Anda di halaman 1dari 2

Secara umumnya Pendidikan Islam memberi tumpuan terhadap empat bidang utama iaitu keimanan, kemanusiaan, ketatanegaraan, dan

kemasyarakatan. Mari kita samasama cuba hayati dan fahami penjelasan bagi semua bidang tersebut.

1.4.4.1 KEIMANAN
Antara perkara yang dititik beratkan di dalam Pendidikan Islam ialah keimanan kepada Allah swt. Beriman kepada Allah Subhanahuwataala bererti seseorang Muslim itu mempelajari, memahami dan mempercayai dengan penuh yakin akan sesuatu yang wajib bagi Allah Subhanahuwataala dari segala sifat-sifat kesempurnaanNya, dan sesuatu yang mustahil baginya dari semua yang berlawanan dengan sifat-sifat wajib itu. Begitu juga, yakin dengan sifat-sifat yang harus bagi Allah Subhanahuwataala. Dengan lain perkataan, secara umumnya, seseorang Muslim wajib beritiqad bahawa segala sifat kesempurnaan itu adalah hak Allah Subhanahuwataala semata -mata, samada sifat-sifat itu yang berbentuk Uluhiyyah atau pun Rububiyyah. Begitu juga sebaliknya, segala sesuatu yang tidak sempurna tidak layak diletakkan kepada zat yang maha kudus itu. Beriman kepada Allah Subhanahuwataala juga bermaksud seseorang muslim wajib beritiqad bahawa di sebalik alam kebendaan yang nyata ini, sudah wujud suatu zat yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera lahiriah manusia. Pada Zat itu terkumpul segala kekuasaan mutlak. Padanya sahaja ada sifat-sifat maha kuasa, maha mengetahui, maha bijaksana dan maha pentadbir. Zat itu adalah punca kejadian segala makhluk dan segala yang akan berlaku ke atasnya. zat itu punca hidayah, nur dan alhaq bagi manusia sejagat.

Firman Allah Subhanahuwataala yang bermaksud:

Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang menghidupkan dan yang mematikan. (Dialah) Tuhanmu dan Tuhan bapak-bapakmu yang terdahulu.(Surah ad-Dukhan: ayat 8).

1.4.4.2 KEMANUSIAAN
Pendidikan Islam juga menekankan tentang nilai-nilai kemanusiaan berdasarkan penghormatan terhadap hak-hak asasi dan kemuliaan manusia. Baik kebebasan dan kemerdekaannya, nama baik dan eksistensinya, kehormatannya dan hak-haknya, dan juga memelihara darahnya, hartanya serta kerabat keturunannya dalam kedudukan mereka sebagai individu anggota masyarakat.