Anda di halaman 1dari 4

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Hj.

Ahmad Badawi, beliau ada menerangkan tentang konsep modal insan seperti dalam petikan kata-kata berikut :

"Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan

yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mereka juga mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Kita mestilah menjadi rakyat yang cintakan negara ini, rakyat yang bersemangat, bersedia bekerja dengan kuat, bekerja dengan rajin serta menjadi rakyat yang mengamalkan budi bahasa yang bermutu tinggi."
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (hari kemerdekaan ke-48, tahun 2005)

Kamus Dewan edisi keempat (2005:1038) ada menyatakan bahawa modal boleh diertikan sebagai kiasan sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu yang lain. Manakala insan ditakrifkan sebagai manusia yang mana ianya berasal daripada perkataan bahasa arab. Maka, setelah digabung menjadi satu perkataan, modal insan boleh diertikan sebagai potensi, kemahiran atau tenaga manusia yang digunakan untuk mencapai matlamat pembangunan, kemajuan, dan kemakmuran sesebuah negara.

Modal insan juga boleh dilihat dengan naluri yang mempunyai sahsiah yang terpuji dan menghayati sistem kepercayaan berfalsafah serta berprinsip. Selain itu, modal insan juga boleh disifatkan sebagai satu integriti yang merangkumi perancangan yang rapi, mempunyai wawasan, mempunyai keterampilan diri, adab dan akhlak yang terpuji.

Pembangunan modal insan hendaklah diberi perhatian yang serius dan berterusan serta mapan sejajar dengan perancangan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju terutamanya dalam bidang sains dan teknologi menjelang Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah awal dengan menyediakan satu dasar yang menyeluruh yang berfokuskan kepada pendidikan iaitu dengan merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP) yang menggariskan dasar serta matlamat dan fokus untuk pembangunan modal insan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-9. Menurut Islam modal insan dilihat bukan hanya sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam telah memandang dan mentakrifkan konsep ini secara meluas, mendalam dan lebih terperinci. Ini telah menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan konsep ini yang sepatutnya ada pada semua umat Islam dan juga seluruh negara Islam. Islam telah melihat manusia dalam konteks ini sebagai keseluruhan dan kesempurnaan insan yang diutuskan ke alam ini untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta dalam masa yang sama tetap tunduk dan patuh terhadap Tuhan (Allah S.W.T.). Ini selaras dengan beberapa firman Allah S.W.T. bermaksud; manusia mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding dengan makhlukmakhluk lainnya iaitu diangkat menjadi khalifah (pemimpin) di atas muka bumi ini (Surah Al-Baqarah : 30)

manusia merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. dengan sebaik-

baik ciptaan (Surah As-Sajadah : 7)


tidak aku (Allah S.W.T.) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu sahaja (Surah Al-Zariat: 56)

Justeru, selepas mengkaji dan meneliti, dapat dirumuskan disini bahawa Islam menyifatkan modal insan sebagai satu keunggulan peribadi (penguasaan ilmu

pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak mulia) yang dimiliki oleh manusia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang telah diamanahkan bagi meningkatkan kemakmuran bagi manusia dan alam seluruhnya. Fokus utama adalah dengan membangunkan keperibadian manusia seutuhnya selaras dengan bakat dan potensi yang dimiliki menerusi program pendidikan dan latihan yang bermanfaat. Penekanan yang perlu diberikan ialah manusia perlu dibangunkan dengan kekuatan spiritual iaitu daya dalaman atau keimanan untuk menggerakkan daya kerja yang berpaksikan ketulusan dan keikhlasan. Kecerdasan minda disarankan untuk memikirkan tentang cara kerja yang lebih sistematik dan berdaya maju. Kecergasan fizikal pula amat penting untuk melaksanakan kerja dengan sepenuh tenaga serta kekuatan semangat untuk menyempurnakan kerja dengan bersungguh-sungguh. Manusia perlu dipupuk dengan kesedaran dalaman, kesungguhan, disiplin dan perlu mempunyai visi yang jelas. Manusia perlu dididik supaya mempunyai nilai dan harga diri, kepercayaan dalam diri, kehebatan diri, keutuhan diri untuk merangka masa hadapan yang lebih cemerlang. Namun begitu, perbezaan telah dinyatakan oleh ahli falsafah barat.

Pembangunan modal insan telah didefinisikan oleh ahli falsafah barat sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategorikan kemahiran dan kebolehan orang yang digunakan dalam pengambilan pekerja serta dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Mereka lebih memberikan fokus kepada pembangunan sumber manusia dari aspek pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan atau kebaikan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Melalui penulisan Dr. Abd Rahman bin Ahmad (2006), Laroche dan Merette menyifatkan modal insan sebagai satu himpunan keupayaan dalaman, pengetahuan dan kemahiran yang dibina dan dimiliki setiap individu sepanjang hayatnya. Keupayaan dalaman digambarkan sebagai potensi intrinsik dalam memperolehi kemahiran oleh seseorang individu. Kemudian, mereka merumuskan modal insan adalah merangkumi keseluruhan aspek keupayaan fizikal, intelektual dan psikologi yang dimiliki oleh

seseorang individu sejak dilahirkan lagi untuk dimanfaatkan kepada organisasi secara langsung ataupun sebaliknya. Lain pula pendapat yang diberikan oleh Becker di dalam buku yang sama, iaitu beliau menganggap modal insan adalah sesuatu yang berkaitan tentang pengetahuan, maklumat, idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang dimiliki oleh seseorang individu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Dua kategori modal insan yang telah diberikan oleh beliau iaitu modal insan khusus (specific) dan modal insan umum (general). Modal Insan khusus merujuk kepada pengetahuan atau kemahiran yang dimiliki oleh setiap individu dan digunakan untuk dirinya sahaja. Manakala modal insan umum merujuk kepada pengetahuan atau kemahiran yang boleh digunakan oleh semua individu yang terlibat bersama.
Kesimpulannya, modal insan yang dinyatakan oleh ahli falsafah barat hanya merangkumi aspek kehidupan di dunia semata-mata yang dilihat hanya mementingkan pulangan kepada sesebuah organisasi sahaja tanpa mengaitkan dengan amalan-amalan yang berkaitan agama. Namun begitu, modal insan dari perspektif Islam tidak hanya melihat kepada kadar pulangan pelaburan kepada organisasi semata-mata tetapi kadar pulangan kesempurnaan amalan yang dikerjakan untuk diiktiraf sebagai amal soleh kepada diri sendiri, keluarga, masyrakat, agama dan negara, yang mana mereka bakal mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat kelak. Insya Allah.