Anda di halaman 1dari 1

Helang dengan Kura-kura

Pada suatu masa dahulu terdapat seekor kura-kura yang ingin terbang seperti burung. "Oh, alangkah seronoknya kalau aku dapat terbang seperti burung-burung itu," kata kura-kura. Kura-kura cemburu setiap kali melihat burung-burung terbang bebas di udara. Dia selalu termenung memikirkan akan keinginannya itu. Pada suatu hari, kura-kura ternampak seekor burung gagak sedang berehat di atas sebatang dahan pokok. Kura-kura segera menghampiri burung gagak itu. Dia meminta gagak mengajarnya terbang. "Kamu tidak boleh terbang kerana kamu tidak mempunyai sayap," kata gagak. Kura-kura berasa kecewa mendengar kata-kata gagak. Namun dia tidak mahu berputus asa. Tiba-tiba ia ternampak seekor helang menghampirinya. Helang itu sebenarnya sedang mencari makanan. "Dari tadi saya perhatikan kamu termenung. Apakah masalah kamu wahai kura-kura?" tanya helang. "Sebenarnya saya ingin terbang di udara seperti rakan-rakan kamu tetapi tidak ada yang ingin menolong saya," kata kura-kura. "Baiklah kura-kura, saya akan ajar kamu terbang, kata helang. "Betulkah kamu boleh mengajar saya terbang?" tanya kura-kura dengan gembira.

Helang memegang cengkerang kura-kura dengan kuat lalu membawanya terbang di udara. Helang membawa kura-kura terbang tinggi. Kura-kura berasa sungguh gembira kerana dapat terbang bersama burung-burung lain. Dia dapat merasa angin yang sejuk. Dia juga dapat melihat pemandangan yang cantik. Namun begitu, helang yang lapar itu membawa kura-kura ke suatu tempat. Dia melepaskan cengkaman kakinya pada cengkerang kura-kura. Kura-kura melayang-layang jatuh ke tanah dan terhempas ke atas batu. Badan kura-kura hancur berkecai. Tamatlah riwayat sang kura-kura. Helang pun terus memakan kura-kura itu dengan gembira.

Anda mungkin juga menyukai