Anda di halaman 1dari 1

Bahasa menjadi alat untuk menyatakan idea, pemikiran, dan suara hati individu yang disampaikan dalam bentuk

tulisan, ungkapan bicara, atau secara bermonolong dalam hati dan fikiran. Dari segi prakonsepsinya, bahasa dalam teks mempunyai makna teras yang penting yang ditafsirkan dari segi luarannya. Namun begitu, bagi teks yang baik, bahasanya bukan sahaja mempunyai makna teras yang jelas, tetapi mempunyai makna berlapis yang ditafsirkan hasil daripada pelbagai teori kritikan. Pembacaan yang menemukan permukaan dan kedalaman makna, hanya ditemukan dalam teks sastera kreatif. Maka, tidak hairanlah ketika zaman penjajahan di Tanah Melayu, hanya melalui karya sastera kreatif, seperti cerpen, puisi dan drama, semangat antipenjajah dapat disalurkan kepada masyarakat. Hal ini adalah kerana beberapa mesej besar dapat diselindung melalui mainan bahasa. Begitulah besarnya peranan bahasa yang ada kalanya bagai perumpamaan lebih tajam daripada pedang, lebih bisa daripada racun. Lantaran besarnya kesan dan pengaruh bahasa, maka bahasa dilihat sebagai jambatan penyatuan, apatah lagi di Malaysia, masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum Melayu, Cina, dan India yang mewarisi bahasa ibunda masing-masing. Maka, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Dengan hal itu, semua kaum melahirkan idea, pemikiran, dan perasaan mereka secara bebas dan terhormat dalam pelbagai bentuk; satu daripadanya melalui penulisan kreatif. Bagi memahami tuntutan hati, gejolak perasaan, mahupun harapan setiap kaum ini, perlulah ditafsirkan melalui karya mereka yang ditulis dalam satu bahasa yang difahami oleh semua kaum, iaitu bahasa kebangsaan. Kebanyakan teks sastera akan mendedahkan kebenaran yang terkandung dalam kisahnya hanya menerusi makna yang tersembunyi di bawah permukaannya. Dengan hal demikian, kesusasteraan merupakan bidang penting dalam pembentukan sebuah negara yang aman dan berdaulat. Dewan Sastera meninjau kembali keberkesanan konsep Sastera Kebangsaan dari sudut perpaduan kaum dan berusaha menyelusup hati kaum bukan Melayu bagi melihat harapan mereka terhadap dasar ini. Semuanya akan terjawab dalam Dewan Sastera Mac 2006.

Anda mungkin juga menyukai