahagia lombong bijeh Malaya ini ialah salah satu daripada karya teragung Abdullah Ariff. Karya ini dihasilkan pada tahun 1960. Karya ini berukuran 36.4 x 54.1 cm. Karya ini telah dipetik dari katalog Balai Seni Lukis Negara Koleksi 1958-1988. Karya ini ialah Terbitan Balai Seni Lukis Negara Malaysia yang beralamat di No.2, Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur. Tel : 03-4025 4990 / 03- 4026 7000.

Karya ini dihasilkan ketika dan waktu negara baru mencapai kemerdekaan. Jadi kita dapat mengetahui bahawa karya ini sebenarnya merekodkan aktiviti ekonomi negara pada masa itu. Oleh sebab itulah karya ini boleh menjadi rujukan sebagai dokumentasi sejarah. Karya di atas adalah salah satu karya yang banyak diberi apresiasi oleh pengkritik dan sejarawan seni sebagai aliran catan air yang terawal di dalam sejarah perkembangan seni lukis tanah air. Abdullah Ariff bersama Yong Mun Sen telah diiktiraf sebagai perintis lukisan cat air di Malaysia (Pioneer artists of Malaysia). Kelebihannya yang menyerlah Abdullah Arif ialah dari segi eksplorasi teknik wash. Teknik yang digunakan bersifat konsisten adalah ciri-ciri yang dekat dengan diri pelukis dalam berkarya. Sifatnya yang begitu cermat dan teliti dalam menggunakan media telah mengangkat status diri sebagai seniman berdedikasi yang dikatakan sentuhannya mirip gaya lukisan catan air barat. Dari segi garisan, pengkarya telah menggunakan berbagai jenis garisan pada catan ini. Antaranya ialah garisan lurus, tebal, nipis, kasar, halus dan zig zag. Garisan ini telah digunakan secara rawak di dalam keseluruhan karya untuk menimbulkan satu imej lombong bijih dah beberapa figura manusia yang sedang mencangkul. Garisan yang kasar digunakan untuk membentuk satu ruang yang besar dan terus membentuk kawah lombong. Ia bertujuan untuk menunjukkan bahawa susahnya pekerjaan melombong ini. Garisan zig zag dan garisan kasar digunakan bersama untuk memperlihatkan satu lombong yang berkeadaan amat bahaya tetapi masih ada yang berkerja di situ kerana pada masa itu, melombong ialah salah satu sumber ekonomi Malaya. Oleh sebab pengkarya menggunakan beberapa garisan dengan berulang terutamanya pada bentuk curam tanah lombong, catan ini seolah olah mempunyai pergerakan akibat daripada perulangan itu. Perulangan pada penggunaan garisan menghasilkan satu irama dan getaran pada bentuk tanah lombong yang curam tersebut.

Dalam karya ini pengkarya menggunakan kedua-dua jenis rupa iaitu rupa organik dan rupa geometri. Rupa organik ini boleh kita lihat pada figura yang manusia pada ruang hadapan catan. Rupa geometri pula boleh kita lihat pada rupa rumah atau pondok di lombong tersebut. Rupa segi empat digunakan untuk membentuk atap rumah dan dinding rumah. Rupa ini digunakan berulang untuk mebentuk satu rupa rumah yang sempurna. Dengan aplikasi 3 latar iaitu latar depan, latar tengah dan latar belakang, suasana aktiviti melombong itu tergambar luas. Latar tengah mendominasi keseluruhan gambaran dengan keutamaan beberapa elemen diletakkan di situ. Contoh mainan cahaya, eksplorasi kecairan wash yang terserlah dan prinsip penegasan diberi tumpuan pada pancutan air yang tertumpu di latar tengah. Warna air bercampur lumpur itu adalah fokus kepada mainan cahaya yang datang dari atas. Kawasan cahaya itu mengambil ruang yang luas dan diletak pada posisi tengah, dianggap pilihan posisi yang baik dan sesuai dengan mainan cahaya yang sangat dititik beratkan. Latar depan, kurang menyerlah yang mengambil ruang kecil dengan imej tiga figura sedang mencangkul dan mengandar bijih. Penggunaan ruang oleh pengjarya amat berkesan sehingga boleh menimbulkan keseimbangan pada karya ini walaupun keseimbangan itu bukanlah keseimbangan simetri. Dari segi jalinan, pengkarya hanya menghasilkan jalinan tampak sahaja iaitu jalinan yang hanya boleh dirasai oleh pancaindera mata. Pengkarya berjaya menimbulkan satu jalinan pada bentuk tanah yang curam pada lombong itu. Bentuk lekukan tanah itu seolah-oleh seperti tanah yang sebenar kesan daripada penggunaan jalinan tampak yang sesuai. Penggunaan jalinan yang pelbagai pada setiap ruang lombong ini telah menghasilkan satu prinsip seni ini iaitu kepelbagaian. Jalinan pada tanah, rumah, takungan air dan pokok ini telah menimbulkan prinsip seni ini. Dalam keseluruhan karya ini, pengkarya hanya mengunakan warna coklat sahaja. Warna ini kemudiannya dicampurkan dengan warna yang lebih cerah seprti putih untuk menimbulkan kesan cahaya. Warna putih pada tengah-tengah lombong itu ialah kesan cahaya matahari yang berjaya memasuki kawah lombong itu. Selain itu, warna coklat yang sedikit cerah juga digunakan untuk membentuk gambaran takungan air tengah lombong itu. Pengunaan warna oleh pengkarya telah menghasilkan prinsip seni harmoni pada karya ini. Harmoni mewujudkan keselesaan, kesesuaian, keseragaman dan kesatuan pada catan ini.

Penonjolan wash atau kecairan mempunyai daya kekuatan yang unik. Kekuatan yang tersendiri ini adalah sifat wash itu sendiri yang aktif apabila basah di atas basah diaplikasikan. Antara sifatnya yang tidak terduga dan terjadi secara spontan itu boleh membantu kepada kekuatan nilai catan air. Ruang yang digunakan untuk kecairan itu sesuai dan tepat iaitu di komposisi tengah dan di situ juga kekuatan cahaya ditimbulkan. Apabila permukaan kertas yang basah di aktifkan dengan pilihan warna yang dilebihkan kandungan airnya akan hidup dan berkembang menjadi kecairan itu berlaku dengan tidak diduga. Jika dikesani elemen cahaya itu sendiri sebenarnya banyak dibantu oleh teknik kecairan yang konsisten. Asas kukuh kepada penghasilan kecairan dalam catan air, didahului dengan asas-asas komposisi, pilihan warna dan teknik yang dibangunkan. Mengamalkan kecairan adalah perlu dan inilah ciri-ciri istimewa catan air. Persoalannya bahagian manakah dalam catan air yang perlukan kecairan? Jawapannya perlu dilihat kembali peranan kecairan itu yang patut berada dalam keadaan membantu komposisi, menaikan tarikan cahaya atau menambah nilai kekuatan warna. Kesan kecairan perlu ada dan ia menjadi keunggulan kepada catan air. Kesan itu bergantung kepada kawalan berus, campuran warna nisbah air, jenis kertas. Setiap kali berlaku kesilapan ia dianggap satu kebetulan dan ini tidak merunsingkan artis. Perlu diingat dalam kecairan kesan lutsinar dan kesan spontan adalah antara ciri-ciri kecantikan. Jika kesan kecairan yang keterlaluan, catan air akan kehilangan lutsinar. Manakala kesan spontan akan lahir sendiri melalui latihan dan kawalan. Pengaruh catan Cina digunakan dalam karya ini yang membantu satu ruang menjadi daya penarik kepada pemerhati. Ruang itu luas, ada kesan ketenangan dan mata banyak direhatkan di situ tetapi ia bukan titik fokus. Ruang yang dimaksudkan itu, luas ditinggalkan di belakang titik fokus dan ia menjadi daya tarikan. Contoh pancutan air itu adalah titik fokus dan runtuhan tanah adalah ruang yang diserlahkan kecairan. Ruang runtuhan tanah itu menjadi daya penarik. Komposisi berperanan penting membantu kecairan menjadi seimbang. Jika tersalah pilih komposisi maka ia kurang membantu kecairan. Komposisi itu adalah kunci untuk warna cair mengembang dan menyerlahkan imej.

Gabungan elemen dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu prinsip kesatuan yang mantap. Dalam karya ini terdapat banyak elemen seni yang telah dimasukkan sehingga melahirkan kepelbagaian.kepelbagaian ini boleh mengelakkan kebosanan pada pemerhati seni. Namun, jika kepelbagaian ini tidak dikawal, catan ini akan nampak berserabut dan tidak menarik. Namun, Abdullah Arrif berjaya menyatukan semua elemen itu dan prinsip kesatuan itu berjaya mengawal kepelbagaian di dalam karya itu. Oleh sebab itulah karya seni ini menjadi satu karya yang agung di Malaya. Karya catan air Abdullah Ariff ini berkeupayaan meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Emosi kita dimainkan melalui teknik kecairan. Kecairannya meresap rasa untuk kita bersama menikmati keindahan alam.