Anda di halaman 1dari 3

HURAIKAN PENGARUH BAHASA ASING DALAM BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu mula menerima pengaruh bahasa asing sejak zaman bahasa Melayu kuno lagi. Pada peringkat awal, yakini pada abad ketujuh, Bahasa Melayu mula dipengaruhi olah Bahasa Sanskrit. Tetapi apabila agama Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu, bahasa Melayu telah menerima pengaruh bahasa Arab pula. Seterusnya,dengan kedatangan bangsa Eropah, bahasa Melayu mula dipengaruhi oleh bahasa-bahasa Eropah khususnya bahasa-bahasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Sifat bahasa Melayu yang mudah menerima pengaruh bahasa asing ini dikenali sebagai sifat dinamik. Kedinamikan ini membolehkan Bahasa Melayu terus hidup dan berkembang sejajar dengan peredaran zaman. Untuk menjadi bahasa moden, bahasa Melayu seperti juga mana-mana bahasa besar dunia menerima pengaruh menerima unsur-unsur asing terutama dalam aspek kosa kata atau perbendaharaan kata.

Pengaruh paling awal ialah pengaruh Bahasa Sanskrit. Pengaruh Bahasa Sanskrit sungguh berkesan dan sangat besar sumbangannya terhadap Bahasa Melayu secara keseluruhan. Bahasa Sanskrit banyak memperkayakan Bahasa Melayu sejak dari zaman dahulu lagi. Bahasa Sanskrit masuk ke dalam Bahasa Melayu melalui proses perdagangan iaitu apabila kerajaan-kerajaan Melayu zaman dahulu membuat hubungan perdagangan dengan India. Pedagang-pedagang India yang datang berdagang dengan Tanah Melayu menggunakan Bahasa Sanskrit. Paling utama ialah golongan pengembang agama buddha yang datang untuk mengembangkan agama Buddha di rantau Asia Tenggara ini. Mereka akan menggunakan bahasa Sanskrit. Kajian telah menunjukkan bahawa dalam bahasa Melayu terdapat sebanyak 677 patah perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Kata-kata itu merangkumi pelbagai bidang kehidupan. Contohnya, raja, warna, syurga, suami, sakti dan sebagainya.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong sesuatu bahasa itu, termasuklah Bahasa Melayu untuk mengambil unsur-unsur asing. Peminjaman bahasa asing diperlukan dalam dunia baru terutama dalam hal untuk memberi nama-nama baru atau istilah-istilah baru yang menepati kehendak pengisian masa dan keadaan waktu itu. Kelebihan peminjaman penterjemahan ialah dapat mempertahankan ketulenan Bahasa Melayu. Tetapi, apabila sesuatu perkataan bahasa asing tidak mempunyai padanan maknanya dalam Bahasa Melayu atau kata terjemahan Melayunya, maka, ia tidak membawa makna atau konsep asal kata bahasa sumber. Peminjaman terus perlu dilakukan. Keperluan untuk menamakan sesuatu benda , konsep, atau fenomena baru kerana Bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan yang sesuai untuk menjelaskan perkara tersebut. Contohnya syurga Sanskrit, taubat Arab, nakhoda Parsi, camca Cina, bola Portugis dan sebagainya.

Selain itu, peminjaman bahasa asing biasanya berlaku disebabkan oleh pertembungan budaya yang berlaku dalam berbagai-bagai kaedah seperti peperangan, penjajahan politik, perniagaan dan perdagangan, perhijrahan, persahabatan, pendidikan serta penyebaran agama. Faktor psikologi masyarakat peminjam yang meminjam perkataan daripada bahasa juga dianggap lebih tinggi tarafnya daripada bahasa ibundanya sendiri untuk memantapkan lagi struktur sesuatu bahasa itu. Proses peminjaman sebenarnya boleh mendatangkan pengukuhan kepada bahasa yang meminjam. Seterusnya bahasa tersebut akan terus berkembang dan hidup dalam sebarang masa dan keadaan. peminjaman bahasa asing juga penting dalam perkembangan urusan perniagaan dan perdagangan.

Terdapat 6 unsur yang boleh dipinjam daripada sesuatu bahasa. Bahasa Melayu telah meminjam kesemua unsur ini untuk memantapkan lagi strukturnya. Unsur-unsur itu ialah bentuk huruf dan sistem tulisan, sistem bunyi, imbuhan, idiom dan sebagainya. Kesan-kesan peminjaman kepada sesuatu bahasa boleh dilihat apabila berlaku

penyesuaian dan perubahan terhadap kosa kata bahasa peminjam. Peminjaman perlu dikawal kerana peminjaman yang berlebih-lebihan akan mengakibatkan keaslian Bahasa Melayu akan campur aduk dan kecacatan struktur akan berlaku. Pertembungan sesuatu bahasa dengan Bahasa Melayu akan mengakibatkan perubahan bunyi atau fonologi, bentuk kata atau morfologi dan bentuk ayat atau sintaksis. Dalam bahasa Melayu perubahan fonologi berlaku apabila Bahasa Melayu bertembung dengan Bahasa Arab dan Inggeris.

Tetapi, sikap mengagungkan bahasa asing sehingga perkataan Bahasa Melayu dianggap lapuk atau tidak bergaya tidak wajar dilakukan. Sebagai warganegara yang cintakan negara, kita perlu berasa bangga kerana mempunyai bahasa yang unik dari semua aspek. Oleh itu, kita perlu meningkatkan penggunakan Bahasa Melayu dalam kehidupan harian kita.

Anda mungkin juga menyukai