Anda di halaman 1dari 17

PLASTIK: SATU EVOLUSI, INOVASI ATAU ANCAMAN DALAM IDENTITI SENI KRAFTANGAN DI SARAWAK Faridah Sahari Fakulti Seni

Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak 94300 Kota Samarahan, Sarawak, MALAYSIA Emel: sfaridah@faca.unimas.my Tel: +6082 581428 Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak 94300 Kota Samarahan, Sarawak, MALAYSIA Emel: hrahah@faca.unimas.my Tel: +6082 581430

Rahah Hj Hassan Abstrak Kajian ini berkaitan dengan perubahan dalam penghasilan produk kraftangan khasnya di Sarawak yang memfokuskan kepada faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan plastik sebagai bahan alternatif dan persepsi serta kesedaran masyarakat terhadap perubahan ini. Secara umumnya, seni kraftangan Sarawak telah wujud beratus tahun yang lalu. Setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri yang menjadi lambang kepada adat dan budaya setiap lapisan etniknya. Kehalusan hasil anyaman, ukiran dan tenunan dari negeri ini sering diangkat sebagai produk seni berkualiti tinggi. Teknik penghasilan serta motif yang diterapkan pada produk krafnya yang begitu sinonim dengan elemen-elemen semulajadi juga sering dijadikan sumber rujukan bagi pengkaji seni samada dari dalam mahupun luar negara. Tidak dapat dinafikan, perubahan arus kemodenan sedikit sebanyak telah memberi impak kepada seni kraf di Sarawak. Ini dapat dilihat daripada penghasilan produk krafnya yang seolah-olah terarah dan menjurus kepada penggunaan material/bahan plastik sebagai sumber alternatif kepada bahan-bahan semulajadi yang lazimnya digunakan seperti buluh, kayu, bemban, rotan dan sebagainya. Sesuaikah kita mendefinasikan fenomena ini sebagai satu bentuk evolusi, inovasi atau rona-rona kemusnahan yang sedang menular dalam dunia seni kraf di Sarawak? Sejauh mana nilai-nilai keaslian seni kraf Sarawak daripada aspek penggunaan material, itu masih lagi dikekalkan? Itulah persoalan-persoalan yang menjadi titik mula dalam menjalankan kajian ini; berteraskan kepada beberapa aspek yang merangkumi; mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada perubahan ini serta persepsi dan kesedaran masyarakat tentang fenomena ini. Menngunakan data yang dikumpul melalui kaedah kualitatif dalam bentuk fotografi dan pemerhatian terhadap produk-produk seni kraftangan. Di samping itu, kaedah temubual di sekitar Kuching, Kota Samarahan, Serian dan Betong juga akan digunakan dikategorikan kepada dua bahagian iaitu respondenresponden yang terdiri daripada pakar (pembuat produk kraf) dan responden-responden yang terdiri daripada orang awam yang dipilih secara rawak bagi menyokong lagi kajian ini. Interpretasi terhadap dapatan dan maklumat kajian akan dapat menjelaskan persoalan-persoalan tentang fenomena ini dengan lebih tepat lagi berdasarkan faktor-faktor yang mempengaruhi atau menyumbang kepada perubahan tersebut. Kajian juga mengambilkira pandangan dan reaksi masyarakat terhadap isu ini. , serta pandangan serta kesedaran masyarakat mengenai isu ini. Selain itu, kajian ini juga diharap dapat mengenengahkan saranan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh setiap pihak yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dalam penghasilan produk kraf. Ini sekaligus melihat kepada pemeliharaan daripada segi keaslian reka corak seni kraf Sarawak dapat dikekalkan serta kesinambungan penerapan nilai apresiasi terhadap seni kraf dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Pengenalan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai pelbagai etnik yang terdiri daripada Melayu, Iban, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan banyak lagi. Setiap satunya mempunyai adat, budaya dan seni yang unik dan halus. Ianya jelas terbukti apabila nilai-nilai ini terpapar dalam hasil seni kraftangan masyarakatnya . Pua kumbu, tikar rotan, bakul bemban, ukiran kayu, tembikar dan manik merupakan sebahagian daripada produk kraftangan yang begitu sinonim dengan Bumi Kenyalang. Motif-motif tertentu diterapkan bagi melambangkan identiti setiap etniknya yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan kepercayaan mereka. Tujuan Penghasilan Produk Menurut Sulaiman (1989), kraftangan didefinasikan sebagai aktiviti atau kegiatan penghasilan produk: daripada hobi atau kegiatan kegemaran individu yang berbentuk tradisional yang dihasilkan secara tradisional dan digunakan secara turuntemurun yang mempunyai fungsi tertentu artycraft barangan yang dibuat yang mempunyai nilai seni yang sangat tinggi kraf komersial barangan untuk dijual Begitu juga halnya dengan setiap produk seni kraf yang dihasilkan di Sarawak. Ia direka khas untuk fungsi dan tujuan yang tertentu termasuklah untuk perhiasan, kegunaan harian sehinggalah untuk upacaraupacara ritual yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakatnya. Seni tangan yang begitu halus dan unik ini adalah faktor yang membuatkan seni kraftangan Sarawak diangkat sebagai antara yang terbaik di dunia.

Dahulunya, masyarakat pribumi di negeri ini, terutamanya kaum wanita menghasilkan produk kraftangan sebagai satu budaya atau gaya hidup yang dilakukan secara rutin harian dan hobi samada secara persendirian mahupun berkumpulan. Boleh dikatakan bahawa aktiviti ini merupakan satu aktiviti sosial penduduk setempat yang menjadi medan bertukar pendapat, berkongsi ilmu dan bersantai disamping mampu menjana pendapatan melalui jualan produk kraf. Kemahiran yang diturunkan daripada nenek moyang mereka sentiasa dipraktikan agar ianya dapat diwarisi oleh generasi yang seterusnya. Bagi sesetengah kaum, kemahiran dalam penghasilan produk seni kraf ini dikatakan mampu mengangkat martabat seseorang di kalangan masyarakat tersebut. Selain itu, kegiatan ini juga dapat memanfaatkan sumber semulajadi yang banyak terdapat di persekitaran mereka. Namun sekarang, kegiatan ini lebih berorientasikan kepada kegiatan sosio-ekonomi bagi menjana pendapatan yang merupakan sumbangan utama bagi perkembangan ekonomi masyarakat pribumi di Sarawak. Tidak dapat dinafikan, perubahan arus kemodenan sedikit sebanyak telah mempengaruhi perkembangan seni kraftangan di Sarawak. Ia dapat dilihat daripada teknik pembuatan produk, motif-motif yang diterapkan dan penggunaan bahan dalam penghasilan produknya. Kehadiran teknologi moden seperti peralatan dan mesin yang telah diperkenalkan kepada pembuat produk kraftangan banyak membantu mereka mempermudahkan kaedah pembuatan yang sebelumnya dilakukan secara manual atau secara tradisional. Penggubahsuaian serta pengadaptasian motif-motif tradisional dalam produk kraf yang bercirikan kontemporari membayangkan kewujudan perubahan dalam perkembangan seni kraftangan di Sarawak. Daripada aspek penggunaan bahan pula, dahulunya bahan-bahan semulajadi yang mudah didapati di kawasan persekitaran dan penempatan sesebuah masyarakat seperti buluh, kayu, bemban dan rotan lazimnya digunakan dalam pembuatan produk kraf. Namun kini, jika diperhatikan, produk kraftangan yang terdapat di pasaran pada masa sekarang lebih terarah dan menjurus kepada penggunaan bahan campuran; semulajadi dan bahan plastik. Malah ada juga produk kraf ini yang menggunakan sepenuhnya bahan plastik. Kurangnya keperihatinan masyarakat sekarang untuk mengambil tahu tentang asal usul

seni bangsa mereka serta memahami maksud di sebalik motif, kaedah pembuatan, pemilihan bahan, bentuk dan fungsi sesuatu produk kraftangan mendorong pengkaji melihat kepada signifikannya kajian ini. Kajian ini mengupas isu-isu yang berkaitan dengan perubahan dalam penghasilan produk kraftangan khasnya di Sarawak yang memfokuskan kepada faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan plastik sebagai bahan alternatif serta persepsi dan kesedaran masyarakat terhadap perubahan ini Ekspresi Identiti Etnik Setiap etnik di Sarawak mempunyai keunikan seni dan budaya yang tersendiri yang diangkat sebagai simbol identiti mereka. Perkara ini telah jelas ditonjolkan dalam produk seni kraftangan mereka seperti anyaman, tekstil, manik dan alat-alat senjata. Penggunaan motif, bahan, warna dan fungsi sesuatu produk itu juga mampu melambangkan asal usul produk kraftangan itu sendiri.

Produk A:Tambok/Serian
Gambarajah 1 Bakul pelbagai guna

Produk B: Kaleng/Belaga

Penerapan motif yang berbeza menunjukkan bahawa kedua-dua produk bakul pelbagai fungsi ini dihasilkan oleh dua etnik dari daerah yang berlainan. Ianya lebih dikenali sebagai Tambok di kalangan masyarakat Sarawak dan merupakan hasil seni anyaman yang sinonim dengan masyarakat Bidayuh. Walaubagaimanapun, produk yang menggunakan buluh atau bemban sebagai bahan asas anyaman ini juga dihasilkan oleh orang Ulu yang dikenali sebagai Kaleng.

Produk A: Lun Bawang/Miri

Produk B: Melanau/Mukah

Gambarajah 2 Alat penutup/pelindung kepala

Cerindak merupakan alat yang digunakan sebagai penutup atau pelindung kepala daripada panas dan hujan terutama apabila berada di kebun atau sawah. Seperti yang ditunjukkan dalam Gambarajah 2, Produk A adalah produk yang dihasilkan oleh etnik Lun Bawang dari Miri yang menggunakan buluh sebagai bahan asas dalam pembuatannya. Manakala Produk B pula berasal dari Mukah; merupakan kerja tangan kaum Melanau yang menggunakan daun nipah sebagai bahan asasnya. Produk A dan B mungkin mempunyai fungsi yang sama, namun berdasarkan motif/corak serta bahan pembuatan yang berlainan memberi indikasi bahawa produk ini dihasilkan oleh etnik yang berbeza. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah masyarakat di Sarawak menggunakan pendekatan kraf dalam mengekspresikan keunikan seni, budaya dan warisan setiap etniknya dalam membentuk identiti yang tersendiri.

Simbolik Adat dan Budaya

Motif Akar
Motif Akar Motif Dulang

Sintung Menarang/Bangin

Motif Bulan

Motif Burung

Motif Burung
Gambarajah 3 Bakul Tradisional Pengantin

Gambarajah 3 menunjukkan Sintung Menarang/Bangin atau bakul pengantin yang merupakan hasil kraftangan etnik Iban. Ianya dianyam sedemikian rupa oleh bakal ibu mertua sebagai pemberian simbolik tanda kasih kepada bakal menantu perempuannya sempena majlis perkahwinan. Bakul ini digunakan untuk menyimpan barangan peribadi seperti alat solek dan perhiasan. Dengan menggunakan buluh sebagai bahan utama dan rotan sebagai bingkai. Senggang (sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman) yang dianyam dijadikan sebagai lapisan dalam bakul. Terdapat empat motif berlainan yang diterapkan pada setiap sisi bakul ini, iaitu motif bulan, dulang, burung dan akar. Setiap motif yang diterapkan pada produk ini melambangkan kecantikan, keindahan dan kesempurnaan pengantin perempuan yang diharapkan oleh pembuatnya. Gabungan ciri-ciri (motif, bentuk anyaman serta penggunaan warna - merah, hitam dan warna asal bahan) yang ditampilkan oleh produk ini mampu menonjolkan asal-usul serta etnik yang menghasilkan produk ini. Kemahiran yang tinggi adalah diperlukan untuk mencapai hasil yang sedemikian. Ketelitian menganyam dan penyediaan bahan amatlah dititikberatkan agar tahap kualiti yang dikehendaki mampu dicapai. Apa yang jelas di sini, etnik di Sarawak menganggap produk kraftangan sebagai representasi kepada keunikan identiti etnik yang melambangkan warisan dan budaya mereka.

Plastik Sebagai Satu Alternatif Plastik merupakan bahan yang terhasil daripada petroleum; terbentuk daripada rangkaian molekul yang panjang yang samada berselirat ataupun yang melekat dengan kuat. Bahan ini mula diperkenalkan dalam awal abad ke-20 iaitu sekitar tahun 1907-1909 (Kalpakjian, 1995, Mosman, 2006) dan penggunaannya terus berkembang dengan cepat. Adalah amat sukar untuk mendapati produk yang berada di pasaran sekarang yang tidak menggunakan plastik sebagai bahan pembuatannya; samada sebahagian ataupun sepenuhnya daripada bahan ini. Ia mempunyai sifat-sifat yang dikatakan menakjubkan dan kewujudannya dianggap sebagai satu bentuk tranformasi alam (Mossman, 2006). Kemampuan bahan tersebut untuk menyamai ataupun mengatasi sesetengah bahan semulajadi yang lain seperti kaca, kayu dan seramik membolehkan penguasaan produk daripada bahan ini di pasaran berkembang dengan begitu meluas.

Plastik Sebagai Satu Evolusi Golongan yang menyambut baik penggunaan bahan plastik dalam penghasilan produk kraftangan melihatnya sebagai satu bentuk evolusi dalam industri ini; sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Mereka berpendapat, para penggiat seni kraftangan seharusnya bergerak seiring dengan perubahan ini agar kaedah pembuatan, rekabentuk dan penggunaan bahan produk kraftangan tidak lagi berada ditakuk lama. Ia bukan sahaja dapat mendedahkan para pembuat produk kraftangan kepada teknologi yang boleh diaplikasikan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pembuatan sekaligus melonjakkan kualiti dan kuantiti pengeluaran untuk tujuan pengkomersialan.

Gambarajah 4 Penggunaan Bahan Plastik dalam Produk Kraftangan

Gambarajah 4 menunjukkan beberapa rekabentuk produk kraftangan yang menggabungkan penggunaan plastik seperti Poly-Vinyl-Chloride (PVC) dalam menampilkan gaya eksklusif dan kontemporari. Daripada produk yang hanya dilihat sebagai hasil kraftangan, gabungan kedua-dua bahan seakan memberi nafas baru dari segi rekabentuk yang lebih mengikut kepada perubahan zaman. Malah, ia kini mampu bersaing dengan produk kulit pada harga yang lebih kompetitif. Kemampuan produk kraftangan yang menepati citarasa masa kini dilihat berpotensi untuk menembusi pasaran global.

Plastik Sebagai Satu Inovasi Sifat-sifat Bahan Antara produk kraftangan Sarawak yang menjadi pilihan pelancong ialah produk-produk yang kecil, murah dan tidak mudah rosak atau patah (Heidi, 1989). Contohnya, produk yang diperbuat daripada buluh dan rotan sering menjadi pilihan kerana ia tidak menimbulkan kesukaran dari segi pengangkutan dan pembungkusan kerana sifat ketahanannya. Cabaran utama yang dihadapi oleh penggiat dan pengusaha kedai kraf ialah penjualan produk kraftangan asli yang kurang memberangsangkan kerana kekangan saiz dan ketahanan produk tersebut. Justeru, sifat-sifat plastik seperti kalis air, mudah lentur, mudah dibentuk menggunakan acuan dan tahan lasak dilihat berpotensi diaplikasikan dalam pembuatan produk kraftangan bagi meningkatkan kualiti dari segi ketahanan; membolehkannya tidak mudah rosak, pecah atau patah. Gambarajah 5 menunjukkan dua produk bakul yang masing-masingnya menggunakan bahan semulajadi dan plastik. Bakul yang diperbuat daripada plastik pastinya lebih tahan lama berbanding dengan yang diperbuat daripada bahan semulajadi kerana kebaikan sifat-sifat plastik yang terserap di dalamnya.

Produk A: Bakul Tradisional

Produk B: Bakul Plastik

Gambarajah 5 Bakul tradisional dan plastik

Sumber Bahan Plastik merupakan bahan sintetik yang membolehkan sumber ini diperolehi secara berterusan. Tidak seperti bahan semulajadi yang sumbernya akan lupus sekiranya tiada usaha tanam semula. Tempoh matang atau tempoh ia boleh digunakan pastinya mengambil masa yang lama. Isu tidak cukup sumber atau bekalan bahan yang tidak konsisten tidak timbul sekiranya bahan plastik digunakan kerana lambakan dan kemudahdapatan bahan ini di pasaran. Tambahan, ia boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan bahan semulajadi. Bahan semulajadi seperti rotan walaupun mempunyai ketahanan yang tinggi tetapi ianya sukar diproses. Manakala rotan yang telah siap diproses hanya boleh didapati di tempat tertentu di Sarawak seperti Sibu dengan kos RM28 sekilogram. Berbanding rotan, pita polystryrene (PP) hanya berharga RM10 untuk satu kilogram. Selain lebih 64% lebih murah, bahan ini juga mudah didapati dalam pelbagai pilihan warna di kebanyakan kedai alat perkakasan (hardware). Tambahan lagi, jika pita PP itu diperolehi daripada bahan buangan pembungkusan, maka tiada kos bahan yang terlibat dalam pembuatan produk. Bukan sahaja proses penyediaan bahan tidak perlu dilakukan, malah penghasilan produk kraftangan seperti ini menyokong usaha penggunaan bahan kitar semula yang lebih efesien dan efektif. Gambarajah 6 menunjukkan kepelbagaian variasi bakul rotan dan bakul plastik PP yang ada di pasaran pada masa kini. Pastinya produk bakul PP menawarkan satu alternatif baru kepada pengguna .

Bakul rotan pelbagai bentuk

Bakul plastik pelbagai pilihan

warna
Gambarajah 6 Bakul rotan dan plastik

Imitasi Plastik adalah bahan mampu diolah untuk membolehkannya menyamai tekstur, warna dan sifat bahanbahan semulajadi. Melalui penggunaan teknologi moden yang sedia ada, produk kraf yang diperbuat daripada plastik mampu dihasilkan setanding malah lebih baik daripada yang diperbuat daripada bahan semulajadi kerana ciri-ciri estetika (tekstur, rupabentuk dan warna) atau sifat (ketahanan) yang dikehendaki dapat dicapai.

Manik Kaca

Manik Plastik

Manik Seramik
Gambarajah 7 Seni kraf manik

Manik Plastik

Seperti etnik-etnik lain di Sarawak, etnik Orang Ulu juga mempunyai kemahiran dalam menghasilkan produk kraftangan. Mereka amat sinonim dengan keunikan seni kraf manik. Manik-manik yang terhasil samada daripada kaca atau tanah liat dibuat dengan menggunakan kaedah tradisional. Kaedah ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi. Tambahan juga

kaedah yang diamalkan daripada turun-temurun ini perlu melalui beberapa peringkat pemprosesan dan ini mengambil masa yang lama untuk menyiapkan satu-satu produk. Gambarajah 7 menunjukkan empat produk kraftangan berasaskan manik iaitu manik kaca, manik seramik dan dua jenis manik plastik dengan rekabentuk berbeza. Jika diperhatikan, produk kraf manik yang terhasil daripada bahan plastik tidak jauh bezanya berbanding dengan manik tradisional; iaitu manik kaca dan seramik. Malah dengan sifatnya yang lebih ringan dan tahan lasak (tidak mudah pecah), manik plastik berkelebihan daripada segi keselesaan dan tahap ketahanannya. Manakala proses pembuatannya pula menggunakan teknologi yang membolehkannya dihasilkan pada kadar yang cepat dalam kuantiti yang banyak. Variasi Gambarajah 8 menunjukkan tiga rekacorak anyaman produk bakul yang menggunakan pita PP sepenuhnya. Setiap satunya dihasilkan hanya menggunakan teknik anyaman yang paling asas iaitu anyam satu dan anyam dua. Walaupun tiada motif-motif tertentu yang ditonjolkan, namun penggunaan warna, corak dan ciri-ciri tambahan lain seperti lipatan tiga dimensi (tekuyung/siput) mampu menghasilkan corak yang memberi nilai tambah kepada ciri estetika pada produk-produk tersebut. Tanpa memerlukan kemahiran yang tinggi dalam teknik menganyam, pelbagai cara lain boleh diadaptasi dan diolah bersesuaian dengan sifat fizikal bahan yang digunakan. Sekaligus memperbaharui kaedah atau teknik anyaman dalam menghasilkan satu produk bakul yang berinovasi.

Gambarajah 8 Inovasi penggunaan plastik dalam produk anyaman

Kaedah Pembuatan dan Teknologi

Pada zaman dahulu, parang merupakan senjata utama yang digunakan semasa dalam peperangan. Di Sarawak, parang ilang atau mandau merupakan senjata tradisional yang sering dikaitkan dengan tradisi memenggal kepala atau ngayau khususnya di kalangan kaum Dayak (Paran, 2010). Mereka

mempercayai bahawa parang ilang yang sering digunakan untuk memenggal kepala akan mendapat tuah atau keramat. Manakala, pemiliknya pula akan dianggap sakti dan ini secara tidak langsung meningkatkan status sosialnya dalam kalangan masyarakatnya. Pembuatan parang; mengukir hulu dan sarung; mempunyai pantang larangnya sendiri dan sering kali disertakan dan dikaitkan dengan unsur-unsur ritual dan magis (Heidi, 1989). Hanya golongan tertentu yang mempunyai kemahiran yang diwarisi daripada nenek moyang yang dianggap layak untuk menghasilkannya. Lazimnya motif picturesque design seperti manusia atau haiwan digunakan dalam penghasilan parang samada hulu atau sarung.

Produk A

Produk B

Produk C

Gambarajah 9 Penggunaan teknologi plastik dalam produk ukiran kayu

Gambarajah 9 menunjukkan tiga hulu parang yang berbeza daripada segi motif ukiran, penggunaan bahan dan cara pembuatan. Produk A mempamerkan kehalusan seni ukiran kayu yang dihasilkan secara manual dan tradisional dengan menerapkan motif lemetak (yang bermaksud lintah atau pacat dalam Bahasa Iban). Bagi Produk B, walaupun ianya masih mengekalkan kaedah pembuatan tradisional (ukiran secara manual) namun tidak ada motif tertentu yang diterapkan. Manakala Produk C pula, ia menggunakan teknologi moden dalam penghasilan hulunya iaitu menggunakan kaedah injection moulding. Kaedah

pembuatan bagi bahan plastik ini mampu menghasilkan bentuk-bentuk yang kompleks pada kadar yang cepat. Jika dibanding dari sudut nilai estetikanya, pasti Produk A yang menjadi pilihan.

Walaubagaimanapun, fokus dan tujuan utama penghasilan ketiga-tiga hulu parang ini pastilah berbeza. Porroduk A dikategartycraft atau untuk kegunaan seharian yang sekaligus membezakan penampilan estetika dan kaedah pembuatannya.

Plastik Sebagai Satu Ancaman

Industri plastik mula mewarnai pasaran dunia pada era 70an dan ini telah menimbulkan kebimbangan kepada golongan yang terlibat secara langsung dalam penghasilan produk kraftangan. Bertitik tolak daripada kebimbangan inilah maka tertubuhnya Lembaga Kraftangan Malaysia pada 14 Mei 1973 yang bertindak sebagai platfom bagi memelihara khazanah seni, budaya dan warisan serta meningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap seni kraftangan masyarakat di Malaysia (Kraftangan, 2010). Bagi sebahagaian masyarakat yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap intervensi plastik dalam produk kraftangan, mereka mempunyai persepsi bahawa sekiranya produk itu langsung tidak mengekalkan reka bentuk dan motif tradisional, maka simbol unik yang menjadi identiti bagi satu-satu etnik di Sarawak pasti akan lenyap. Walaupun plastik dikatakan sebagai a superior material yang mempunyai sifat-sifat luarbiasa dari segi ketahanan, keupayaannya menyerupai bahan semulajadi dan mudah untuk dibentuk, namun penghasilan produk kraftangan secara tradisional dengan menggunakan bahan semulajadi memberi satu kepuasan yang tersendiri kepada pembuat dan juga pemiliknya. Bagi golongan ini, produk kraftangan yang diperbuat daripada plastik tidak mungkin mampu menyamai apa lagi mengatasi bahan semulajadi daripada segi nilai kesenian dan estetikanya. Malah, mereka juga beranggapan produk kraf plastik sebagai tasteless atau tiada citarasa. Mereka juga berpandangan bahawa tidak menggunakan bahan semulajadi bererti tidak mempraktikan kerja-kerja pemprosesan bahan mentah seperti merebus, melerai, mewarna dan sebagainya. Apa yang kita sedia maklum, kemahiran penghasilan produk kraftangan bukan sahaja berfokus kepada pembuatan

produk semata-mata, malah ia juga seharusnya melibatkan pengetahuan terhadap sifat-sifat sesuatu bahan semulajadi tersebut agar kesesuaian untuk sesuatu fungsi, makna dalam penggunaannya (ritual, perhiasan atau penggunaan harian) dan langkah-langkah penyediaannya juga penting. Sekiranya pengetahuan ini tidak dipraktikan secara berterusan dan diturunkan kepada generasi seterusnya maka ianya pasti lupus dimakan zaman. Persoalannya, adakah kita membenarkan ini untuk berlaku dan apa yang harus kita lakukan?

Inisiatif dan Pendekatan Pemeliharaan Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak Kerajaan dan Badan-badan yang berkaitan seperti Majlis Kraf Sarawak, Institut Kraf Negara, Kraftangan Malaysia dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dalam menangani isu ini. Pelbagai mekanisme diwujudkan sebagai langkah dalam memastikan warisan dan budaya yang menjadi pegangan dan kebanggaan etnik Sarawak selama ini kekal dimiliki oleh generasi yang seterusnya. Aktiviti-aktiviti termasuk bengkel dan program latihan kraftangan diadakan dalam memberi bimbingan secara berterusan. Insentif kewangan, penyediaan kemudahan infrastruktur seperti mesin dan peralatan serta subsidi pembelian bahan mentah adalah beberapa bentuk bantuan untuk menarik minat terutamanya di kalangan generasi muda untuk berkecimpung dalam

industri ini. Inisiatif Majlis Kraf Sarawak dalam usahanya merealisasikanprojek penanaman semula bemban dilihat sebagai satu langkah proaktif bagi membendung masalah sumber bahan mentah. Penganjuran pameran dan demonstrasi pembuatan barangan kraftangan tempatan dijadikan agenda tahunan semasa Pesta Regatta Kuching adalah satu inisiatif kerajaan yang dilihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya golongan muda tentang keunikan seni kraftangan Sarawak.

Kesimpulan Teknologi tidak seharusnya dijadikan benteng atau penghalang dalam memperkembangkan seni kraftangan . Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mempertahankan tradisi turun-temurun nenek moyang kita. Namun perkembangan ini harus bergerak seiring dalam penghasilan produk yang mengikut kehendak pengguna dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Produk kraftangan ini bukan sahaja diharap mampu menengahkan identiti warisan dan budaya masyarakat Sarawak yang unik bahkan mempunyai tahap kualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Semua pembaharuan samada dalam bentuk penggunaan bahan atau kaedah penghasilan produk kraftangan bagi menambahbaik nilai produk tersebut dilihat sebagai satu bentuk inovasi selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip dan etika asal penghasilannya. Malah apa yang lebih penting ialah kemahiran dan kepakaran itu yang seharusnya diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Selagi rekabentuk dan motif yang menjadi simbol identiti setiap etnik di Sarawak itu masih lagi dikekalkan, maka keunikan, kesenian dan keindahan produk kraftangan ini tidak akan mampu dihakis oleh teknologi. Kesinambungan pengetahuan tentang penghasilan kesenian pembuatan produk kraftangan kepada generasi akan datang harus dititikberatkan agar ianya tak lekang dek panas, tak lapok dek hujan.

Rujukan 1. Kalpakjian, S. (1995). Manufacturing engineering and technology, Third edition, USA: AddisonWesley Publishing Company 2. Mossman, S. (2006). Fantastic Plastic, London: Black Dog Publisher 3. Munan, H. (1989). Sarawak handicrafts the economic aspect, Sarawak Museum Journal, LX (61), 117-125 4. Othman, S. (1989). Kraf: Pengenalan dan Pendekatan, Sarawak Museum Journal, LX (61) 5. Paran, R. (2010). Warisan seni parang ilang from utusansarawak@utusan.com. 6. Sejarah kraftangan Retrieved 13August 2010 from http://www.kraftangan.gov.my/content/33/?page_name=SejarahKraftangan_33&menuid=52 Bibliografi 1. Munan, H (1989). Sarawak Crafts: Methods, Materials & Motifs.Singapore: Oxford University Press 2. Chua, L (2006). Looking for the Tambok: Some ethnographic notes on contemporary Bidayuh basketry. Sarawak Museuum Journal, LXII (83), 1-32. 3. Mohd. A., M. (2008). Training by National Craft Institute brings back Iban traditions from http://thestar.com.my/ 4. Jadikan kraftangan sebagai kerjaya generasi muda from http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec= Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_06.htm&arc=hive 5. Peralatan Tradisional (2005). Retrieved 30 August 2010 from http://malaysiana.pnm.my/Alat%20Tradisonal/pengenalan_alat_tradisional.htm 6. Majlis Kraf Sarawak (2010). Kraftangan Sarawak [Brochure]. Sarawak: Author. 7. Kraftangan Malaysia (2010). Satu Daerah Satu Industri [Brochure]. Sarawak: Author.

Anda mungkin juga menyukai