Anda di halaman 1dari 2

1.0 Sejarah Olahraga Dunia Olahraga bermula pada kira-kira 3000 tahun yang lampau di Greece.

Olahraga dianggap sebagai acara sukan yang tertua di dunia. Peringkat awal sukan olahraga melihatkan bahawa orang-orang Yunani dan Roman cenderung kepada permainan-permainan membaling, sukan kereta kuda lumba, gusti dan sukan pertempuran. Sewaktu zaman pertengahan, anak-anak lelaki kepada orang orang bangsawan akan dididik untuk berlari, melompat dan bergusti sebagai tambahan kepada menunggang, berlawan tombak dan latihan senjata. Pada awal sejarah Olimpik Kuno, terdapat tempat untuk menjalankan tradisi olahraga tanpa pakaian Greek yang diperkenalkan pada 720 sebelum Masihi. Berdasarkan catatan sejarah, Olimpik Kuno mula diperkenalkan oleh Hercules, anak kepada Zeus dari zaman Yunani dan telah diadakan pada tahun 776 sebelum Masihi. Sukan ini diadakan pertama kalinya di Olympia, Greece iaitu tempat suci tuhan Greek. Anak-anak lelaki bangsawan yang telah dilatih untuk berlawan, bermain pedang, melompat, menunggang kuda, bermain tombak dan sebagainya telah menjadikan pentas sukan Olimpik untuk mempamerkan kehandalan mereka. Pada awal kewujudannya, Olimpik Kuno hanya disertai oleh kaum lelaki sahaja. Hadiah yang diberikan kepada pemenang adalah mahkota atau kalungan yang diperbuat daripada daun zaitun. Selain itu, pemenang juga akan menjadi pujaan ramai dan menjadi orang yang sangat dihormati. Nama pemenang juga akan dijadikan puisi atau dibuat satu ukiran patung khas yang menyerupai pemenang. Oleh sebab itu, mereka bersemangat untuk memenangi acara yang dipertandingkan. Sukan Olimpik Kuno terus berkembang dan diadakan setiap empat tahun sekali selama 1,200 tahun. Bagaimanapun, pada tahun 393 selepas Masihi, kerajaan empayar Yunani yang diperintah oleh Maharaja Theodosius I, seorang yang berfahaman Kristian mengharamkan sukan itu yang dikatakan menjadi festival bagi orang tidak beragama (pagan). Bagaimanapun, aktiviti berlari, melompat dan melontar tetap diteruskan oleh penduduk pada masa itu bagi mempamerkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk diadili oleh orang ramai. Oleh sebab pertandingan sukan olahraga menerusi Sukan Olimpik Kuno itu diadakan khusus untuk penduduk sekitar Greek sahaja, tiada negara lain yang sanggup meneruskan tradisi sukan tersebut maka akhirnya berkuburlah sukan itu. Hal ini berlanjutan sehingga abad ke-19. Walaupun tanpa sukan tersebut, mereka terus mengadakan pertandingan sesama mereka secara kecil-kecilan. Sukan Olimpik Moden telah diadakan buat kali pertama di Greece tahun 1896. Sukan ini dianjurkan oleh Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa yang bergabung dengan Majlis Olimpik Antarabangsa dan diadakan setiap empat tahun sekali. Baron Pierre de Coubertin telah menerajui sukan Olimpik tersebut. Pada Sukan Olimpik yang pertama itu, sebanyak 295 atlit telah menyertainya. Olahraga merupakan elemen yang paling penting dalam sukan Olimpik Moden dan dipraktikkan di semua negara kerana nilai pendidikan serta peranan olahraga tersebut boleh memberi peningkatan kepada fizikal individu. Olahraga juga merupakan asas yang diperlukan untuk mendapatkan prestasi optimum dalam

sukan lain. Tambahan pula, olahraga dapat menawarkan peluang kepada penyelidik untuk mengkaji pergerakan manusia. Di England, sukan Olahraga telah dikembangkan oleh Royal Military College di Sandhurst di mana temasya sukan bermula pada 1812. Kelab Olahraga yang pertama turut ditubuhkan iaitu The Necton Guild. Setelah itu, semakin banyak kelab olahraga yang ditubuhkan dan ada kelab olahraga peringkat universiti yang ditubuhkan iaitu pada tahun 1850 di Oxford University, Exeter College Athletic Club. Kejohanan kebangsaan yang pertama iaitu pada tahun 1866 pula telah dianjurkan oleh Amateur Athletic Club di England. Kejohananan antarabangsa yang pertama telah diadakan pada tahun 1876 antara England dan Ireland. Menjelang abad ke-20, ramai atlit Amerika Syarikat telah mampu mencatatkan prestasi yang memberangsangkan. Atlit dari negara Eropah lain juga turut cemerlang dalam acara-acara olahraga. Ternyata kebanyakan peserta dari negara Amerika Syarikat merupakan peserta kulit hitam. Pada ketika itu, atlit dari Asia dan Afrika masih belum mampu menyaingi kemampuan atlit dari Eropah. Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa telah ditubuhkan pada tahun 1912. Kewujudan IAAF telah menggerakkan program-program olahraga yang telah diubahsuai dan diperkembangkan secara berterusan. Selepas itu, semua negara boleh menganggotai badan tertinggi sukan olahraga dunia ini. Peranan IAAF ialah sebagai penasihat dan pengiktiraf kepada semua perjumpaan sukan terbesar ini. Persekutuan ini adalah satu-satunya badan atau pertubuhan yang boleh mengiktiraf sebarang rekod atau kejayaan yang dicapai oleh atlit. Segala peraturan dan undangundang yang berkaitan dengan olahraga adalah dibawah tanggungjawab IAAF. Bagi menjamin kejayaan sesuatu penganjuran sukan, perancangan dan pengurusan yang licin, bersistem dan berkesan amat diperlukan. Bermula dari peringkat sekolah, mereka yang terpilih akan mengambil bahagian pula di peringkat daerah, zon, negeri, kebangsaan sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Pada peringkat awal wanita-wanita tidak dibenarkan menyertai acara balapan dan acara padang Sukan Olimpik sehingga pada tahun 1928. Pada 1992 di Barcelona, lebih dari 135 negara telah menyertai sukan Olimpik ini. Cogan kata bagi Sukan Olimpik ialah Perkara yang penting didalam sukan bukanlah kemenangan, tetapi mengambil bahagian seperti perkara yang penting dalam hidup ialah berusaha. Berdasarkan kepada cogan kata inilah, banyak negara telah terdorong untuk mengambil bahagian walaupun amat sukar untuk mencapai sesuatu kemenangan.