Anda di halaman 1dari 3

Apabila yang haram jadi Menteri Besar

MINGGU lepas suasana politik negara kita agak aneh. Dalam suasana
tegang kerana penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk menjaga
'keselamatan' kuasa politik Umno/BN, tiba-tiba 13 tahanan ISA
dibebaskan.
Saya amat kesal sekali dengan kejadian pencerobohan oleh satu
kumpulan yang dikatakan 'pasukan keselamatan' ke atas Dun Perak,
sedangkan di luar pejabat SUK Perak, sejumlah polis sedang
menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak, berhimpun dan
berpendirian politik.
Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara kita sidang Dun
dicemari oleh penceroboh yang bersenjata. Hal ini tidak akan berlaku
sekiranya BN tidak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2009
lalu. Rampasan kuasa ini walaupun kelihatan seperti mendapat restu
istana, tetapi rakyat telah membuat penghakiman bahawa ia adalah
sesuatu yang tidak baik.
Kerana pendirian tegas rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau
yang menolak politik ugut, culik, paksa dan rasuah yang diamalkan
oleh Umno/BN, maka ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun
Penanti, pemimpin BN mempertikaikannya. Bahkan, Najib Razak
awal-awal sudah membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding.
Sebabnya hanya satu... takut kalah lagi.
Dalam keadaan politik ketakutan ini, nampaknya M Manoharan, Adun
Kota Alam Shah lebih licik apabila beliau membuat ugutan untuk
meletakkan jawatan jika tidak dibebaskan daripada tahanan ISA.
Kerana terlalu takutkan pilihan raya kecil, Najib Razak tidak ada
pilihan melain membebaskan Manoharan. Duabelas yang lain
mendapat �durian runtuh� daripada pembebasan ini. Cerita tentang
Penanti dan ISA ini menyinggung hidup saya kerana saya pernah
ditahan ISA dan pernah juga bertanding di Parlimen Permatang Pauh
yang Dun Penanti terletak di dalamnya.
Kerana sindrom takutkan pilihan raya atau lebih tepat lagi takutkan
penghakiman rakyat, BN melakukan taktik kotor untuk mendapatkan
kuasa. Dulu mereka merampas kerajaan Perak, baru-baru ini mereka
melakukan rampasan jawatan Speaker Dun Perak secara tidak
berperlembagaan. Keadaan sudah menjadi kecoh kerana Dun Perak
tidak dapat bersidang dengan baik dan sempurna, bahkan dianggap
tidak sah.
Umno/BN terpaksa mengadakan sidang tegesa-gesa ini untuk
mengelakkan Dun terbubar dengan sendiri kerana sudah hampir
enam bulan tidak bersidang. Dan mereka berusaha dengan cara yang
jahat untuk menlantik Speaker haram, R Ganesan dengan tujuan
membolehkan mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada
Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Telahan mereka memang tepat kerana selepas sidang tersebut,
mahkamah telah mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar yang
sah. Maknanya Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar haram!
Kini Umno tidak ada jalan lain kecuali memperalatkan mahkamah
untuk menjatuhkan Nizar. Masalahnya kedudukan Speaker Dun
masih tidak jelas. Jika Dun brsidang juga, ia akan menimbulkan
keadaan politik yang lebih kecoh terutama sekiranya undi tidak
percaya dibuat. Bukan soal Speaker, tetapi tentang kedudukan
Zambry Abdul Kadir.
Jika BN membuat usul undi tidak percaya kepada Nizar, maka
dengan sendirinya mereka memperakui bahawa tindakan mereka
merampas kuasa dan melantik Zambry sebagai Menteri Besar adalah
tidak sah dan haram di sisi undang-undang. Kerja buat Zambry
sebagai Menteri Besar semenjak 6 Februari 2009 adalah haram juga.
Gaji yang diambil oleh Zambry juga haram. Di mana maruah dan air
muka Zambry sebagai Menteri Besar haram dalam isu ini. Ia bukan
soal pandangan rakyat atau pendirian mahkamah, tetapi pengakuan
Umno/BN sendiri yang akan dibuat melalui undi tidak percaya itu.
Undi tidak percaya hanya dibuat kepada Menteri Besar yang sah.
Tidak pernah berlaku undi tidak percaya dikemukakan kepada bekas
Menteri Besar atau kepada orang lain yang bukan Menteri Besar. Ini
bermakna usul undi tidak percaya jika berlaku adalah satu
pengiktirafan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sebenar.
Dan sekiranya Nizar berjaya disingkirkan melalui undi tidak percaya,
ini bermakna Zambry kena mengangkat sumpah semula kerana
sumpah yang lama itu tidak sah hukumnya. Mana mungkin seseorang
Menteri Besar itu dikenakan undi tidak percaya selepas Menteri
Besar baru dilantik, melainkan dilantik Menteri Besar baru sesudah
Menteri Besar lama dijatuhkan. Sumpah yang lama itu tidak laku,
tidak sah dan haram. Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan
permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah
Tinggi, namun kedudukan Zambry tetap haram.
Sekiranya Zambry memilih untuk menjatuhkan Nizar melalui undi
tidak percaya dan dia mengangkat sumpah semula, ini bermakna
Zambry memilih untuk memalukan Tuanku Sultan Perak. Baginda
sudah tentu berasa malu kerana tindakan baginda memanggil
Zambry mengangkat sumpah dahulu dianggap tidak sah, sedangkan
baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara.
Proses mengenakan undi tidak percaya ini dalam apa keadaan pun
akan memalukan Sultan Perak. Pertama, baginda akan tercemar
kerana telah melantik Zambry secara haram; kedua, baginda
mendapat malu kerana mahkamah telah memutuskan Nizar yang
dipecat oleh baginda sebagai Menteri Besar yang sah; dan ketiga
baginda akan dimalukan lagi apabila Dun tidak mengiktiraf
keputusan baginda dengan membuat usul tidak percaya kepada
Nizar.
Dalam apa keadaan pun, baginda akan tercemar kerana permainan
politik kotor BN yang didalangi sendiri oleh Najib Razak.
Tuanku Sultan Perak hanya ada satu pilihan untuk membersihkan
nama baginda dan memulihkan keyakinan rakyat kepada istana,
sekali gus menamatkan krisis politik ini iaitu dengan
memperkenankan permohonan membubarkan Dun.
Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA
dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaliegh juga telah
memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga
mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu
kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir.
Pemangku Sultan Perak sudah memberitahu bahawa istana berada di
atas politik. Maknanya baginda tidak memihak. Sebagai ketua negeri,
sudah tentu baginda mengutamakan rakyat Perak. BN berkata
mereka mendahulukan rakyat juga dan inilah masa untuk
membuktikannya. Jika Sultan Perak mengikut pendapat Mahathir
yang tidak mahu pilihan raya, baginda akan dilihat memihak. Tetapi
jika baginda membubarkan Dun semua rakyat akan berpuas hati
kerana hak memilihkan kerajaan dikembalikan kepada rakyat,
bukannya dengan membeli wakil rakyat.

Anda mungkin juga menyukai