Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN ALU-ALUAN DATUK HASIM BIN RUSDI

AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI KAWASAN LABU, BANDAR ENSTEK, NEGERI SEMBILAN.

SEMPENA LARIAN MESRA 1 MALAYSIA

ANJURAN UNIT KOKURIKULUM & 5 PISMP AMBILAN JANUARI 2011 TARIKH: 23 FEBRUARI 2013

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh, Yang Berbahagia Dr. Muhammad bin Abdul Rahman, Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik Bandar Enstek. Yang berbahagia, Pn. Hajah Latifah binti Haji Mahamud, Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar & Hubungan Luar, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Yang Berusaha Dr. Mahmud bin Yahaya, Timbalan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek. Yang berusaha Encik Ghazali bin Ismail Ketua Jabatan Kokurikulum, ketua-ketua jabatan, Para Pensyarah, staf-staf sokongan dan para guru pelatih yang dikasihi sekalian.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak institut menjemput saya ke Acara Larian Mesra 1 Malaysia pada pagi yang indah ini. Saya percaya ini merupakan satu titik permulaan perhubungan

yang kukuh antara dua pihak iaitu pihak saya selaku orang yang berwajib di kawasan ini dan juga pihak institut. Selamat datang saya ucapkan kepada semua warga Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik di kawasan Labu, Bandar Enstek. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatan kuasa pengelola iaitu para pelajar 5 PISMP kerana telah berjaya menganjurkan satu acara larian yang sungguh meriah, malah bukan hanya melibatkan peserta-peserta dari dalam kampus sahaja bahkan turut melibatkan peserta-peserta dari IPG lain, Politeknik dan peserta dari Universiti Sains Islam Malaysia . Saya memandang positif usaha yang dilakukan oleh pihak institut dengan menjemput rakan-rakan dari institusi pengajian tinggi yang lain. Persaingan yang sihat dan daya saing yang tinggi dapat diwujudkan .Kemahiran Pengurusan merupakan suatu elemen penting bagi persediaan kepada para guru pelatih apabila menjawat jawatan sebagai guru kelak. Buat pengetahuan para guru pelatih dan hadirin sekalian, saya juga merupakan bekas seorang guru . Saya sangat cinta akan bidang keguruan kerana bidang ini merupakan jiwa saya. Saya percaya bahawa pendedahan awal yang diberikan kepada para guru pelatih sekalian dalam

menguruskan suatu program seperti ini akan membantu lagi usaha pihak kerajaan dalam melahirkan guru-guru yang berpengalaman dan berwibawa dalam menjalankan tugas masing-masing. Ia juga dapat menambahkan keyakinan para guru pelatih dan juga mengelakkan rasa kekok apabila diarahkan oleh guru besar di sekolah masing-masing nanti. Sepertimana yang kita sedia maklum, kerajaan Malaysia telah banyak memberikan peruntukan dalam usaha untuk memajukan sukan di sekolahsekolah dan di institut-institut pengajian tinggi. Ini adalah hasil daripada keperihatinan pihak kerajaan dalam memastikan mempunyai warganegara yang sihat dan berdaya saing di persada dunia. Kita ambil contoh, program Satu Murid Satu Sukan yang telah dilancarkan pada tahun 2012 adalah merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk memastikan semua murid di sekolah dapat merasai pengalaman dan keseronokan dalam bermain sukan tidak kira bangsa atau agama. Ini selaras dengan prinsip 1 Malaysia dimana setiap rakyat diberikan peluang sama adil dan saksama seterusnya dapat melahirkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana sudi menjemput saya pada kejohanan pada kali ini. Harapan saya agar kejohanan-kejohanan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana sememangnya kejohanan seperti ini dapat memberi banyak manfaat kepada kita semua. Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, dengan lafaz

Bismillahirahmanirahim saya merasmikan Penutupan Kejohanan Larian Mesra 1 Malaysia 2013. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai