Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI KEM PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (CPR 2011) MUHAMMAD ARIF BIN RUZLAN (D20102039962)

Tanggal 7 Disember 2013, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah menganjurkan satu kem motivasi bertempat di Kem Lembah Genting, Batang Kali, Hulu Selangor. Program ini merupakan satu aktiviti yang wajib disertai semua ahli PRS kerana ianya merupakan salah satu kerja kursus kelab PRS. Oleh itu, perancangan yang rapi telah dilakukan bagi memastikan perjalanan program ini berjalan dengan lancar dan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kem ini diadakan selama 3 hari 2 malam bermulanya pada 7 Disember - 9 Disember 2013 iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada 7 Disember 2013, setiap ahli diminta untuk berkumpul di perkarangan Auditorium UPSI tepat jam 3.00 petang. Bas dijangka akan tiba pada jam 4.30 petang. Kami diminta untuk berkumpul lebih awal adalah kerana ingin memastikan segala peralatan disediakan dan memudahkan kerja ketua program, Nik Shafiq untuk mengambil kehadiran semua ahli yang akan menyertai program ini. Kami bertolak dari Auditorium UPSI kira-kira jam 5.00 petang dan sampai di kem kira-kira jam 6 petang. Setibanya kami di kem Lembah Genting, kami diberikan taklimat ringkas tentang peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh instuktor yang mengendalikan kem tersebut. Seterusnya, kami diarahkan untuk ke dorm dan mempersiapkan diri untuk solat berjemaah bersama-sama. Sejujurnya saya katakan program ini banyak memberi faedah kerana diawal program kita dapat lihat dimana para ahli dilatih untuk menepati masa dan saling bekerjasama antara satu sama lain selain mendisiplinkan diri dengan mematuhi peraturan kem. Aktiviti pertama kami bermula pada waktu malam selepas selesainya solat Isyak. Aktiviti pertama kami ialah Ice Breaking dimana fasilitator mengendalikan aktiviti yang menyeronokkan ini. Apa yang dapat saya simpulkan daripada aktiviti ini ialah ia melatih seseorang untuk tingkatkan keyakinan diri, sentiasa menumpukan perhatian dan mengenalpasti bakat-bakat yang terpendam. Ini adalah kerana aktiviti ini dijalankan dengan mengenakan hukuman menyanyi atau berlakon terhadap sesiapa yang tidak peka dengan arahan fasilitator. Selesainya Ice Breaking, instruktor kem mengambil alih dengan menjalankan aktiviti yang

agak mencabar iaitu Night Walking. Kami diarah untuk berjalan beramai-ramai melalui ladang kelapa sawit dimana lokasinya tersangatlah gelap. Seterusnya, kami diarah untuk berjalan seorang demi seorang sejauh 100m dari ladang menuju ke jalanraya. Aktivti ini sejujurnya dapat melatih diri untuk saling bekerjasama antara rakan-rakan dan juga meningkatkan keberanian dalam diri kita. Aktitviti Night Walking merupakan aktiviti yang terakhir kami untuk hari tersebut. 8 Disember 2013, aktivti pagi kami dimulakan dengan senamrobik. Kami diminta untuk berkumpul di dataran sebelum jam 7 pagi. Selepas itu, disediakan dengan satu aktiviti yang mencabar iaitu Survival Cook, dimana kami dibawa masuk ke hutan dan diarahkan untuk menyediakan makan tengah hari kami. Kami Cuma disediakan dengan 4 biji telur, sedikit beras, 2 biji ubi kentang dan juga setin sardin. Kami diarahkan untuk menyediakan makanan untuk setiap kumpulan kami yang rata-rata terdiri daripada 9-10 orang setiap kumpulan. Aktiviti ini menguji tahap kesabaran, kerjasama kumpulan dan kemahiran menggunakan hasil hutan. Selesainya aktiviti ini, kami diarahkan untuk pulang ke dorm untuk membersihkan diri dan tepat jam 2.30 petang, kami diarahkan untuk berkumpul di dataran. Pelajar lelaki didenda instruktor kem, Encik Safar kerana tidak menepati masa. Kami diarahkan untuk berguling didataran dalam cuaca yang agak panas pada ketika itu. Kami memang sepatutnya menerima hukuman ini dengan hati yang terbuka kerana kesilapan kami sendiri. Kami memulakan aktiviti kami pada petang itu dengan melalui halangan yang disediakan pihak kem. Aktiviti ini sangat menarik kerana ianya melatih diri untuk berkeyakinan dan menunjukkan betapa pentingnya sokongan daripada rakanrakan dalam melakukan setiap halangan yang disediakan. Begitu juga dengan aktiviti Flying Fox yang mana, bagi saya ini adalah aktiviti yang paling saya gemari selama berada di kem tersebut. Pada waktu malam, kami teruskan aktiviti kami dengan Malam Kebudayaan dimana setiap kumpulan diminta untuk melakukan persembahan pada malam tersebut. Aktiviti ini lebih kepada aktiviti yang santai kerana setelah seharian telah kami jalani aktiviti yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Kami menikmati malam tersebut dengan menonton gelagat-gelagat setiap ahli kumpulan mempersembahkan persembahan masing-masing. Bagi saya, hilangkan rasa malu adalah kunci kepada kejayaan untuk membuat persembahan di khalayak ramai. 9 Disember 2013, aktiviti terakhir kami di Kem Lembah Genting adalah aktiviti Explorace dimana di setiap checkpoint, para peserta perlu melakukan tugasan bagi

mendapatkan klu yang seterusnya. Kem ini banyak melatih diri untuk bersabar, bekerjasama dan berfikiran kreatif kerana disetiap checkpoint, tugasan yang diberikan boleh dikategorikan sebagai mencabar kerana kami diarahkan untuk mencari klu menggunakan mulut di dalam air yang agak kotor, menggunakan straw untuk mengisi air sungai ke dalam dua buah botol dan memakan telur mentah beserta dengan roti yang disertakan dengan belacan. Tepat jam 12.00 t/hari, kami berkumpul di dewan untuk majlis penutup yang dirasmikan oleh Dr. Syed Sofian. Kira-kira jam 2.00 petang, bas untuk membawa kamui pulang tiba di kem. Kami bertolak pulang kira-kira jam 2.15 petang. Kesimpulan yang dapat saya simpulkan selama 3 hari 2 malam berada di Kem Lembah Genting adalah kem motivasi ini banyak memberi faedah kepada kami dan ianya bertepatan dengan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dimana aktiviti yang dijalankan sedikit sebanyak membantu kami dalam memantapkan diri dan melengkapkan diri untuk menjadi seseorang yang dapat membimbing seseorang kearah yang lebih baik. Jutaan terima kasih kepada Dr. Syed Sofian kerana menganjurkan kem motivasi ini dan juga jutaan terima kasih kepada semua instruktor dan fasilitator terutamanya Cik Adawias dan Cik Pazilah kerana telah menjalankan tugasan mereka dengan jayanya.