Anda di halaman 1dari 5

Kehidupan: Kerana Kita Sebenarnya Jauh.

Posted by: Hilal Asyraf Posted date: May 02, 2012 In: Kehidupan | comment : 14

Picture by http://jappieter.deviantart.com/

Ramai orang suka bertanya dengan saya akan kegundahan masalah mereka, rasa resah meraka akan perjalanan kehidupan mereka, dan rasa risau mereka berkenaan masa hadapan mereka. Kadangkala saya melihat seakan ada sekelompok manusia ini tersekat dalam satu penjara ghaib yang mengikat ketenangan hidup mereka. Saya berfikir-fikir, saya kira saya juga pernah menjadi seperti mereka. Saya kira, anda yang sedang membaca juga mungkin sama. Kalau kita tak pernah hadapai, maka saya jangka kita akan hadapinya. Sebab saya melihat, perkara ini lumrah dalam hidup manusia. Dan yang selamat hanyalah yang mencari penyelesaian. Maka, hendak mencari penyelesaian, perlulah mengenali punca terlebih dahulu. Adakah kita akan melihat semua masalah dan mencari semua puncanya? Bukankah ada ramai orang, berlainan situasi, bermacam jenis masalah? Mustahil hendak mencari semua bukan? Tak. Yang saya maksudkan adalah satu punca yang kita kongsi bersama. Yakni, punca utamanya adalah kita jauh daripada Allah SWT. Ya. Sebab kamu jauh. Keseimbangan jiwa Saya percaya bahawa, ketenangan jiwa hanya akan mampu didapati dengan merapati sumbernya. Yakni pencipta kepada ketenangan itu sendiri, dan pencipta kepada jiwa itu sendiri. Mujur untuk kita, pencipta kepada kedua-dua elemen itu adalah sama. Iaitu Allah SWT.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir. Surah At-Taubah ayat 26. Katakanlah: Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa Surah Ar-Rad ayat 16. Kunci kelapangan dalam kehidupan, ketabahan dalam menghadapi musibah, ketenangan dalam menyelesaikan masalah, tidak lain tidak bukan adalah dengan mendekati Allah SWT. Walaupun jawapan ini nampak remeh, bahkan ada sebahagian orang akan menyindir: Ala, sikitsikit balik pada Allah. Macam apa ntah Pada saya, bagi orang yang melihat ke dalam perkara Mendekati Allah ini, dia akan mengubah pandangannya dan merasakan bahawa sememangnya inilah dia jalan penyelesaian yang sebenar untuk menjadikan kehidupannya satu kehidupan yang tenteram dan bermakna.

Khasiat mendekati Allah Kenapa bagi orang yang mendekati Allah SWT, maka musibah yang melanda, masalah yang datang, kesukaran yang menduga, semuanya tidak membuatkan dirinya tenggelam dalam kegelapan? Pertama: Orang yang beriman percaya bahawa Allah SWT itu menurunkan musibah sebagai ujian. Justeri, mereka tidak melihat musibah sebagai satu perkara yang buruk, bahkan pada mereka, mereka melihat musibah sebagai satu peluang meningkatkan darjat di sisi Allah. Mudahnya saya ceritakan, kalau kita tak ambil ujian SPM, tak masuklah Universiti kan? Kalau tak lepas ijazah di universiti, jangan haraplah nak naik master atau PhD. Betul? Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah ayat 214. Kedua: Orang yang beriman percaya bahawa, apa pun musibah yang Allah SWT itu turunkan, semuanya dalam batas kemampuan manusia. Hal ini kerana, Allah sendiri telah berjanji sedemikian rupa. Tinggal manusia itu yang memilih untuk bertahan atau tidak bertahan. Tiada manusia tahu akan limit dirinya. Justeru, orang beriman akan bertahan semampu-mampunya, kerana dia percaya bahawa Allah mengujinya dalam kemampuannya, jadi dia tidak mahu tergugur menjadi yang gagal.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia me ndapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. Surah Al-Baqarah ayat 286. Ketiga: Orang yang beriman percaya bahawa, Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Pertolongan akan tiba. Kejayaan akan datang jua. Tidak di dunia, di akhirat sana. Keyakinan ini yang menyuntik semangat seorang mukmin untuk kekal tenang dalam menghadapi masalahnya, kekal sabar dalam menghadapi dugaannya. Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya. Surah Az-Zumar ayat 20. Tiga perkara ini hanya mampu dicapai dengan mendekati Allah SWT. Pernahkah anda mendekati Allah SWT?

Mendekati dalam erti kata yang sebenar Ada orang berkata: Saya solat, saya baca Al-Quran, tapi kenapa hati tetap tidak tenang? Memang solat dan baca Al-Quran adalah antara jalan hendak mendekati Allah SWT. Tetapi, apakah kita mengenali Allah SWT? Kalau tidak kenal, agaknya mampukah kita mencari Allah SWT walaupun kita mengambil jalan yang mendekati-Nya? Di sini persoalannya. Sebab itu saya pernah timbulkan berkenaan solat, baca Al-Quran hanya sebagai adat. Jika kita melakukannya hanya kerana orang lain pun buat, maka ia tidak bermakna. Ini berlainan dengan kita melakukan semua itu dalam keadaan kita memang kenal Allah SWT dan ingin mencari redha-Nya. Maka, perkara pertama sekali yang perlu kita sedari adalah apakah hubungan kita dengan Allah SWT? Kita siapa, dan Allah itu siapa? Soalan ini perlu kita jelaskan terlebih dahulu dalam diri kita. Jawapan mudahnya adalah kita merupakan hamba-Nya. Kita perlu tunduk kepada-Nya. Kita akan dikembalikan kepada-Nya, justeru apakah ada tujuan lain dalam kehidupan ini selain mengabdikan diri kepada-Nya? Selepas mengetahui kekerdilan kita, kebesaran Allah, dan merasai keperluan bahawa kita perlu tunduk, taat dan mengabdikan diri kepada-Nya, kita perlu perhatikan pula apakah tuntutan Allah SWT kepada kita? Apakah yang Dia mahu kita lakukan? Bagaimana Dia mahu kita lakukan? Apakah yang Dia larang dan benci? Apakah yang Dia minta kita jauhkan. Bila kita sudah mengetahui semua itu, maka kita laksanakan. Yang Dia arahkan kita langsaikan. Yang Dia suka kita perbanyakkan. Yang Dia benci dan murka kita tinggalkan, yang Dia tidak suka kita kurangkan. Itulah dia makna mendekati Allah SWT.

Tapi jangan salah sangka. Ada orang ingat, selagi tak kenal Allah, selagi tu tak payah beramal. Salah. Salah satu cara hendak mengenal Allah adalah dengan memenuhi perintah-Nya. Cuma dalam perjalanan kita melaksanakan perintah-perintah-Nya, kita akan sedar kita perlukan lagi ilmu tambahan untuk mengenalinya. Allah tidak akan mampu kita rapati dengan ikut-ikutan. Kita sendiri perlu mengenali Allah dan merasai kebesaran-Nya sekaligus mengkerdilkan diri dan siap mengerjakan segala apa yang diarahkan-Nya. Barulah kita merasakan bahawa solat itu menghidupkan, membaca Al-Quran itu satu nikmat, berzikir itu satu kerehatan, dan dosa itu satu benda yang menjijikkan. Kalau sekadar ruku, sujud, bertakbir tanpa kefahaman, membaca Al-Quran berjuz-juz tanpa kejelasan, berzikir beribu-ribu tanpa perhubungan dengan Allah, hanya mengikuti pergerakan manusia lain sahaja, maka ianya tiada makna langsung. Ibarat tin kosong, bunyinya berdentingdenting tetapi kosong sahaja isinya tidak membawa manfaat.

Penutup: Kamu hanya akan faham kalau kamu mendekat Benda ini, tak akan difahami oleh orang yang tidak mencuba. Tetapi saya amat yakin bahawa, orang yang telah menjalani proses ini, mendekati Allah dengan sebenarnya ini, memahami apa yang saya bicarakan. Inilah dia ubat hakiki. Masalah apa pun yang menimpa, inilah dia ubat yang utama sebelum ubatubat yang lain. Kenapa tiada sahabat Rasulullah SAW yang bunuh diri kerana tertekan dengan seksaan yang berat? Sebab mereka ada yang ini. Kenapa Nabi Nuh sanggup berdakwah sampai 950 tahun? Sebab Nabi Nuh memahami yang ini. Kenapa Nabi Musa kekal tenang dan tidak menggelabah walau tersepit antara laut dan Firaun? Kerana Nabi Musa mempunyai yang ini. Kenapa Ribi bin Amir berani berdiri di hadapan Rustum dan mencabar pegangan Rustum walaupun dia berseorangan di singgahsana raja itu? Kerana dia mempunyai yang ini. Kita? Kita kena cari ini. Mendekati Allah ini. Kita kena usahakan. Percayalah. Saya tidak berbohong yang ini. Kalau kamu dapat ini, percayalah yang segala masalah akan menjadi sangat-sangatlah kecil. Percayalah, dan kamu tak akan rugi. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Surah Ali-Imran ayat 139. Kamu adalah yang tertinggi. Sekiranya kamu beriman.

Jadi, masalah terperusuk dalam kerendahan, kehinaan, dicengkam kegelisaan, keresahan, rasa tenggelam dalam kegelapan dan sebagainya, semua itu kerana apa? Kerana kita jauh, tak kenal Allah, tak rapati Allah, tak rasa hidup dengan Allah. Nampak?