penting dalam membentuk peribadi serta kejayaan murid. Meskipun guru biasa tidak mempunyai kelayakan serta kemahiran khusus untuk mengendalikan program bimbingan dan kaunseling di sekolah, namun peranan guru biasa dalam menjayakan program-program tersebut tidak dapat dinafikan. Seorang guru kaunseling tidak mungkin dapat melihat keperluan semua murid-murid yang berada di sekolah. Oleh itu, guru biasalah yang berfungsi sebagai mata dan telinga untuk guru bimbingan dan kaunseling. Antara peranan utama yang dapat dimainkan oleh guru biasa adalah sebagai pengumpul maklumat murid serta mengenalpasti masalah murid-murid di bawah jagaannya. Segala maklumat yang diperoleh akan diberikan kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk tindakan selanjutnya. Tugas seorang guru bukaN hanya sekadar mengajar di sekolah atau memberi ilmu kepada murid-murid sahaja, malah semua guru yang terlatih berperanan sebagai guru bimbingan ataupun guru pembimbing. Sepertimana yang telah diketahui, perkhidmatan bimbingan di sekolah bukan semata-mata dijalankan oleh guru bimbingan dan kaunseling sahaja. Setiap guru sama ada guru mata pelajaran atau guru kelas mampu memainkan peranan sebagai guru pembimbing dengan mengambil kira pengalaman hidup dan kematangan emosi serta kognitif masing-masing. Guru biasa boleh membantu guru bimbingan dan kaunseling dengan mengumpulkan pelbagai maklumat mengenai murid-murid mereka. Pengumpulan maklumat oleh guru biasa ini amat membantu guru bimbingan dan kaunseling untuk membuat semakan serta digunakan sebagai rujukan untuk tindakan susulan, sama ada dalam bentuk sesi kaunseling atau intervensi yang lain. Peranan guru biasa sebagai guru bimbingan amatlah besar dan penting. Antara peranan seorang guru biasa sebagai guru pembimbing ialah dengan membantu muridmurid dibawah jagaannya untuk membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa boleh
membantu muridnya menyesuaikan diri mereka dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya. Seterusnya, guru biasa yang berperanan sebagai guru pembimbing juga dapat menolong dan membantu murid-murid di bawah jagaannya dalam pelajaran mereka. Murid pada masa kini menghadapi pelbagai masalah. Masalah-masalah tersebut kadang-kala menjadi satu bentuk halangan kepada mereka untuk mengikuti atau menguasai proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bagi mengatasi masalah tersebut, guru biasa boleh membantu murid-murid ini dalam pelajaran mereka. Sebagai contoh, sekiranya murid menghadapi masalah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, guru boleh menolong murid berkenaan dalam mata pelajaran tersebut. Segala kemusykilan dan masalah yang wujud dalam kalangan murid perlulah diselesaikan oleh guru dengan mengambil tindakan sewajarnya seperti memberi penerangan yang ringkas, tepat dan jelas, memberikan contoh-contoh yang bersesuaian dengan topik yang diajar serta menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan tahap dan penerimaan murid tersebut. Selain itu juga, guru juga boleh membuat perancangan yang sistematik serta melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih menarik agar dapat membantu menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain dari itu juga, guru biasa boleh berperanan dengan memberikan kesedaran tentang betapa pentingnya pelajaran kepada murid-murid di bawah jagaanya. Terdapat murid yang sangat aktif untuk belajar, dan pada masa yang sama juga terdapat murid yang datang ke sekolah hanya sebagai rutin harian mereka. Dalam hal ini, guru biasa boleh memberikan kesedaran kepada murid-murid ini bahawa betapa pentingnya pelajaran pada masa kini. Hai ini kerana pendidikan yang diperoleh oleh seseorang murid pada masa kini akan menentukan masa depan mereka pada suatu hari yang akan datang. Apabila guru memberikan kesedaran, murid-murid akan berpeluang untuk mengubah diri mereka dan bersedia untuk menghadapi cabaran di dalam dunia pendidikan ini.
Di samping itu juga, guru biasa boleh membantu murid dalam membuat keputusan yang rasional. Murid-murid di sekolah rendah berupaya mengambil keputusan sendiri. Namun begitu, mereka masih tidak dapat berfikir sama ada keputusan yang diambil itu adalah rasional atau tidak. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kepada guru biasa untuk membantu murid-murid ini dalam membuat pertimbangan, mengenal pasti baik atau buruk akan sesuatu tindakan dan sebagainya. Seterusnya, guru biasa juga boleh membantu menyelesaikan masalah pembelajaran murid dengan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka,
melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan tahap dan minat mereka, serta memberikan tugasan yang boleh meningkatkan kefahaman murid terhadap sesuatu pembelajaran. Selain itu, guru biasa juga perlu membentuk tabiat kerja murid yang positif. Pembentukkan tabiat positif ini mampu memberikan kesan yang baik ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran mereka. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru sejak dari awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji murid dalam usaha mencapai kejayaan. Bidang tugas guru biasa sebagai guru pembimbing yang seterusnya ialah sentiasa merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling. Sekiranya guru biasa menghadapi sebarang masalah dalam menguruskan murid-murid di bawah jagaannya, mereka boleh merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk mendapatkan idea atau pendapat yang sepatutnya di samping untuk mendapatkan maklumat. Seterusnya, guru biasa juga boleh bekerjasama dengan guru bimbingan dan kaunseling sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap murid-murid mereka. Mengisi kad 001 bagi murid-murid sekolah rendah juga merupakan salah satu dari tugas seorang guru biasa. Antara butir-butir peribadi murid yang perlu diisi oleh guru ialah seperti rekod berat, tinggi, rabun atau tidak, markah peperiksaan pertengahan dan
akhir tahun, sikap pelajar dan cita-cita murid tersebut. Kad 001 ini, adalah satu-satunya kad peribadi murid yang diterima pakai dalam mahkamah. Sekiranya terjadi apa-apa musibah ke atas murid-murid ini semasa dalam tempoh usia mereka bersekolah, pampasan yang sewajarnya boleh diberi berdasarkan rekod peribadi dan cita-cita murid tersebut. Di samping itu juga, guru biasa hendaklah bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga murid-murid. Hal ini adalah kerana guru merupakan ibu bapa kedua di sekolah bagi setiap murid. Oleh itu, mereka perlu sentiasa memaklumkan perkembangan murid dari masa ke masa. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini iaitu guru dengan ibu bapa akan dapat membantu kedua-dua pihak untuk mengenali tentang murid atau anak mereka. Hal ini akan mendorong kepada guru atau ibu bapa untuk mengambil sebarang tindakan yang seterusnya. Guru biasa berperanan untuk membantu dengan mengumpul maklumat muridmurid di bawah jagannya. Terdapat dua teknik yang biasa digunakan oleh guru untuk mengumpul maklumat murid-murid, iaitu teknik ujian dan teknik bukan ujian. Secara amnya, teknik ujian merujuk kepada ujian-ujian piawai yang dibentuk untuk mengukur ciri-ciri murid seperti kebolehan, pencapaian, aptitud, minat, sikap, nilai dan personaliti. Ujian-ujian tersebut yang bersifat formal biasanya ditadbirkan secara individu atau kelompok. Hasil penganalisian skor murid-murid dalam ujian digunakan sebagai rujukan dalam sesi bimbingan dan kaunseling kelak. Bagi memperoleh satu gambaran yang komprehensif dan menyeluruh, teknik bukan ujian turut digunakan oleh seseorang guru biasa. Teknik bukan ujian ini bersifat subjektif berbanding dengan teknik ujian yang bersifat objektif. Penglibatan guru biasa sebagai guru pembimbing dalam aspek mengenalpasti masalah yang berlaku dalam kalangan murid sekolah sangat mendorong kepada guru untuk mengenali tentang murid-muridnya. Kebanyakan masalah yang diceritakan oleh murid kepada guru boleh diklasifikasikan seperti berikut.
Konflik Interpersonal Murid-murid yang sedang menghadapi masalah komunikasi dengan ibu bapa, guruguru atau rakan sebaya. Konflik Intrapersonal Murid-murid menghadapi masalah yang berkaitan dengan membuat keputusan dan perlukan penjelasan mengenai alternatif-alternatif penyelesaian dan akibat. Kekurangan Maklumat tentang Diri Murid-murid yang ingin mengenali diri secara lebih mendalam dari segi kebolehan, kekuatan, minat dan nilai. Kekurangan Maklumat tentang Persekitaran Murid-murid perlukan maklumat tentang cara mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta kerjaya di dunia pekerjaan. Kekurangan Kemahiran Murid-murid perlu belajar mengenai satu-satu kemahiran seperti cara belajar yang berkesan, tingkahlaku asertif, kemahiran mendengar yang berkesan dan sebagainya. Dalam usaha mengenal pasti masalah murid-murid sekolah rendah, terdapat pelbagai cara yang sering digunakan oleh guru-guru biasa. Antara cara-cara yang selalu digunakan oleh guru-guru bagi mengenal pasti masalah murid-muridnya ialah pemerhatian, senarai semak, sosiogram, hasil karya murid, foto serta audio dan video. Walaupun terdapat banyak cara untuk mengenal pasti masalah, kebanyakkan guru menggunakan cara pemerhatian sebagai cara utama untuk mengenal pasti masalah murid-muridnya. Semasa membuat pemerhatian, guru atau pemerhati perlu mengikuti beberapa prosedur yang penting. Yang pertama, sebelum sesi pemerhatian, guru hendaklah menentukan objektif atau tujuan pemerhatian, sasaran yang akan diperhatikan, tempoh
pemerhatian iaitu jangka masa, dan cara merekod hasil pemerhatian. Prosedur yang kedua, guru perlu masuk ke kelas atau tempat di mana murid-murid sedang berkumpul dan menjalankan aktiviti pembelajaran. Ketiga, pemerhati hendaklah duduk di belakang kelas atau di tempat yang sesuai supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala, prosedur yang keempat ialah pemerhati membuat
pemerhatian sambil mencatat nota lapangan yang relevan. Hasil pemerhatian dicatatkan dalam borang-borang pemerhatian khusus seperti rekod anekdot, rekod running, persampelan masa, persampelan peristiwa, dan penulisan dairi yang dijadikan sebagai bahan-bahan bukti bagi pemerhatian yang telah dijalankan. Selain pemerhatian, guru biasa juga menggunakan senarai semak yang berguna untuk guru mengetahui tentang penguasaan kemahiran murid. Ia juga digunakan apabila guru sedang memerhatikan satu aspek tingkah laku murid. Senarai semak mempunyai kekurangan yang paling ketara berbanding dengan cara pemerhatian iaitu ia tidak mengambil kira konteks di mana satu-satu tingkah laku itu berlaku ataupun perbezaan individu. Oleh itu, senarai semak digunakan sebagai tambahan kepada maklumat yang telah dikumpul dengan menggunakan cara pemerhatian yang lain. Berdasarkan senarai semak yang disediakan oleh guru biasa, maka guru bimbingan dan kaunseling akan memperoleh satu gambaran ringkas mengenai perkembangan murid-murid dari aspek fizikal, kognitif, sosial dan emosi. Hal ini memudahkan beliau untuk merancang tindakan susulan yang munasabah bagi murid-murid berkenaan. Seterusnya, satu lagi cara yang berkesan bagi mengenal pasti perkembangan sosial murid-murid iaitu dengan menggunakan sosiogram. Sosiogram merupakan satu peta atau rajah yang menunjukkan pola interaksi satu kumpulan murid-murid. Ia dapat menunjukkan dengan jelas siapa yang disukai ramai, siapa yang perlukan bantuan, siapa yang mempunyai kemahiran sosial yang baik dan sebagainya. Sosiogram dapat menggambarkan siapa dalam pasukan atau kumpulan menjalani interaksi dan siapa dalam kalangan ahli yang seolah-olah disingkir. Sebagai tindakan susulan, guru bimbingan dan kaunseling boleh merujuk kepada maklumat awal ini untuk
mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan yang timbul hasil analisis sosiogram.
Selain itu, koleksi hasil karya murid yang dikumpul merentasi satu tempoh masa juga boleh memberi maklumat yang bernilai mengenai perkembangan murid-murid. Hasil karya yang dimaksudkan adalah seperti lukisan, kolaj, penulisan dan gambar foto projek dan sebagainya. Hasil karya yang asli membuktikan kebolehan kognitif dan kreativiti masing-masing. Berdasarkan hasil karya murid, guru dapat melihat dengan mata sendiri pertumbuhan dan perkembangan murid sama ada yang telah atau yang belum berlaku pada murid-murid berkenaan. Hasil karya yang dikutip itu boleh disimpan dalam bentuk buku skrap atau folio untuk dikongsi bersama serta sebagai bahan bukti. Rakaman audio dan video juga dapat membantu seorang guru untuk mengenalpasti masalah yang wujud dalam kalangan murid-murid. Dengan
menggunakan rakaman video, guru dapat merakam segala gerak-geri murid sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Manakala, rakaman audio pula memberi satu gambaran mengenai kemahiran bertutur murid-murid. Cara ini banyak digunakan oleh guru Bahasa Melayu untuk mengetahui tentang kemahiran bertutur murid-muridnya. Berdasarkan pandangaan saya dan perbincangan dengan guru-guru di sekolah saya berpraktikum, saya dapati guru biasa sebagai guru pembimbing memainkan peranan yang amat penting dalam membantu guru bimbingan dan kaunseling memperoleh satu profil awal murid-murid. Guru biasa juga selalu berkolaborasi dengan guru bimbingan dan kaunseling dari segi mengumpul data dan menyediakan maklumat murid. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa guru biasa sebagai guru pembimbing dan guru bimbingan dan kaunseling saling melengkapi keperluan satu sama lain.