di
Malaysia
adalah
satu
usaha
berterusan
ke
arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara. Berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, jelaslah bahawa matlamatnya adalah untuk melahirkan modal insan yang sempurna dan menghayati ciri-ciri seperti berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, dan negara, memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu serta juga memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Oleh hal yang semikian, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dipercayai dapat dijanakan untuk mencapai modal insan yang berkualiti kepada negara pada masa depan terutamanya menjelang Wawasan 2020. Pertama, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang disediakan dan dilaksanakan di sekolah adalah untuk melayan keperluan kanak-kanak bagi perkembangan potensi mereka. Tujuan ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menegaskan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Potensi ini dirujuk kepada bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang individu semenjak ia dilahirkan. Bakat dan kebolehan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang merupakan anugerah Tuhan. Maka, melalui Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, guru kaunselor boleh mengumpulkan dan menggunakan maklumat-maklumat berkenaan tentang murid untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan yang ada dalam setiap murid tersebut. Maklumat-maklumat ini biasanya diperoleh daripada teknik ujian seperti ujian pencapaian dan juga teknik bukan ujian seperti analisis dokumen iaitu kad laporan murid dan kad kumulatif murid. Daripada analisis tersebut, guru bimbingan dan kaunseling dapatlah membantu murid-murid merealisasikan potensi masing-masing. Dengan kata lain, kebolehan, bakat dan tenaga murid-murid dapat diagihkan bagi memaksimumkan pembelajaran sedia ada. Contohnya, murid-murid yang berbakat dalam bidang sukan boleh dicadangkan untuk melanjutkan pembelajaran ke MSSN demi perkembangan potensi mereka secara optimum. Ringkas kata, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dapat membantu mengembangkan semua bakat dan kebolehan yang ada pada diri
murid secara menyeluruh dan bersepadu hingga melahirkan modal insan yang produktif, berinisiatif dan berinovatif yang boleh memberi sumbangan kepada negara pada masa depan dengan segala kemahiran yang dikenalpasti dan diasahkan. Bukan itu sahaja, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling juga dapat membantu memupuk nilai tanggungjawab dalam kalangan murid terutamanya bertanggungjawab terhadap segala keputusan yang dibuat sama ada untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi ataupun membuat pilihan terhadap bidang kerjaya yang diminati. Hal ini kerana melalui perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, guru kaunselor yang berpengalaman akan menjalankan ujian-ujian seperti inventori personaliti dan inventori minat kerjaya terhadap murid-murid supaya lebih mengenali mereka. Tujuan ini adalah untuk membantu murid-murid memahami diri sendiri dengan melihat siapa sebenar dirinya, apa yang dimilikinya dan menolong individu-individu menyedari kekuatan dan kelemahan diri. Melalui cara ini, proses membuat keputusan dapat digalakkan kerana murid-murid dapat melihat sesuatu dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, guru Bimbingan dan Kaunseling akan membantu murid-murid untuk membuat keputusan mengenai aliran persekolahan yang akan diikuti sambil mereka melalui transisi daripada satu peringkat persekolahan ke peringkat yang lain. Hanya dengan membuat keputusan secara rasional dan tepat, murid-murid barulah dapat berpegang teguh kepada amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya dengan cekap. Tambahan pula, keyakinan diri murid dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa hingga lebih berkemampuan untuk menyelesaikan masalah. Justeru, modal insan yang berkualiti dari segi sikap dan personaliti dapat dilahirkan seperti yang telah ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi JERIS seperti yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah juga membantu memupuk kemahiran belajar dalam kalangan murid-murid. Setiap murid di sekolah mempunyai ciri-ciri perbezaan. Misalnya, ada murid-murid yang cenderung kepada gaya pembelajaran yang berbentuk visual (melihat), ada yang auditori (mendengar), dan ada pula yang kinestik (pergerakan). Oleh itu, bimbingan dan kaunseling di sekolah kerap mengadakan program-program yang bertema kemahiran belajar kepada murid-murid dengan mengambil kira gaya pembelajaran murid yang berbeza ini agar dapat memenuhi pelbagai kehendak mereka. Hal ini kerana gaya pembelajaran mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan pencapaian atau
kejayaan akaedmik murid. Seseorang murid mempunyai pencapaian yang rendah dalam akademik selalu dianggap lemah. Namun, pencapaian rendah murid tersebut juga mungkin disebabkan tidak mempunyai kemahiran belajar yang sesuai dengan gaya pembelajarannya. Dengan kata lain, murid yang cenderung kepada gaya pembelajaran yang berbentuk visual boleh mencatat nota dalam bentuk graf ataupun menukarkan tulisan kepada bentuk lukisan. Oleh itu, kemahiran belajar yang ditegaskan dalam program Bimbingan dan Kaunseling ialah kemahiran membaca, kemahiran mencatat nota, kemahiran mengingat, kemahiran menjawab soalan peperiksaan, kemahiran menghadapi peperiksaan, kemahiran berfikir, dan sebagainya. Pendek kata,
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah dapat membantu menjamin pencapaian akademik murid yang cemerlang demi kecerahan masa depan seperti menjawat jawatan yang tinggi dalam bidang kerjaya. Tidak dapat dinafikan bahawa modal insan yang terpuji dan berintelek juga telah dibangunkan secara tidak langsung. Seterusnya, sering kali kita dapat lihat daripada keratin akhbar yang sentiasa memaparkan berita mengenai murid-murid yang terlibat dalam gejala sosial. Hal ini amat menakutkan dan membimbangkan masyarakat pada zaman kini. Dari situ, sekali lagi dapat kita lihatkan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling amat diperlukan untuk mencapai modal insan yang seimbang dari segi JERIS kepada negara. Di sini, unsur rohani dan emosi akan ditegaskan dan dititiberatkan. Berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek-aspek seperti kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, kepercayaan beragama, berbudi pekerti mulia, dan lain-lain. Melalui bimbingan dan kaunseling, perkhidmatan pencegahan telah disediakan. Bak kata pepatah, Mencegah lebih baik daripada merawat. Perkhidmatan pencegahan ini disediakan untuk menghindarkan murid-murid terlibat dalam perbuatan salah laku yang akan menghancurkan imej masyarakat dan negara. Antara contohnya ialah menagih dadah, gangseterisme, meragut, pergaulan bebas dan sebagainya yang bertentangan dengan norma masyarakat. Untuk mencapai tujuan pencegahan ini, guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah sentiasa merancang untuk mengadakan pelbagai kempen dan ceramah. Misalnya, kempen pendidikan pencegahan penggunaan dadah, kempen anti-dadah, kempen anti-merokok, dan sebagainya. Semua kempen dan ceramah yang diadakan ini mempunyai hasrat yang sama iaitu menyedari dan menolong murid-murid memahami tentang dunia jenayah. Panduan dan nasihat yang diberi oleh guru Bimbingan dan
Kaunseling diharapkan dapat membantu mereka menjauhkan diri daripada kegiatan sosial yang tidak sihat itu demi keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Selain perkhidmatan pencegahan, perkhidmatan pemulihan juga disediakan oleh guru Bimbingan dan Kaunseling untuk membantu murid-murid yang bertingkah laku negatif ataupun bermasalah disiplin seperti suka melawan guru, bergaduh, vandalisme, tidur dalam kelas, dan sebagainya. Murid-murid ini akan dikumpulkan untuk menjalani kaunseling individu atau kelompok bertujuan membantu murid membuat sesuatu perubahan tingkah laku yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih produktif dan memuaskan. Contohnya, Ahmad selalu memberi respond yang negatif kepada guru semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Jadi ini akan menimbulkan masalah dan menganggu keberkesanan pengajaran. Semasa sesi bimbingan dan kaunseling, kaunselor akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Ahmad dan selepas itu membantunya mengubah tingkah laku supaya tidak menganggu keberkesanan pengajaran. Melalui cara ini, barulah murid dapat belajar berbudi pekerti mulia dan mengamalkan tingkah laku yang berdisiplin di sekolah. Kalau disiplin murid tidak diamalkan sejak bangku sekolah, pastilah bahawa modal insan yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri dan berkualiti tidak dapat dibangunkan demi kedamaian dan ketenteraman jiwa. Tambahan pula, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah juga berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi bantuan dan dorogan kepada muridmurid yang mengalami gangguan emosi. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan murid-murid hari ini mengalami gagguan emosi sama ada ringan ataupun serius. Misalnya, stress daripada ibu bapa, kekurangan yakin diri, pencapaian rendah dalam akademik, diejek oleh rakan lain, selalu dibanding dan dipandang rendah oleh orang dewasa, dan sebagainya. Gangguan emosi yang dialami oleh murid-murid sekolah tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan membawa kepada perkara yang tidak diingini seperti pembunuhan diri. Hal ini boleh dibuktikan dengan salah satu kes pembunuhan diri yang dapat diperoleh daripada berita Utusan Online pada 18 November 2007 di mana seorang murid Tahun 6 menggantung diri kerana sedih dengan keputusan UPSR. Berdasarkan teori Rasional Emotif, kepercayaan yang tidak rasional terhadap pengalaman yang dilalui akan menyebabkan seseorang itu bermasalah. Oleh itu, murid yang bermasalah dapat dikenalpasti dan dibantu melalui perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling untuk mengelakkan mereka berfikir tidak rasional hingga mengalami gangguan emosi yang serius. Di samping itu, unsur jasmani yang merangkumi dua aspek iaitu kecergasan fizikal dan kesihatan diri serta dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat juga dititiberatkan dalam perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling untuk melahirkan modal insan yang berkualiti seperti dalam tegasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aspek jasmani yang ingin ditegaskan dalam huraian bawah adalah lebih kepada aspek berdikari dan hidup bermasyarakat. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang disediakan di sekolah juga dapat membantu meningkatkan keupayaan murid-murid memula dan menjalinkan hubungan interpersonal dengan orang sekelilingi. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga murid yang bersifat pendiam disebabkan latar belakang keluarga. Dengan itu, guru Bimbingan dan Kaunseling akan berusaha mencari jalan supaya murid tersebut dapat meningkatkan kemahiran komunikasi. Sebagai contohnya: Mei Ling berasal dari keluarga yang porak peranda maka dia setiasa mendiamkan diri dan jauhkan diri daripada bergaul dengan kawan. Maka sebagai sorang kaunselor akan meluangkan masa berbual dengan dia supaya dia dapat bergaul dengan rakan yang lain. Kemahiran komunikasi yang dipupuk dan ditingkatkan dalam kalangan setiap murid dapat membantu mewujudkan perpaduan asalkan murid-murid dapat hidup bermasyarakat tanpa mengambil kira bangsa, agama, dan budaya terutamanya di negara kita yang berbilang kaum ini. Kesimpulannya, modal insan yang berkualiti dapat dicapai apabila semua potensi dirinya dikembangkan secara selaras, menyeluruh, dan harmonis. Ia menjadi insan yang sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta berikhtiar untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi dengan tenang. Oleh hal yang demikian, ia dapat menikmati ketenteraman dan ketenangan jiwa. Keseimbangan dan kesejahteraan yang dimiliki bukan sahaja bermanfaat pada dirinya, malahan ia tercermin dalam hubungannya dengan orang lain, dengan alam sekitaran dan dengan Maha Pencipta. Pendek kata, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling memainkan peranan penting bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan memperkembangkan sumber manusia secara optimum iaitu melahirkan modal insan minda kelas pertama di peringkat sekolah lagi demi kepentingan keluarga, masyarakat, dan negara.