Anda di halaman 1dari 8

UNIVERSITI MALAYA

FAKULTI PENDIDIKAN
SEMESTER 2 SESI 2012/2013

MEMAHAMI GURU BESAR DI MALAYSIA

PDEP 1102

Disediakan oleh:
MD. SYAIFUL BAHARI BIN YAMAN

Disediakan untuk:
PROF. DATIN DR. RAHIMAH BINTI HJ AHMAD

PEP120010

Senario pendidikan negara hari ini harus dapat dilihat secara menyeluruh dalam
konteks merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan Pendidikan supaya rakyat
dan negara tidak terpinggir dalam arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang
begitu pantas berkembang. Guru Besar merupakan penentu kepada kecemerlangan sesebuah
sekolah. Sehubungan itu, ciri personaliti dan tahap kemahiran merupakan faktor utama yang
mempengaruhi kejayaan seseorang pemimpin sekolah.

Isu kepimpinan pendidikan dan pengurusan pendidikan bukanlah merupakan suatu isu
yang lapuk walaupun telah lama dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan. Isu-isu baru
dalam bidang pendidikan yang semakin kompleks memerlukan kefahaman dan pentaksiran
semula konsep-konsep kepimpinan dan pengurusan oleh Guru Besar dan Pengetua. Ini adalah
kerana Guru Besar dan Pengetua perlu menghadapi dan menangani isu-isu ini secara spontan
selama mana mereka masih menjawat jawatan sebagai pemimpin dan pengurus sekolah. Ini
adalah kerana, sebuah sekolah yang berkesan dan cemerlang selalunya diterajui oleh seorang
Guru Besar atau Pengetua yang berkesan dan cemerlang. Keberkesanan dan kecemerlangan
mereka seharusnya didasari oleh kemampuan dan keupayaan untuk menangani isu-isu
kepimpinan dan pengurusan secara berkesan dan cemerlang.

Organisasi masa kini yang mencabar dengan harapan tinggi daripada masyarakat
menagih pemimpin sekolah untuk membuat perubahan struktur pengurusan bagi memenuhi
banyak tuntutan semasa.

Di sekolah, pemimpin bertanggungjawab terhadap aktiviti

pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di kelas tetapi termasuklah segala aktiviti
perancangan bermula daripada peringkat pembentukan visi dan matlamat hinggalah penilaian
dan penambahbaikan. Guru Besar memikul tanggungjawab bagi memastikan segala aktiviti
yang telah dirancang bersama itu dapat dilaksanakan dan berada di dalam kawalannya.
Peranannya amat besar dalam memimpin dan mentadbir urus sekolah agar pembelajaran
berlaku dengan lancar dan cemerlang.

Dalam konteks Malaysia, Zakaria (1996) menyatakan bahawa pemimpin sekolah


mesti mempunyai kemahuan kuat untuk memimpin, mempunyai visi, contoh yang baik,
berilmu, proaktif, rajin, tidak mudah mengalah dan mempunyai kemahiran komunikasi yang
tinggi. Sementara itu, Laporan mesyuarat Gerakan Pengetua Cemerlang pada tahun 1998
(dalam Abdul Aziz 2003) menyatakan bahawa pemimpin sekolah berkesan menggunakan
kemahiran komunikasi yang cemerlang, mempunyai hubungan manusia yang baik, sensitif
kepada adat dan budaya yang pelbagai, mempunyai visi yang jelas, mampu mewujudkan
persekitaran pendidikan yang dinamik, membuat keputusan berdasarkan persetujuan bersama
dan mahir dalam pengurusan dan teknologi maklumat; dan kemahiran personal yang lain.

Kecemerlangan organisasi sekolah berkait dengan kredibiliti dan kualiti diri yang
dimiliki Guru Besar. Namun, peranan Guru Besar semakin berubah selari dengan tuntutan
dan perubahan dunia, ekoran daripada tekanan globalisasi dan kemajuan yang begitu pesat
dalam bidang pendidikan. Oleh demikian, Guru Besar perlu bersedia membina kualiti diri dan
kemahiran dalam menghadapi perubahan serta cabaran pendidikan yang semakin kompleks
dalam abad ke-21.

Segala perubahan yang sentiasa berlaku khususnya dalam pendidikan negara kita
memerlukan para Guru Besar dan barisan penolongnya sama-sama bersedia untuk berubah,
bersedia untuk menerima cabaran-cabaran baru di peringkat akar umbi iaitu sekolah agar
kualiti dan kecemerlangan pendidikan yang menyeluruh dapat dicapai dengan berkesan.
Kecemerlangan perlukan reformasi di peringkat sekolah terutama menumpukan kepada
faktor-faktor dalam sekolah itu sendiri yang merangkumi dasar sekolah, amalan-amalan,
tanggapan, sikap dan motivasi staf, matlamat dan kesetiaan serta pencapaian organisasi.

Guru Besar merupakan orang yang terutama di peringkat sekolah untuk menyokong
dan memastikan kejayaan pelaksanaan teras yang berkaitan di peringkat sekolah. Kualiti
kepimpinan yang tinggi adalah sangat diperlukan untuk mengurus dan mentadbir sekolah
bagi melahirkan generasi berkualiti. Guru Besar haruslah berpandangan jauh, proaktif dan
berani melakukan perubahan demi kepentingan dan masa depan pelajar mengikut
perkembangan dan kesesuaian zaman, dan seterusnya membimbing dan berusaha untuk
melonjakkan pencapaianan sekolahnya ke peringkat yang lebih cemerlang.

Hubungan interpersonal dengan Guru Besar dan rakan sejawat merupakan faktor
motivasi yang tinggi di kalangan para guru. Guru Besar dan Pengetua perlu sedar bahawa
merekalah yang menentukan budaya persekitaran dan kecemerlangan sekolah. Jika seseorang
pemimpin diterima ahli, pemimpin akan berasa dirinya dihormati dan diinspirasikan untuk
memimpin ahli ke tahap lebih berkesan.

Dalam penentuan keberkesanan dan kejayaan sesebuah sekolah, kepimpinan Guru


Besarlah yang selalu dijadikan fokus utama oleh masyarakat. Kita tidak dapat melarikan diri
daripada hakikat bahawa ibubapa menaruhkan kepercayaan yang tinggi kepada sesebuah
sekolah jika mereka mempunyai kepercayaan yang tinggi pada kepimpinan Guru Besar.
Selain itu, Guru Besar juga perlu merancang dengan teliti struktur tugasan dalam organisasi
di sekolah. Selain daripada menjaga hubungan pemimpin-ahli yang baik, Guru Besar juga
perlu menumpukan kepada aspek-aspek berkaitan dengan struktur tugasan seperti
penyusunan serta pembahagian tugas, penekanan terhadap pencapaian matlamat sekolah,
menghayati dan mengamalkan peraturan-peraturan atau arahan yang ditetapkan, penghasilan
berkualiti dan budaya kerja cemerlang.

Kecemerlangan sekolah sering menjadi kayu pengukur terhadap fungsi dan peranan
seseorang Guru Besar. Bagi Guru Besar yang baru dilantik sering dinilai oleh guru-guru,
stakeholder termasuk masyarakat setempat. Terdapat dua persoalan yang sering dikaitkan
iaitu:
(1) Adakah mereka berjaya memimpin dan mengurus dengan berkesan?
(2) Apakah permasalahan yang wujud di sebalik tugas dan peranan yang
dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam menghadapi cabaran sebagai
pemimpin sekolah yang semakin kompleks?

Dalam konteks Malaysia, Jemaah Nazir Sekolah (JNS) telah menggubal Standard
Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang mengandungi pernyataan dan instrumen
pemastian standard untuk pemimpin-pemimpin sekolah (JNS 2004). Standard ini
mengandungi empat dimensi yang dikenali sebagai hala tuju kepemimpinan, pengurusan
organisasi, pengurusan program pendidikan dan kemenjadian murid. Hala tuju kepemimpinan

mempunyai elemen visi, misi dan kepemimpinan. Dimensi pengurusan organisasi pula
mengandungi struktur organisasi, perancangan, iklim, pengurusan dan pembangunan sumber
serta pengurusan maklumat. Manakala dimensi pengurusan program pendidikan pula
mempunyai elemen pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal-ehwal murid, pengajaran
dan pembelajaran, pembangunan sahsiah dan penilaian pencapaian murid. Dimensi
kemenjadian murid pula mengandungi elemen akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Selanjutnya,

Bahagian

Sekolah

(2004),

KPM

pula

menyatakan

bahawa

tanggungjawab Guru Besar dan Pengetua meliputi tujuh bidang utama iaitu pengurusan
kurikulum, kokurikulum dan hal-ehwal murid, pengurusan sekolah yang merangkumi
pentadbiran, kewangan, perkhidmatan dan perjawatan, perhubungan dengan ibu bapa dan
masyarakat setempat, kemajuan sekolah, pengajaran serta kepimpinan pengajaran dan
penyelidikan pendidikan. Manakala Ayob (2005) pula mengkelaskan senarai tugas Guru
Besar atau Pengetua kepada sembilan bidang iaitu kurikulum, penilaian dan pentaksiran,
kokurikulum, hal-ehwal murid, fizikal dan kemudahan, kewangan, pejabat, staf dan komuniti.

Setelah diteliti dan diperhalusi, kesemua standard yang dikemukakan sama ada di
dalam atau di luar negara mempunyai banyak persamaannya. Perbezaan cuma daripada segi
istilah yang digunakan, namun banyak persamaan wujud daripada segi kandungan dan tugas
yang perlu dilaksanakan oleh Guru Besar atau Pengetua. Standard-standard ini juga adalah
sama seperti Standard Kompetensi KePengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) yang
dikemukakan oleh IAB pada tahun 2006. Dalam standard ini terdapat sembilan bidang
pengurusan yang perlu dikuasai oleh pentadbir-pentadbir sekolah (IAB 2006a) iaitu
pengurusan dan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum,
pengurusan hal-ehwal murid, pengurusan kewangan, pengurusan

pentadbiran pejabat,

pengurusan persekitaran dan kemudahan fizikal, pengurusan dan pembangunan sumber


manusia serta pengurusan perhubungan luar.

Selain daripada SKKSM, beberapa ciri lain juga adalah penting dalam proses
meningkatkan lagi pengurusan dan kepimpinan Guru Besar dan Pengetua di sekolah. Ini
termasuklah kualiti peribadi, pengetahuan teori, amalan pengurusan strategik, kemahiran dan
teknik menangani perubahan. Kualiti peribadi yang dimaksudkan adalah seperti komunikasi,
kepimpinan, inovasi, minat dan keyakinan. Sementara amalan pengurusan strategik pula
melibatkan pengenalpastian masalah, perancangan strategik, pelaksanaan dan penilaian
strategik.

Menurut Sergiovanni (1984) Guru Besar mestilah memainkan peranan pemimpin


yang berketrampilan (competent leader). Beliau senaraikan lima kelompok peranan tersebut
sebagai berikut:
(1) Pemimpin Teknikal: Tumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan
mahir memanipulasi strategi dan keadaan bagi jamin keberkesanan yang
maksimum.
(2) Pemimpin Manusia: Mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia,
perhubungan individu dan manusia menggerakkan (motivate) stafnya, membina
dan mengekalkan moral yang tinggi, galakkan inovasi dan kreativiti di samping
beri sokongan yang perlu.
(3) Pemimin Pendidikan:

Main peranan sebagai 'clinical practitioner' iaitu

sumbangkan kepakaran dalam pendidikan dan persekolahan. Mahir dalam aspek


kurikulum, diagnosis keperluan pelajar, penilaian dan penyeliaan atau
pencerapan yang berkesan.
(4) Pemimpin Simbolik: Mainkan peranan sebagai penghulu (chief) yang memberi
isyarat tentang nilai, kepentingan atau tujuan sesuatu yang hendak dicapai. Perlu
punyai wawasan yang disampaikan kepada staf dan pelajar di sekolahnya.
(5) Pemimpin Budaya: Main peranan sebagai 'high priest' iaitu dilihat dari usahausahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur
budaya yang dapat menjadikan sebuah sekolah yang unik. Kepemimpinan ini
selalunya memperlihatkan usaha bagi mengekal imej dan prestij sekolah.

Foo dan Zaidatol (2005) telah mencadangkan enam kumpulan kompetensi yang
difikirkan sesuai diamalkan oleh Guru Besar selaku pemimpin di sekolah iaitu kepimpinan
pengajaran, perancangan dan akauntabiliti, hubungan manusia, kepimpinan politik,
keberkesanan diri, kepimpinan budaya dan etika. Jika dilihat pada keenam-enam aspek ini
maka ia adalah penting bagi melengkapkan seseorang Guru Besar sebagai pemimpin
organisasi pendidikan yang memenuhi kehendak budaya, norma masyarakat dan falsafah
pendidikan.

Dalam mengupas aspek pertama iaitu kepimpinan pengajaran, kepimpinan di sekolah


dilihat bukan sahaja bertujuan untuk menggerakkan segala potensi yang ada di sekolah bagi
mencapai matlamat yang ditetapkan malahan ia memerlukan satu upaya yang khusus bagi
menjadikan sekolah sebagai tempat berlakunya pengajaran yang berkesan.

Pemimpin

sekolah perlu bertindak sebagai ketua dan pentadbir yang mampu menggalakkan suasana
pengajaran yang berkualiti bagi meningkatkan kadar pemindahan ilmu di kalangan warganya
terutamanya kepada pelajar.

Pada aspek perancangan pula ianya adalah sebagai satu proses untuk menggunakan
sumber-sumber yang diperoleh dengan cara berekonomi dan cekap agar matlamat organisasi
tercapai. Kebolehan Guru Besar merancang merupakan suatu kelebihan dari segi ekonomi
dan memberi impak kepada kewangan organisasi tanpa pembaziran dari segi kewangan,
tenaga dan masa. Selain dari merancang, akauntabiliti juga penting dipelihara secara
profesional oleh pemimpin di sekolah. Akauntabiliti dalam pendidikan ditakrif sebagai
proses yang pihak daerah sekolah (school districts) dan negeri cuba memastikan sekolah
ataupun sistem sekolah mencapai matlamat mereka.

Peranan kepimpinan seterusnya yang ditekankan adalah membina hubungan yang


berkualiti antara setiap individu dalam organisasi yang ditadbir. Menurut Zaidatol (2003),
gelombang kedua reformasi pendidikan telah memberi tumpuan khusus kepada aspek
hubungan manusia. Aspek hubungan manusia pula dilihat sebagai satu usaha pemimpin
dalam melibatkan semua ahli termasuk kakitangan pentadbiran, staf bawahan, pelanggan dan
masyarakat untuk menerima dan seterusnya membantu organisasi mencapai hasrat dalam
pentadbirannya. Bagi membolehkan Guru Besar bekerja bersama-sama staf mereka dalam

suasana yang harmonis maka hubungan mereka dengan guru-guru dan kakitangan harus
berada dalam keadaan yang baik. Aspek keberkesanan diri pula merupakan kompetensi yang
dapat dinilai melalui trait atau ciri yang ada pada seseorang pemimpin. Aspek kemahiran
pengurusan turut diberi perhatian untuk meningkatkan keberkesanan diri.

RUJUKAN
Abdul Aziz Md. Noor. 2003. An investigation into the headship training programme for
aspiring primary school headteachers. PhD Dissertation, University of Bristol.
Ayob Jantan. 2005. Pengetua sekolah yang efektif. Siri Penguruan Sekolah. Bentong: PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.
Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. 2002. Konsep dan manual sekolah
selamat - panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga selamat untuk
kanak-kanan. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Institut Aminuddin Baki. 1993. Kajian kepimpinan guru besar dalam pengurusan sekolah
rendah - instrumen dan cadangan. Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
Institut Aminuddin Baki. 2006a. Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia.
Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki, KPM.
Jemaah Nazir Sekolah. 2004. Standard kualiti pendidikan Malaysia - sekolah, pernyataan
standard. SKPM1 Edisi Disember. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lee Gek Hoi (2001). Hubungan antara tingkahlaku kepemimpinan Pengetua dengan
kepuasan kerja guru: Satu kajian di sekolah-sekolah menengah daerah Kluang-Johor. Projek
Sarjana Pendidikan, UKM, Bangi.
Mohd Salleh Lebar (2000). Pentadbiran Pendidikan dan Pendidikan di Malaysia. Petaling
Jaya: Addison Wesley Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Sergiovanni, T.J. (1984) Leadership and excellence in schooling, Educational Leadership,
41(5), 4-13
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (2005). Asas Kepemimpinan Transformational dalam
Pendidikan: Satu bab dalam Zaidatol Akmaliah Lope Pihie dan Foo Say Fooi. Pengurusan
dan Kepemimpinan: Satu Langkah Ke hadapan. UPM Serdang.
Zakaria Abdullah. 1996. Indikator pemimpin cemerlang: satu analisis pengurusan. Jurnal
Pengurusan Pendidikan. Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.

Anda mungkin juga menyukai