Anda di halaman 1dari 13

BAHAGIAN AGAMA DAN KAUNSELING IBU PEJABAT POLIS DIRAJA MALAYSIA BUKIT AMAN TEL 50560 KUALA LUMPUR

: 03 22664001/4002/4024/4043 FAKS : 03 22664010 Email : baka@rmp.gov.my

Rujukan Kami : KPN 116/9 Tarikh : 05 Mac 2013 Lihat Edaran YDH Dato/Datuk/Tuan, SOLAT HAJAT, TEKS DOA HARIAN KHAS, DOA SELAMAT DAN PANDUAN QUNUT NAZILAH BERIKUTAN INSIDEN PENCEROBOHAN PENGGANAS DI BEBERAPA DAERAH NEGERI SABAH Saya dengan hormatnya merujuk perhatian YDH Dato/Datuk/Tuan mengenai perkara di atas. 2. Seperti mana sedia maklum, beberapa daerah di Negeri Sabah telah di masuki penceroboh yang mana insiden ini telah mengorbankan beberapa pegawai dan anggota PDRM yang sedang bertugas. Pohon kepada semua warga PDRM untuk melaksanakan Solat Sunat Hajat, Doa Harian Khas, Bacaan Yasin, Tahlil Dan Doa Selamat Serta Bacaan Doa Qunut Nazilah di kontinjen/briged/formasi masingmasing bagi memohon keamanan dan keselamatan negara dan semua pegawai dan anggota keselamatan PDRM dan ATM serta penduduk di Negeri Sabah agar sentiasa di dalam pemeliharaan dan perlindungan daripada Allah SWT. 3. Sehubungan itu, bersama-sama ini disertakan teks doa khusus bagi tujuan tersebut. Teks Doa Harian Khas di sarankan dibaca setiap jam 8.00 pagi di Kontinjen/formasi masing-masing, manakala Teks Doa Selamat dibacakan sempena Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Dan Doa Selamat yang diadakan di kontinjen/briged/ formasi masing-masing. Bersama-sama ini juga disertakan Panduan Qunut Nazilah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai panduan ketika melaksanakan ibadah tersebut. 4. Dimajukan untuk hebahan kepada seluruh kontinjen, briged dan formasi.

Sekian, terima kasih. BERKHIDMAT UNTUK NEGARA Saya yang menurut perintah,

(CHE ALIAS BIN CHE ISMAIL) S48 Ketua Penolong Pengarah (Agama) b/p: Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Agama Dan Kaunseling) Polis Diraja Malaysia

Lampiran A

DOA HARIAN KHAS

MAKLUMAN OLEH PEMBACA DOA SEBELUM MEMULAKAN BACAAN DOA HARIAN KHAS: 1. Assalaamualaikum WRBT dan Selamat Pagi 2. Sebelum kita mengaminkan bacaan doa marilah kita menghadiahkan Al-Fatihah buat para pegawai dan anggota yang terkorban di dalam insiden pencerobohan di Negeri Sabah. 3. Al-Fatihah 4. Mulakan Bacaan Doa (sila pilih dan lihat teks doa yang disediakan)

SELEPAS MENGAKHIRI BACAAN DOA

1. Taqabbalallahuminna Waminkum 2. Sekian Wabillahitaufik Walhidayah Wasalamualaikum WRBKT

DOA HARIAN 1

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. kami berdoa memohon ke hadrat-Mu Ya Allah, kurniakanlah buat pejuang-pejuang dan perwira-perwira kami yang menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara, nikmat iman dan ketaatan, kesihatan dan keselamatan, cekal hati berjiwa juang, hikmah dan kebijaksanaan, taufik dan bimbingan serta kekuatan fizikal dan mental dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi mempertahankan negara dari sebarang perlakuan jenayah, kekacauan, huru hara dan pencerobohan.

Ya Allah, lembutkanlah hati-hati musuh kami sebagaimana Engkau lembutkan besi untuk Nabi Daud a.s.. Tundukkanlah mereka sebagaimana Engkau tundukkan bukit-bukau, gunung-ganang untuk Nabi Sulaiman a.s.. Batalkanlah hasrat rancangan jahat mereka dan hancur leburkanlah pakatan mereka dan kacau bilaukanlah kumpulan mereka dan goncangkanlah pendirian mereka. Engkaulah Tuhan kami dan Tuhan mereka. Engkau sahaja yang dapat mengalahkan mereka. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan-Mu yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Wahai Tuhan yang mempunyai kemuliaan dan Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.

Dengan berkat keagungan nama-nama-Mu dan sifat-sifat-Mu, kami memohon keberkatan, kesejahteraan dan perlindungan daripada-Mu,

DOA HARIAN 2

Ya Allah. Dengan berkat Al-Fatihah dan dengan berkat rahsia Al-Fatihah serta dengan berkat cahaya Al-Fatihah. Kami memohon kepada-Mu agar mengurniakan kami kesejahteraan pada agama kami di dunia dan di akhirat.

Wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita dan menghilangkan kesusahan. Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan yang Maha Memberi Rahmat dan yang Maha Menolakkan Bala dan Kemurkaan. Jauhkanlah daripada kami ya Allah (Ulang 3 kali) dari segala bala, wabak, dukacita, kesusahan, kesempitan, keberatan, kemurkaan dan kata fitnah. Ya Allah, hindarilah kami daripada kekejian, kemungkaran, persengketaan, kekejaman dan peperangan yang nampak dan yang tersembunyi dalam Negara kami khasnya dan Negara-negara umat Islam secara umumnya.

DOA HARIAN 3

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Di hari yang mulia ini, kami melahirkan kesyukuran kepada-Mu kerana diberi peluang untuk memartabatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia di negara ini. Kami berdoa memohon ke hadrat-Mu, kurniakanlah buat seluruh Ahli Pasukan Keselamatan Negara kami yang menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara taufik dan hidayah-Mu, kesihatan tubuh badan, cerdas akal fikiran, kukuh pegangan agama, semangat juang yang tinggi, berakhlak mulia, ikhlas dalam perjuangan, maka dengan izin-Mu jua terbentuklah sebuah pasukan keselamatan yang mantap dan berwibawa serta mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian negara Malaysia yang kami cintai ini.

Kami memohon restuilah perjuangan kami, berkatilah hidup kami. Berikanlah perlindungan dan keselamatan dari mara bahaya dan ancaman musuh kepada seluruh ahli pasukan keselamatan negara kami serta tingkatkanlah kekuatan dan keimanan mereka agar mampu menangani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan kebijaksanaan dan keupayaan dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi bagi mempertahankan negara dari sebarang perlakuan jenayah, kekacauan, huru hara dan pencerobohan.

DOA HARIAN 4

Ya Allah, kami menadah tangan memohon pengharapan agar iringan doa kami di pagi ini akan dapat meniupkan semangat juang yang tinggi serta menjana semangat rela berkorban sekalipun nyawa menjadi taruhan buat para pejuang dan perwira yang menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kami pohonkan semoga darah kepahlawanan silam yang diwarisi sejak zaman-berzaman akan terus mengalir deras dalam jasad mereka selaras dengan ikrar untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air yang tercinta ini.

Wahai Tuhan tempat selayaknya dicurahkan segala bentuk pengabdian dan pergantungan, perteguhkanlah jalinan persaudaraan antara kami rakyat Malaysia. Jadikanlah negara kami negara yang aman dan makmur, dihiasi dengan anugerah kemajuan yang berterusan. Seterusnya masukkanlah kami dari kalangan yang sentiasa bersyukur di atas setiap nikmat keamanan dan kesejahteraan di bumi Malaysia yang tercinta ini.

DOA HARIAN 5

Ya Allah, kami pohon perlindungan dari-Mu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit. Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan sanubari kami, Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, kami mengakui dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang kebesaran dan kekuasaan-Mu ya Allah.

Ya Allah, Engkaulah yang lebih mengetahui tentang hati dan perasaan kami, kami yakin bahawa hanya kudrat dan iradat-Mu sahaja yang dapat menyelamatkan kami dari segala rupa bentuk keburukan mahu pun bala bencana, hanya kekuasaan-Mu jua yang telah menyelamatkan kami dari segala kemungkaran, kekejaman dan pencerobohan yang sedang melanda Negara kami ini. Ya Allah, kemurahan-Mu kami pohonkan, ihsan-Mu kami harapkan, Rahman dan Rahim-Mu kami pinta, semoga kami sentiasa dilindungi dan dinaungi dengan sepenuh riayah dan pemeliharaan-Mu, kami akui bahawa kami sentiasa terdedah kepada bahaya dan keburukan, lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai hasad dengki di atas sedikit kelebihan yang dikurniakan kepada kami. Justeru itu, kami pohonkan Ya Allah, Engkau peliharakanlah serta hindarkanlah kami daripada segala bahaya dan keburukan itu.

Sekiranya keburukan telah Engkau qadha ke atas kami, sekiranya kecelakaan telah Engkau tetapkan akan menimpa kami, maka dengan Rahman dan Rahim-Mu Ya Allah kami pohonkan, hindarkanlah kami dari segala keburukan dan kecelakaan itu, agar dapat kami hidup lebih bererti dan lebih bermakna.

Lampiran B

DOA SELAMAT BUAT PARA PERWIRA YANG BERJUANG, CEDERA DAN TERKORBAN SEMASA PERTEMPURAN SERTA KESELAMATAN NEGARA.

Ya Allah, kami merayu dan memohon, restuilah perjuangan kami, berkatilah hidup kami. Berikanlah perlindungan dan keselamatan dari mara bahaya dan ancaman musuh buat seluruh Ahli Pasukan Keselamatan Negara kami yang berjuang demi keamanan negara kami serta warga penduduk di Negeri Sabah. Tingkatkanlah kekuatan dan keimanan mereka agar mampu menangani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan kebijaksanaan dan keupayaan dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi bagi mempertahankan negara dari sebarang perlakuan jenayah, kekacauan, huru hara dan pencerobohan.

Ya Allah, anugerahkanlah ke atas para perwira kami yang mengalami kecederaan semasa pertempuran dengan penceroboh, penawar daripada penawar-Mu, kesembuhan daripada kesembuhan-Mu dan keberkatan daripada keberkatan-Mu, juga rahmat daripada rahmat-Mu terhadap kecederaan dan kesakitan yang dialami oleh mereka, sembuhkanlah mereka, sembuhkanlah mereka, sembuhkanlah mereka dengan rahmat-Mu Ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Ya Allah, cucurilah rahmat dan keampunan ke atas roh-roh para pejuang kami yang telah pergi mendahului kami, gandakanlah pahala amalan mereka yang telah mereka laksanakan, untuk kesucian agama Islam dan maruah bangsa, angkatkanlah darjat mereka dengan kemurahan-Mu, Ya Allah.

Ya Allah, jauhkanlah daripada kami ya Allah (Ulang 3 kali) dari segala bala, wabak, dukacita, kesusahan, kesempitan, keberatan, kemurkaan dan kata fitnah. Hindarilah kami daripada kekejian, kemungkaran, persengketaan, kekejaman, pencerobohan dan peperangan yang nampak dan yang tersembunyi dalam Negara kami khasnya dan Negara-negara umat Islam secara umumnya. Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui yang zahir dan yang rahsia daripada kami maka ampunilah kami, dan Engkau mengetahui hajat-hajat kami maka tunaikanlah hajat-hajat kami , ya Karim Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Lampiran C

PANDUAN QUNUT NAZILAH


Qunut ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah dari bahaya. CARA MEMBACA QUNUT NAZILAH Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku untuk Itidal. Doa dibaca ketika berdiri untuk Itidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut: 1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh. 2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran 3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah . PERINGATAN: Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat. Imam hendaklah memberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.

DOA QUNUT NAZILAH

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan-Mu, kami meminta pengampunan dari-Mu, kami memohon petunjuk dari-Mu, kami beriman kepada-Mu, kami berserah kepada-Mu dan kami memuji-Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri-Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang derhaka kepada-Mu. Ya Allah, Engkaulah yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat-Mu dan kami takut akan azab-Mu kerana azab-Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur. Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham. Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.

Sumber: http://www.islam.gov.my/panduan-qunut-nazilah-0

Edaran: Pesuruhjaya Polis Sabah Pesuruhjaya Polis Sarawak Semua Ketua Polis Negeri Semua Komander Briged PGA Semua Komandan Pusat Latihan Polis Semua Komandan Maktab Polis Semua KPD Sabah Semua KPD Sarawak Semua KPD Semenanjung Semua Pegawai Pemerintah PGM

s.k.

SUPM (Untuk makluman YDH KPN dan YDH T/KPN) Pengarah Cawangan Khas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pengarah Jabatan KDN/KA Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Pengarah Jabatan Logistik

Anda mungkin juga menyukai