Anda di halaman 1dari 9

Duhai Saudaraku,

“Utamakanlah KeredhaanNya”

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t., lantaran kekerdilan diri yang sedia ada, masih
diberi kekuatan olehNya untuk tampil lagi memberi peringatan buat renungan dalam melalui
perjalanan yang pastinya terbentang dengan ranjau dan duri. Sebelum pena ini terus mencoret,
keampunan dipohonkan ke hadrat Allah s.w.t. seandainya melewati batasanNya.

Saudaraku yang dihormati,


Didoakan semoga saudara sentiasa berada dalam keimanan dan ketakwaan yang tinggi
terhadap Allah s.w.t. Sama-sama kita insafi, betapa asal kejadian kiat hanyalah daripada setitis air
mani yang jijik dan hina. Namun, sesungguhnya manusialah yang paling mulia di sisiNya, dengan
nilaian iman dan takwa yang kukuh dan kental. Akan tetapi, manusia juga pasti jatuh darjatnya lebih
hina daripada haiwan, akibat nafsu yang berjaya menguasai diri. Sebagaimana yang telah dijelaskan
oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan daripada jin dan
manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat
Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-
tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya
untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Terjemahan Al-A’raaf:179)

Saudaraku yang diingati,


Pembentukan peribadi adalah langkah pertama dalam menuju matlamat menjadi muslim yang
hakiki. Perhiasan diri dengan akhlak yang terpuji merupakan pancaran ilmu dan iman seseorang yang
terserlah daripada hati. Lantaran itulah, Rasulullah s.a.w. hadir ke dunia untuk memperindahkan
akhlak manusia dan menjadikan diri baginda sebagai ikutan. Benarlah sebagaimana sabda baginda
yang bermaksud:
“Sesungguhnya adalah aku diutuskan untuk menyempurnakan akidah.”
Namun begitu saudara, amat malang. Apa yang nyata kini kitalah makhluk yang paling
mendustakan nikmat yang Allah kurniakan. Akal yang diberikan oleh Allah s.w.t. menjadi lemah,
seolah-olah tidak mampu berfungsi apabila berhadapan dengan nafsu yang menggila. Keseronokan
dan keindahan dunia benar-benar mencengkam kita tanpa mampu menilai kebaikan yang hakiki.
Keyakinan pada Hari Pembalasan dan pertemuan dengan Rabbul Jalil juga semakin pudar, semakin
malap tanpa dihinggapi sebarang penyesalan lantaran semakin keras dan hitamnya hati. Semakin
hari, semakin lalailah hati, matilah jiwa… terus terhanyut diperkotak-katik oleh syaitan durhana.
Justeru saudaraku, kembalilah merenungi hakikat kewujudan diri. Pujuklah hati dengan
keindahan Islam dan lembutkanlah ia dengan kelazatan ibadah. Semoga hati-hati kita akan bersinar
dengan sinaran iman dan tenang dengan kelazatannya. Semoga hati-hati ini akan kembali
menggeruni kebesaran Allah s.w.t. dan bergetar sebaik sahaja dialunkan ayat-ayat Allah s.w.t.,
sebagaimana yang telah digambarkan oleh Allah s.w.t. dal firmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama
Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya,
bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”
(Terjemahan Al-Anfaal:2)

Saudaraku yang dikasihi,


Hayati dan renungi kembali kisah generasi-generasi terdahulu, sebagaimana yang terukir dalam
lipatan sejarah, betapa kekentalan iman menyelubungi diri mereka hingga menjadikan mereka
pahlawan nan gagah perkasa pada siang hari demi menegakkan risalah Ilahi serta hamba yang
sentiasa menangis di hadapan khaliqnya tatkala malam hari.
Pohonlah bantuan daripada Allah s.w.t., semoga Allah membantu kita dalam mujahadah dan
menetapkan kita dalam istiqamah.
Duhai Saudaraku,

“Dunia Ini Hanya Tempat Persinggahan…..”

Saudara se-Islam yang kuhormati dan muliakan,

Assalamualaikum warahmatullah,

“Ingatlah, sesungguhnya dunia ini adalah tempat sementara sahaja dan akhirat jualah tempat
yang kekal.” Begitulah kata nasihat oleh orang ramai khatib tatkala membaca khutbah hari Jumaat.
Walau bagaimanapun, malang sekali, apa yang zahir pada ramai umat Islam sekarang adalah
bertentangan sekali dengan semangat kenyataan ini. Dunia ini diibaratkan seolah-olah kampung
halaman yang kekal. Secara tidak langsung, menjadikan diri sendiri sebagai hamba untuk meraih
kekayaan sebanyak-banyak.
Menurut Islam, dunia ini sebagai tempat persinggahan yang sementara yang bererti bahawa
manusia itu seolah-olah sedang mengembara ke arah suatu destinasi yang jauh. Dalam perjalanan
itu, dia singgah berhenti untuk mengambil segala keperluan bagi meneruskan perjalanannya.
Tempat persinggahan yang singkat itu sebenarnya merupakan satu medan yang dipenuhi
dengan pelbagai cubaan. Akibatnya, terbentuklah beberapa puak di kalangan pengembara tadi. Ada
sebahagian yang leka dan lupa asal tujuan mereka singgah. Ada juga sebahagian yang lain tidak lupa
pedomannya dan menetapkan hati menempuh kehidupan di tempat persinggahan yang mencabar ini.

Saudara yang dikasihi,


Kisah-kisah golongan pengembara ini banyak diceritakan dalam al-Quran. Ada golongan yang
hidup intik dunia sahaja. Mereka berpegang kepada kefahaman kebendaan, baik dari segi akidah
mahupun dari sudut kehidupan sehari-harian.
Golongan yang kedua merupakan golongan yang terkeliru antara dunia dan akhirat. Ramai umat
Islam terjerumus dalam golongan ini. Akidah mereka sentiasa bergelora dan berubah-ubah dalam
menjalani kehidupan dunia. Mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan perkara yang baik,
tetapi sebenarnya bercanggah daripada hukum syarak. Pada hakikatnya, golongan ini masih lagi
bersifat kebendaan walaupun pada zahirnya mereka masih melakukan ibadat-ibadat rohani.
Golongan yang ketiga ialah golongan yang menganggap dunia ini sebagai ladang akhirat. Inilah
golongan orang-orang mukmin yang tahu hakikat hidup ini. Mereka memahami bahawa dari satu segi
mereka digalakkan berusaha, bekerja, mencari segala perbendaharaan yang terdapat di bumi ini
untuk kemajuan manusia. Tetapi dari segi yang lain, mereka menjadikan dunia ini matlamat akhir
sehingga lalai dengan segala urusan dunia.

Saudara yang mulia,


Ada manusia yang singgah di dunia ini selama sehari, ada yang sebulan, setahun dan ada yang
menjangkau seratus tahun. Semuanya bergantung pada usia yang telah ditetapka oleh Allah. Tetapi
yang pasti, mereka tetap akan menemui maut, sama ada cepat atau lambat.
Kebanyakan manusia masa kini hidup selama lebih kurang 60 tahun. Jika dibandingkan usia ini
dengan perjalanan seterusnya, ternyata ia bagaikan kilat di langit sahaja. Ini telah dinyatakan oleh
Nabi Nuh a.s apabila apabila malaikat maut dating untuk mengambil nyawanya. Sekalipun Nabi Nuh
hidup selama seribu tahun, namun pada waktu malaikat maut bertanya kepadanya baginda
merasakan singkatnya kehidupan.
“Wahai nabi yang terlalu panjang umur! Bagaimana dapat kamu rasakan dengan umur kamu
yang panjang itu?”
Nabi Nuh menjawab, “Seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu depan dan pintu belakang.
Aku masuk ke dalamnya melalui pintu hadapan dan keluar melalui pintu belakang!”

Di sini dapat dibayangkan bahawa waktu persinggahan atau jarak antara hidup dan mati itu
merupakan satu jarak yang dekat. Setiap saat pada masa hidup ini adalah penting. Ia perlu
dimanfaatkan dan diisikan dengan kerja-kerja yang mendatangkan kebaikan. Kerana ini sajalah masa
untuk mencari bekalan yang akan menjadi bukti bagi amalan yang akan membela kita pada hari
akhirat kelak.
Demikianlah, sedikit nasihat yang kutujukan kepada diriku dan juga diri saudara sekalian.
Semoga tulisan ini memberi kebaikan kepada kita semua.
Duhai Saudaraku…

“Hargailah Pemberian Orang”

Assalamualaikum warahmatullah,

Saudaraku yang dikasihi dan dihormati,


Semoga setiap detik yang saudara tempuhi, saudara dilimpahi oleh Allah s.w.t. dengan nur
keimanan. Semoga hati kita terus hidup untuk mensyukuri setiap nikmat Allah yang dikurniakan-Nya
kepada kita.

Saudaraku,
Hubungan kita dengan Allah menuntut kita sentiasa bersyukur ke atas nikmat-Nya yang tidak
terhitung itu. Di samping itu saudaraku, kesempurnaan juga bergantung kepada hubungan kita
sesama manusia. Hubungan sesama manusia ini juga merangkumi konsep memberi dan menerima
sesama kita. Pepatah Melayu berbunyi ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.
Dari itu, kita berkewajipan menerima pemberian orang lain dan menghargainya dengan penuh ikhlas
dan syukur walaupun ia mungkin hanya sebesar biji sawi.
Setiap pemberian hendaklah kita terima dengan muka yang manis dan gembira walaupun
mungkin kita tidak memerlukannya. Wajah yang manis itu sebenarnya membayangkan bahawa kita
benar-benar ikhlas dan menghargai pemberiannya. Kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan. Bukankah
Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan kita saling bertukar-tukar hadiah untuk mengeratkan lagi
hubungan silaturrahim? Apabila pemberian sudah digalakkan sudah tentulah penerimaannya lebih-
lebih lagi digalakkan.
Saudaraku, janganlah kita lupa beberapa adab yang sepatutnya menghiasi tingkah laku kita
ketika menerima pemberian sesuatu daripada seseorang. Berilah perhatian kepada pemberi yang
mungkin sedang menceritakan tentang barangnya. Berusahalah menyatakan kesukaan kita terhadap
barang tersebut dan bertanyalah lebih lanjut tentangnya. “Oh, terima kasih”, “subhanallah, cantiknya”
mungkin menjadi kalimah-kalimah yang sesuai diucapkan.

Saudara yang dihormati,


Berusahalah untuk menghargai pemberian orang sama ada orang itu rapat atau tidak dengan
kita. Kadangkala kita mungkin mampu untuk menunjukkan penghargaan kita kepada orang lain tetapi
kita sering gagal untuk berterima kasih dengan pemberian orang yang rapat denagn kita. Duhai
saudaraku, amalkanlah ucapan berterima kasih walau kepada sesiapa sahaja. Terkadang ucapan
ringkas itu boleh mengeratkan lagi hubungan ukhuwah yang sedia ada. Kita boleh melihat rentetan
peristiwa harian, adanya suami yang berkecil hati dengan sikap isterinya yang tidak berterima kasih
dengan pemberiannya. Kita juga melihat hubungan persahabatan yang renggang kerana tidak adanya
sikap saling berterima kasih sesama sahabat. Alangkah sedihnya.
Sedarilah setiap manusia mempunyai perasaan. Justeru, ia amat mudah berkecil hati seandainya
pemberiannya tidak dihargai. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hati orang-orang di sekeliling
kita.

Saudara yang disayangi,


Menghargai pemberian orang lain bermakna kita menghargai dan mensyukuri nikmat Allah yang
kita terima itu. Sedarilah setiap nikmat itu datangnya dari Allah s.w.t. dan orang yang memberi itu
hanyalah perantaraannya. Sesungguhnya sahabatku, kita tidak mahu menjadi orang yang
digolongkan oleh Allah di kalangan orang-orang yang rugi kerana diberikan mata tetapi tidak
digunakan untuk melihat nikmat Allah. Dianugerahkan telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar
nikmat Allah dan dianugerahkan juga hati tetapi tidak digunakan untuk mensyukuri nikmat-nikmat
Allah.

Saudaraku sekalian,
Marilah kita sama-sama menasihati diri kita agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang
diterima. Terimalah apa sahaja yang diberikan kepada kita dengan hati yang puas dan ikhlas. Itulah
tanda orang yang beriman.
Wallahua’lam.
Duhai Saudaraku…

Jauhilah Daripada Mencari-cari Keburukan Orang Lain…

Manusia mudah melihat kesalahan orang lain tetapi gagal menilai dirinya sendiri

Saudaraku,
Kudoakan semoga kita bersama sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. untuk tetap di
atas jalanNya. Juga terpelihara daripada sebarang ajakan syaitan yang sentiasa mencari teman-
teman untuk bersamanya di Hari Pembalasan kelak.

Saudara yang kusayangi,


Sebagai manusia, kita tidak dapat hidup menyendiri kerana fitrah kejadian manusia itu menuntut
kehidupan bersama. Lantaran itu, hubungan kita dengan orang lain hendaklah dibajai dengan
keikhlasan agar ia terhindar daripada sebarang kecacatan.
Satu perkara yang perlu kita lakukan bagi menjaga hubungan baik ialah menjauhkan diri
daripada sifat suka mencari-cari keburukan orang lain. Sesungguhnya saudaraku, manusia amat
mudah tertipu dengan ajakan syaitan, sehingga ia mudah melihat keburukan orang tetapi gagal
melihat kelemahan diri sendiri. Dari itu, kawallah diri, ikhlaskanlah hati dan jiwa dalam menilai orang
lain agar kita sentiasa terpelihara dari sikap suka mencari-cari keburukan orang lain.
Allah s.w.t. melarang kita dari mempunyai buruk sangka terhdap saudara-saudara yang lain:
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari
kesalahan orang lain…” (Terjemahan Al-Hujurat:12)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Hai golongan orang-orang yang beriman hanya dengan lisannya tetapi belum lagi beriman
dengan hatinya, janganlah kamu semua mengumpat orang-orang Islam dan janganlah pula
meneliti cela-cela mereka. Sebab barangsiapa yang meneliti cela saudaranya, maka Allah
akan meneliti celanya dan barang siapa yang diteliti celanya oleh Allah, maka Allah akan
menampakkannya sekalipun ia berada didalam rumahnya.” (Maksud hadis riwayat Ibnu
Abiddunya dan Abu Dawud).
Begitulah wahai saudaraku, Allah dan rasulnya meletakkan perbuatan mencari keburukan orang
lain itu sebagai satu perbuatan dosa yang mesti dijauhi. Kita dilarang untuk mencari keburukan orang
lain, lebih-lebih lagi niat untuk bermegah-megah dengan diri sendiri.
Orang yang suka meneliti keburukan orang lain akan sentiasa merasakan kelebihan diri sendiri.
Dalam keadaan demikian syaitan akan memainkan peranannya lalu hati kita merasa ujub dan riya”.

Saudaraku,
Ada pula di antara kita yang apabila melihat keburukan seseorang menceritakan keburukan
tersebut kepada sahabatnya yang lain.
Allah s.w.t. amat benci perbuatan tersebut. Kepada mereka Allah s.w.t. mengingatkan:
“..Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah
seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah
kamu akan merasa jijik kepadanya…” (Terjemahan Al-Hujurat:12)
Perbuatan mengumpat adalah satu perbuatan yang sangat keji di sisi Allah s.w.t.

Saudara yang kukasihi,


Ubat yang paling mujarab untuk mengatasi sifat cela ini ialah dengan selalu membuat penelitian
ke atas diri sendiri sebelum kita melihat kesalahan dan kekurangan orang lain. Janganlah kita biarkan
diri kita merasakan yang kita ini lebih sempurna daripada mereka.
Sekiranya sahabat kita membuat kesalahan, nasihatilah mereka dengan ikhlas, tidak dengan niat
untuk mendedahkan kelemahan sahabat tadi kepada orang lain. Ingatlah, sebagai manusia kita juga
tidak tersembunyi dari melakukan kesalahan.

Saudaraku,
Apabila terlintas sahaja niat buruk di hati kita tentang orang lain, hendaklah kita bersungguh-
sungguh mengikiskannya. Benarlah ingatan Ibnu Abbas r.a. yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali dalam
bukunya Bimbingan Mukmin: “Jika engkau hendak menyebut-nyebut cela orang lain, maka cubalah
dulu engkau ingat-ingat dan sebut-sebutkan cela yang ada dalam diri engkau sendiri.”
Itulah sedikit peringatan buat diriku yang selalu lupa dan untuk saudara-saudara semua. Semoga
kita mendapat manfaat daripadanya, InsyaAllah.
Saudaraku,

“Hayati Keindahan Alam,


Ingatlah Kepada Allah”

Saudaraku yang dikasihi dan dihormati,


Kudoakan semoga saudara sentiasa berada di dalam kesejahteraan iman dan takwa kepada
Allah s.w.t. Semoga bertambah cekal hati saudara dalam mengahdapi sisa-sisa kehidupan yang masih
tinggal. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Saudara,
Seorang mukmin yang sedar dan insaf, tidak melihat alam ini dengan pandangan yang kosong
semata-mata. Penglihatannya penuh dengan ingatan terhadap Allah s.w.t. Gementarlah hatinya
mengingati firman Allah:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang
terdapat tanda-tangda bagi orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah
sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikir tentang
penciptaan langit dan bumi, seraya berkata: “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan
ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
(Terjemahan Ali Imran:190-191)
Langit tersergam indah tanpa tali, tanpa kaki. Sang suria dengan wajah cerah cemerlang
menyinari seluruh alam beserta hembusan bayu yang menyamankan. Semua itu cukup untuk hati-hati
yang celik berfikir dan menginsafi hakikat kehidupan ini.

Wahai hati-hati milik Allah,


Lihatlah dan bacalah lagi panorama-panorama alam yang terpampang di hadapan kita ini.
Betapa tumbuh-tumbuhan yang pelbagai jenis itu memberikan keredupan dan kenyamanan suasana,
kita sebagai manusia mengecapi keselesaan itu. Betapa pula bekalan pernafasan kita, oksigen, yang
telah dibekalkan melalui hembusan dari pepohon dan tumbuhan sehingga berpaut pula dua
keperluan, tumbuhan juga memerlukan karbon dioksida daripada kita. Ah… terlalu akrab hubungan itu
wahai saudaraku.
Hati yang segar dengan ingatan kepada Allah s.w.t., akan merasakan hubungannya dengan alam
ini terlalu dekat. Sehingga peredaran bumi mengelilingi matahari ini adalah merupakan peredaran
usianya dari detik ke detik dan membawa dirinya ke garis penamat hidup. Matahari pergi bulan
datang, meskipun dengan cahaya bulan yang tidak segarang matahari, malam tetap menyaksikan
segala tingkahlaku-tingkahlaku manusia. Pendek kata, seluruh isi alam maya ini sentiasa menyaksikan
gelagat manusia yang lupa dan seringkali alpa. Cukuplah detik ini untuk sama-sama kita menghisab
diri, menghitung amal-amal baik yang belum mencukupi untuk menjadi bekalan menuju mati.
Seorang mukmin yang insaf, bila menghayati alam akan kembali menyedari bahawa dirinya
terlalu daif dan sangat sedikit mengingati Allah, sedangkan dia mendengar suara-suara unggas dan
cengkerik yang bersahut-sahutan bertasbih memuji Allah s.w.t. Terlihatlah keindahan rumput-rumput
menghijau menyejukkan pandangan. Ingatlah bahawa rumput-rumput yang menerima terjahan kasut
kita itu sentiasa bertasbih kepada Allah s.w.t. Hakikatnya mereka semua itu hidup. Dan tiada bahasa
lain bagi mereka kecuali tasbih dan pujian untuk Allah s.w.t.

Saudaraku yang mempunyai mata hati,


Melihat alam yang indah, tidakkah dapat dirasakan bahawa jiwa ini sebenarnya terlalu hampir
dengan Pencipta? Tidakkah kita sedar bahawa alam inii mendidik jiwa manusia yang seni untuk
mengenal hakikat diri sendiri, mengenal Pencipta dan mengenal tujuan hidup ini? Kalau makhluk lain
tidak berakal hidupnya memuji Allah s.w.t., kenapa manusia yang istimewa ini pula seringkali lalai dan
leka, malah snggup derhaka kepada hulum-hukum Allah.
Di antara pemandangan alam dan hati manusia, sebenarnya saudaraku, berlangsung pula
bahasa rahsia tanpa suara yang membisikkan:
“Wahai anak Adam, inilah tanda-tanda kebesaran dan keagungantuhanmu, yang menghidupkan
makhluk dan mempertautkan hati-hati manusia, mengapa kamu tidak tunduk dan patuh walhal kami
semua sujud.”
Begitulah hakikat alam yang rafiq, teman dekat dan setia untuk beriman kepada Allah s.w.t.
Sudah cukup untuk menginsafkan hati-hati yang sedar dan siuman untuk kembali tunduk kepada Allah
s.w.t. Renungilah gidup ini, kita tidak punya apa-apa selain daripada jasad yang mengalir di dalamnya
sekepal nyawa yang bila-bila masa akan direntap oleh Allah s.w.t. Bila-bila masa hubungan kita
dengan dunia ini akan terputus. Insaflah. Sedarlah sebelum bertaut kaki kanan dengan kaki kiri,
sementara pintu taubat masih terbuka.
Duhai Saudaraku,

“Tunaikanlah Janjimu”

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dengan penuh khusyuk dan tawadduk, marilah kita persembahkan rasa syukur kita
ke hadrat Ilahi yang masih mengizinkan kita terus bernafas. Kita bersyukur kerana Allah masih
menaungi kita dengan bumbung Islam. Insya-Allah sama-samalah kita berharap dan bergantung
kepada Allah s.w.t. agar melimpahkan rahmatNya kepada kita semua sehingga kita kembali
mengadapNYa nanti.

Saudaraku yang dihormati,


Marilah kita sama-sama mengetuk pintu hati kita dengan membicara tentang janji dan tuntutan
menepati janji. Marilah kita menyelami dan memainkan semula di kaca pemikiran kita akan segala janji
yang telah dan biasa kita buat.
Menepati janji, suatu ungkapan yang begitu mudah disebut tetapi begitu sukar dilaksanakan.
Cubalah fikirkan saudaraku, kenapakah pada kala akhir zaman ini manusia suka mengambil
mudah janji yang dilafazkan. Kita juga mudah menyediakan seribu alas an jika kita gagal
menunaikan janji. Sedarlah sahabatku, salah satu daripada cirri-ciri orang munafik adalah berjanji
tetapi tidak pula menepatinya. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum lidah kita mengungkapkan
perkataan ‘saya berjanji’.
Lembaran sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. mencatatkan sifat baginda yang sangat
mengambil berat soal menepati janji. Pernah pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. berjanji dengan
seorang pemuda untuk bertemu di suatu tempat. Malangnya, pemuda tersebut terlupa janjinya.
Setelah tiga hari berlalu, barulah dia teringat akan janjinya lalu pergi ke tempat yang telah
dijanjikan.
Dia mendapati Rasulullah s.a.w. masih berada di sana. Lihatlah saudara, betapa setianya
Rasulullah s.a.w. terhadap janji walaupun terpaksa menunggu selama tiga hari.
Kita renungi pula kisah perjanjian Aqabah di antara penduduk Madinah dengan Rasulullah
s.a.w.. Mereka berjanji untuk menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya seperti yang tersebut dalam
perjanjian itu. Dan Rasulullah s.a.w. telah bersabda setelah perjanjian tersebut yang bermaksud:
“Jika kalian menepati janji, maka syurgalah yang akan kalian perolehi dan barang siapa
menyalahi janji, walaupun hanya sebahagian, maka persoalannya aku serahkan
kepada Allah. Jika Dia menghendaki akan diseksa-Nya dan jika Dia menghendaki akan
diampuni-Nya.”

Saudaraku yang dikasihi,


Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Fath, ayat 10 yang bermaksud:
“Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya mereka
berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barang siapa
yang melanggar janjinya, nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya
sendiri; dan barang siapa yang menepati janjinya pada Allah, nescaya Allah akan
memberinya pahala yang besar.”

Saudara yang disayangi,


Dalam perjalanan kita mencari keredhaan Ilahi, sesungguhnya syaitan yang berada di
sekeliling kita akan berusaha memujuk hati-hati kita agar lalai daripada menunaikan janji-janji itu.
Kerana itulah antara jalan untuk kita dimurkai Allah. Sesungguhnya sahabatku, kita tidak mahu
ditimpa kemurkaan Allah itu.

Akhir kata, ketika kita ghairah menunaikan janji-janji kita sesama manusia, janganlah lupa
janji kita kepada Allah s.w.t.. janji yang termeteri sejak azali lagi. janji untuk menegakkan Islam di
muka bumi ini.
Di serata pelusuk dunia, kita menyaksikan umat Islam yang semakin runtuh akhlaknya. Kita
mendengar berita penindasan terhadap mereka. Kita juga disogokkan dengan cerita-cerita
kemunduran masyarakat Islam itu. Saudaraku, rintihan-rintihan umat ini tidak lain dan tidak bukan
kerana mengabaikan janji-janji kepada Allah.
Renungilah diri. Sudahkan kita menunaikan janji itu? Sama-samalah kita berdoa agar hati-
hati kita akan terus disirami hidayah dan petunjuk-Nya untuk melaksanakan janji-janji itu.
Wallahua’lam.