Anda di halaman 1dari 44

Contoh 1

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan pencemaran udara kepada manusia dan alam sekitar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal. Pencemaran udara dikaitkan dengan bahan-bahan sintetik dan lain-lain pengotor berbahaya yang meresap dan menjadi sebahagian udara. Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia yang menghidap pelbagai penyakit, khususnya penyakit berkaitan pernafasan akibat menghidu udara yang tercemar. Manusia memerlukan udara bersih untuk hidup. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasannya akan menyerap pelbagai bahan pencemar ke dalam paru-paru. Hal ini boleh menyebabkan implikasi yang kronik terhadap sistem pernafasan manusia terutamanya kepada mereka yang mwnghidap penyakit berkaitan pernafasan. Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Udara yang mengandungi bahan pencemar akan mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Hal ini mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokokpokok dan tumbuhan. Implikasinya tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluarannya akan terancam. Selain itu, pencemaran udara juga akan memberikan kesan kepada iklim global dan setempat. Pelbagai bahan kimia buangan seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida akan larut dengan wap air dan akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini akan mengalir dan meresap ke dalam tanah seterusnya memusnahkan galian dalam tanah menyebabkannya menjadi tidak subur. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang akan memberikan kesan menyeluruh kepada bumi. Tidak ketinggalan, pencemaran udara juga akan merosakkan bangunan-bangunan. Bangunan-bangunan, khususnya yang diperbuat daripada batu kapur boleh mengalami keretakan dan roboh. Hal ini kerana bahan-bahan pencemar yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya akan lekat dan bertindak balas ke atas batu dan meretakkan bangunan. Bangunan-bangunan akan rapuh, terurai, lemah, pudar dan kotor. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk membaiki dan memulihkannya. Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita akibat ampaian bahanbahan pencemar seperti CFC (kloroflora karbon). CFC juga dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor. Hal ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Keadaan ini mengakibatkan kandungan karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat.

Kesimpulannya, memandangkan pencemaran udara ini memberi kesan menyeluruh kepada umat manusia, maka langkah-langkah menyeluruh perlu diambil. Undang-undang yang lebih ketat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu ditambah. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan. ( Dipetik dan diubahsuaikan daripada http://mazlan66.wordpress.com )

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkaian kata implikasi yang kronik seperti yang terdapat dalam petikan. (2 markah)

2. Nyatakan beberapa langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah pencemaran udara ? (4 markah)

3. Pada pendapat anda, mengapakah masih ada lagi pihak yang melakukan pencemaran udara seperti pembakaran terbuka? (4 markah)

Cadangan Jawapan.

1. Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia yang menghidap pelbagai penyakit, khususnya penyakit berkaitan pernafasan 2. Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman dalam proses fotosintesis dan tumbesaran 3. tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluarannya akan terancam. 4. pencemaran udara juga akan memberikan kesan kepada iklim global dan setempat. 5. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang akan memberikan kesan menyeluruh kepada bumi. 6. pencemaran udara juga akan merosakkan bangunan-bangunan. 7. pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita akibat ampaian bahan-bahan pencemar.

8. CFC juga dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor.

Soalan Pemahaman:

1. Maksud implikasi yang kronik ialah

implikasi

Kesan Akibat Bahana Padah mudarat

Yang kronik

Yang teruk Yang parah

2. Langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah pencemaran udara ialah Undang-undang yang lebih ketat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu ditambah. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan.

3. - Mengambil jalan yang mudah dan murah untuk membersihkan sesuatu kawasan.

- Mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku - Tidak mengetahui kesan buruk yang bakal berlaku akibat pembakaran terbuka. - Kurangnya penguatkuasaan undang-undang terhapat orang yang melakukan pembakaran terbuka.

( Jawapan-jawapan lain yang bersesuaian diterima )

Contoh 2

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan Hutan Hujan Tropika di Malaysia. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal. Hutan hujan tropika adalah satu khazanah yang berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di mana kita tinggal. Hutan hujan tropika meliputi hanya 12% daripada jumlah kawasan dunia. Kawasan ini penting sebagai habitat semula jadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan yang memakan buah-buahan, bijian, putik bunga, pucuk daun dan bahagian pokok lain. Hutan adalah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan. Mereka dapat menyara hidup mereka melalui sumber hutan sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kegiatan seharian mereka amat bergantung kepada hutan. Mereka memburu bukan sahaja untuk mendapatkan sumber makanan tetapi untuk mendapatkan pakaian dan tempat perlindungan. Selain itu, hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka dengan cara menjual hasil seperti herba, damar, sarang burung dan keladi Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai. Dengan itu, hutan dapat memastikan bahawa bekalan air di negara kita tidak terputus sepanjang tahun, malah hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semula jadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. Hal ini kerana pokok-pokok ini berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam

tanah-tanih dengan akarnya. Kesemua ini dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat. Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi dan hampir 70% daripada penawaran oksigen dunia adalah datangnya dari hutan hujan tropika. Semasa tumbuhan menjalankan proses fotosintesis , karbon dioksida akan diserap dan gas oksigen akan dihasilkan. Hal ini dapat mengimbangi keperluan gas pernafasan oleh tumbuhan dan haiwan malah manusia juga. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada http://kpukmweb.ukm.my)

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkaian kata khazanah yang berharga seperti yang terdapat dalam petikan. (2 markah)

2. Nyatakan kebaikan yang akan diterima manusia dengan adanya hutan sebagai penutup bumi ? (4 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membendung masalah kemusnahan kawasan hutan ? (4 markah)

Cadangan Jawapan.

1. Kawasan ini penting sebagai habitat semula jadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuhtumbuhan, haiwan dan serangga 2. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan 3. Hutan adalah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan 4. hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka dengan cara menjual hasil hutan.

5. Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai. 6. hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semula jadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. 7. Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi. 8. Hutan dapat mengimbangi keperluan gas pernafasan oleh tumbuhan dan haiwan malah manusia juga.

Soalan Pemahaman:

1. Maksud khazanah yang berharga ialah

khazanah

Harta barang

Yang berharga

Yang bernilai

2. kebaikan yang akan diterima manusia dengan adanya hutan sebagai penutup bumi ialah

dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat.

3. - Menguatkuasakan akta perhutanan untuk membendung pembalakan haram. - Mewartakan kawasan hutan simpan kekal. - Menjadikan kawasan hutan sebagai tempat rekreasi seperti Taman Negara. - Mengadakan kempen cintai alam semula jadi untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya hutan kepada manusia.

( Jawapan-jawapan lain yang bersesuaian diterima )

Contoh 3

Bahagian A(i) (Masa dicadangkan : 30 Minit) (Markah 20)

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan buat satu ringkasan tentang usaha-usaha untuk memajukan industri kraf Malaysia . Ringkasan anda hendaklah tidak lebih daripada 80 patah perkataan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan menarik, di samping menyediakan pelbagai produk pelancongan. Oleh hal yang demikian, kraf tangan merupakan salah satu produk yang dapat meningkatkan ekonomi negara sekali gus sebagai sajian yang berperanan memajukan sektor pelancongan negara. Industri kraf tangan mula diberi perhatian serius dengan penubuhan Kraftangan Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan industri kraftangan mengikut akta sedia ada. Perbadanan ini bertangunggjawab untuk membangunkan industri kraf tangan sebagai sumber ekonomi negara. Antara langkah ke arah itu adalah dengan membangunkan usahawan kraf, peniaga kraf dan produk berorientasikan pasaran. Industri kraf tangan di negara ini ternyata telah memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka. Menyedari hal ini, pihak kerajaan telah

meminta insitusi kewangan memberi bantuan modal kepada pengusaha-pengusaha yang meghadapi masalah kekurangan modal. Selain itu, agensi seperti Kraftangan Malaysia, dan Krayaneka telah berusaha dengan mempamerkan dan memasarkan produk daripada industri kraf. Dengan cara ini akan dapat mengatasi masalah pemasaran oleh pengusaha-pengusaha kraf tangan luar bandar. Bagi memberi pengiktirafan atas sumbangan pengusaha kraf, kerajaan telah mengadakan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan setiap tahun. Sambutan ini bertujuan memberi penghargaan dalam usaha mereka untuk mengembangkan industri ini. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga telah berusaha untuk memantapkan industri kraf negara. Umpamanya, industri kraf batik telah digerakkan dengan penubuhan pusat inovasi batik Kelantan. Pusat inovasi ini akan berusaha ke arah penghasilan produk kraf yang mempunyai identiti dan keaslian sesuatu produk. Dengan cara ini akan memudahkan pihak kerajaan membantu para pengusaha meneroka pasaran luar negara. Di samping itu, usaha mempromosi kraf tempatan hendaklah dilakukan secara berterusan walaupun melibatkan perbelanjaan yang tinggi selain daripada menepati kumpulan sasar termasuk pelancong. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga telah meminta agar jenama khas kraf tangan Malaysia juga diadakan bagi menunjukkan produk dari Malaysia untuk pasaran luar negara. Cara ini akan membolehkan orang ramai menaruh kepercayan dan keyakinan kepada produk kraf tangan tempatan. Dipetik dan diubahsuaikan daripada Memperkasa Industri Kraf Tangan Negara Fokus Januari 2007 oleh Haji Samat bin Buang

Bahagian A (ii) Pemahaman ( 10 Markah )

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata dapat meningkatkan? (2 markah)

2. Nyatakan kepentingan industri kraf tangan kepada negara ( 4 Markah )

3. Pada pendapat anda, bagaimana kedatangan pelancong dapa memajukan industri kraf. ( 4 Markah )

Bahagian A(i) (Masa dicadangkan : 30 Minit) (Markah 20)

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan buat satu ringkasan tentang langkah-langkah untuk membantu orang kurang upaya. Ringkasan anda hendaklah tidak lebih daripada 80 patah perkataan.

Tanggal 3 Disember setiap tahun diisytiharkan sebagai sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat kebangsaan. Pelbagai dasar dan program digubal dan dilaksanakan untuk membolehkan OKU menikmati hidup yang lebih sempurna. Namun terdapat OKU yang masih tidak mendaftarkan diri disebabkan pelbagai faktor seperti ibu bapa berasa malu mendapat anak yang cacat . Keadaan ini bertambah rumit apabila mereka tinggal di kawasan luar bandar menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk berbuat demikian. Dalam hal ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan berusaha memudahkan urusan pendaftaran termasuk menghantar pegawai ke rumah OKU. Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menasihati ibu bapa mendaftarkan anak mereka supaya dapat menikmati kemudahan yang disediakan. Hal Ini termasuklah hak mendapat pendidikan sempurna di Sekolah Pendidikan Khas. Begitu juga, terdapat pelbagai jenis bantuan kewangan yang membolehkan OKU menjalani kehidupan harian. Sebagai contohnya, pekerja cacat akan menerima elaun sebanyak RM200 sebulan. Akta OKU juga akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Keadaan ini disebabkan kurang kesedaraan ibu bapa yang mempunyai anak OKU tentangnya hak-hak anak mereka yang perlu dilindungi.

Dalam rancangan Malaysia ke-9, Kerajaan telah menubuhkan banyak pusat pemulihan komuniti kurang upaya. Pusat ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada OKU. Pelbagai program untuk mengintegrasikan OKU dalam masyarakat juga telah dipergiat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal dalam masyarakat. Hal ini berikutan terdapat OKU yang hidup menyendiri disebabkan kekurangan yang ada di dalam diri mereka. Begitu juga Program Inklusif diwujudkan dengan tujuan mengintegrasikan kanak-kanak kurang upaya ke dalam arus perdana masyarakat. Malah kerajaan telah memperluas potongan cukai berganda pada tahun 1982 kepada majikan yang mengambil pekerja kurang upaya. Hal ini bertujuan untuk menggalakkan majikan mengambil OKU berkerja dengan mereka. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula talah menyediakan garis panduan bagi pemaju bangunan baru supaya meningkatkan kemudahan untuk OKU.. Baru-baru ini sistem pengangkutan di negara ini telah bersetuju memberi keistimewaan kepada OKU Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), syarikat bas Transnasional dan Putra-LRT telah memberi konsesi 50% harga tambang kepada golongan OKU. Pelancaran Skim Takaful Berkelompok OKU pada Februari 2002 yang menyediakan skim insurans untuk semua OKU yang berdaftar, bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan antara RM4000 hingga RM15000 . . Dipetik dan diubahsuaikan daripada Sumbangan orang kurang upaya kepada negara. Dewan siswa Haji Samat b. Buang.Ogos 2006

Bahagian A (ii) Pemahaman ( 10 Markah )

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata menghadapi kesulitan ? (2 markah)

2. Mengapakah ibu bapa enggan mendaftarkan anak OKU mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( 4 Markah )

3. Nyatakan sebab-sebab golongan kurang upaya perlu dibantu oleh pihak kerajaan. ( 4 Markah )

SKEMA JAWAPAN

ISI RINGKASAN

1. Industri kraf tangan mula diberi perhatian serius dengan penubuhan Kraftangan Malaysia

2. membangunkan usahawan kraf, peniaga kraf dan produk berorientasikan pasaran.

3. meminta insitusi kewangan memberi bantuan modal kepada pengusahapengusaha yang meghadapi masalah kekurangan modal.

4. mempamerkan dan memasarkan produk daripada industri kraf.

5. kerajaan telah mengadakan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan setiap tahun.

6. industri kraf batik telah digerakkan dengan penubuhan pusat inovasi batik Kelantan.

7. kerajaan membantu para pengusaha meneroka pasaran luar negara.

8. usaha mempromosi kraf tempatan hendaklah dilakukan secara berterusan / dan menepati kumpulan sasar.

9. Jenama khas kraf tangan Malaysia juga diadakan bagi menunjukkan produk dari Malaysia untuk pasaran luar negara.

Bahagian A (ii)

i) dapat - boleh/berupaya/mampu

meningkatkan - menambah/memajukan/merangsang

ii) - dapat meningkatkan ekonomi negara /sumber ekonomi negara - memajukan sektor pelancongan negara - mewujudkan peluang pekerjaan

iii) - pelancong membeli barangan kraf sebagai cederamata - pelancong akan mempromosikan barangan kraf apabila pulang ke negara asal

Isi Ringkasan

1. memudahkan urusan pendaftaran termasuk menghantar pegawai ke rumah OKU.

2. mendapat pendidikan sempurna di Sekolah Pendidikan Khas

3. bantuan kewangan yang bagi membolehkan OKU menjalani kehidupan harian.

4. Akta OKU juga akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri

5. Kerajaan telah menubuhkan banyak pusat pemulihan komuniti kurang upaya.

6. program untuk mengintegrasikan OKU dalam masyarakat juga telah dipergiat

7. Program Inklusif diwujudkan dengan tujuan mengintgrasikan kanak-kanak kurang upaya ke dalam arus perdana masyarakat

8. Malah kerajaan telah memperluas potongan cukai berganda pada tahun 1982 kepada majikan yang mengambil pekerja kurang upaya.

9. memberi konsesi 50% harga tambang kepada golongan OKU.

10. skim insurans untuk semua OKU yang berdaftar, bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan antara RM4000 hingga RM15000

Bahagian A(ii)

1. menghadapi - melalui/menempuhi/

kesulitan - kesukaran/kepayahan/

2. - ibu bapa berasa malu mendapat anak yang cacat - mereka tinggal di kawasan luar bandar - kurang kesedaraan ibu bapa yang mempunyai anak OKU tentangnya hak-hak anak mereka yang perlu dilindungi.

3. - tidak semua golongan kurang upaya terdiri daripada orang yang kaya - supaya golongan OKU tidak berasa mereka dipinggirkan oleh pihak kerajaan. - supaya golongan OKU boleh berdikari dalam anggota masyarakat.

Contoh 4

Latihan 1 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah] Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha memelihara bangunan bersejarah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Bangunan bersejarah merupakan bangunan masa silam yang sangat berharga dan unik. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengekalkan bangunan dan monumen tersebut. Antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia termasuklah Kota AFamosa di Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bangunan bersejarah ini perlu dipelihara supaya tidak mengalami kemusnahan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk memelihara bangunan bersejarah ini. Antara usaha untuk memelihara bangunan bersejarah termasuklah menjadikan kawasan bangunan bersejarah sebagai destinasi pelancongan. Melalui usaha ini, bangunan bersejarah akan terus dipelihara bagi menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Kerajaan juga boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. Melalui langkah ini, bangunan bersejarah dapat berfungsi dan tidak terbiar usang begitu sahaja. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengekalkan struktur bangunan bersejarah agar tidak dirobohkan. Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu. Di samping itu, kerajaan perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di negara ini, justeru media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah supaya masyarakat menghargai warisan tersebut.

Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang kepada pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah bagi memastikan warisan ini sentiasa terpelihara. Pihak kerajaan wajar menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Dengan menjalankan kerja pemuliharaan ini, bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan boleh dibaik pulih. Antara kerja baik pulih yang boleh dilakukan termasuklah mengecat semula bangunan dan menggantikan struktur kayu yang telah reput. Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memelihara serta mengekalkan bangunan bersejarah. Masyarakat Malaysia perlu bekerjasama untuk sama-sama

memelihara bangunan bersejarah. Pemeliharaan bangunan bersejarah penting untuk tatapan generasi akan datang selain menjadi warisan negara. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Usaha Memelihara Bangunan Bersejarah Dewan Siswa, September 2009)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 1 Apakah maksud masa silam . [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, nyatakan sebab pentingnya pemeliharaan bangunan bersejarah. [4 markah] 3 Pada pendapat anda, apakah usaha yang wajar dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendidik murid menghargai bangunan bersejarah? [4 markah]

Latihan 2 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah] Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Saban hari, kita digemparkan dengan berita nahas jalan raya yang terpapar di televisyen dan di akhbar. Bagi menghindarkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya, langkah yang efektif wajar disegerakan.

Kealpaan pemandu sering menjadi faktor perdana yang mengakibatkan kemalangan jalan raya. Lantaran itu, pemandu hendaklah senantiasa membuka mata dan telinga agar peka terhadap keadaan sekelilingnya sebelum dan semasa memandu. Pemandu perlu memastikan keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Perhatian sepenuhnya perlu ditumpukan tatkala memandu. Oleh itu, elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Didikan dan asuhan yang diberikan kepada anak kecil yang diibaratkan kain putih bakal membentuk personaliti mereka apabila dewasa kelak. Usaha mewujudkan Kelab atau Persatuan Keselamatan Trafik Jalan Raya dapat menyemai dan memupuk kesedaran tentang peraturan lalu lintas jalan raya dalam sanubari murid sekolah. Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus mengenakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah undang-undang jalan raya. Dalam waktu yang sama , bilangan penguat kuasa undang-undang patut dipertingkatkan agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Selain itu, media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya. Secara tuntasnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Usaha yang istiqamah, proaktif dan jitu tidak mencukupi jika tidak ditokok dengan iltizam dan komitmen kita. Sekiranya kita bekerjasama, sudah pasti kita akan berjaya dalam usaha merealisasikan misi dan visi sifar kemalangan di negara kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya Dewan Siswa, September 2009)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 1 Apakah maksud agar peka . [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, apakah sikap yang perlu ada untuk menjayakan usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? [4 markah]

3 Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila berhadapan dengan kemalangan? [4 markah]

Contoh 5

Latihan 3 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah] Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor kemerosotan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Kokurikulum dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan murid di sekolah dan memberi pelbagai faedah. Namun begitu, aktiviti yang dijalankan bagaikan tidak penting dan kehadiran murid semakin merosot. Hal ini berlaku atas beberapa faktor. Satu daripadanya adalah sistem pendidikan kita yang beroreantasikan akademik dan peperiksaan. Banyak orang yang menganggap bahawa kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dapat menjamin masa depan murid. Lazimnya, pelajar yang cemerlang akan ditawarkan biasiswa. Oleh itu, pelajar menghadiri kelas tuisyen untuk mencapai keputusan yang cemerlang sehingga mengabaikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum. Dalam waktu yang sama pihak sekolah pula mengadakan kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi pelajar. Ibu bapa juga tidak memberikan galakan kepada anak kerana percaya bahawa aktiviti kokurikulum tidak sepenting pencapaian akademik. Selain itu, kekurangan prasarana yang sesuai membunuh minat pelajar. Aktiviti yang dirancang tidak dapat berjalan lancar. Jikalau terdapat kemudahan pula, kekurangan dana menyebabkan peralatan sukan yang rosak tidak dapat dibaiki atau digantikan. Semangat pelajar yang membara serta minat yang mendalam terhadap kokurikulum akan hilang begitu sahaja. Kekurangan perancangan pula mengakibatkan aktiviti yang dijalankan tidak sempurna. Di samping itu, kurangnya kepakaran dari segi tenaga guru juga turut memburukkan keadaan. Akibatnya, potensi pelajar tidak dapat dikembangkan dan bakat mereka tidak dapat dicungkil. Minat pelajar akan lenyap begitu sahaja selain kehadiran pelajar yang terus merosot.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah mengubah sikap dan cara pemikiran mereka untuk menggalakkan para pelajar menghadiri aktiviti kokurikulum. Generasi masa depan yang berkaliber dapat dilahirkan demi memajukan negara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kemerosotan Pelajar Dalam Aktiviti Kokurikulum Dewan Siswa, Februari 2010)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 1 Apakah maksud membunuh minat . [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, apakah akibat kemerosotan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum? [4 markah] 3 Pada pandangan anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak supaya berminat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum? [4 markah]

Latihan 1 Cadangan Jawaban A (i) 1 Menjadikan kawasan bangunan bersejarah sebagai destinasi pelancongan. 2 Kerajaan boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. 3 Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu. 4 Kerajaan perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di Malaysia.

5 Media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah. 6 Pihak swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. 7 Penguatkuasaan undang-undang kepada pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah. 8 Masyarakat Malaysia wajar memberikan kerjasama untuk memelihara bangunan bersejarah.

Cadangan Jawapan A (ii) 1 Kala/detik/ketika/saat/tempoh/waktu/zaman Lampau/dahulu 2 -tatapan generasi akan datang -warisan negara 3 Melancarkan Minggu Menghargai Bangunan Sejarah Aktiviti Menulis buku skrap, esei, deklamasi sajak, menghasilkan ciptaan kreatif tentang bangunan bersejarah.

Latihan 2 Cadangan Jawaban A (i) 1 Keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. 2 Memberi perhatian sepenuhnya ketika memandu. 3 Elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu. 4 Memupuk kesedaran tentang pentingnya mematuhi peraturan lalu lintas dalam sanubari pelajar. 5 Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus melaksanakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah nundang-undang jalan raya. 6 Bilangan penguat kuasaan undang-undang patut dipertingkatkan agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

7 Media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya.

Cadangan Jawapan A (ii) 1 Supaya/menjadi/biar/semoga/untuk Responsive/sensitif 2 Istiqamah, proaktif, pragmatik, iltizam,komitmen,bekerjasama Mana-mana 4 isi 3 Menghubungi pihak ambulan Menghubungi pihak polis Memberi bantuan kecemasan jika mampu Mana-mana jawaban yang munasabah Mana-mana 2 jawaban

Latihan 3 Cadangan Jawaban A (i) 1 Sistem pendidikan kita yang beroreantasikan akademik dan peperiksaan. 2 Pelajar menghadiri kelas tuisyen untuk mencapai keputusan yang cemerlang. 3 Pihak sekolah turut mengadakan kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi pelajar. 4 Ibu bapa tidak memberikan galakan kepada anak-anak. 5 Percaya bahawa aktiviti kokurikulum tidak sepenting pencapaian akademik. 6 Kekurangan prasarana yang sesuai.

7 Kekurangan dana yang menyebabkan peralatan sukan yang rosak tidak dapat dibaiki atau diganti. 8 Kekurangan perancangan mengakibatkan aktiviti yang dijalankan tidak sempurna. 9 Kekurangan kepakaran dari segi tenaga guru memburukkan keadaan.

Cadangan Jawaban A (ii) 1 Melenyapkan / meluputkan / memedamkan / mematikan / membinasakan / menamatkan / menghilangkan / menghapuskan Bakat /hobi /kegemaran / kesukaan 2 Potensi pelajar tidak dapat dikembangkan Bakat mereka tidak dapat dicungkil Minat mereka lenyap begitu sahaja Kehadiran pelajar terus merosot Mana-mana 2 jawaban 3 Memberi sokongan kepada anak-anak yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum Memberi bantuan kewangan yang disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru Ibu bapa wajar turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah Mana-mana 2 jawaban

Contoh 5

Latihan 1 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Bangunan bersejarah merupakan bangunan masa silam yang sangat berharga dan unik. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengekalkan bangunan dan monumen tersebut. Antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia termasuklah Kota AFamosa di Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bangunan bersejarah ini perlu dipulihara supaya tidak mengalami kemusnahan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk memulihara bangunan bersejarah ini. Kawasan bangunan bersejarah perlu dijadikan sebagai destinasi pelancongan sebagai usaha memulihara bangunan bersejarah. Melalui usaha ini, bangunan bersejarah akan terus dipelihara bagi menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Kerajaan juga boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. Melalui langkah ini, bangunan bersejarah dapat berfungsi dan tidak terbiar usang begitu sahaja. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengekalkan struktur bangunan bersejarah agar tidak dirobohkan. Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu. Kerajaan juga perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di negara ini. Selain itu, media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah supaya masyarakat menghargai warisan tersebut. Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah bagi memastikan warisan ini sentiasa terpelihara. Pihak kerajaan wajar menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Dengan menjalankan kerja pemuliharaan ini, bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan boleh dibaik pulih. Antara kerja baik pulih yang boleh dilakukan termasuklah mengecat semula bangunan dan menggantikan struktur kayu yang telah reput. Tegasnya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memulihara serta mengekalkan bangunan bersejarah. Pemuliharaan bangunan bersejarah penting untuk tatapan generasi akan datang selain menjadi warisan negara. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Usaha Memelihara Bangunan Bersejarah Dewan Siswa, September 2009)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1 Berikan maksud rangkai kata masa silam ? [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, nyatakan kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah. [4 markah] 3 Pada pendapat anda, apakah usaha yang wajar dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendidik murid menghargai bangunan bersejarah? [4 markah]

Latihan 1 Cadangan Jawapan A (i) 1 Menjadikan kawasan bangunan bersejarah sebagai destinasi pelancongan. 2 Kerajaan boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. 3 Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu. 4 Kerajaan perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di Malaysia. 5 Media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah. 6 Pihak swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. 7 Penguatkuasaan undang-undang kepada pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah. 8 Masyarakat Malaysia wajar memberikan kerjasama untuk memelihara bangunan bersejarah.

Cadangan Jawapan A (ii) 1 masa - kala/detik/ketika/saat/tempoh/waktu/zaman silam - lampau/dahulu

2 - tatapan generasi akan datang - warisan negara

3 - melancarkan Minggu Menghargai Bangunan Sejarah - aktiviti menulis buku skrap, esei, deklamasi sajak, menghasilkan ciptaan kreatif tentang bangunan bersejarah. -mengadakan lawatan ke bangunan-bangunan bersejarah

Latihan 2 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Saban hari, kita digemparkan dengan berita nahas jalan raya yang terpapar di televisyen dan di akhbar. Bagi mengurangkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya, langkah yang efektif wajar disegerakan. Kealpaan pemandu sering menjadi faktor perdana yang mengakibatkan kemalangan jalan raya. Lantaran itu, pemandu hendaklah senantiasa membuka mata dan telinga agar peka terhadap keadaan sekelilingnya sebelum dan semasa memandu. Pemandu perlu memastikan keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Perhatian sepenuhnya perlu ditumpukan tatkala memandu. Oleh itu, elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Didikan dan asuhan yang diberikan kepada anak kecil yang diibaratkan kain putih bakal membentuk personaliti mereka apabila dewasa kelak. Usaha mewujudkan Kelab atau Persatuan Keselamatan Trafik Jalan Raya dapat menyemai dan memupuk kesedaran tentang peraturan lalu lintas jalan raya dalam sanubari murid sekolah.

Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus mengenakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah undang-undang jalan raya. Pada waktu yang sama , bilangan penguat kuasa undang-undang patut ditambah bilangannya agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Selain itu, media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya. Sesungguhnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan ciri-ciri insan yang mulia termasuklah sentiasa beristiqamah dan proaktif penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya. Selain itu, setiap individu perlu beriltizam dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sekiranya kita bekerjasama, sudah pasti kita akan berjaya dalam usaha merealisasikan misi dan visi sifar kemalangan di negara kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya Dewan Siswa, September 2009)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 1 Apakah maksud rangkai kata agar peka ? [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk menjayakan usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? [4 markah] 3 Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila berhadapan dengan kemalangan jalan raya? [4 markah]

Latihan 2 Cadangan Jawapan A (i) 1 Keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. 2 Memberi perhatian sepenuhnya ketika memandu. 3 Elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu. 4 Memupuk kesedaran tentang pentingnya mematuhi peraturan lalu lintas dalam sanubari pelajar. 5 Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus melaksanakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah undang-undang jalan raya. 6 Bilangan penguat kuasan undang-undang patut ditambah agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan. 7 Media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya.

Cadangan Jawapan A (ii) 1 agar - supaya/menjadi/biar/semoga/untuk peka - responsif/sensitif/prihatin

2 - sentiasa beristiqamah dan proaktif - setiap individu perlu beriltizam dan mempunyai komitmen yang tinggi

3 - menghubungi pihak ambulans - menghubungi pihak polis - memberi bantuan kecemasan jika mampu (terima mana-mana 2 jawapan)

Latihan 3 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor kemerosotan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Kokurikulum dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan murid di sekolah dan memberi pelbagai faedah. Namun begitu, aktiviti yang dijalankan bagaikan tidak penting dan kehadiran murid semakin merosot. Hal ini berlaku atas beberapa faktor. Satu daripadanya adalah sistem pendidikan kita yang berorientasikan akademik dan peperiksaan. Banyak orang yang menganggap bahawa kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dapat menjamin masa depan murid. Lazimnya, pelajar yang cemerlang akan ditawarkan biasiswa. Oleh itu, pelajar menghadiri kelas tuisyen untuk mencapai keputusan yang cemerlang sehingga mengabaikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum. Pada masa yang sama, pihak sekolah pula mengadakan kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi pelajar. Ibu bapa juga tidak memberikan galakan kepada anak kerana percaya bahawa aktiviti kokurikulum tidak sepenting pencapaian akademik. Selain itu, kekurangan prasarana yang sesuai membunuh minat pelajar. Aktiviti yang dirancang tidak dapat berjalan lancar. Jikalau terdapat kemudahan pula, kekurangan dana menyebabkan peralatan sukan yang rosak tidak dapat dibaiki atau digantikan. Semangat pelajar yang membara serta minat yang mendalam terhadap kokurikulum akan hilang begitu sahaja. Kekurangan perancangan pula mengakibatkan aktiviti yang dijalankan tidak sempurna. Di samping itu, kurangnya kepakaran dari segi tenaga guru juga turut memburukkan keadaan. Hal ini menyebabkan penglibatan pelajar semakin berkuramgan dalam aktiviti kokourikulum. Akibatnya, potensi pelajar tidak dapat dikembangkan dan bakat mereka tidak dapat dicungkil. Minat pelajar akan lenyap begitu sahaja selain kehadiran pelajar yang terus merosot. Pendek kata, semua pihak perlulah mengubah sikap dan cara pemikiran mereka untuk menggalakkan para pelajar menghadiri aktiviti kokurikulum. Hal ini sudah tentu dapat melairkan generasi masa depan yang berkaliber demi memajukan negara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kemerosotan Pelajar Dalam Aktiviti Kokurikulum Dewan Siswa, Februari 2010)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 1 Apakah maksud rangkai kata membunuh minat ? [2 markah] 2 Berdasarkan petikan, apakah akibat kemerosotan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum? [4 markah] 3 Pada pandangan anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum? [4 markah]

Latihan 3 Cadangan Jawapan A (i) 1 Sistem pendidikan kita yang berorientasikan akademik dan peperiksaan. 2 Pelajar menghadiri kelas tuisyen untuk mencapai keputusan yang cemerlang. 3 Pihak sekolah turut mengadakan kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi pelajar. 4 Ibu bapa tidak memberikan galakan kepada anak-anak. 5 Percaya bahawa aktiviti kokurikulum tidak sepenting pencapaian akademik. 6 Kekurangan prasarana yang sesuai. 7 Kekurangan dana yang menyebabkan peralatan sukan yang rosak tidak dapat dibaiki atau diganti.

8 Kekurangan perancangan mengakibatkan aktiviti yang dijalankan tidak sempurna. 9 Kekurangan kepakaran dari segi tenaga guru memburukkan keadaan.

Cadangan Jawapan A (ii) 1. membunuh - melenyapkan/meluputkan/memendamkan/mematikan/membinasakan/menamatkan menghilangkan/menghapuskan minat - bakat/hobi/kegemaran/kesukaan

2. - potensi pelajar tidak dapat dikembangkan - bakat mereka tidak dapat dicungkil - minat mereka lenyap begitu sahaja - kehadiran pelajar terus merosot (Terima mana-mana 2 jawapan)

3 - memberi sokongan kepada anak-anak yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum - memberi bantuan kewangan yang disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru - ibu bapa wajar turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah

(Terima mana-mana 2 jawapan)

Latihan 4 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan buat satu ringkasan tentang usaha-usaha untuk memajukan industri kraf Malaysia . Ringkasan anda hendaklah tidak lebih daripada 80 patah perkataan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan menarik, di samping menyediakan pelbagai produk pelancongan. Oleh hal yang demikian, kraf tangan merupakan salah satu produk yang dapat meningkatkan ekonomi negara sekali gus sebagai sajian yang berperanan memajukan sektor pelancongan negara. Industri kraf tangan mula diberi perhatian serius dengan penubuhan Kraftangan Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan industri kraf tangan mengikut akta sedia ada. Perbadanan ini bertangunggjawab untuk membangunkan industri kraf tangan sebagai sumber ekonomi negara. Antara langkah ke arah itu adalah dengan membangunkan usahawan kraf, peniaga kraf dan produk berorientasikan pasaran. Industri kraf tangan di negara ini ternyata telah memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka. Menyedari hal ini, pihak kerajaan telah meminta institusi kewangan memberi bantuan modal kepada pengusaha-pengusaha yang meghadapi masalah kekurangan modal. Selain itu, agensi seperti Kraftangan Malaysia, dan Karyaneka telah berusaha dengan mempamerkan dan memasarkan produk daripada industri kraf. Dengan cara ini akan dapat mengatasi masalah pemasaran oleh pengusaha-pengusaha kraf tangan luar bandar. Bagi memberi pengiktirafan atas sumbangan pengusaha kraf, kerajaan telah mengadakan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan setiap tahun. Sambutan ini bertujuan memberi penghargaan dalam usaha mereka untuk mengembangkan industri ini. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga telah berusaha untuk memantapkan industri kraf negara. Umpamanya, industri kraf batik telah digerakkan dengan penubuhan pusat inovasi batik Kelantan. Pusat inovasi ini akan berusaha ke arah penghasilan produk kraf yang mempunyai identiti dan keaslian sesuatu produk. Dengan cara ini akan memudahkan pihak kerajaan membantu para pengusaha meneroka pasaran luar negara. Di samping itu, usaha mempromosi kraf tempatan hendaklah dilakukan secara berterusan walaupun melibatkan perbelanjaan yang tinggi selain menepati kumpulan sasar termasuk pelancong. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga telah meminta agar jenama khas kraf tangan Malaysia juga diadakan bagi menunjukkan produk dari Malaysia untuk pasaran luar negara. Cara ini akan membolehkan orang ramai menaruh kepercayan dan keyakinan kepada produk kraf tangan tempatan.

Dipetik dan diubahsuaikan daripada Memperkasa Industri Kraf Tangan Negara Fokus Januari 2007 oleh Haji Samat bin Buang. Bahagian A (ii) [10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata dapat meningkatkan? [2 markah]

2. Nyatakan kepentingan industri kraf tangan kepada negara [ 4 markah]

3. Pada pendapat anda, bagaimana kedatangan pelancong dapat memajukan industri Kraf? [ 4 markah]

Latihan 4 Cadangan Jawapan A (i) 1. Industri kraf tangan mula diberi perhatian serius dengan penubuhan

Kraftangan Malaysia 2. membangunkan usahawan kraf, peniaga kraf dan produk berorientasikan pasaran. 3. meminta institusi kewangan memberi bantuan modal kepada pengusahapengusaha yang meghadapi masalah kekurangan modal. 4. mempamerkan dan memasarkan produk daripada industri kraf. 5. kerajaan telah mengadakan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan setiap tahun. 6. industri kraf batik telah digerakkan dengan penubuhan pusat inovasi batik Kelantan. 7. kerajaan membantu para pengusaha meneroka pasaran luar negara. 8. usaha mempromosi kraf tempatan hendaklah dilakukan secara berterusan / dan menepati kumpulan sasar. 9. Jenama khas kraf tangan Malaysia juga diadakan bagi menunjukkan produk dari Malaysia untuk pasaran luar negara.

Cadangan Jawapan A (ii) i) dapat - boleh/berupaya/mampu

meningkatkan - menambah/memajukan/merangsang

ii) - dapat meningkatkan ekonomi negara /sumber ekonomi negara - memajukan sektor pelancongan negara - mewujudkan peluang pekerjaan

iii) - pelancong membeli barangan kraf sebagai cederamata - pelancong akan mempromosikan barangan kraf apabila pulang ke negara asal

Latihan 5 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan buat satu ringkasan tentang langkah-langkah untuk membantu orang kurang upaya. Ringkasan anda hendaklah tidak lebih daripada 80 patah perkataan. Tanggal 3 Disember setiap tahun diisytiharkan sebagai sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat kebangsaan. Pelbagai dasar dan program digubal dan dilaksanakan untuk membolehkan OKU menikmati hidup yang lebih sempurna. Namun terdapat OKU yang masih tidak mendaftarkan diri disebabkan pelbagai faktor seperti ibu bapa berasa malu mendapat anak yang cacat . Keadaan ini bertambah rumit apabila mereka tinggal di kawasan luar bandar menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk berbuat demikian. Dalam hal ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan berusaha memudahkan urusan pendaftaran termasuk menghantar pegawai ke rumah OKU. Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menasihati ibu bapa mendaftarkan anak mereka supaya dapat menikmati kemudahan yang disediakan. Hal Ini termasuklah hak mendapat pendidikan sempurna di Sekolah Pendidikan Khas. Begitu juga, terdapat pelbagai jenis bantuan kewangan yang membolehkan OKU menjalani kehidupan harian. Sebagai contohnya, pekerja cacat akan menerima elaun sebanyak RM200 sebulan. Akta OKU juga akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Keadaan ini disebabkan kurang kesedaraan ibu bapa yang mempunyai anak OKU tentangnya hak-hak anak mereka yang perlu dilindungi. Dalam rancangan Malaysia ke-9, Kerajaan telah menubuhkan banyak pusat pemulihan komuniti kurang upaya. Pusat ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada OKU. Pelbagai program untuk mengintegrasikan OKU dalam masyarakat juga telah dipergiat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal dalam masyarakat. Hal ini berikutan terdapat OKU yang hidup menyendiri disebabkan kekurangan yang ada di dalam diri mereka. Begitu juga Program

Inklusif diwujudkan dengan tujuan mengintegrasikan kanak-kanak kurang upaya dalam arus perdana masyarakat. Malah kerajaan telah memperluas potongan cukai berganda pada tahun 1982 kepada majikan yang mengambil pekerja kurang upaya. Hal ini bertujuan untuk menggalakkan majikan mengambil OKU berkerja dengan mereka. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula telah menyediakan garis panduan bagi pemaju bangunan baru supaya meningkatkan kemudahan untuk OKU.

Baru-baru ini, sistem pengangkutan di negara ini telah bersetuju memberi keistimewaan kepada OKU. Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), syarikat bas Transnasional dan Putra-LRT telah memberi konsesi 50% harga tambang kepada golongan OKU. Pelancaran Skim Takaful Berkelompok OKU pada Februari 2002 menyediakan skim insurans untuk semua OKU yang berdaftar, bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan antara RM4000 hingga RM15000 . . Dipetik dan diubahsuaikan daripada Sumbangan orang kurang upaya kepada negara,Dewan Siswa Haji Samat b. Buang.Ogos 2006

Bahagian A (ii) [10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata menghadapi kesulitan ? (2 markah)

2. Mengapakah ibu bapa enggan mendaftarkan anak OKU mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( 4 markah )

3. Pada pendapat anda, apakah sebab-sebab golongan kurang upaya perlu dibantu oleh pihak kerajaan. ( 4 markah )

Latihan 5 Cadangan Jawapan A (i) 1. memudahkan urusan pendaftaran termasuk menghantar pegawai ke rumah OKU. 2. mendapat pendidikan sempurna di Sekolah Pendidikan Khas 3. bantuan kewangan yang bagi membolehkan OKU menjalani kehidupan harian. 4. Akta OKU juga akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri 5. Kerajaan telah menubuhkan banyak pusat pemulihan komuniti kurang upaya. 6. program untuk mengintegrasikan OKU dalam masyarakat juga telah dipergiat 7. Program Inklusif diwujudkan dengan tujuan mengintegrasikan kanak-kanak kurang upaya dalam arus perdana masyarakat 8. Malah kerajaan telah memperluas potongan cukai berganda pada tahun 1982 kepada majikan yang mengambil pekerja kurang upaya. 9. memberi konsesi 50% harga tambang kepada golongan OKU. 10. skim insurans untuk semua OKU yang berdaftar, bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan antara RM4000 hingga RM15000

Cadangan Jawapan A (ii) 1. menghadapi - melalui/menempuhi/ kesulitan - kesukaran/kepayahan

2. - ibu bapa berasa malu mendapat anak yang cacat - mereka tinggal di kawasan luar bandar - kurang kesedaraan ibu bapa yang mempunyai anak OKU tentangnya hak-hak anak mereka yang perlu dilindungi.

3. - tidak semua golongan kurang upaya terdiri daripada orang yang kaya - supaya golongan OKU tidak berasa mereka dipinggirkan oleh pihak kerajaan. - supaya golongan OKU boleh berdikari dalam anggota masyarakat.

Latihan 6 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan Hutan Hujan Tropika di Malaysia. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal. Hutan hujan tropika adalah satu khazanah berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di manamana kita tinggal. Hutan hujan tropika meliputi hanya 12% daripada jumlah kawasan dunia. Kawasan ini

penting sebagai habitat semula jadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan yang memakan buah-buahan, bijian, putik bunga, pucuk daun dan bahagian pokok lain. Hutan ialah tempat perlindungan semula jadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan. Mereka dapat menyara hidup melalui sumber hutan sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kegiatan seharian mereka amat bergantung kepada hutan. Mereka memburu bukan sahaja untuk mendapatkan sumber makanan tetapi untuk mendapatkan pakaian dan tempat perlindungan. Selain itu, hutan ialah sumber pendapatan seharian mereka dengan cara menjual hasil seperti herba, damar, sarang burung dan keladi Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai. Dengan itu, hutan dapat memastikan bahawa bekalan air di negara kita tidak terputus sepanjang tahun, malah hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semula jadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. Secara tidak langsung, pokok-pokok ini berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya. Kesemua ini dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat. Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi dan hampir 70% daripada penawaran oksigen dunia datangnya daripada hutan hujan tropika. Semasa tumbuhan menjalankan proses fotosintesis , karbon dioksida akan diserap dan gas oksigen akan dihasilkan. Hal ini dapat mengimbangi keperluan gas pernafasan oleh tumbuhan dan haiwan malah manusia juga. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada http://kpukmweb.ukm.my)

Bahagian A (ii) [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkaian kata khazanah berharga seperti yang terdapat dalam petikan. (2 markah)

2. Nyatakan kebaikan yang akan diterima manusia dengan adanya hutan sebagai penutup bumi ? (4 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membendung masalah kemusnahan kawasan hutan ? (4 markah)

Latihan 6 Cadangan Jawapan A (i) 1. 1. Kawasan ini penting sebagai habitat semula jadi kepada hampir 50% hingga 2. 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga 3. 2. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada 4. haiwan 5. 3. Hutan adalah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di 6. kawasan pedalaman hutan 7. 4. Hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka dengan cara menjual hasil 8. hutan. 9. 5. Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air sebelum menyalurkannya ke 10. sungai-sungai. 11. 6. Hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semula jadi serta melindungi tanah12. tanih daripada hakisan air dan angin. 13. 7. Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi. 14. 8. Hutan dapat mengimbangi keperluan gas pernafasan oleh tumbuhan dan 15. haiwan malah manusia juga.

Cadangan Jawapan A (ii) 1. Maksud khazanah berharga ialah

Khazanah

Harta barang

berharga

bernilai

2. 2. - dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari - mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat.

3. 3. - menguatkuasakan akta perhutanan untuk membendung pembalakan - haram. -mewartakan kawasan hutan simpan kekal. - - menjadikan kawasan hutan sebagai tempat rekreasi seperti Taman Negara. - - mengadakan kempen cintai alam semula jadi untuk memberikan kesedaran - kepada masyarakat tentang pentingnya hutan kepada manusia.

( Jawapan-jawapan lain yang bersesuaian diterima )

Latihan 7 Bahagian A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan pencemaran udara kepada manusia dan alam sekitar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal. Pencemaran udara dikaitkan dengan bahan-bahan sintetik dan kotoran berbahaya yang meresap ke dalam udara. Kesan utama pencemaran udara ialah terhadap kesihatan manusia yang menghidap pelbagai penyakit, khususnya penyakit berkaitan pernafasan akibat menghidu udara yang tercemar. Manusia memerlukan udara bersih untuk hidup. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasan akan menyerap pelbagai bahan pencemar ke dalam paru-paru. Hal ini boleh menyebabkan implikasi kronik terhadap sistem pernafasan manusia, terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan. Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Udara yang mengandungi bahan pencemar akan mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Hal ini mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokokpokok dan tumbuhan. Implikasinya tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluarannya akan terancam. Selain itu, pencemaran udara juga akan memberikan kesan kepada iklim global dan setempat. Pelbagai bahan kimia buangan seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida akan larut dengan wap air, seterusnya akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini akan mengalir dan meresap ke dalam tanah seterusnya memusnahkan galian dalam tanah menyebabkannya menjadi tidak subur. Kehadiran bahanbahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang akan memberikan kesan menyeluruh kepada bumi. Tidak ketinggalan, pencemaran udara juga akan merosakkan bangunan-bangunan. Bangunan-bangunan, khususnya yang diperbuat daripada batu kapur boleh mengalami keretakan dan roboh. Hal ini kerana bahan-bahan pencemar yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya akan melekat dan bertindak balas ke atas batu dan meretakkan bangunan. Bangunan-bangunan akan rapuh, terurai, lemah, pudar dan kotor. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk membaiki dan memulihkannya. Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita akibat ampaian bahanbahan pencemar seperti CFC (kloroflora karbon). CFC juga dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor. Hal ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon

sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Keadaan ini mengakibatkan kandungan karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat. Kesimpulannya, memandangkan pencemaran udara ini memberi kesan menyeluruh kepada umat manusia, maka langkah-langkah menyeluruh perlu diambil. Undang-undang yang lebih ketat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu ditingkatkan. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan. ( Dipetik dan diubahsuaikan daripada http://mazlan66.wordpress.com )

Bahagian A (ii) [10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata implikasi kronik? (2 markah)

2. Nyatakan beberapa langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah pencemaran udara ? (4 markah)

3. Pada pendapat anda, mengapakah masih ada lagi pihak yang melakukan pencemaran udara seperti pembakaran terbuka? (4 markah)

Latihan 7 Cadangan Jawapan A (i) 1. Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia yang menghidap pelbagai penyakit, khususnya penyakit berkaitan pernafasan

2. Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman dalam proses fotosintesis dan tumbesaran 3. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluarannya akan terancam. 4. Pencemaran udara juga akan memberikan kesan kepada iklim global dan setempat. 5. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang akan memberikan kesan menyeluruh kepada bumi. 6. Pencemaran udara juga akan merosakkan bangunan-bangunan. 7. Pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita akibat ampaian bahan-bahan pencemar. 8. CFC juga dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor.

Cadangan Jawapan A (ii) 1. Maksud implikasi kronik ialah

implikasi

kesan akibat padah mudarat

kronik

teruk parah

2. Langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah pencemaran udara : - undang-undang yang lebih ketat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu - ditambah. - satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan.

3. - mengambil jalan yang mudah dan murah untuk membersihkan sesuatu kawasan. - mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku - tidak mengetahui kesan buruk yang bakal berlaku akibat pembakaran terbuka. - kurangnya penguatkuasaan undang-undang terhapat orang yang melakukan pembakaran terbuka. ( Jawapan-jawapan lain yang bersesuaian diterima )

Anda mungkin juga menyukai