Anda di halaman 1dari 4

PENGENALAN SENI ALAM MELAYU

Pengenalan Seni Alam Melayu menerangkan tentang seni tampak masyarakat di Alam Melayu khususnya di Malaysia. Seni tampak yang dimulai dengan lukisan-lukisan gua di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Seterusnya tentang artifak-artifak peninggalan zaman prasejarah. Seni kaum peribumi seperti kaum Jah Hut, Mah meri dan tenunan pua kumbu oleh kaum Iban juga dibincang untuk lebih mengenali seni Alam Melayu. Simbol -simbol yang digunakan pada karya seni mereka dan maknanya dikaji untuk mentafsirkan mesej yang ingin disampaikan. Seni di Alam Melayu telah lama wujud. Kewujudannya dibuktikan dengan penemuan-penemuan pelbagai artifak sejarah khususnya artifak seni di beberapa tapak arkeologi di seluruh negara. Artifak-artifak sejarah meliputi hasil seni seperti artifak peninggalan Zaman Logam. Selain artifak-artifak, lukisan-lukisan di gua juga merupakan manisfestasi manusia terhadap kehidupan mereka dan membuktikan bahawa manusia di zaman dahulu telah mempunyai cara untuk mengekspresi perasaan mereka seperti lukisan-lukisan gua yang terdapat di Bukit Tambun, Perak, Gua Balambangan, Sabah dan Gua Niah, Sarawak. Lakaran pada dinding-dinding gua menunjukkan hubungkait yang sangat rapat antara kehidupan dan alam sekitar. Lakaran-lakaran yang dihasilkan kelihatan tidak bertindih di antara satu sama lain. Penceritaan tentang sesuatu peristiwa itu sangat signifikan dan istimewa seolah-olah dirancang. Pada asalnya seni tampak di Alam Melayu lahir kerana keinginan manusia untuk menghasilkan peralatan bagi memudahkan urusan atau kehidupan seharian mereka. Penghasilan peralatan seperti peralatan memburu dan pertanian telah membuktikannya. Penghasilan patung-patung dikalangan kaum pribumi bukan untuk tujuan beribadat atau untuk disembah. Kaum-kaum pribumi yang masih kuat pegangan animisnya menganggap ukiran-ukiran ini sebagai satu cara untuk berhubung dengan dunia roh yang mereka percayai wujud di dalam alam semulajadi. Manusia zaman dahulu juga ingin mengekpresikan hubungan antara alam dan kehidupan mereka. Semangat alam diadun dengan kepercayaan dan disebatikan dalam kehidupan. Kepercayaan mereka terhadap alam telah melahirkan beberapa pantang larang dalam transformasi bentuk alam ke bentuk tampak. Motif-motif pada pua kumbu misalnya, tidak akan dihasilkan sewenang-wenang oleh penenunnya. Pelbagai pantang larang masih dipegang untuk menghindarkan penenun daripada ditimpa pelbagai musibah. Lukisan Gua Lukisan awal telah ditemui di dinding-dinding gua yang dihasilkan oleh manusia purba. Lukisan tersebut berkisar tentang aktiviti kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan. Di Malaysia, lukisan gua telah dijumpai di Gua Tambun di Perak, Gua Niah di Sarawak dan Gua Balambangan di Sabah. Kebanyakan karya lukisan di dinding gua menggunakan

gaya yang sama, iaitu imej binatang digambarkan dengan pelbagai kualiti garisan ringkas dengan komposisi yang hampir sama, iaitu memanjang dan berkumpulan serta menggambarkan pelbagai binatang yang mungkin menjadi hasil buruan untuk makanan mereka pada zaman dulu. Menurut M. Matthews, seorang penulis yang menulis di dalam terbitan isu Malaya Dalam Sejarah Majalah Persatuan Sejarah Malaya pada bulan November 1959 berkata, Lukisan di Gua Tambun menggunakan satu warna tidak jelas. Dalam sesetengah kumpulan, warnanya unggu pekat dan dalam kumpulan lain, warnanya merah pudar. Banyak lukisan ini memaparkan individu-individu lelaki yang dilukis kasar. Ada di antara haiwan yang dilukis ini mudah untuk dikenalpasti tetapi ada juga yang kurang jelas dan imaginasi diperlukan untuk membayangkan apa sebenarnya yang cuba digambarkan oleh pelukis tersebut. Tetapi kebanyakan lukisan di sini agak jelas di lihat dan memaparkan haiwan seperti dugong, tapir, dan rusa. Rusa yang dilukis di sini amat menarik kerana kesemuanya kelihatan seperti rusa betina yang sedang bunting dan salah satu darinya juga mempunyai bayangan anak rusa di dalam perutnya! Pada suatu masa dahulu, lukisan yang membentuk galeri gambar ini terpampang sepanjang lebih dari seratus kaki, tetapi masa dan cuaca telah menghapuskan sebahagian besar lukisan ini. Sesetengah kajian mengatakan bahawa hematit (bahan yang menghasilkan warna merah) telah digunakan untuk menghasilkan lukisan-lukisan gua di Gua Tambun. Kebanyakkan pengkaji percaya bahawa ia telah dilukis oleh masyarakat Zaman Noelitik. Selain itu, terdapat juga lukisan lain di gua tersebut yang dipercayai dilukis oleh masyarakat awal orang asli seperti yang terdapat di Lenggong, Sungai Siput, Perak, di Hulu Kelantan, di Pahang dan juga di Kedah. Lukisan-lukisan tersebut boleh dikelompokkan ke dalam beberapa bentuk iaitu bentuk manusia, haiwan, geometrik, sampan, unsur alam dan juga bentuk abstrak. Ia dihasilkan dengan menggunakan arang. Pada bahagian lain di Gua Kain Hitam, yang terletak berdekatan dengan Gua Niah, lukisan dinding sepanjang 200 kaki telah dijumpai. Garisan-garisan pada lukisan tersebut adalah tebal dan menggambarkan sebuah bot panjang dan susunan manusia yang menari. Turut dijumpai di Gua Kain Hitam tersebut adalah bot-bot lama, tembikar China dan manik kaca. Lukisan-lukisan ini dilukis menggunakan tanah atau batu merah yang berada tidak jauh dari gua tersebut. Manakala lukisan di dinding Gua Balambangan, Sabah menggambarkan cantuman bentuk laktis ( oval berjalur) dengan garisan memanjang. Bentuk-bentuk sebegitu mungkin satu bentuk abstrak yang menggambarkan satu fenomena di ketika itu. Di Gua Tasob Madai pula terdapat lukisan gua yang mewakili lukisan gua Zaman Neolitik. Lukisan ini menggunakan arang dengan gambaran motifmanusia, unsur alam, haiwan, sampan dan abstrak. Motif-motif ini menjadi bukti tentang aktiviti manusia di ketika dahulu.

Artifak Artifak bermaksud barang-barang buatan manusia (terutama alat perkakas dan senjata) yang merupakan peninggalan sesuatu zaman. Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400. Faktor cuaca banyak memberi kesan pada artifak-artifak prasejarah termasuk barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batubatu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13. Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah. Buktibukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang. Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Seni Pribumi
Di kalangan masyarakat Asli tempatan seperti kaum Mah Meri di Pulau Carey dan Jah Hut di Pahang, topeng adalah tunggak budaya mereka. Pelbagai jenis topeng yang terdapat dalam masyarakat Asli serta diberi nama tertentu seperti Roh, Poyang, Moyang, Bes, dan Hantu. Kaum asli ini membuat topeng untuk tujuan penyembahan dan perubatan. Topeng-topeng ini pada mulanya diukir oleh bomoh atau batin. Kaum Jah-hut Suku kaum Jah-hut adalah suku bangsa Senoi yang mendiami negeri Pahang. Kaum ini terkenal dengan hasil anyaman dari mengkuang dan pandan, bertam, buluh dan rotan. Selain hasil anyaman, kaum Jah-hut juga sememangnya sinonim dengan pengukiran kayu terutama penghasilan arca dan merupakan lanjutan untuk kepercayaan keagamaan mereka.

Pengukiran kayu merupakan salah satu sumber pendapatan kaum Jah-hut. Segala ciptaan dari ukiran kayu adalah berasaskan kepada imaginasi dan mimpi yang menggambarkan kuasa baik atau jahat yang ada perkaitan dengan sistem kepercayaan dan kehidupan mereka. Setiap ukiran mempunyai pelbagai maksud dari segi kepercayaan, mistik, keagamaan, lagenda serta gambaran kehidupan mereka.

Anda mungkin juga menyukai