Anda di halaman 1dari 9

KEPENTINGAN KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING Bimbingan atau guidance dalam bahasa Inggeris membawa maksud panduan atau nasihat

kepada seseorang. Mengikut Crow dan Crow (1983), bimbingan dalam konteks pendidikan alah bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada pelajar yang berkenaan. Murid-murid yang memerlukan khidmat bimbingan ialah murid yang menhadapi masalah peribadi dari segi intelek, rohani, emosi ataupun sosial. Manakala, kaunseling mengikut Kamus Dewan pula membawa maksud proses teratur yang melibatkan perbincangan rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat. Mengikut Shertzer dan Stone (1968) , kaunseling ditakrifkan sebagai proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Arbuckle (1965) pula mengatakan bahawa kaunseling bukan bertujuan menolong klien menyesuaikan diri dengan alam sosial, tetapi menolongnya memahami kelebihan dan kelemahannya, potensi dan keupayaannya. Patterson dan Eisenberg (1983) pula mendefinisikan kaunseling sebagai proses pertemuan secara bersemuka di antara seorang kaunselor dengan kliennya yang membawa perubahan klien pada akhirnya. Kemahiran asas kaunseling merupakan kemahiran yang sangat penting dalam proses kaunseling individu. Guru yang mempunyai kemahiran asas kaunseling mempunyai banyak kelebihan dalam menangani murid-murid yang bermasalah di sekolah. Terdapat banyak kemahiran asas kaunseling. Antaranya ialah kemahiran melayan dan mendengar, kemahiran mengintepritasi tingkah laku bukan lisan, kemahiran memberi tindak balas, kemahiran mengenalpasti masalah, kemahiran melaksanakan intervensi, kemahiran prasesi, kemahiran membina hubungan, kemahiran memberi perhatian, refleksi, parafrasa, kemahiran menyoal, kemahiran pendedahan kendiri, kemahiran menyemak persepsi, kemahiran menghadapi kesenyapan, kemahiran konfrontasi, kemahiran meminta penjelasan, kemahiran membuat interpretasi dan kemahiran merumus.

Guru yang mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas kaunseling dapat meningkatkan tahap profesion sebagai guru dan meningkatkan keyakinan murid terhadap guru. Antara kepentingan kemahiran asas kaunseling ialah supaya murid berasa selesa dengan guru. Hal ini kerana sebagai seorang guru, mereka perlu menguasai kemahiran membina hubungan. Contohnya, dalam satu sesi kaunseling individu, guru perlu mengadakan satu sesi perkenalan bagi membina hubungan dengan murid berkenaan. Guru berkenaan tidak harus terus memberi bimbingan tanpa mengenali dan dikenali oleh muridnya. Apabila guru berjaya membina hubungan yang baik dengan murid-murid, secara automatik, guru dapat diterima dalam kelompok mereka dan seterusnya menyemai keselesaan dan akhirnya proses bimbingan dan kaunseling dapat berjalan dengan lancar. Ini sesuai dengan Teori Realiti Wiliam Glasser. Menurut beliau, bahasa aktif menyatakan tingkah laku yang digunakan oleh orang apabila mereka berusaha mengawal alam sekitar untuk memenuhi keperluan mereka. Terdapat lima keperluan asas manusia mengikut Glasser iaitu keperluan hidup dan reproduksi, keperluan kasih sayang, berkongsian dan bekerjasama, keperluan kuasa dan status, keperluan kebebasan dan keperluan keseronokan. Objektif tingkah laku manusia adalah berusaha mengawal alam sekitar untuk memenuhi keperluan asas tersebut. Apabila sesuatu keperluan asas dipenuhi, keperluan yang lain pula perlu dipenuhi bagi menjadikan proses kehidupan manusia yang sentiasa berusaha memenuhi keperluan-keperluan yang tiada akhirnya. Oleh itu, murid-murid perlu memenuhi keperluan yang pertama dahulu iaitu keperluan kasih sayang sebelum melangkah ke arah keperluan-keperluan lain seperti mencapai kejayaan dalam peepriksaan. Namun begitu, kemahiran membina hubungan bukan sahaja terhad kepada komunikasi sahaja tetapi turut melibatkan suasana alam sekeliling dan aspek suasana teraputik. Guru perlu menyediakan tempat yang selesa dan bersih bagi sesi perbincangan atau kaunseling. Guru perlu memilih prasarana yang sesuai dan selesa serta keadaan suhu bilik yang sesuai dengan persekitaran dan tempat yang tidak terlalu bising atau menjadi tumpuan orang ramai. Hal ini demikian bagi memastikan murid-murid berasa selesa dan tidak malu untuk berjumpa dengan guru. Ini disokong oleh Sapora et al.(2001) yang mengatakan bahawa suasana yang aman dan tenang tanpa gangguan memudahkan perbincangan tanpa rasa terancam bergantung kepada tiga keadaan iaitu empati, hormat dan berbaik sangka serta jujur dan ikhlas.

Kepentingan kemahiran asas kaunseling yang seterusnya ialah untuk mewujudkan hubungan baik antara guru dan murid-murid. Guru yang berjaya mengaplikasikan kemahiran asas kaunseling seperti kemahiran membina hubungan dan kemahiran melayan serta mendengar dapat menimbulkan keyakinan dan mewujudkan hubungan baik antara guru dan murid-murid. Kemahiran ini penting bagi membolehkan guru bertindak bagi membantu murid menyelesaikan masalah mereka dan merasionalkan tindakan mereka. Kemahiran yang dikuasai oleh guru juga menyebabkan murid-murid berasa selamat dan yakin dengan guru berkenaan untuk meluahkan perasaan dan masalahnya kepada guru. Contohnya, Ali yang mempunyai masalah peribadi enggan bercerita kepada kaunselor sekolah lantaran sikap kaunselor yang tidak mesra pelanggan, sebaliknya mengadu kepada guru mata pelajaran sains kerana sikap guru yang mudah mesra dan rapat dengannya. Hal ini disokong oleh proses kaunseling rasional emotif behavioral yang mengatakan bahawa peringkat pertama proses kaunseling ialah membina hubungan baik antara kaunselor dan klien dengan mendengar secara empatik. Guru yang mempunyai

kemahiran mendengar dan melayan yang baik akan mendengar cerita atau masalah murid-murid dengan perasaan simpati dan empati. Mereka bukan sahaja berasa sedih dengan masalah yang dihadapi oleh muridnya atau kliennya malahan mereka juga turut berkeinginan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi

oleh muridnya. Kemahiran melayan menurut Covey (20001) mengatakan bahawa kemahiran ini melibatkan kontak mata, kualiti vokal, bahasa tanpa lisan, ekspesi muka, dan dorongan minima sangat penting bagi membantu murid agar berasa selesa dan mewujudkan hubungan yang baik dengan guru berkenaan. Ivey dan Ivey (1999) juga mengatakan bahawa kemahiran melayan penting bagi membantu klien meluahkan perasaan cerita terutamanya mereka yang kurang aktif dalam komunikasi. Apabila murid-murid berasa selesa, maka mereka akan terus menceritakan masalah mereka dan seterusnya mewujudkan hubungan yang baik antara guru dan murid dan masalah dapat diselesaikan.Manakala, kemahiran mendengar pula melibatkan tiga bahagian iaitu, mendengar secara fizikal, mendengar secara psikologi dan mendengr dengan perasaan (empati). Murid yang mempunyai masalah bukan sahaja memerlukan seseorang untuk mendengar sahaja tetapi memerlukan seseorang yang menyelami dan merasai perasannya atau masalahnya. Oleh itu, guru yang dapat menyelami perasaan murid dapat

mewujudkan hubungan mesra seterusnya membantu menyelesaikan masalah atau kecelaruan yang berlaku dalam diri murid berkenaan. Selain itu, kemahiran asas ini juga membantu guru menjadi guru yang lebih prihatin dan peka dengan kebajikan anak muridnya. Guru yang prihatin dapat membina hubungan yang baik antara guru dan murid. Apabila hubungan baik ini wujud, murid akan berasa selesa dan akan memberikan kerjasama yang baik kepada guru berkenaan. Secara tidak langsung, sesi pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna dan dapat mencapai objektif pembelajaran yang optimum. Hubungan baik antara guru dan murid dapat dijalinkan dengan mengaplikasikan kemahiran melayan. Kemahiran melayan melibatkan elemen-elemen pergerakan anggota badan seperti kontak mata, kualiti vokal, bahasa tanpa lisan, kemahiran memfokus, ekspresi muka, jarak dan dorongan minima. Contohnya, apabila seseorang murid sedang meluahkan masalahnya kepada guru, guru perlu melakukan kontak mata dengan murid tersebut. Kontak mata disini bukan bermaksud memandang murid tanpa berkelip atau merenungnya sepanjang masa, akan tetapi memandang dan fokus kepada keadaan diri murid dan masalahnya. Guru juga perlu mengelakkan diri mereka memandang jam tangan terlalu kerap atau melihat ke arah lain . Ini menunjukkan seolah-olah guru dalam kesuntukan masa dan tergesa-gesa. Murid akan membuat persepsi bahawa guru tiada masa untuk mendengar masalahnya atau guru tidak peduli dengan dirinya. Contohnya, sewaktu Baihaqi sedang meluahkan masalahnya yang selalu dibuli disekolah, tiba-tiba telefon Cikgu Juwita berbunyi dan cikgu menerima panggilan berkenaan. Kemudian, sesi diteruskan tetapi gurunya meihat kearah jam tangan berkali-kali sehingga mengganggu tumpuannya untuk menceritakan masalah yang dihadapi. Melalui contoh ini, jelas menunjukkan bahawa Baihaqi kurang selesa dengan tindakan gurunya yang tidak memandang tepat kearah matanya dan tidak fokus dengan masalah diri yang dihadapi olehnya. Ini menyebabkan Baihaqi tidak dapat meluahkan segala masalah dan mencari penyelesaian bagi masalah terbabit. Guru yang berjaya mengaplikasikan kemahiran melayan mampu menjadi guru yang baik dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh muridnya. Hal ini kerana, kontak mata yang dilakukan dan ekspresi muka yang bersesuaian menyebabkan murid tidak teragak-agak untuk menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Guru perlu peka dengan nada suara murid sewaktu sesi bimbingan bagi mengenalpasti tahap emosi murid berkenaan. Guru yang berjaya

mengesan emosi murid-murid akan berjaya membawa perbincangan kepada penyelesaian masalah atau kekeliruan yang berlaku. Nada suara yang rendah dan perlahan menunjukkan murid berada dalam keadaan yang sedih. Apabila guru dapat mengenalpasti bahawa murid-murid sedang berada dalam keadaan sedih dan mempunyai masalah, guru mendekati mereka. Justeru, murid ini akan berasa dirinya disayangi atas keprihatinan dan kepekaan guru tersebut mengesan emosinya dan membuatkan murid menceritakan masalah yang dihadapi. Contohnya, sewaktu di dalam kelas Cikgu Suria memerhatikan Sherry yang selalu termenung dan bercakap dengan nada yang perlahan dan lemah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut masalah Sherry, Cikgu Suri cuba berkomunikasi dengannya secara tidak formal dan akhirnya mendapat tahu bahawa Sherry sebenarnya mempunyai masalah. Kepentingan yang seterusnya ialah, guru dapat memberikan penjelasan terhadap masalah murid dan mencari penyelesaiannya supaya masalah murid tidak berterusan dan membelenggu diaplikasikan ialah kemahiran diri mereka. Antara kemahiran yang boleh mengenalpasti masalah. Guru yang berjaya

menggunakan kemahiran mengenalpasti masalah dapat mencari penyelesaian kepada kekeliruan dan permasalahan yang dihadapi oleh anak muridnya. Kemahiran mengenalpasti masalah melibatkan interpretasi dan pemikiran reflektif. Interpretasi di dalam konteks kaunseling bermaksud membina fakta atau perasaan tentang klien atau murid berdasarkan komunikasi atau dengan erti kata mudah penjelasan atau tafsiran. Contohnya, seorang murid mengadu kepada gurunya mengenai abang dan kakaknya yang tidak menyayanginya serta tidak meluangkan masa bersama seperti dahulu. Begitu juga dengan ibubapanya yang tidak menyayanginya dan pulang lewat malam. Jadi, guru membuat pernyataan dan memberikan makna bahawa murid tersebut kekurangan kasih sayang dan tidak mendapat perhatian secukupnya daripada keluarganya. Daripada kemahiran tersebut, guru dapat mengenal pasti masalah murid yang sebenarnya dan mencari rational penyelesaian bagi masalah tersebut. Begitu juga dengan pemikiran reflektif. Guru perlu menguasai pemikiran reflektif kerana ia penting bagi guru untuk menghubungkaitkan permasalahan atau isu sekarang dengan pengalaman lalu. Sebagai contohnya, setelah mengetahui bahawa murid tersebut kekurangan kasih sayang, guru mengaitkan tingkah laku murid yang bermasalah tadi dengan masalah yang dihadapi oleh murid berkenaan. Misalnya murid sering menyampuk ketika guru bercakap dan selalu kehadapan dan

selalu ingin menjadi ketua untuk mendapatkan perhatian guru kerana kekurangan kasih sayang keluarganya. Kemahiran konfrontasi juga perlu digunakan untuk

memberi penjelasan mengenai masalah yang dihadapi oleh murid. Ini bagi mengelakkan murid daripada tersalah anggap dan lebih jelas dengan permasalahan yang dihadapi olehnya. Namun kemahiran ini perlu dilakukan dengan berhati bagi mengelakkan hubungan yang dibina terjejas dan mengguris hati anak muridnya. Pengetahuan kemahiran asas kaunseling dan pengaplikasian kemahiran ini dapat mengelakkan tanggapan negatif guru, murid serta warga sekolah terhadap murid-murid yang bermasalah. Rationalnya, murid-murid yang bermasalah ini cenderung untuk menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini dan memberontak untuk menarik perhatian daripada guru-guru dan rakan-rakan mereka. Jika guru tidak menghiraukan perlakuan mereka, dan terus membuat persepsi negatif terhadap murid-murid yang bermasalah ini, masalah akan menjadi semakin buruk dan murid tersebut mungkin akan terus-menerus mendapat persepsi negatif daripada orang ramai. Oleh itu, bagi mengelakkan tindakan-tindakan bermasalah oleh murid-murid sebegini, guru perlu mengaplikasikan kemahiran menyoal untuk mencungkil masalah murid dan menolong mereka untuk berubah dan menjadi seseorang yang lebih baik dan mempunyai hala tuju hidup. Guru boleh menggunakan dua teknik menyoal yang disarankan iaitu soalan tertutup dan soalan terbuka. Pada awal sesi, guru boleh menyoal murid dengan menggunakan teknik soalan tertutup. Ini bagi membuka ruang perhubungan dan komunikasi antara guru dan murid agar murid berasa selesa dengan guru. Contoh soalan yang boleh dikemukakan pada awal sesi adalah mengenai hal-hal peribadi seperti nama, tarikh lahir, hobi, tempat tinggal dan sebagainya. Ini bagi mewujudkan kemesraan dan mengelakkan ketegangan berlaku. Kemahiran ini juga membolehkan murid berasa diterima dan menganggap tidak semua warga sekolah memandang serong terhadapnya lantaran perilaku yang bermasalah sebelum ini. Teknik soalan terbuka pula dikemukakan untuk

mendapatkan gambaran dan maklumat lanjutan mengenai masalah yang dihadapi oleh murid berkenaan. Pertanyaan yang dikemukakan oleh guru membuatkan murid berasa dihargai dan merasakan masih ada lagi individu yang prihatin dan sayang kepadanya. Justeru itu, persepsi murid yang bermasalah ini mula berubah kearah pisitif dan cuba berubah menjadi lebih baik. Contohnya, Ihsan yang selalu ponteng kelas berjumpa dengan Cikgu Alia untuk menceritakan masalah peribadinya. Ihsan

pada awalnya berasa kekok dan segan kerana semua orang memandang serong terhadapnya kerana sikapnya yang selalu ponteng kelas. Namun, persepsinya mula berubah apabila dia mendapat layanan dan perhatian yang sama seperti murid lain bahkan lebih mesra daripada Cikgu Alia dan dia merasakan dirinya disayangi. Oleh itu, dia berasa terbuka untuk menceritakan masalah peribadi yang dihadapi olehnya kepada gurunya tadi. Justeru itu, tindakan guru tadi membuka pintu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Ihsan. Di samping itu, guru yang menguasai kemahiran asas kaunseling dapat menggalakkan murid-murid bercakap dan seterusnya mewujudkan komunikasi dua hala. Ini menjadikan proses kaunseling dapat berjalan dengan lancar serta mengelakkan kesenyapan berpanjangan. Misalnya, kemahiran memberi tindak balas (intervensi) yang dikuasi oleh guru menggalakkan murid untuk terus bercerita tanpa berselindung dan menunjukkan seolah-olah gurunya mempunyai masa untuk mendengar segala luahan masalah dan mendapat perhatian yang sewajarnya serta rasa dihargai oleh guru tersebut. Contonhnya, Suzana menceritakan masalah

ibunya yang pilih kasih antara dirinya dan adiknya. Maka, guru menggunakan dorongan minima seperti penggunaan perkataan ya, teruskan, oh bagi mendorong Suzana untuk bercerita dengan lebih lanjut dan mengelakkan rasa kekok serta tidak selesa. Ini seterusnya dapat mewujudkan komunikasi antara guru dan murid dan mengelakkan murid daripada senyap dan segan untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Kekurangan guru dalam menguasai kemahiran ini menyebabkan murid berasa kekok dan enggan bercerita dengan lebih lanjut dan seterusnya menyebabkan komunikasi terhenti. Apabila hal ini berlaku, masalah tidak dapat dikenalpasti dan penyelesaian masalah tidak dapat dicapai. Kegagalan mencapai penyelesaian masalah atau meluahkan masalah kepada guru

menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan menjurus kearah tingkah laku yang tidak normal seperti kemurungan, kesedihan dan yang paling ditakuti oleh ibubapa dan guru ialah terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti pengambilan pil tidur atau dadah dan lari daripada rumah.

Kemahiran asas kaunseling yang dikuasai oleh guru juga membolehkan permasalahan murid dapat dibantu. Murid-murid yang datang kepada guru membawa seribu satu masalah dengan harapan agar guru dapat mendengar dan memberikan respons atau penyelesaian atau setidak-tidaknya mampu untuk menenangkan murid berkenaan. Namun begitu, penyelesaian masalah tidak akan dicapai sekiranya guru tidak mempunyai kemahiran mendengar dan kemahiran memberi perhatian. Ketidapekaan guru terhadap murid menyebabkan murid berasa tidak diterima, tidak disenangi dan seterusnya masalah murid tidak dapat diceritakan dan diselesaikan. Rogers (1951) yang mengatakan bahawa tanpa perhatian, mendengar sahaja tidak akan membawa kefahaman, maka komunikasi tidak akan wujud.Pengaplikasian kemahiran memberi perhatian seperti postur badan, gerak isyarat , kontak mata serta mada suara sangat memainkan peranan dan mempengaruhi emosi murid-murid terutamanya murid-murid yang bermasalah. Ini disokong oleh Argyle (1983) yang menyatakan bahawa nada suara lebih membongkar maklumat daripada air muka kerana emosi yang kuat biasanya ditunjukkan melalui nada suara yang tinggi-rendahnya. Contohnya, apabila Ahmad datang berjumpa Cikgu Sarimah dan bercakap dengan nada suara yang rendah dan perlahan dan daripada riak air mukanya, Cikgu Sarimah dapat mengetahui bahawa Ahmad berada dalam keadaan sedih. Bagi mencungkil masalah yang dihadapi oleh Ahmad juga, Cikgu Sarimah perlu menguasai kemahiran mendengar dan kemahiran menyoal. Ini penting bagi mengelakkan situasi dimana Ahmad berasa didesak atau tertekan dengan pertanyaan yang kurang sesuai oleh guru serta menyentuh sensitiviti. Guru berkenaan juga perlu mendengar dengan simpati dan empati serta meletakkan dirinya di dalam situasi atau keadaan murid tersebut. Ini bagi menggalakkan murid untuk terus bercerita tentang masalahnya tanpa ragu-ragu dan mewujudkan rasa percaya murid kepada guru.

Sebagai kesimpulannya, guru yang mempunyai kemahiran asas kaunseling mempunyai banyak kelebihan dalam menjalankan dan menjayakan proses bimbingan atau kaunseling. Hal ini berikutan kerana, ilmu dan kemahiran yang terdapat pada guru berkenaan mampu membawa murid kearah penyelesaian masalah dan membuka ruang dan pintu persoalan serta menjurus kepada pembentukan sahsiah dan diri murid yang lebih baik. Secara umumnya, dapat dirumuskan disini bahawa seseorang yang bergelar guru perlu mempunyai ciri-ciri atau kemahiran asas kaunseling. Dengan kemahiran tersebut, guru mampu membimbing dan mendidik murid-murid bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan dalam kehidupan sosial mereka. Bahkan guru juga boleh mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas kaunseling ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ini bagi membolehkan guru mengesan dengan lebih awal dan menangani masalah-masalah yang berlaku kepada murid-murid. Hal ini demikian, dapat mengurangkan gejalan masalah disiplin dalam kalangan muridmurid terutama murid sekolah rendah.